Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PAMERAN LUKISAN
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Seni
Berdaftar kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran
Pameran Lukisan 'Visions' pada hari ini.
2. Usaha-usaha mengembangkan bidang seni yang berteraskan
budaya bangsa dan mempunyai nilai-nilai murni yang kita
kejar adalah suatu perkara yang sihat dan perlu mendapat
galakan. Ini kerana bidang seni tidak harus dilihat sebagai
'laungan rasa hati' semata-mata, tetapi juga boleh membantu
membina minda dan sikap yang sihat. Oleh itu, karya seni,
baik yang berupa hasil kreatif mahupun yang berupa
persembahan seni gerak, memberi manfaat yang besar kepada
pembentukan peribadi yang sensitif dan sihat bukan sahaja
kepada peminat tetapi juga kepada masyarakat umum. Daripada
sudut yang luas, karya-karya seni yang indah dan menarik
serta bersopan dapat membantu mengharumkan nama negara di
mata dunia.
3. Peranan seni tidaklah terbatas kepada tujuan memenuhi
citarasa seseorang atau sesuatu kelompok semata-mata. Seni
mempunyai falsafah dan tujuan, sesuai dengan perkembangan
nilai dalam masyarakat. Bagi kita, semua bentuk seni adalah
refleksi perkembangan yang berlaku dalam masyarakat itu. Ia
menggambarkan fikiran serta pandangan hidup melalui
interpretasi individu yang sensitif akan keadaan dan
peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. Hanya yang harus
dibendung ialah penyeludupan nafsu artis ke dalam
interpretasinya.
4. Seni tari melukiskan keharmonian hubungan antara
langkah dan liuk-lintuk penari dengan persoalan yang hendak
disampaikan. Kebijaksanaan penari mengalunkan langkah dan
menggerakkan jari jemarinya akan membantu penonton memahami
apakah mesej yang diselitkan. Seni lukis pula bergantung
kepada hubungan di antara mata hati pelukis dengan alunan
berus di tangannya. Kemahiran pelukis meletakkan berus,
kemudian menggerakkannya untuk menggambarkan sesuatu
menentukan nilai sebuah hasil seni lukis.
5. Begitulah halnya dengan karya seni yang lain, semuanya
mempunyai perhubungan dan ia tidak pernah kekeringan selagi
penggiat seni itu peka dengan persekitaran masing-masing.
6. Saya rasa ini suatu proses biasa dalam kehidupan
bertamadun kita sehari-hari. Manusia sentiasa menimba
contoh dan pengajaran dari alam. Dalam kata lain, seni
terutama seni lukis tidak boleh lahir dalam 'vacuum' atau
kekosongan. Tentu ada perantaraan yang boleh memberikan
bayangan mengenai objek-objek yang hendak digambarkan oleh
pelukis. Begitulah bagaimana proses pendidikan itu
terserlah dan tidak menghairankan jika ia kadang-kadang
boleh memecahkan sesuatu masalah apabila si pemerhati atau
penonton turut dapat merasakan apa yang hendak disuarakan
oleh karya atau sesuatu persembahan.
7. Oleh itu, para karyawan seni mempunyai peranan yang
penting dalam pembangunan tamadun dan budaya sesebuah
negara. Mereka boleh mengangkat tinggi nama dan juga
mempertahankan maruah negara.
8. Sesungguhnya mereka yang terbabit dalam kegiatan seni
bukanlah terasing daripada masyarakat. Mereka adalah
sebahagian daripada masyarakat dan setiap sumbangan mereka
adalah bermakna. Suatu sumbangan mudah yang boleh kita
dapati daripada golongan ini ialah memperkenalkan kehalusan
budaya negara ke dunia luar.
9. Semua hasil seni yang memancarkan daya fikir
yang tajam serta kreatif sifatnya mempunyai makna yang
tersembunyi dan kadang-kadang menimbulkan banyak persoalan.
Namun kita sebagai peminat, penonton dan pemerhati harus
bertimbang rasa kepada penghasil dan penggiat seni kerana
ada kalanya sesebuah hasil seni turut menyelitkan teguran
dengan meluahkan pandangan yang tajam ke tengah-tengah ruang
fikiran kita. Itu adalah perkara biasa kerana seni yang
mempunyai nilai tinggi selalunya tidak terikat kepada
sesuatu fahaman atau pendapat yang ortodoks sahaja. Hasil
seni ialah sebuah gambar atau gerak yang luas ruang
lingkupnya dan universal pula sifatnya.
10. Saya yakin wujudnya beberapa tokoh utama dalam dunia
seni lukis, umpamanya Ibrahim Hussein, Hoessin Ennas dan
Latiff Mohidin, telah turut memperkenal dan mengharumkan
lagi nama negara kita. Bagaimanapun, kita tidak harus
bergantung kepada beberapa pelukis terkenal sahaja.
Usaha-usaha yang lebih serius harus dijalankan untuk
memperkenalkan muka-muka baru yang mungkin sama berbakat
dengan pelukis-pelukis kita yang ada sekarang. Untuk
menembusi dunia antarabangsa yang luas itu kita juga perlu
kuasa pemasaran yang kuat di samping produk yang mencukupi
dan mampu menandingi orang lain. Saya berasa bangga pihak
Yayasan Seni berusaha menganjurkan pameran lukisan ini dan
berjaya menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini, iaitu
Mutalib Zakaria dan Abdul Ghani Ahmad. Dengan membawa
bersama pelukis antarabangsa seperti Jian Hi-Zou yang
mendapat pengiktirafan di San Francisco ke pameran ini,
sudah tentu kedua-dua pelukis muda kita itu akan dapat
mencungkil banyak pelajaran di samping pengalaman baru yang
berharga.
11. Saya dimaklumkan bahawa Yayasan Seni telah mewujudkan
biasiswa khas bagi membantu pelukis mendapatkan pendidikan
yang lebih mendalam dalam bidang seni lukis ini. Dengan
itu Yayasan Seni telah menggerakkan secara
bersungguh-sungguh kebangkitan dunia seni di tanahair. Ini
suatu perkembangan yang amat baik dan perlu diteladani oleh
badan-badan lain kerana ia boleh membantu mewujudkan
karyawan seni yang berwibawa.
12. Jika kita berkesempatan memikirkan mengenai sesebuah
persembahan seni atau pameran karya seni di negara-negara
barat kita akan berasa kagum melihat bagaimana bidang seni
ini meningkat dengan jayanya dan turut meningkatkan taraf
hidup mereka yang terbabit. Di negara-negara itu, seni juga
turut berkembang dengan pesatnya dan menarik perhatian.
Persembahan seni bukan sahaja ditonton oleh mereka yang
menunjukkan minat terhadap dunia seni itu, tetapi juga turut
ditonton oleh golongan ternama dan mempunyai kedudukan dalam
masyarakat yang ingin mencari kepuasan daripada sesebuah
persembahan yang bermutu. Mereka sanggup membayar harga
yang tinggi untuk mendapat tempat bagi satu-satu
persembahan.
13. Tetapi di sini ingin saya ingatkan para seniman bahawa
jarangkali ahli seni mendapat pengiktirafan dalam masa
hayatnya. Lukisan karya artis terkenal saperti van Gogh dan
Rembrandt dihargai selepas mereka tidak ada lagi. Kelewatan
pengiktirafan ini disebabkan peminat biasanya berminat
kepada yang terhad dan sukar didapati. Hasil karya yang
sudah tua tetap terhad kerana sebab yang nyata. Justeru
itu, janganlah para artis kecewa kerana tidak mendapat harga
yang tinggi bagi hasil karya mereka dan tidak menjadi kaya.
Janganlah membanding hasil karya sendiri dengan harga
lukisan atau ukiran artis yang sudah lama meninggal dunia di
Eropah. Mungkin seratus atau dua ratus tahun lagi hasil
karya kita akan mendapat harga yang tinggi dan orang lain
yang akan mendapat untung yang banyak. Tetapi ini belum
tentu. Oleh itu, janganlah kecewa dengan ketidakadilan ini.
Ini adalah lumrah hidup, satu perkara biasa. Memadailah
jika kita dapat menarik hati peminat. Sebenarnya yang harus
dihargai ialah kepuasan hati daripada hasil karya yang baik.
Bagaimanapun, artis-artis kita masih boleh menaruh harapan
kerana ada artis kita yang mendapat penghargaan dan
pendapatan yang tinggi di masa hayatnya. Oleh itu,
artis kita boleh berharap bahawa mereka juga boleh mendapat
penghargaan dan pendapatan yang tinggi.
14. Para seniman boleh berasa senang hati kerana
di Ma laysia hari ini sudah ada penghargaan kepada seniman.
Mereka tidak lagi dianggap sebagai 'anak wayang' yang tidak
mempunyai harapan. Hasil karya mereka sudah mendapat
sambutan, bahkan mereka sudah menjadi 'celebrity' di masa
hidup mereka. Tetapi masih ramai daripada mereka yang belum
terkenal dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap, jauh
sekali mendapat pendapatan yang lumayan. Mereka tidak harus
kecewa. Dalam apa juga profesion, tidak ada jalan yang
mudah, sama ada untuk menguasai bidang itu atau mendapat
pengiktirafan. Yang mudah kecewa tidak mempunyai harapan.
Hanya mereka yang sanggup menghadapi segala cabaran sahaja
yang akan berjaya. Oleh itu janganlah putus asa.
Bertekunlah.
15. Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada Yayasan Seni
kerana mempunyai matlamat meningkatkan nilai seni lukis di
negara ini. Walaupun ini suatu kejayaan kecil daripada
ratusan, bahkan ribuan penggiat seni yang terdapat di
seluruh negara, ianya sungguh berkesan kerana kita
berpeluang membawa ke tengah gelanggang sesuatu yang
berharga yang kita pendamkan sekian lama.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran
Lukisan 'Visions'.
|