Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUCHING, SARAWAK 
Tarikh/Date 	: 	30/08/93 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN BANGUNAN DEWAN 
			BANDARAYA KUCHING UTARA 



     Saya mengucapkan terima kasih  kepada  Kerajaan  Negeri
Sarawak   kerana  memberi  penghormatan  kepada  saya  untuk
merasmikan  Bangunan  Dewan  Bandaraya  Kuching  Utara  yang
berdiri  megah  dan  gagah  di  hadapan kita semua, serentak
dengan perasmian  Majlis  Mesyuarat  Jawatankuasa  Perunding
Perbadanan  Perbandaran-Perbandaran  Malaysia  yang  pertama
bagi tahun 1993.
2.    Semenjak dinaikkan taraf  Bandaraya  lima  tahun  yang
lalu,  pembangunan infrastruktur yang pesat serta pencapaian
Bandaraya Kuching daripada segi kemajuan dalam  perdagangan,
industri  serta  kebudayaan,  telah  menjadi satu kebanggaan
bagi setiap penduduk Sarawak khasnya,  dan  rakyat  Malaysia
amnya.
3.     Semua ini dapat dicapai oleh Bandaraya Kuching dengan
adanya program pembangunan Kerajaan Negeri  yang  terperinci
dan  rapi,  serta  wujudnya  kepimpinan  berwibawa Yang Amat
Berhormat Datuk Patinggi Tan  Sri  Haji  Abdul  Taib  Mahmud
sendiri.  Saya yakin, berkat adanya kestabilan politik serta
kehidupan  harmonis  di  Bumi  Kenyalang yang berbilang kaum
ini, Bandaraya Kuching akan menjadi salah satu pintu gerbang
utama bagi pelaburan serta penanaman modal yang  besar  dari
dalam dan luar negeri.
4.   Kestabilan politik serta dasar politik pembangunan yang
diamalkan  oleh  Kerajaan  Negeri  Sarawak  telah mewujudkan
keadaan  yang  sesuai  untuk  para  pelabur  serta   gergasi
korporat  perniagaan  untuk  menanamkan modal di sini.  Saya
gembira apabila  dimaklumkan  bahawa  kawasan  perindustrian
baru  di Sejingkat, yang terletak di dalam kawasan Bandaraya
Kuching, mempunyai banyak kilang industri milik pelabur dari
dalam dan luar negeri yang sudahpun di dalam tahap pembinaan
tapaknya.
5.   Saya juga difahamkan bahawa beberapa  pengusaha  kilang
serta   tokoh   korporat  perniagaan  luar  negara  sudahpun
memeterai beberapa perjanjian  dengan  ahli-ahli  perniagaan
negeri  Sarawak  untuk membina kilang-kilang industri secara
kerjasama  atau `joint-venture'.  Kerjasama di dalam  bidang
perniagaan  ini  dapat membantu kita daripada segi 'transfer
of technology' dari negara maju kepada negara kita.
6.   Semua ini adalah selaras dengan usaha  kita  menuju  ke
arah  perkembangan  industri  yang  pesat serta teratur yang
wujud di negeri Sarawak.    Justeru  itu  bandaraya  Kuching
memainkan  peranan  yang  penting  sebagai 'catalyst' kepada
perkembangan dan pertumbuhan ekonomi tersebut.   Saya  yakin
negeri   Sarawak   akan   menjadi  'front-runner'  di  dalam
pencapaian wawasan ini.
7.   Semua ini juga menggambarkan masa depan yang cerah bagi
Sarawak dan setiap rakyat Bumi Kenyalang yang terkenal rajin
dan peramah, akan menikmati pertumbuhan ekonomi yang  pesat.
Kita   semua   haruslah   menyambut   segala   dasar   serta
langkah-langkah Kerajaan dengan  sikap  positif  dan  berani
menyahut   cabaran-cabaran   yang  timbul  di  dalam  proses
membangunkan negara kita.
8.     Rakyat Bumi  Kenyalang  seharusnya  bersyukur  kerana
mempunyai pemimpin-pemimpin jati di peringkat kebangsaan dan
negeri  yang  dinamik, yang mana segala gagasan mereka dapat
diterima oleh sesiapa, bukan sahaja di Bumi Kenyalang bahkan
di seluruh Malaysia.
9.   Wawasan untuk membangunkan Bumi Kenyalang menjadi kuasa
ekonomi dan perdagangan di negara ini,  dengan  berlandaskan
program-program pembangunan Kerajaan Negeri yang bernas lagi
menyeluruh,  akan  memastikan  yang  setiap kaum dan lapisan
masyarakat  di  Sarawak  tidak  akan  ketinggalan  di  dalam
bersama-sama  meraih  keuntungan  serta menikmati faedah dan
kebaikan  di  dalam  mencapai  taraf  kehidupan  yang  lebih
tinggi.
10.    Sememangnya  Bumi Kenyalang yang kaya dengan khazanah
budaya  serta  penuh  dengan   tradisi   pelbagai   kaumnya,
merupakan  contoh  yang  unggul di mana penduduknya berupaya
mengikis sifat perkauman mereka, bekerjasama erat  di  dalam
suasana  harmonis,  memegang  teguh  kepada  prinsip-prinsip
muhibah  serta  Rukunegara  dan   bersatu   untuk   mengejar
cita-cita bangsa dan negara.
11.   Saya percaya dengan pimpinan yang ada di Sarawak serta
sokongan padu wargakota Kuching, pentadbir kawasan bandaraya
ini akan dapat mencapai wawasan menjadikan bandaraya Kuching
sebuah  bandaraya  metropolitan  yang  teratur,  indah   dan
berbudaya di dalam masa yang lebih singkat.
12.      Pembangunan   di  sekitar  Bandaraya  Kuching  akan
berkembang dengan adanya infrastruktur yang baik seperti  di
sekitar  kawasan  bangunan  ini.    Bangunan Dewan Bandaraya
Kuching Utara yang indah ini merupakan satu  mercutanda  dan
penggerak  kejayaan  Bandaraya Kuching.   Projek pembangunan
pusat-pusat pelancongan,  hotel-hotel,    bangunan  pejabat,
pusat   perniagaan   dan   rekreasi   serta  kawasan-kawasan
perumahan  di  sekitarnya,  telahpun   berjaya   menempatkan
Bandaraya  ini  di  mata  dunia serta mendapat pengiktirafan
yang berpatutan.  Kejayaan serta pengiktirafan ini  terbukti
apabila  Bandaraya Kuching dipilih tuan rumah untuk pelbagai
acara  berbentuk  kebudayaan,  kejohanan  sukan,   mesyuarat
perundingan  serta  persidangan yang bertaraf kebangsaan dan
antarabangsa.
13.   Dalam kita mentadbir sesebuah  Bandaraya,  usaha  yang
gigih   dan   bersepadu   hendaklah   diberi  keutamaan  dan
keprihatinan  supaya  pembangunannya  seimbang  dan  teratur
untuk  keselesaan  penduduk.    Perancangan  yang terperinci
dalam pembangunan  jalanraya,  kawasan  perumahan,  pejabat,
bangunan  komersil  dan  kilang-kilang,  di samping mengekal
keindahan kawasan  dengan  tanaman-tanaman  dan  pokok-pokok
serta  menambah  kehijauan-kehijauan  baru, merupakan faktor
utama dalam membentuk sebuah Bandaraya yang selesa.
14.    Demikianlah,  apabila  sebuah   negeri   dalam   satu
persekutuan  di  perintah  secara  lurus  dengan mengimbangi
kepentingan negeri dengan  kepentingan negara  serta  dengan
hubungan yang rapat di antara wilayah dan pusat, semua pihak
mendapat  nikmat.    Sebaliknya  apabila pemerintahan negeri
hanya  menumpu  kepada  kepentingan  negeri   sahaja   tanpa
mengambilkira  kepentingan  negara,  hasilnya ialah kerugian
semata-mata kepada warganegeri tersebut.
15.  Akhir kata, saya mengucapkan  tahniah  kepada  Kerajaan
Negeri Sarawak kerana berjaya membangunkan Bandaraya Kuching
dengan   begitu  pesat  sekali  di  samping  dihiasi  dengan
kehijauan tanaman dan bangunan-bangunan yang indah.
16.  Dengan ini, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,
membuka dengan rasminya  Bangunan  Dewan  Bandaraya  Kuching
Utara,  dan  Mesyuarat  Jawatankuasa  Perundingan Perbadanan
Perbandaran-Perbandaran  Malaysia yang  Pertama  bagi  tahun
1993.

 
 



 
Google