Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 30/08/93
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan izin-Nya dapat kita sekali lagi menyambut Hari
Kebangsaan Hari Kemerdekaan negara kita.
2. Pada tahun ini genaplah 36 tahun negara kita merdeka.
Kita boleh bersyukur serta berbangga kerana Malaysia adalah
antara sebilangan kecil negara yang baru merdeka yang
berjaya. Bukan sahaja politik negara kita stabil, bahkan
ekonominya juga berkembang maju. Alhamdulillah, segala
pujian bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
3. Di waktu kemerdekaan dituntut, bangsa yang dijajah
memang berharap nasib mereka menjadi lebih baik apabila
berhak memerintah diri sendiri. Tetapi harapan tidak selalu
menjadi kenyataan. Sebenarnya harapan ini lebih kerap
menjadi kekecewaan, kerana perebutan kuasa sesama sendiri,
ketidakstabilan dan kekurangan kecekapan mentadbir dan
menguruskan negara. Akibatnya ialah kemerdekaan tidak
bermakna bahkan negara kembali dijajah kerana negara
terpaksa meminta- minta bantuan daripada bekas penjajah yang
membantu hanya jika syarat-syarat mereka diterima.
4. Rakyat berbilang kaum Malaysia patut berasa bernasib
baik dan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dijauhi daripada nasib malang yang menimpa rakyat di
beberapa negara yang telah merdeka. Walaupun
cabaran-cabaran yang kita hadapi adalah lebih besar,
disebabkan penduduk yang berlainan kaum, agama, bahasa dan
budaya, kita telah berjaya mengatasi cabaran-cabaran ini.
Kita hanya perlu mengingati peristiwa Mei 1969 dan melihat
Yugoslavia, Ireland Utara, Lubnan dan beberapa buah negara
majmuk yang lain untuk menginsafi dan bersyukur akan nasib
baik kita.
5. Akibat ketidakstabilan dan rusuhan, banyak negara yang
telah merdeka menjadi mundur. Ada antaranya mengalami
keadaan yang lebih teruk daripada sebelum merdeka. Dalam
keadaan ini, maruah dan kedaulatan mereka sebagai negara
merdeka terjejas. Kemerdekaan bagi rakyat negara-negara ini
tidak membawa apa-apa pengertian. Di sebaliknya, rakyat
mereka berasa amat hampa.
6. Justeru itu, kita hendaklah terus mengelak daripada
bersengketa sesama kita. Sesungguhnya keuntungan yang
diperolehi
melalui sengketa dan rusuhan adalah jauh lebih sedikit
daripada bahagian yang didapati melalui agihan hasil usaha
dalam keadaan aman dan makmur.
7. Dunia telah mengalami banyak perubahan. Kini Perang
Dingin telah berakhir. Namun ianya tidak menunjukkan bahawa
dunia akan menjadi lebih aman dan konflik akan berkurangan.
Di sebaliknya, di beberapa tempat di dunia kita melihat
konflik yang lebih dahsyat berlaku. Di samping itu,
dagangan dunia terus bertambah sukar kerana negara-negara
maju yang dahulu menjunjung dagangan bebas, hari ini asyik
menyekat dagangan untuk mengelak saingan daripada
negara-negara industri baru dari Selatan.
8. Kita perlu atasi cabaran yang datang dari negara-negara
maju ini. Kita telah menentukan matlamat kita. Kita ingin
menjadi negara maju menjelang tahun 2020; negara maju yang
menguasai segala kecekapan pentadbiran, dagangan, ilmu dan
industri di tahap yang sama tinggi dengan negara yang sudah
maju, tetapi kekal dengan nilai-nilai murni dan cara hidup
yang mulia. Dengan kemajuan ini kita percaya kita akan
lebih mampu bersaing dan mempertahankan kemerdekaan negara
kita. Jika kita berjaya dalam usaha ini, insya-Allah,
maruah bangsa dan kedaulatan negara Malaysia akan
terpelihara. Di samping itu, insya-Allah, kita akan bebas
daripada sebarang tekanan daripada luar. Kehidupan semua
rakyat akan menjadi lebih bahagia.
9. Justeru itu, tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,
iaitu ` Bersatu Menuju Wawasan ' amatlah tepat sekali. Untuk
mencapai matlamat Wawasan 2020, rakyat Malaysia yang
berbilang kaum perlu bersatu hati dan tenaga. Hanya dengan
kita bersatupadu sahaja dapat kita menentukan tidak ada
pihak yang boleh menggagalkan hasrat negara kita untuk
menjadi sebuah negara maju yang bebas.
10. Sudah tentu dalam kita menuju ke matlamat menjadi
negara maju, banyak ranjau yang perlu kita lalui serta
cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi. Ini adalah
kerana tidak ada jalan yang mudah dan senang dalam apa juga
usaha ke arah mencapai sesuatu yang menjadi idaman kita.
Ketika kita menuntut kemerdekaan daripada penjajah
dahulupun, berbagai-bagai cabaran terpaksa dihadapi.
Kemudian terdapat pula pihak-pihak yang pesimistik bahawa
kita boleh berjaya jika kita merdeka memandangkan kita
terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tetapi kita telah
dapat mencipta satu formula politik untuk bekerjasama yang
mana ini kemudian menular ke bidang-bidang lain. Walaupun
ada ketikanya pihak-pihak yang cuba membakar api perkauman
dan perpecahan tetapi majoriti rakyat menolak mereka.
Sebaliknya, saranan supaya diwujudkan perpaduan kaum
berhasil dan kita telah dapat mengecewakan pihak-pihak yang
pesimis. Hari ini banyak badan antarabangsa dan negara yang
ingin mempelajari asas perpaduan kita.
11. Ada negara-negara Barat yang mencemuh sistem demokrasi
kita. Mereka mendakwa kita tidak cukup demokratik.
Sebenarnya mereka ingin kita mengamalkan demokrasi yang
membawa keadaan tidak stabil, kemerosotan ekonomi dan
kemiskinan. Dengan itu mereka dapat mengugut dan menguasai
kita. Mereka mendesak supaya Soviet Union, Yugoslavia dan
negara-negara lain di Eropah Timur mengamalkan demokrasi.
Hasilnya ialah perpecahan dan rusuhan, 'penghapusan etnik'
dan keganasan lain. Semua ini melemah dan menghancurkan
kuasa-kuasa yang dahulu menjadi musuh mereka. Mereka
membiarkan sahaja malapetaka, hasil daripada percubaan
mengamal demokrasi, terus melarat tanpa memberi apa-apa
pertolongan.
12. Kita mengamalkan demokrasi dengan memberi hak kepada
rakyat memilih wakil mereka secara bebas. Inilah asas
demokrasi yang terpenting. Kebebasan yang keterlaluan
bukanlah demokrasi tetapi adalah anarki, keadaan tanpa
peraturan-peraturan dan undang-undang. Segala kebebasan
perlu ada hadnya. Ini adalah kerana kita tidak mahu
kebebasan satu pihak menjadi tekanan kepada pihak yang lain.
Kebebasan yang keterlaluan tetap akan mengancam masyarakat.
Jika tidak ada sekatan terhadap politik perkauman umpamanya,
hari ini ketegangan dan rusuhan kaum pasti akan berlaku dan
ini sudah tentu akan menjejaskan kestabilan dan kemajuan
negara.
13. Mereka yang mengecam kita kononnya kerana tidak cukup
demokratik, sebenarnya berniat supaya kita akan menjadi
seperti negara-negara Soviet dan Yugoslavia yang sekarang
menghadapi rusuhan kaum dan tidak stabil. Dalam keadaan ini
mereka tidak dapat bersaing dengan negara-negara Barat.
Sementara Barat mendesak supaya negara-negara Soviet menjadi
demokratik, mereka tidak pula sanggup menolong walau
sedikitpun apabila rusuhan berlaku dan ekonomi negara-negara
tersebut hancur akibat mencuba sistem demokrasi. Rakyat
Malaysia janganlah mudah terpedaya dengan saranan pihak
asing ini. Mereka hanya ingin kita terus mundur dan tidak
dapat bersaing dengan mereka. Mereka hanya ingin berkata
kita tidak mampu merdeka dan mentadbir diri sendiri. Mereka
ingin melihat kita lebih mundur dari masa kita dijajah oleh
mereka.
14. Hari Kebangsaan adalah satu hari bagi kita mengenang
kembali sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
Generasi muda terutamanya perlu mengetahui sejarah
perjuangan ini supaya mereka tidak lupa akan pentingnya
memelihara dan menghargai kemerdekaan ini. Ini adalah
kerana kalau kita tidak berhati-hati, imperialisma dalam
bentuk yang halus melalui tekanan ekonomi, pengaruh budaya
dan sebagainya, boleh kembali semula. Melalui sambutan Hari
Kebangsaan ini juga, diharapkan rakyat dapat meninjau
kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh negara, dan dengan
itu akan lebih menghargai usaha-usaha membangunkan negara
sejak merdeka. Janganlah kita `take for granted' kejayaan-
kejayaan dan pencapaian-pencapaian kita.
15. Sempena menyambut Hari Kebangsaan ini, marilah kita
semua bersatupadu serta meningkatkan keazaman kita untuk
menjayakan wawasan negara. Insya-Allah, jika kita semua
berusaha bersungguh-sungguh dan mengetahui matlamat yang
hendak ditujui oleh negara, maruah bangsa dan kedaulatan
negara akan sentiasa terpelihara.
|