Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOTA SAMARAHAN, SARAWAK
Tarikh/Date : 31/08/93
Tajuk/Title : UPACARA MELETAKKAN BATU ASAS
UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS)
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
dan staf akademi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kerana
menjemput saya untuk melakukan upacara rasmi meletakkan batu
asas kampus tetap UNIMAS di Kota Samarahan pada hari ini.
2. Kewujudan UNIMAS menandakan kelahiran sebuah institusi
pelajaran tinggi yang baru, iaitu universiti yang kelapan
bagi Malaysia, dan yang pertama tertubuh di Sarawak atau
Sabah. Kelahiran UNIMAS adalah hasil perjuangan pemimpin
dan cendekiawan tempatan yang mahu melihat sejarah
pendidikan negeri ini tercatat dengan kewujudan sebuah
universiti. Kelahiran UNIMAS mencerminkan kesepaduan sistem
pendidikan negara yang berasaskan pembinaan satu Bangsa
Malaysia.
3. Membangunkan sesebuah universiti bukanlah satu perkara
yang mudah. Sebaliknya, mewujudkan serta menyelenggarakan
sesebuah universiti memakan perbelanjaan yang amat besar.
Dalam Rancangan Malaysia Kelima, Kerajaan Persekutuan telah
membelanjakan sebanyak RM1.7 bilion bagi pendidikan tinggi
dan dalam Rancangan Malaysia Keenam, sebanyak RM2.8 bilion
dijangka dibelanjakan.
4. Memandangkan perbelanjaan yang begitu besar yang
diperuntukkan kepada pendidikan tinggi, soal yang sering
ditimbulkan ialah kenapakah Kerajaan sanggup membelanjakan
wang yang begitu banyak yang memberi manfaat secara langsung
hanya kepada sebilangan yang kecil sahaja daripada rakyat
negara ini? Apakah penting Kerajaan membelanjakan begitu
besar, khususnya bagi pendidikan tinggi mereka ini?
Sepertimana kita sedia maklum, universiti-universiti di
kebanyakan negara lain dimiliki oleh pihak swasta yang
biasanya mengenakan yuran yang tinggi kepada penuntut.
Tetapi di Malaysia beban kos membiayai pendidikan tinggi
ditanggung hampir kesemuanya oleh Kerajaan. Selain daripada
belanja pengurusan universiti, Kerajaan juga memberi
biasiswa kepada ramai penuntut. Mereka yang membayar yuran
sendiri pun tidak membiayai belanja sepenuhnya. Kerajaan
masih memberi subsidi kepada mereka.
5. Justeru itu mereka yang dapat ke universiti, terutama
yang mendapat biasiswa harus menganggap diri mereka sebagai
rakyat yang beruntung dan bernasib baik berbanding dengan
rakyat lain yang tidak berpeluang ke universiti. Mereka
harus berasa terhutang budi bukan sahaja kepada Kerajaan
tetapi juga kepada masyarakat. Jika mereka sedar dan
menghargai pengorbanan masyarakat untuk mereka mendapat
pelajaran, maka tentulah mereka akan menggunakan masa di
universiti dengan sebaik-baiknya untuk belajar. Tidak
berbuat demikian bermakna membazirkan wang rakyat yang boleh
digunakan untuk maksud lain. Sebaliknya ijazah yang akan
didapati adalah untuk kegunaan diri sendiri. Melalui
kelulusan universiti, penuntut akan berpeluang mendapat
pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan mereka yang
tidak ke universiti. Sesiapa pun yang insaf akan bersyukur
kerana dapat ke universiti yang mana ini menjamin masa depan
yang lebih cerah.
6. Orang yang insaf tidak akan lupa jasa masyarakat
kepadanya. Sudah tentu dia akan rela membantu membangunkan
masyarakat itu, terutama jika khidmatnya dihargai dengan
upahan yang lumayan. Inilah harapan masyarakat dan harapan
Kerajaan apabila menyediakan peruntukan yang begitu besar
untuk pelajaran tinggi.
7. Penubuhan UNIMAS menunjukkan universiti tidak
semestinya tertumpu di satu-satu kawasan atau negeri sahaja.
Memang benar mengadakan institusi pelajaran tinggi di tempat
yang mempunyai ramai penduduk adalah mudah. Tenaga pengajar
dan lain-lain kemudahan lebih mudah dicari. Tetapi sebuah
universiti berfungsi juga sebagai 'growth centre'. Dengan
sendirinya kawasan di sekeliling akan tumbuh dan maju
semata-mata kerana universiti di tempatkan di situ. Justeru
itu penubuhan UNIMAS di Sarawak akan membawa hasil yang
lebih daripada perkembangan pelajaran sahaja.
8. Dalam konteks ini UNIMAS harus mengambil peluang untuk
mencari cara-cara yang membolehkannya mengeksploitasi sumber
asli negeri ini. UNIMAS harus mengambilkira dan
memanfaatkan kekayaan dan kekuatan rantau ini supaya dapat
dijadikan sumber untuk pengajian dan penyelidikan.
Kekayaan sumber asli dapat dijadikan bahan pengajian dan
penyelidikan. Begitu juga, kepelbagaian budaya yang wujud
di negeri ini adalah punca kekuatan untuk dipelajari dan
diketahui supaya dapat menjadi asas kekuatan negara dalam
menghadapi persaingan 'global' masakini. Kita perlu
mengetahui budaya mereka serta kaitannya dengan kemajuan
yang dicapai. Kekuatan kita daripada segi kepelbagaian
budaya harus dijadikan sandaran kepada pengajian mengenai
budaya negara-negara lain.
9. Dekad 90an telah menonjolkan era yang penuh dengan
saingan yang hebat di pasaran antarabangsa, yakni berikutan
daripada peningkatan kesedaran golongan pengguna tentang
mutu barangan, 'business globalisation', kemunculan
'regional groupings' dan penubuhan pasaran-pasaran baru.
Kita tidak boleh lagi bergantung kepada eksport bahan-bahan
mentah dan komoditi-komoditi utama seperti getah dan kelapa
sawit. Bagi maksud mempertahankan daya saingan kita, adalah
kritikal bagi Malaysia membangunkan sumber tenaga
manusianya. Adalah penting bagi kita untuk membentuk satu
golongan tenaga manusia yang mempunyai kepakaran, mutu dan
'versatility' bagi menyahut keperluan pembangunan
perindustrian negara dengan lebih dinamik. Memang benar
Malaysia telah berjaya mencatat kadar pertumbuhan ekonomi
yang pesat. Walaubagaimanapun kita masih perlu mempergiatkan
lagi usaha kita, terutamanya daripada segi kemampuan
teknologi yang ada sekarang.
10. Satu perkara yang selalu kita tekankan ialah
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Penyelidikan adalah
satu kegiatan akademik. Ia merupakan sumber latihan
akademik dan melaluinya pengajar akan dapat menyampaikan isi
ilmunya. Pengajaran yang bukan berasaskan penyelidikan
terutama tentang aspek masakini boleh jadi kaku, malah akan
menjemukan kalau sudah lapuk bahannya. Ada pensyarah yang
tidak mengulangkaji bahan-bahan pengajarannya dan tiap-tiap
tahun mengulangi bahan yang sama, malah 'kata-kata lucu'
(jokesnya) pun sama juga. Oleh itu, penyelidikan mestilah
sentiasa menjadi satu kegiatan 'integral' bagi universiti.
Bagaimanapun penyelidikan mestilah seiring dengan prioriti
negara. Ia mesti berorientasikan 'mission' dan hasil.
Kerajaan bersedia memperuntukkan beribu-ribu juta ringgit.
Kerajaan juga telah mengadakan satu mekanisme untuk
menangani masalah pembiayaan projek penyelidikan dengan
mewujudkan Intensification of Research on Priority Areas
(IRPA). Tetapi Kerajaan ingin melihat hasilnya. Kita ingin
melihat manfaat daripada segala pelaburan kita, dan tentunya
rakyat Malaysia akan turut berbangga sekiranya ada
penyelidik kita yang menerima hadiah-hadiah besar seperi
Hadiah Nobel dalam bidang yang terkhusus, unik dan kompleks.
Tetapi lebih penting ialah hasil-hasil penyelidikan itu
dapat dikaitkan dan digunakan terus dalam pembangunan
negara. Hasil penyelidikan perlu lebih berfokus kepada
proses pembangunan negara untuk memenuhi keperluan industri
dan masyarakat nasional. Ini tidak semestinya bererti
penyelidikan itu tidak lagi bertaraf antarabangsa. Para
akademik tidak seharusnya mengenepikan keperluan industri
tempatan untuk menghasilkan bahan penyelidikan yang bertaraf
tinggi.
11. Penglibatan dalam penyelidikan mengenai hal-hal
tempatan tidak seharus pula dijadikan alasan melakukan
penyelidikan yang tidak bermutu. Budaya saingan tidak
berakhir di universiti semata-mata. Universiti harus
sentiasa membandingkan dirinya dengan institusi-institusi
yang lain. Universiti harus bersaing, bukan sahaja di
peringkat kebangsaan tetapi di peringkat antarabangsa,
kerana itulah budaya persaingan dan cabaran yang dihadapi
oleh seluruh sektor. Pasaran kita bukan lagi dalam negeri
tetapi di medan antarabangsa. Universitilah yang harus
menyemaikan semangat bersaing di kalangan pelajar-pelajar,
bahkan di kalangan seluruh komuniti kampus dan komuniti
luar.
12. Budaya kecemerlangan hendaklah dijadikan asas dan
amalan sesebuah universiti. Kriteria ganjaran hendaklah
berupa sesuatu yang dapat meningkatkan mutu dan
kecemerlangan universiti. Sungguhpun sistem universiti kita
masih baru jika dibandingkan dengan sistem universiti di
negara maju, tetapi kita harus bertekad untuk meningkatkan
mutu piawaian pendidikan universiti. Oleh itu, universiti
tempatan hendaklah bergerak ke arah menetapkan kualiti
tinggi dalam segala aspek kegiatannya, supaya universiti
kita akan dapat menjadi contoh di rantau ini, dan supaya
kemahiran kita dalam pendidikan tinggi dapat dieksport.
Tidak ada sebab mengapa sistem pendidikan tinggi kita tidak
dapat dijadikan satu industri, sepertimana yang sedang kita
saksikan hari ini, di mana negara-negara asing
berlumba-lumba mengadakan program pendidikan kembar dan
sebagainya dengan negara kita. Mereka sebenarnya
mengeksport kepakaran yang ada kepada kita. Kita tidak
boleh berdiam diri menerimanya sahaja. Kita perlu
berikhtiar untuk memasarkan kepakaran dan kemahiran
pendidikan kepada komuniti antarabangsa.
13. Untuk mencapai objektif-objektif pembangunan negara
amnya, dan matlamat universiti khususnya, universiti
haruslah bekerjasama dengan Kerajaan. Kerajaan sedia
menerima sebarang 'idea' dan hasil penyelidikan yang dapat
membawa keuntungan kepada negara dan rakyat. Yang penting
ialah ahli-ahli akademik perlu lebih peka kepada isu-isu
pembangunan, isu-isi yang relevan dengan keadaan sosial,
ekonomi dan politik negara.
14. Kita di Malaysia tidak mampu bermegah dengan kewujudan
universiti yang bebas daripada keadaan realiti kehidupan.
Universiti tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat dan
ekonominya. Sebaliknya universiti mesti mempunyai hubungan
yang erat dengan masyarakat dan industri. Universiti harus
terlibat dalam proses pembangunan. Ia harus mendekati
industri. Sehubungan ini, universiti hendaklah memberi
tumpuan kepada usaha-usaha mendekatkan dirinya dengan
industri. Kerajaan akan memberi sokongan. Tetapi yang
penting ialah para akademik harus menukar sikap supaya
berusahasama dengan industri. Ini mungkin memerlukan
penukaran norma-norma lazim mengenai hubungan
universiti-industri. Norma-norma yang menjadi penghalang
kepada pembinaan rangkaian hubungan yang baik perlu diubah.
Universiti tidak seharusnya menanti agar industri datang
kepadanya, tetapi sebaliknya, universiti patut menjadi lebih
agresif memasarkan perkhidmatannya kepada industri melalui
perancangan dan pemasaran strategik. Malah bukan sahaja
mencari pasaran dengan industri tetapi juga dengan
masyarakat dan Kerajaan. Universiti harus ke depan
menyampaikan pandangan dan hasil kajian kepada Kerajaan.
Jelas sekali, usahasama yang ikhlas antara universiti dengan
Kerajaan, industri dan masyarakat bukan lagi merupakan satu
opsyen tetapi satu prasyarat yang penting.
15. Dalam konteks hubungan universiti dengan Kerajaan,
Kerajaan tidak ingin mengenakan sekatan-sekatan terhadap
sebarang kegiatan ilmiah yang berupaya meraih manfaat kepada
negara. Kerajaan sanggup memberi pertimbangan kepada
melegakan kedudukan universiti dari segi pengawalan untuk
memberi fleksibiliti kepada universiti menjalankan urusan
pengurusan dengan lebih cekap. Universiti juga harus
meneliti corak pentadbirannya, kaedah membuat keputusan
dalaman, serta isu-isu lain yang boleh meningkatkan lagi
peranannya dalam masyarakat. Universiti tempatan harus
meninjau kembali sistem yang dianuti daripada sistem
universiti di zaman penjajah, supaya pengurusan universiti
lebih 'contemporary' sifatnya, yang membolehkannya bergerak
dengan ciri-ciri yang dihasratkan iaitu bermutu, agresif,
proaktif dan inovatif. Universiti harus mencari jalan
supaya lebih bertangungjawab dan dapat
dipertanggungjawabkan. Budaya inilah yang perlu disemai
dan dipupuk di kalangan komuniti pelajar.
16. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar UNIMAS yang telah
terpilih untuk menerokai satu sistem pendidikan tinggi yang
agak mencabar. Saudara-saudari adalah pelajar perintis
yang akan menentukan arah dan halatuju Universiti ini. Oleh
itu, ambillah peluang keemasan ini untuk menimba sebanyak
ilmu yang mungkin supaya saudara dan saudari boleh
menerapkannya dalam dunia kerja dan sebagai persediaan untuk
kehidupan bermasyarakat. Dunia kerja hari ini bukan lagi
bergantung kepada ilmu teori semata-mata tetapi merupakan
penggemblengan antara ilmu asas dengan pengalaman praktik.
Oleh itu, para pelajar perlu menggunakan masa dengan
sebaiknya supaya kedua-dua aspek ilmu ini dapat diimbangkan.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan upacara
meletakkan batu asas Universiti Malaysia Sarawak, iaitu
UNIMAS.
|