Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 04/11/93
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI
WABARAKATUH
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita sekali
lagi mengadakan Perhimpunan Agung parti kita, UMNO.
2. Saya, bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi UMNO,
mengucapkan selamat datang kepada ketua-ketua dan
wakil-wakil parti-parti komponen Barisan Nasional, para
tetamu, para perwakilan dan pemerhati sekalian ke
Perhimpunan ini. Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi
restu dan petunjuk-Nya kepada kita.
PENCAPAIAN NEGARA
3. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana setelah 36 tahun merdeka, pencapaian negara dalam
semua bidang masih baik. Sementara banyak negara yang telah
merdeka bersama kita gagal mencapai kemajuan yang
diharapkan, bahkan ada yang menjadi lebih buruk keadaan
mereka daripada sebelum merdeka, Malaysia telah maju ke
depan dan bangun dengan pesatnya. Sembilan puluh peratus
daripada pembangunan yang dilihat di Kuala Lumpur dihasilkan
selepas merdeka. Demikian juga di tempat-tempat lain, di
dalam dan di luar bandar.
4. Hari ini negara kita bukan sahaja aman dan stabil
daripada segi politik dan keselamatan, tetapi juga
ekonominya turut berkembang maju. Dengan secara konsisten
kita telah berjaya mencatat pertumbuhan yang tinggi. Bagi
tempoh lima tahun yang lepas kita telah berturut-turut
mencatat kadar pertumbuhan ekonomi purata sebanyak lebih
lapan peratus. Lebih memberangsangkan ialah pertumbuhan
tinggi ini dicapai tanpa inflasi yang tinggi. Pada tahun
ini ekonomi negara dijangka tumbuh pada kadar lebih sedikit
daripada lapan peratus. Kadar pengangguran juga rendah,
iaitu 3.6 peratus. Menurut takrif antarabangsa, negara kita
telah pun mencapai 'full employment' kerana yang masih
menganggur sebenarnya memilih untuk tidak bekerja, dan bukan
kerana tidak ada kerja. Adanya ramai pendatang asing di
negara kita ialah kerana peluang-peluang pekerjaan yang
lebih banyak daripada bilangan penganggur.
EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA YANG KUKUH
5. Kedudukan kewangan negara juga kukuh dan pada hari ini
kita mempunyai simpanan sejumlah kira-kira RM57 ribu juta.
Ini adalah satu jumlah yang terbesar yang pernah dikumpul.
Kita bernasib baik kerana hutang luar negeri kita kecil.
Banyak negara di Amerika Latin dan Afrika tidak dapat
mengembangkan ekonomi mereka kerana terpaksa membayar
pinjaman luar negeri yang besar yang menelan sebahagian
besar daripada hasil mereka. Kita bersyukur kita tidak
bergantung kepada bantuan dan 'hand-outs' dari luar.
Sedikit sebanyak ini memberi kebebasan kepada Malaysia untuk
mengemukakan pandangannya dan bersuara di peringkat
antarabangsa mengenai isu-isu yang kontroversial.
6. Kini taraf hidup rakyat Malaysia adalah jauh
lebih tinggi berbanding dengan sebelum merdeka. Pendapatan
per kapita penduduk negara ini sekarang ialah kira-kira
RM8,350 berbanding dengan RM1,937 pada tahun 1970. Tetapi
jika kita mengambilkira kuasa membeli wang kita atau
mengikut 'Purchasing Power Parity' ianya adalah sekali ganda
lebih tinggi. Ini adalah kerana kita berjaya mengawal harga
dan membendung inflasi.
7. Kita juga kini berjaya meletakkan asas-asas ekonomi
yang lebih kukuh bagi negara. Daripada sebuah negara
pertanian yang bergantung hanya kepada eksport barangan
mentah, kegiatan ekonomi negara kita kini lebih meluas dan
meliputi industri pembuatan yang canggih. Pada hari ini,
sektor pembuatan merupakan kegiatan utama negara dengan
eksport barangan buatan sebanyak 71 peratus daripada jumlah
eksport negara.
8. Pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan telah membolehkan
kita menumpukan perhatian terhadap pembangunan negara.
Hasil pembangunan yang pesat, rakyat Malaysia mempunyai
kemudahan-kemudahan pendidikan, kesihatan dan infrastruktur
yang baik dan kebanyakannya setaraf dengan negara-negara
maju. Tidak ada negara membangun lain yang dapat
membekalkan elektrik dan air hampir ke semua kawasan
luarbandar serta mempunyai rangkaian jalanraya dan
kemudahan-kemudahan lain yang baik.
9. Kita juga telah berjaya mengurangkan kemiskinan di
kalangan rakyat, terutama orang Melayu dan Bumiputera.
Kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan daripada 49.3
peratus dalam tahun 1970 kepada 13.6 peratus tahun lalu.
Kerajaan akan terus memberi perhatian khusus kepada
usaha-usaha mengurangkan lagi kadar kemiskinan ini.
Insya-Allah kemiskinan secara mutlak akan kita hapuskan
walaupun sudah tentu tidak mungkin kemiskinan secara
relatif.
PENTADBIRAN YANG CEKAP
10. Kita juga bersyukur kerana mempunyai jentera
pentadbiran yang boleh dibanggakan. Ia bukan sahaja cekap,
berdisiplin dan produktif, tetapi juga bermutu tinggi dan
setanding dengan jentera pentadbiran di negara-negara maju.
Ini telah membolehkan negara kita melaksanakan proses
pembangunan dengan lebih licin dan berkesan.
11. Kita telah memperkenalkan banyak perubahan dalam sistem
pentadbiran. Jika dahulu pentadbir kita kurang bekerjasama
dengan sektor swasta, hari ini kita jadikan sektor awam dan
sektor swasta sebagai satu pasukan yang bekerjasama untuk
menjayakan pembangunan negara. Perkara-perkara yang
difikirkan lebih sesuai diuruskan oleh sektor swasta
dipindahkan kepada sektor swasta melalui proses penswastaan.
12. Bagi para pentadbir pula Kerajaan telah menggubal
sistem saraan yang memberi penghargaan kepada prestasi
pegawai dan kakitangannya. Mereka yang hanya 'menumpang'
tidak akan mendapat layanan yang sama dengan mereka yang
betul-betul berusaha dan produktif. Kenaikan pangkat dan
upahan akan diasaskan kepada sumbangan terhadap prestasi
pentadbiran. Dengan cara ini kita percaya produktiviti dan
kualiti akan meningkat.
13. Sudah tentu kakitangan Kerajaan yang tidak mendapat
manfaat daripada sistem ini akan kecewa. Tetapi rakyat akan
lebih kecewa jika mereka tidak mendapat khidmat yang mereka
berhak mendapat.
14. Sistem Saraan Baru adalah satu pendekatan yang baru dan
unik. Masa akan membuktikan sama ada sistem ini baik atau
tidak. Membuat ramalan tidak berguna. Yang diperlukan
ialah ujian secara praktikal.
15. Pencapaian semua kemajuan yang cemerlang ini menjadi
lebih 'significant' memandangkan Malaysia adalah
sebuah negara
berbilang kaum, suatu keadaan yang biasanya menyulitkan
pentadbiran di kebanyakan negara majmuk.
KE ARAH NEGARA MAJU
16. Sepertimana yang kita sedia maklum, kita sedang
menyusun langkah ke arah menjadi sebuah negara maju. Kita
mahu mencapai taraf negara maju kerana kita mahu menentukan
Malaysia kekal menjadi negara yang benar-benar bebas.
Dengan mencapai taraf negara maju, kita percaya kita tidak
akan mudah ditekan lagi oleh kuasa-kuasa dunia dalam bidang
politik, ekonomi atau sosial. Kita juga mahu rakyat
Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih tinggi serta cekap
dan berkemampuan dalam semua bidang terutama dalam
penggunaan segala teknologi yang canggih untuk memajukan
negara.
PENCAPAIAN MELAYU DAN BUMIPUTERA
17. Kita juga tidak boleh menafikan bahawa masyarakat
Melayu dan Bumiputera pada keseluruhannya telah mencapai
banyak kejayaan dalam berbagai-bagai bidang.
18. Kalau di zaman penjajahan Inggeris dahulu, anak Melayu
dan Bumiputera hanya menjadi petani dan pegawai rendah
kerajaan sahaja, kini nasib kita telah banyak berubah.
Sekarang kita telah pun mempunyai anak Melayu dan Bumiputera
sebagai ketua jabatan, saintis, `actuarist', ahli fizik
nuklear, pakar bedah dan pakar dalam berbagai-bagai jurusan
perubatan, juruterbang, ahli bank dan ahli korporat yang
terkemuka. Bahkan sudah ada yang mengurus syarikat gergasi
dengan aset bernilai beribu-ribu juta ringgit dan berani
membeli syarikat-syarikat besar dan terkemuka di pasaran
terbuka serta membuat `merger' dan 'acquisition' yang
canggih dan kompleks.
19. Lebih memberangsangkan ialah kebanyakan anak
Melayu dan Bumiputera yang berjaya ini berasal dari kawasan
luar bandar dan daripada keluarga petani, nelayan dan
peneroka.
20. Kalau dahulu amat sukar untuk melihat orang Melayu dan
Bumiputera berniaga di pekan-pekan dan bandar-bandar besar,
hari ini ramai yang boleh didapati di tempat-tempat ini.
Bahkan sudah ada banyak bangunan besar di bandar-bandar yang
dimiliki oleh orang Melayu dan Bumiputera sedangkan dahulu
rumah kedai berderet dua tingkat pun tidak dimiliki oleh
mereka.
21. Inilah antara kejayaan yang telah dicapai oleh orang
Melayu dan Bumiputera. Kejayaan ini membuktikan bahawa
orang Melayu dan Bumiputera mempunyai kemampuan dan bakat
untuk maju dan berjaya dalam apa juga bidang jika mereka
betul-betul berminat serta diberi peluang dan latihan yang
secukupnya.
22. Kejayaan ini juga adalah satu kejayaan UMNO yang tidak
boleh dinafikan oleh sesiapa.
23. Anak Melayu dan Bumiputera yang kini berjaya sebagai
saintis, ahli korporat, para ilmuwan dan sebagainya adalah
kerana perjuangan UMNO dan Kerajaan pimpinan UMNO.
Janganlah ada pihak yang berkata bahawa mana-mana kerajaan
pun akan berbuat demikian kerana ini memanglah tanggungjawab
kerajaan. Sebenarnya banyak kerajaan di dunia ini yang
bukan sahaja tidak menolong menjayakan kelompok-kelompok
masyarakat mereka yang tertinggal, tetapi juga tidak berjaya
membangunkan negara mereka. Dan ini termasuk kerajaan
negara-negara yang sudah maju. Kerajaan yang berjaya
mengatasi kebanyakan masalah negara dan rakyat sebenarnya
tidak banyak.
24. Kita bersyukur kerana majoriti anak Melayu dan
Bumiputera yang berjaya tidak lupa mengenang budi. Yang
lupa sedikit sahaja tetapi seperti biasa mereka menarik
perhatian.
25. Malangnya bukan semua orang Melayu dan
Bumiputera menyambut baik kejayaan ini. Apabila orang asing
mendakwa bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Penswastaan
hanya menguntungkan sebilangan kecil elit Melayu yang kaya,
dakwaan ini disambut oleh parti lawan bukan Bumiputera serta
parti sosialis bukan Melayu. Dakwaan ini juga disambut oleh
sebilangan daripada orang Melayu dan Bumiputera yang
terpelajar.
26. Sebenarnya mereka sendiri, yang mempunyai intelek dan
tempat sehingga teguran mereka menarik perhatian orang,
adalah golongan yang turut mendapat nikmat daripada DEB.
Jika tidak kerana DEB, mereka tidak akan mendapat pelajaran
dan kedudukan yang tinggi. Merekalah sebenarnya elit yang
mendapat nikmat daripada DEB tetapi tidak mengenang budi.
Jika mereka berpendapat DEB hanya menguntungkan segelintir
orang Melayu, merekalah orang Melayu itu.
27. Sebenarnya DEB dan Penswastaan menguntungkan semua
lapisan rakyat. Bantuan dan peluang pelajaran di semua
peringkat, bantuan pertanian, kemudahan bagi penduduk luar
bandar, program pembasmian kemiskinan, pengagihan
saham-saham syarikat-syarikat gergasi melalui Permodalan
Nasional Berhad dan badan-badan amanah lain, penjualan saham
syarikat yang diswastakan kepada pekerja dan Bumiputera --
semua ini berdasarkan kepada DEB dan Penswastaan. Tidak ada
siapa yang boleh mendakwa ia tidak mendapat apa-apa nikmat
pun daripada DEB atau Penswastaan.
28. Memang benar ada beberapa syarikat besar milik
Bumiputera yang berjaya menender dan mengambilalih syarikat
atau jabatan Kerajaan yang diswastakan. Tetapi apakah dapat
Kerajaan memindahkan Jabatan atau syarikat Kerajaan yang
besar kepada orang yang tidak mempunyai modal dan pengalaman
dalam bidang perniagaan? Memindahkan Jabatan kepada
pekerja-pekerja pun adalah tidak mungkin. Tetapi kerana ada
orang yang bermodal dan berpengalaman dalam bidang
pengurusan yang sanggup membeli sebahagian daripada badan
yang diswastakan, maka pekerja juga dapat menumpang membeli
saham yang dikhaskan untuk mereka. Dan apabila disenaraikan
dalam Bursa Saham Kuala Lumpur, orang ramai juga boleh
membeli saham syarikat tersebut. Jika mereka menyimpan
saham-saham mereka, mereka akan menikmati kenaikan nilainya
pula.
29. Jika ternampak seolah-olah orang yang mendapat peluang-
peluang ini terdiri daripada orang yang rapat dengan
pemimpin-pemimpin Kerajaan, ianya adalah kerana Kerajaan
ini sengaja mendekati peniaga-peniaga dan
pengusaha-pengusaha yang berbakat. Mereka boleh menolong
menjayakan rancangan-rancangan Kerajaan. Tetapi ada lebih
ramai lagi mereka yang rapat dengan Menteri- Menteri
Kerajaan yang tidak mendapat apa-apa. Kriteria yang
digunakan ialah kebolehan, bukan kerana keluarga atau kawan.
30. Untuk menimbulkan kemarahan orang ramai, cara yang
mudah ialah dengan mengutuk orang yang berada. Ideologi
sosialisme dan komunisme diasaskan antara lain kepada
kebencian orang yang tidak berada kepada yang berada.
Tetapi kita tahu sekarang bahawa ideologi-ideologi ini hanya
berjaya menjadikan semua anggota masyarakat lebih miskin dan
bukannya lebih kaya. Selepas 70 tahun, pengamal ideologi
komunisme sedar bahawa komunisme dan sosialisme yang
diasaskan kepada kebencian terhadap mereka yang berada,
tidak menguntungkan sesiapa.
31. Dalam mana juga masyarakat sudah tentu ada yang miskin
dan ada yang kaya. Kita boleh mengadakan masyarakat yang
semua anggotanya miskin. Tetapi kita tidak mungkin
mengadakan satu masyarakat yang semuanya kaya. Jikalau
semua orang kaya, semua khidmat dan barangan akan menjadi
mahal kerana dibekalkan oleh orang yang kaya. Kerana
semuanya mahal, semua anggota masyarakat tidak dapat membeli
banyak barangan atau perkhidmatan. Ini bermakna daripada
segi kuasa membeli, semua mereka adalah miskin.
32. Sebaliknya dalam masyarakat di mana ada yang kaya, yang
miskin boleh menumpang. Yang miskin boleh mendapat
pekerjaan yang diwujudkan oleh yang kaya. Selain daripada
itu, orang kaya dikenakan cukai yang tinggi dan wang cukai
ini digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan
kemudahan-kemudahan yang boleh dinikmati oleh yang miskin
juga.
33. Ini bukanlah kali pertama saya menghuraikan masalah
miskin dan kaya ini. Saya terpaksa menghuraikannya sekali
lagi kerana ada orang Melayu yang sanggup mengecam
dasar-dasar Kerajaan yang dibentuk untuk menolong orang
Melayu, semata-mata kerana mereka mudah terpengaruh dengan
jolokan perasaan iri hati dan benci kepada orang yang lebih
berada di kalangan mereka.
34. Bagi orang yang menggubal dasar-dasar dan rancangan-
rancangan untuk menolong orang Melayu dan Bumiputera, tidak
ada yang lebih mengecewakan daripada mendengar orang Melayu
sendiri mengecam dasar-dasar dan usaha-usaha untuk menolong
mereka. Mereka yang mengecam ini nampaknya tidak suka
melihat orang Melayu miskin, tetapi mereka juga tidak suka
melihat orang Melayu maju dan berjaya. Tetapi mereka
sendiri tidak ada cadangan untuk membuat sesuatu demi
kemajuan orang Melayu. Mereka sanggup menerima nikmat untuk
diri mereka sendiri tanpa berterima kasih. Sesungguhnya
mereka ini tidak bersyukur. Kita faham kenapa orang asing
tidak suka melihat orang Melayu dan dasar-dasar yang
dibentuk oleh Kerajaan pimpinan orang Melayu berjaya. Kita
juga faham jika bukan Bumiputera daripada parti lawan tidak
suka. Tetapi kita kecewa apabila ada orang Melayu yang
mendapat nikmat tidak suka melihat kejayaan kaum bangsa
mereka.
PEKERJA DAN KEMAJUAN NEGARA
35. Dalam masyarakat yang bertamadun, undang-undang dan
aturan-peraturan diadakan untuk menentukan hidup
bermasyarakat menjadi sempurna, selamat dan aman. Sistem
kehakiman diwujudkan untuk mencari keadilan dan
menyelesaikan sebarang pertikaian dalam masyarakat secara
teratur dengan tidak terlalu merugikan pihak- pihak yang
bersengketa.
36. Hanya berkenaan pertikaian di antara majikan
dengan pekerja sahaja yang pendekatan ini tidak digunakan.
Sebaliknya pendekatan yang amat primitif digunakan -- iaitu
'ujian kekuatan' melalui mogok dan tindakan-tindakan
perusahaan lain. Siapa yang kuat, dia akan menang.
37. Cara ini amat merugikan kerana keputusan bukan
berasaskan kepada keadilan dan kemampuan melayan tuntutan
tetapi kepada keperluan menghentikan kerosakan dan kerugian
akibat 'ujian kekuatan'. Pendek kata upahan diberi bukan
kerana kerja yang dibuat tetapi kerana keupayaan merosak.
Dengan itu kos meningkat dan dayasaingan menjadi kurang.
Kadangkala perniagaan terpaksa ditutup.
38. Jika dikaji dengan mendalam, salah satu faktor utama
yang menyebabkan negara-negara maju mengalami kemelesetan
ekonomi sekarang ialah kerana kos pengeluaran barangan
mereka begitu tinggi sehingga keluaran mereka tidak dapat
bersaing di pasaran. Namun pekerja dan kesatuan mereka
masih terus menggunakan 'ujian kekuatan' iaitu mogok dan
tindakan-tindakan perusahaan lain untuk menambah upahan.
Dengan itu ekonomi mereka terus meleset walaupun
faktor-faktor lain seperti modal, teknologi dan pasaran
dalam negeri memberi 'comparative advantage' kepada mereka.
39. Selagi kos pengeluaran kita rendah, kita akan dapat
bersaing, membangun dan terus maju. Tetapi jika kita turut
menggunakan sistem 'ujian kekuatan' bagi menyelesaikan
pertikaian industri maka sudah tentu kita juga akan turut
mengalami kenaikan kos dan kehilangan dayasaing. Kesan
kepada kita adalah lebih teruk kerana kita tidak mempunyai
teknologi sendiri, kita kekurangan modal dan pasaran dalam
negeri kita kecil.
40. Sebenarnya cara Barat bukanlah selalunya betul.
Janganlah kita telan bulat-bulat semua saranan mereka.
Penyelesaian pertikaian industri melalui 'ujian kekuatan'
adalah cara primitif. Ia adalah satu manifestasi kecetekan
tamadun Barat dan
kita tidak perlu menerima cara ini. Sebaliknya kita harus
menggunakan cara kita sendiri.
41. Kita tidak dapat menafikan bahawa ada majikan yang
tidak berlaku adil terhadap pekerja. Jika ini berlaku,
pihak yang terlibat, iaitu pekerja dan majikan, tidak boleh
menjadi pengadil. Dalam pertikaian di antara dua pihak,
hanya pihak ketiga yang boleh mengadili dengan saksama.
Kenapakah kita perlu ada 'ujian kekuatan' atau 'test of
strength'? Apakah akan terjadi kepada sesuatu masyarakat
jika semua masalah antara anggota-anggota masyarakat
diselesaikan melalui 'ujian kekuatan'? Apakah masyarakat
akan aman dan maju? Sama-samalah kita fikirkan perkara ini.
42. Hasrat Kerajaan ialah supaya semua pekerja di Malaysia
mendapat upahan yang tinggi. Negara maju tidak bermakna
kepada pekerja jika pendapatan mereka terus rendah.
Bagaimanapun jumlah pendapatan bukanlah perkara utama.
Sebabnya ialah pendapatan boleh dinaikkan dengan menurunkan
nilai matawang. Dan nilai matawang tetap turun apabila kos
naik dan inflasi meningkat. Demikian juga jika kita
membayar gaji dengan matawang seperti lira Itali umpamanya,
kita akan mendapat gaji yang jumlahnya tinggi tetapi
barangan yang kita boleh beli dengan matawang itu tidak
bertambah. Begitu juga jika kita turunkan nilai ringgit
supaya ia hanya bernilai lima puluh sen, kita boleh
menaikkan gaji sekali ganda, tetapi kuasa membeli kita tidak
bertambah. Kita tidak menjadi lebih kaya hanya kerana duit
kita lebih banyak.
43. Kerajaan berpendapat kita boleh menaikkan upah pekerja
secara bermakna, iaitu tanpa menjatuhkan nilai ringgit atau
menaikkan kos sara hidup. Untuk ini, kita perlukan
kerjasama masyarakat pekerja untuk membendung inflasi.
Kerajaan Barisan Nasional akan berpegang kepada
janji-janjinya melainkan sesuatu yang di luar dugaan
berlaku. Masyarakat pekerja patut sedar bahawa kemajuan
negara sekarang ini dapat dinikmati secara langsung oleh
para pekerja tanpa tindakan perusahaan. Oleh itu percayalah
kepada janji-janji Kerajaan Barisan Nasional. Jika Kerajaan
tidak berjanji pun, Kerajaan tetap akan melakukannya.
Kerajaan ini dipilih oleh para pekerja juga. Tidak mungkin
berjuta-juta undi yang Barisan Nasional perolehi, semuanya
datang daripada tauke-tauke. Sebab itulah Kerajaan akan
berusaha untuk masyarakat pekerja sepertimana ia berusaha
untuk anggota masyarakat yang lain. Semua lapisan
masyarakat akan mendapat nikmat yang berpatutan jika
Malaysia terus maju di bawah Barisan Nasional.
PERUBAHAN DEMI KEJAYAAN
44. Dunia kini telah banyak berubah. Perang Dingin telah
berakhir. Dunia yang dahulu dwi-polar sekarang menjadi uni-
polar. Komunisme yang pada satu ketika merupakan sistem
alternatif kepada sistem demokrasi liberal sudah runtuh.
45. Seperkara yang menarik ialah negara yang maju boleh
merosot dan yang dahulu tertinggal boleh maju. Anggapan
bahawa negara yang dahulu ketinggalan tidak mungkin mengejar
negara maju jelas tidak benar. Jika formula yang sesuai dan
tepat digunakan dan disertai dengan usaha yang gigih,
insya-Allah, negara membangun boleh setanding dengan negara
maju. Ini telah dibuktikan oleh Jepun, Korea Selatan dan
Taiwan. Ada kemungkinan negara China akan menjadi salah
satu daripada negara yang termaju dan benar- benar menjadi
satu kuasa besar.
46. Hari ini dunia akui bahawa ekonomi yang dinamik
terdapat kebanyakannya di Asia Timur, termasuk Asia
Tenggara. Malaysia juga sudah termasuk dalam golongan
negara yang dinamik. Demikianlah pencapaian Malaysia
sehinggakan jumlah saham yang diniagakan di Bursa Saham
Kuala Lumpur melebihi jumlah saham yang diniagakan di
pasaran-pasaran saham New York atau Tokyo.
47. Bagi Malaysia menjadi sebuah negara maju bukanlah
perkara yang mustahil lagi. Wawasan 2020 bukan satu impian
atau satu angan-angan Mat Jenin. Wawasan ini boleh menjadi
kenyataan. Tetapi ia tetap tidak akan datang bergolek,
seperti juga kejayaan yang kita capai sekarang ini bukan
secara kebetulan. Kejayaan yang telah kita capai adalah
hasil rancangan dan tindakan yang mengambilkira banyak
faktor. Untuk mencapai sesuatu, berbagai- bagai usaha perlu
dibuat dan dibuat dengan cekap oleh Kerajaan dan rakyat.
Pembetulan perlu dilakukan sepanjang masa apabila sahaja
kesilapan atau kelemahan dikenalpasti.
BUDAYA BANGSA DAN MELAYU BARU
48. Sesuatu bangsa tidak menjadi maju atau mundur hanya
kerana keadaan semulajadi. Maju mundurnya sesuatu bangsa
lebih bergantung kepada nilai hidup yang dipegang dan
diamalkan oleh bangsa itu. Sebab itulah bangsa Arab
jahiliah dengan kepercayaan yang kolot tidak maju. Tetapi
apabila mereka menerima ajaran Islam dan menukar nilai-nilai
hidup mereka, mereka berjaya sehingga dapat menakluk separuh
dunia dan mendirikan satu empayar dan tamadun yang
cemerlang.
49. Jika sehingga beberapa tahun yang lalu orang Melayu dan
Bumiputera agak mundur berbanding dengan kaum-kaum lain di
Malaysia, ini bukanlah kerana 'nature' atau 'character'
mereka. Apabila sahaja mereka mengubah nilai-nilai budaya
mereka, prestasi mereka meningkat.
50. Sudah tentu bentuk budaya Melayu baru yang perlu
diwujudkan ini hendaklah sesuai dengan kemajuan. Jika kita
ingin mengejar dan mendahului orang lain, kita tidak boleh
terus mengamalkan pendekatan yang lama yang telah
menyebabkan kita ketinggalan. Walaupun kita percaya setiap
orang mempunyai had atau 'limit' kebolehannya, tetapi tanpa
usaha bersungguh-sungguh kita tidak mungkin tahu 'limit'
kita. Lagipun orang yang tidak berkebolehan dalam sesuatu
jurusan, mungkin mempunyai bakat yang tinggi dalam
jurusan-jurusan lain. Percubaan yang bersungguh-sungguh
perlu dibuat dahulu sebelum kita berpuas hati bahawa kita
tidak mempunyai bakat dalam sesuatu bidang. Jika kita
betul-betul berusaha, insya-Allah, kita akan dapat
mengenalpasti mereka yang mampu menguasai segala ilmu dan
kecekapan yang akan menjayakan persaingan kita dengan
bangsa-bangsa lain.
51. Sebenarnya kebolehan kita adalah sama dengan kebolehan
orang lain. Kemajuan yang telah kita capai semenjak merdeka
sepatutnya meyakinkan kita akan potensi bangsa kita. Dalam
apa juga usaha, janganlah kita mudah berputus asa atau 'give
up'. Kita juga janganlah mudah berpuashati dengan prestasi
kita. Kita harus mengejar kecemerlangan sebagai sebahagian
daripada budaya bangsa.
PENDIDIKAN DAN ILMU
52. Pendidikan dan penguasaan berbagai-bagai ilmu adalah
penting untuk kemajuan kita. Jika kita akui ini, kita perlu
menentukan 'priority' kita. Jika untuk menguasai ilmu, kita
perlu menguasai bahasa-bahasa lain, kita patut
bersungguh-sungguh menguasai bahasa berkenaan. Adalah lebih
cepat menguasai bahasa asing untuk mengejar pengetahuan
daripada menunggu ilmu tersebut diterjemahkan kepada bahasa
kita. Proses penterjemahan memakan masa kerana ia
memerlukan orang yang fasih dalam bahasa asing dan bahasa
kebangsaan serta pakar dalam bidang ilmu yang hendak
dialihbahasakan. Kita tidak mempunyai ramai orang yang
seperti ini. Yang adapun terlalu sibuk dengan kerja-kerja
lain untuk mengalihbahasa dan mengarang buku. Kita juga
tidak mempunyai masa memandangkan matlamat kita tidak statik
tetapi sentiasa bergerak ke hadapan.
53. Bahasa bangsa yang tidak maju tidak akan dihormati.
Sebaliknya bahasa bangsa yang maju dan berpengetahuan tinggi
bukan sahaja akan dihormati tetapi juga akan dipelajari oleh
orang lain. Mereka yang sayang kepada bahasa kebangsaan
mesti berusaha menjayakan bangsanya dengan secepat mungkin
dahulu. Dengan itu bahasanya dengan sendiri akan
berkembang maju dan
dihormati. Mereka yang tidak berusaha menjayakan bangsa,
sebenarnya tidak sayang kepada bahasa mereka.
54. Mungkin ada yang berpendapat apalah gunanya kita
mengejar segala kemajuan ini. Berpuashati sahajalah dengan
pencapaian kita setakat ini. Malangnya jika kita tidak maju
kita akan ketinggalan, dijajah, ditindas dan dihina.
Sebahagian besar daripada penduduk negara ini terdiri
daripada orang Islam. Umat Islam di dunia sekarang ini
dibunuh, diseksa dan dihalau dari negeri sendiri kerana
mereka lemah, tidak maju, selalu mengemis serta bergantung
kepada orang lain. Apakah kita orang Melayu ingin dijajah
semula? Apakah kita ingin nasib orang Islam lain juga
menimpa kita? Tidak menggunakan peluang yang wujud di
negara ini bermakna tidak bersyukur dengan pemberian Allah
Subhanahu wa Ta'ala kepada kita.
55. Tetapi mengejar kemajuan ada bahayanya. Kita mungkin
terlalu taksub dengannya sehingga lupakan diri. Inilah yang
telah berlaku kepada beberapa bangsa yang maju. Untuk
mengelak daripada berlakunya perkara ini, pembangunan
rohaniah dan pelajaran agama mesti mengimbangi segala usaha
ke arah kemajuan 'material' dan intelektual.
56. Inilah masyarakat Melayu baru dan Bumiputera baru yang
hendak kita wujudkan. Melayu baru ini akan serba boleh
dalam berbagai-bagai bidang, lebih luas pandangannya, dan
lebih dihormati. Tetapi mereka hendaklah kekal dengan
nilai-nilai keagamaan dan kerohanian mereka. Demikian juga
Bumiputera lain dan rakyat Malaysia yang lain.
ISLAM - SUMBANGAN UMNO
57. Sebagai sebuah negara Islam, kita sentiasa peka dan
mengambil berat mengenai perkara-perkara yang menyentuh
agama Islam dan umat Islam di mana-mana sahaja mereka
berada.
58. Kita amat sedih bahawa imej Islam pada hari
ini amat rendah dan selalunya dikaitkan dengan kemunduran
dan kegagalan dalam hampir semua bidang. Orang Islam dan
negara-negara Islam mudah diperalat dan dipermainkan oleh
kuasa-kuasa asing. Kekayaan yang tidak terhingga yang
dikurniakan kepada negara-negara Islam tidak menguntungkan
mereka bahkan telah menyebabkan mereka berperang sesama
sendiri dan menjadi medan ujian bagi senjata Barat. Sedikit
sebanyak sikap 'bias' dan prejudis bukan Islam terhadap
Islam adalah disebabkan oleh umat Islam sendiri.
Tindak-tanduk yang radikal dan ekstrim oleh sebilangan kecil
umat Islam telah menyebabkan dunia bukan Islam beranggapan
bahawa itulah 'way of life' atau cara hidup Islam yang
dilaungkan, sedangkan kita tahu bahawa itu adalah satu
'aberration' atau satu penyelewengan yang terkeluar daripada
amalan normal Islam.
59. Kita juga sedih dengan nasib saudara Islam kita di
Bosnia yang setiap hari dibedil, dibunuh dan dihalau dari
tempat tinggal mereka. Demikian juga dengan nasib orang
Islam di Somalia yang menghadapi kelaparan dan kematian.
Lebih menyedihkan kita ialah umat Islam tidak dapat berbuat
apa-apa. Kita mengharap dan bergantung kepada orang lain
untuk menyelesaikan masalah umat Islam.
60. Ini ialah kerana pada hari ini tidak ada satu pun kuasa
besar Islam yang boleh bertindak dengan berkesan atau dapat
mempengaruhi badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu untuk bertindak. Ia juga disebabkan
oleh tidak adanya perpaduan dan persaudaraan antara
negara-negara Islam.
61. Dengan berakhirnya Perang Dingin dan dengan keruntuhan
sistem komunisme, besar kemungkinan Barat akan mengalih
perhatiannya kepada Islam. Sudah ada tanda-tanda bahawa
Barat kini menganggap Islam sebagai satu ancaman kepada
mereka. Ada kemungkinan kita akan menjadi sasaran serangan
Barat secara langsung. Dengan kelemahan kita sekarang,
serangan oleh Barat boleh menghancurkan kita sama sekali.
62. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara Islam
yang kecil dan lemah, kita merasakan adalah tanggungjawab
kita untuk menyuarakan pandangan kita terhadap
ketidak-adilan yang berlaku ke atas umat Islam. Itulah
sebabnya mengenai Bosnia dan perkara-perkara lain, suara
kita lantang. Kita juga sedaya upaya menyertai usaha-usaha
damai antarabangsa di Somalia dan Bosnia. Dalam hal ini,
kita telah menyumbang anggota keselamatan kita untuk
menyertai pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
63. Di samping itu, kita juga berusaha untuk meyakinkan
dunia bahawa sebenarnya Islam adalah satu agama yang
progresif dan tidak memusuhi sesiapa. Untuk meningkatkan
kefahaman orang bukan Islam terhadap Islam, kita telah
menubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan
Institut Pemikiran dan Tamadun Islam atau Institute of
Islamic Thought and Civilisation (ISTAC). Kita juga telah
menubuhkan Bank Islam dan Syarikat Insurans Islam untuk
membuktikan kepada dunia bahawa sistem Islam adalah
munasabah dan mampu menampung keperluan masyarakat manusia.
Kita juga telah menubuhkan sebuah universiti Islam
antarabangsa untuk menunjukkan bahawa sistem pendidikan
tinggi Islam boleh berjalan seiring dengan sistem pendidikan
ilmu-ilmu yang moden dan canggih.
64. Atas kesedaran untuk membetulkan persepsi dunia bukan
Islam bahawa negara Islam tidak semestinya mundur dan lemah,
kita telah menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Kita ingin
mengembalikan, sekurang- kurangnya di Malaysia, zaman
kegemilangan Islam di waktu mana penguasaan dan penerokaan
ilmu dan perusahaan yang canggih terdapat lebih di
negara-negara Islam daripada negara-negara lain. Jika
dahulu umat Islam dan negara Islam begitu maju, tidak ada
sebab kenapa hari ini kita tidak boleh lebih maju daripada
orang lain atau sekurang-kurangnya sama maju seperti mereka.
UMNO - GANDINGAN BERBAGAI-BAGAI ILMU
65. Orang Islam boleh maju jika mereka tidak menganggap
agama Islam sebagai agama untuk akhirat semata-mata. Islam
menyuruh kita mengimbangkan dunia dengan akhirat. Sudah
tentu dalam bidang pengetahuan imbangan ini amat penting.
66. Kemunduran umat Islam bermula apabila satu kumpulan
ulama Turki Osmaniah membelakangkan imbangan ini dan
menghalang pelajaran ilmu yang lain daripada yang khusus
berkenaan dengan agama. Langkah ini dibuat kerana mereka
melihat dalam dunia Kristian orang yang bukan paderi sudah
semakin berpengaruh ke atas pentadbiran raja-raja Eropah
sehingga berjaya memisahkan gereja daripada pentadbiran
sedangkan dahulu gereja menguasai pentadbiran. Dengan
pemisahan ini paderi-paderi telah diketepikan. Ulama-ulama
Turki ketika itu takut pengaruh mereka ke atas Kerajaan
Osmaniah juga akan luntur jika terdapat ramai orang yang
terpelajar dalam bidang-bidang lain. Tindakan ulama- ulama
Turki ini telah menyebabkan ilmu pengetahuan orang Turki
merosot dan dengan itu Turki menjadi semakin lemah sehingga
tidak lagi menjadi kuasa besar. Apabila Empayar Osmaniah
hancur, umat Islam dan wilayah Islam dibahagi-bahagikan
antara negara-negara Barat. Semenjak itu umat Islam tidak
dapat dibangunkan lagi dan tidak ada lagi kuasa besar Islam.
67. Di Malaysia sekarang ini terdapat juga pendapat bahawa
ilmu yang bukan khusus berkenaan dengan agama Islam dan
amalannya tidak penting, malah merbahaya. Dengan ini ramai
daripada anak muda Melayu tidak berminat untuk mempelajari
ilmu-ilmu yang lain selain daripada agama. Ada juga yang
tiba-tiba meninggalkan pelajaran yang dikatakan sekular
untuk mempelajari apa yang ditakrif sebagai ilmu untuk
akhirat. Oleh kerana mereka yang berbakat dalam
berbagai-bagai ilmu khusus tidak ramai di kalangan orang
Islam di Malaysia, maka pengetahuan berbagai-bagai ilmu yang
penting untuk memajukan umat Islam tidak berkembang dengan
luas. Ini menyukarkan pemulihan kekuatan umat Islam di
Malaysia.
68. Keadaan menjadi lebih buruk kerana ada juga orang yang
terpelajar dalam bidang agama yang ingin mengambil
kesempatan daripada pegangan kuat orang Melayu kepada agama.
Mereka sengaja menekankan bahawa ilmu-ilmu yang lain
daripada agama adalah tidak penting. Seperti juga dengan
ulama-ulama Turki dahulu mereka berharap dengan ini
kedudukan dan pengaruh mereka menjadi lebih kuat dan luas di
kalangan orang Melayu terutama di arena politik. Oleh
kerana kita memilih pentadbiran melalui proses demokrasi,
mereka berharap akan mendapat kuasa bagi diri mereka.
69. Keadaan ini tidaklah banyak berbeza dengan keadaan di
Turki pada penghujung pemerintahan Osmaniah. Untuk
kepentingan politik, kumpulan tertentu di kalangan orang
yang terpelajar dalam bidang agama sanggup menggadaikan masa
depan dan kekuatan umat Islam.
70. Kita tidak menafikan perlunya masyarakat Islam
mempunyai sekumpulan orang yang betul-betul terpelajar dan
berpengetahuan mendalam dalam agama Islam. Kita juga tidak
menafikan bahawa mereka boleh memainkan peranan dalam
pentadbiran negara Islam untuk menentukan bahawa segala
dasar dan pendekatan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Tetapi janganlah kerana kepentingan diri atau parti, mereka
sengaja menyebar ajaran yang boleh merugikan orang Islam dan
menghalang usaha-usaha memulih kekuatan umat Islam.
71. Sejarah Turki tidak tamat dengan golongan ulama hanya
kehilangan kuasa dan negara menjadi lemah. Kerana kecewa
dengan kelemahan negara mereka, satu kumpulan pemuda Turki
telah muncul, lalu menggulingkan Kerajaan Kesultanan
Osmaniah dan mendirikan Kerajaan 'sekular'. Jelaslah
percubaan ulama-ulama Turki untuk mengekalkan pengaruh
mereka ke atas Kerajaan Sultan berakhir dengan penyingkiran
dan pengasingan mereka secara langsung daripada terlibat
dengan Kerajaan. Kuasa mereka lenyap sama sekali. Kita
khuatir jika tindakan sekumpulan daripada orang yang
terpelajar dalam bidang agama di Malaysia menyebabkan orang
Islam menjadi lemah dan kaku, orang Islam di negara ini
akhirnya akan kecewa dan akan bertindak menghalang terus
pengaruh agama dalam Kerajaan negara ini. Jika ini berlaku
ianya akan merupakan satu tragedi bukan sahaja kepada
kumpulan agama tetapi juga kepada negara.
72. UMNO mengutamakan imbangan di antara dunia dengan
akhirat. UMNO berpendirian sederhana. UMNO tidak ekstrim
dan fanatik. Kita mengamalkan sikap sederhana ini kerana ia
adalah secocok dengan ajaran Islam. Kita percaya bahawa
gandingan antara orang yang terpelajar dalam berbagai-bagai
ilmu termasuk pakar agama adalah lebih baik dan lebih
menguntungkan umat Islam. Kita mungkin tidak akan menjadi
kuasa besar tetapi kita percaya umat Islam di Malaysia yang
sederhana, berimbang dan maju boleh menyumbang ke arah
meninggikan lagi maruah dan kehormatan umat Islam dan agama
Islam. Gandingan ini juga sedikit-sebanyak boleh
mengembalikan zaman kecemerlangan Islam. Dan agama Islam
akan selamat.
KESETIAAN KEPADA PARTI
73. Kita amat bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izin-Nya, UMNO kini lebih mantap, kukuh,
disiplin dan bersatu padu. Perpecahan dalam parti yang
berlaku pada tahun 1987 yang berakhir dengan pengharaman
UMNO telah mengajar kita semua supaya tidak terlalu
mengikatkan diri kepada mana-mana individu. Sebaliknya
kesetiaan kita hendaklah selalunya kepada parti.
74. Jika ahli-ahli UMNO sedar akan hakikat bahawa
kepentingan parti mengatasi segala kepentingan lain, saya
yakin UMNO akan sentiasa selamat dan terus maju. UMNO yang
selamat bukan sahaja akan menyelamatkan orang Melayu dan
Bumiputera tetapi juga kaum- kaum lain di negara ini.
75. Kita berharap tidak ada lagi individu atau kumpulan
dalam parti kita yang sanggup melihat UMNO hancur hanya
kerana hasrat atau cita-cita peribadi mereka tidak tercapai.
UMNO adalah milik seluruh ahli parti dan bukan mana-mana
individu atau kumpulan. Justeru itu, perjuangan UMNO
hendaklah untuk kepentingan semua ahli UMNO dan bukan
mana-mana individu atau pasukan.
PEMILIHAN PEMIMPIN
76. UMNO berpegang teguh kepada demokrasi kerana demokrasi
adalah satu sistem yang adil dan lebih selamat. Perkara
yang terpenting dalam demokrasi ialah hak untuk memilih
pemimpin. Ini bermakna pemimpin boleh ditukar jika majoriti
ahli ingin berbuat demikian.
77. Tahun ini sekali lagi kita menghadapi pemilihan
kepimpinan parti kita. Walaupun semenjak UMNO ditubuhkan
kita telah berkali-kali memilih pemimpin, namun kita masih
tidak dapat mengelak daripada menghadapi masalah semasa
pemilihan. Lebih tinggi jawatan yang ditandingi, lebih
banyak masalah berlaku. Tetapi saya penuh harapan kita akan
dapat mengatasi masalah dan kesan-kesan buruk yang dibawa
bersama dengan pemilihan pemimpin.
78. Saya berasa sedih kerana Yang Berhormat Encik Ghafar
Baba telah memilih untuk meletakkan jawatan Timbalan Perdana
Menteri dan semua jawatan lain dalam Kerajaan dan parti.
Encik Ghafar telah menyumbangkan tenaga dan fikiran kepada
parti kita semenjak ianya ditubuhkan dan telah memegang
jawatan Naib Presiden selama 25 tahun, satu rekod bagi
seorang pemimpin parti. Kemudian beliau memegang jawatan
Timbalan Presiden. Saya amat terhutang budi kepada Encik
Ghafar kerana telah sanggup memegang jawatan Timbalan
Perdana Menteri apabila Dato Musa Hitam melepaskan jawatan
itu pada tahun 1986. Sokongan dan kerjasama daripada Encik
Ghafar menolong saya dan parti mengatasi krisis dan
pengharaman UMNO pada tahun 1988. Bagi pihak diri saya,
Majlis Tertinggi dan semua ahli parti, saya ingin
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Encik Ghafar
kerana khidmat dan jasanya kepada parti dan juga Kerajaan.
Saya berdoa Encik Ghafar berjaya dalam apa juga kegiatannya
selepas ini. Jasa beliau tetap dikenang.
79. Dalam proses pemilihan pemimpin-pemimpin kali ini
mungkin saya telah melakukan sesuatu yang menyebabkan
sangkaan bahawa saya tidak betul-betul berkecuali. Saya
tidak sengaja jika saya telah melakukannya. Saya mohon
maaf. Hanya saya percaya bahawa apa yang saya lakukan
adalah untuk kebaikan parti. Masa akan menentukan sama ada
apa yang dibuat atau tidak dibuat oleh saya itu benar-benar
baik untuk parti atau tidak.
80. Sebagai seorang yang dilantik oleh ahli-ahli UMNO, saya
sedar bahawa walau bagaimana popular sekalipun seseorang
pemimpin itu, akhirnya ia akan digugurkan juga. Saya akan
menerima apa juga keputusan parti terhadap saya apabila tiba
masanya. Hari ini giliran orang lain, esok mungkin giliran
saya pula. Demikianlah politik.
81. Dalam pertandingan ini mereka yang akan kalah patutlah
bersedia untuk menerima kenyataan. Kekalahan tidak
menghinakan kita. Yang menghinakan kita ialah apabila kita
bertindak liar kerana marah apabila kalah. Yang mulia
antara yang kalah ialah mereka yang akan terus menyumbangkan
khidmat mereka kepada parti. Alhamdulillah, ramai daripada
mereka yang sudah tidak menjadi pemimpin parti atau memegang
jawatan dalam Kerajaan masih aktif dalam hal ehwal parti.
Saya percaya mereka ini sedar mereka naik dahulu pun kerana
parti. Mereka bukanlah daripada jenis orang yang membakar
jambatan setelah menyeberang.
82. Bagi yang menang pula, saya ingin mengingatkan mereka
bahawa ini adalah hari mereka. Esok mereka juga mungkin
jatuh. Justeru itu janganlah terlalu sombong dan angkuh
kerana kemenangan. Kemenangan tidak bermakna jika kita
hanya mendapat separuh sahaja daripada parti. Janganlah
jadikan kemenangan sebagai punca perpecahan parti.
Janganlah fikir kita boleh mengambil semua dan boleh
menyingkirkan mereka yang tidak bersama kita. Yang kalah
pun mendapat sokongan juga dan mereka masih berhak.
83. Selepas pemilihan, ahli-ahli UMNO hendaklah
merapatkan semula barisan. Ingatlah bahawa kita tidak
berjuang untuk menjayakan mana-mana individu. Kita berjuang
untuk parti kita UMNO. Jika calon kita menang tetapi parti
kita hancur atau lemah, sebenarnya kita kalah. Parti kita
bukan milik orang yang bertanding atau orang kanan mereka.
UMNO dimiliki oleh semua ahli UMNO, bahkan ia dimiliki oleh
semua orang Melayu dan Bumiputera.
84. Ada yang berjuang untuk mendapat tempat, jawatan dan
pangkat. UMNO tidak mempunyai tempat untuk orang seperti
ini. Jika kita ingin mendapat tempat, sebabnya mestilah
kerana inginkan peluang untuk menjayakan idea-idea kita,
idea-idea yang kita percaya boleh mendatangkan kejayaan dan
kebahagiaan kepada parti, agama, bangsa dan negara.
85. UMNO tidak hanya memerintah. UMNO bertanggungjawab
untuk menyelesaikan berbagai-bagai masalah, terutamanya
masalah orang Melayu dan Bumiputera. UMNO mesti
menyelesaikan masalah-masalah ini tanpa merosakkan negara,
bahkan di samping membangunkan negara. Untuk ini, kita
perlu kepada idea-idea atau pemikiran-pemikiran yang bernas
dan tajam. Tetapi kita juga perlu kepada pengalaman yang
luas yang boleh membeza dan menilai akan idea- idea yang
dikemukakan oleh pemimpin atau pihak lain.
86. Kita perlu berlumba dengan negara-negara lain. Kita
perlukan kestabilan dan kita perlukan pembangunan. Kita
perlu kekal sebagai negara yang benar-benar merdeka. Untuk
menentukan semua ini, kita perlukan kepimpinan yang serba
berkemampuan dan serba cekap. Kita perlukan
pemimpin-pemimpin yang cekap berpolitik dan cekap mentadbir.
Kita perlukan pemimpin-pemimpin yang patriotik. Jika semua
kualiti ini tidak ada pada seseorang individu, dan memang
ianya sukar didapati, sekurang-kurangnya kualiti-kualiti ini
perlu ada di kalangan mereka yang menerajui parti dan
menganggotai Kerajaan. Mereka mesti bekerja sebagai satu
pasukan dan bukan kerana mereka daripada satu pasukan.
Tidak ada tempat bagi primadona dalam Kerajaan. Yang perlu
diutamakan ialah kecekapan, kemahiran, kesanggupan
membelakangkan diri dan mengutamakan tugas dan negara.
87. Segala-galanya ini bergantung kepada ahli-ahli yang
diberi kuasa memilih. Kita akan dapat apa yang padan bagi
kita. Baik atau buruknya Kerajaan yang dipilih adalah
kerana kita. Jika kita memilih mengikut nafsu, buruk
padahnya. Sebaliknya, jika kita membuat penilaian yang baik
terhadap pemimpin yang akan kita pilih, insya-Allah kita
akan mendapat kebahagiaan.
88. Saya berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi
taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua supaya kita lakukan
yang baik dan bijak, dan pemilihan yang akan kita buat
sebentar lagi akan membawa nikmat dan kebahagiaan kepada
kita semua, kepada orang Melayu dan Bumiputera, kepada
agama, bangsa dan negara Malaysia.
Selamat bersidang.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|