Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 12/11/93
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH
KECEMERLANGAN INDUSTRI
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana menjemput saya
ke majlis pada hari ini dan seterusnya menyampaikan Anugerah
Kecemerlangan Industri Tahun 1993 ini.
2. Sepertimana kita sedia maklum, dalam tahun-tahun
kebelakangan ini berbagai-bagai angka tunjuk antarabangsa
telah menunjukkan kemampuan Malaysia mencapai
kejayaan-kejayaan dalam bidang ekonomi yang membanggakan.
Pertumbuhan ekonomi pada kadar purata lapan peratus setahun
yang dicapai dalam tahun-tahun awal sembilan puluhan adalah
antara yang tertinggi di dunia. Dalam bidang perdagangan,
Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan atau GATT telah
melaporkan bahawa pada tahun lepas, di antara lebih daripada
seratus negara anggota Perjanjian tersebut, Malaysia adalah
negara yang ke-23 terbesar daripada segi prestasi eksport.
3. Kejayaan-kejayaan ini adalah hasil daripada
penggemblengan tenaga di antara pihak Kerajaan dan anggota
pentadbirannya dengan sektor swasta serta sokongan tenaga
kerja yang berusaha gigih, disiplin dan berdedikasi tinggi.
4. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu
berbangga dengan angka-angka tunjuk sehingga melalaikan
kita. Jika kita tidak berwaspada, prestasi kita akan
merosot sebelum potensi kita dapat diperah sepenuhnya.
5. Sebarang kejayaan yang kita capai itu adalah relatif --
yakni ianya bergantung kepada alat pengukur yang digunakan.
Jika bandingan dibuat dengan kebanyakan negara-negara
membangun yang lain, pencapaian kita daripada segi
pembangunan ekonomi dan industri amatlah memberangsangkan.
Tetapi wawasan kita bukanlah setakat untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang paling maju di kalangan
negara-negara membangun. Matlamat kita adalah untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan ciri-cirinya
yang tersendiri, negara maju yang mampu bersaing dengan
negara-negara maju yang lain.
6. Oleh yang demikian, asas perbandingan kejayaan kita
perlulah diambil daripada negara-negara yang telah mencapai
prestasi yang terbaik di dalam aspek-aspek tertentu. Tiada
negara yang boleh menjadi contoh yang menyeluruh untuk kita.
Kita perlu meneliti seberapa banyak contoh yang boleh dan
mengenalpasti kekuatan tertentu negara-negara berkenaan
untuk dijadikan sebagai ukuran, contoh atau panduan. Hanya
dengan berbuat demikian barulah kita akan dapat mengukur
keupayaan dan kekuatan sebenar yang kita miliki. Dengan
cara ini barulah kita dapat menuju ke arah kecemerlangan
dalam semua bidang yang diperlukan.
7. Kecemerlangan atau 'excellence' adalah satu nilai
intrinsik yang perlu wujud di dalam semua sektor termasuk
sektor swasta. Seperti yang telah ditekankan di dalam
berbagai-bagai rancangan ekonomi, sektor swasta dikehendaki
menerajui usaha-usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan
ekonomi negara. Kecemerlangan sektor swasta terutamanya
diperlukan di arena antarabangsa, kerana eksport adalah
penyumbang utama kepada pendapatan negara.
8. Dunia perniagaan sekarang ini penuh unsur-unsur
persaingan sengit serta cabaran-cabaran lain yang mana ini
menyebabkan hanya mereka yang cemerlang dan dinamis sahaja
yang akan berjaya dan dapat bertahan lama.
Pergolakan-pergolakan yang berlaku di dalam perdagangan
antarabangsa telah menukar corak persaingan serta mengubah
kefahaman terhadap istilah `daya saingan' itu sendiri.
9. Pengasingan di antara perniagaan dalam negeri dengan
perniagaan luar negeri tidak lagi merupakan satu perkara
yang jelas. Seiringan dengan itu, sumber-sumber persaingan
atau 'competitive advantage' adalah lebih luas sehingga
menjadikan persaingan lebih sengit dan kompleks. Asas-asas
daya saingan juga telah berubah. Kita tidak lagi boleh
bergantung kepada asas daya saingan yang tradisional,
seperti bekalan bahan asli tempatan dan kos buruh yang
rendah. Perkembangan teknologi pembuatan dan teknologi
pengangkutan serta komunikasi telah menyebabkan pemilihan
bahan asli sendiri bukan lagi satu faktor yang kritikal di
dalam pembentukan corak perdagangan antarabangsa. Kadar
upah di Malaysia juga tidak lagi dapat dianggap rendah jika
dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini.
10. Asas-asas daya saingan yang baru adalah faktor-faktor
yang perlu diperolehi, dibentuk dan dipupuk. Ini
termasuklah pengetahuan, pengalaman, kredibiliti, kecekapan
pasaran dan keusahawanan. Asas-asas kekuatan daya saingan
ini adalah hak milik sesiapa sahaja yang sanggup melabur
daripada segi masa dan tenaga untuk memperolehinya. Oleh
yang demikian tiada alasan bagi kita menyatakan yang kita
tidak berupaya untuk bersaing dengan mana-mana pihak.
11. Kecemerlangan diperlukan bukan sahaja untuk menangkis
saingan tetapi juga untuk mengatasi cabaran-cabaran dan
ancaman-ancaman lain yang terdapat di dalam prasarana
ekonomi antarabangsa. Kita lihat bagaimana negara-negara
maju di dunia mengenepikan prinsip-prinsip dan
peraturan-peraturan pelbagai hala perdagangan antarabangsa
semata-mata untuk menjaga kepentingan mereka. Keadaan ini
menjadi lebih ketara baru-baru ini apabila negara-negara
berkenaan berhadapan dengan tekanan dalaman daripada
berbagai-bagai pihak yang berkepentingan, berpunca daripada
kemelesetan ekonomi masing-masing, defisit perdagangan dan
pembayaran serta kadar pengangguran yang amat tinggi.
12. Pertumbuhan blok-blok perdagangan juga merupakan ciri
penting suasana perdagangan antarabangsa semasa. Kita harus
peka kepada implikasi peraturan perdagangan seperti ini.
Kita bukan sahaja harus bersedia menghadapi ancaman-ancaman
yang timbul daripada penubuhan blok-blok perdagangan ini,
tetapi lebih penting lagi, kita harus mampu untuk
mengenalpasti dan mengambil tindakan yang segera ke atas
peluang-peluang yang mungkin wujud kerananya.
13. Satu lagi fenomena baru yang mengancam pertumbuhan
perdagangan antarabangsa adalah penggunaan alasan
perlindungan alam sekitar, perlindungan hak-hak asasi
manusia dan hak-hak pekerja untuk mengenakan sekatan ke atas
perdagangan.
14. Perkembangan-perkembangan seperti ini sudah tentunya
akan mengakibatkan penglibatan kita di dalam perdagangan
antarabangsa menjadi lebih sukar. Keadaan ini akan menjadi
lebih buruk jika usaha-usaha untuk menghalang berbagai-bagai
tindakan perdagangan yang tidak adil yang sedang
dirundingkan di dalam Pusingan Uruguay terus menghadapi
kebuntuan.
15. Berbagai-bagai pendekatan boleh diambil untuk
mengurangkan kesan negatif cabaran-cabaran ini. Kerajaan,
melalui penglibatan secara aktif di dalam rundingan dan
forum pelbagai hala dan serantau, sedang bekerjasama rapat
dengan masyarakat perdagangan antarabangsa untuk mengenakan
disiplin yang lebih ketat ke atas amalan perdagangan yang
tidak adil supaya akan wujud suasana perdagangan
antarabangsa yang lebih terbuka.
16. Sektor swasta juga mempunyai peranan di dalam
usaha untuk mengatasi cabaran-cabaran ini. Mereka hendaklah
menentukan bahawa barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan
adalah yang terbaik. Walaupun terdapat berbagai-bagai
halangan di dalam perdagangan antarabangsa, kuasa pasaran
akan menentukan bahawa sesiapa yang menawarkan 'the highest
value for money' sahaja yang akan dapat menguasai pasaran.
Sebenarnya barangan Jepun tidak akan dapat menembusi pasaran
Barat jika tidak kerana kualiti dan harga yang menarik
sehingga pengguna di Barat sendiri mendesak untuk membeli
barangan Jepun.
17. Oleh yang demikian sektor swasta hendaklah sentiasa
berusaha menuju ke arah kecemerlangan. Untuk tujuan ini
mereka harus bersikap inovatif dan sentiasa mencari keluaran
baru untuk dipasarkan dan pendekatan-pendekatan baru untuk
melakukan sesuatu tugas. Inovasi perlu diberi pengertian
yang luas. Ia hendaklah meliputi melahirkan, menerima dan
melaksanakan idea, proses, keluaran atau perkhidmatan yang
baru. Satu kepakaran baru yang boleh dieksport ialah dalam
bidang pembinaan iaitu pembinaan jalan, bangunan, perumahan,
telekomunikasi dan pengurusan dan rekabentuk hotel. Banyak
negara yang ingin membangun dengan cepat mengiktiraf
Malaysia sebagai punca teknik dan perancangan untuk mencapai
matlamat mereka secepat mungkin.
18. Kita perlu mengambil ingatan bahawa, sebarang
'competitive advantage' yang kita miliki hanyalah sementara
sahaja, dan agak sukar dipertahankan bagi tempoh yang lama.
Oleh yang demikian, usaha-usaha untuk memperbaiki dan
meningkatkan daya saingan kita hendaklah dijalankan secara
berterusan. Dalam erti kata lain, proses inovasi tiada
kesudahannya.
19. Kerajaan sedar bahawa serentak dengan gesaan kepada
sektor swasta supaya mereka sentiasa meningkatkan
kecemerlangan prestasi mereka, jentera Kerajaan sendiri
perlu bersikap kreatif dan dinamik di dalam memberi sokongan
kepada usaha-usaha sektor swasta.
20. Selaras dengan prinsip ini, Kerajaan telah
memperkenalkan berbagai-bagai langkah untuk membantu sektor
swasta mempertingkatkan prestasi mereka. Tahun lepas,
Kerajaan, dengan kerjasama beberapa syarikat tempatan telah
menubuhkan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)
yang berperanan untuk membekalkan modal teroka untuk
memperdagangkan hasil selidik dan ciptaan-ciptaan
institusi-institusi penyelidikan Malaysia dan untuk memberi
bantuan modal kepada syarikat-syarikat yang berasaskan
teknologi bagi meningkatkan daya saingan mereka.
21. Pada bulan Jun tahun ini, Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah dilancarkan untuk
membantu memperkukuhkan prestasi eksport Malaysia sama ada
eksport barangan ataupun perkhidmatan. Peranan utama
MATRADE adalah untuk menyediakan satu sistem maklumat
perdagangan yang komprehensif bagi menyokong sistem maklumat
pasaran.
22. Kabinet juga telah meluluskan penubuhan Majlis
Rekabentuk Kebangsaan untuk menerajui dan menyelaras
aktiviti rekabentuk negara bagi meningkatkan keupayaan
bersaing produk-produk industri perkilangan di pasaran
tempatan dan antarabangsa. Satu Pusat Rekabentuk akan
diwujudkan di bawah Majlis tersebut untuk bertindak sebagai
'focal point' bagi semua aktiviti rekabentuk.
23. Melalui khidmat-khidmat sokongan seperti ini dan dengan
menentukan bahawa ekonomi negara terus stabil dan
berkembang, Kerajaan berharap untuk mengurangkan angkubah
dan risiko yang boleh menyekat inisiatif sektor swasta untuk
menerokai peluang-peluang yang baru. Tetapi akhirnya
kejayaan masih bergantung kepada daya usaha dan sikap sektor
swasta itu sendiri.
24. Akhir sekali saya mengucapkan tahniah kepada
syarikat-syarikat yang memenangi anugerah pada tahun ini
bukan sahaja kerana kejayaan mereka memenangi anugerah
tersebut tetapi juga kerana berjaya menunjukkan jalan ke
arah kecemerlangan. Anugerah kecemerlangan ini adalah
sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk melahirkan satu
budaya kecemerlangan di kalangan masyarakat peniaga
Malaysia. Justeru itu, diharapkan pihak swasta dapat
memenuhi aspirasi Kerajaan dan negara.
Sekian, terima kasih.
|