Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SUBANG MERLIN, SUBANG
JAYA, SELANGOR
Tarikh/Date : 20/11/93
Tajuk/Title : MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN
KUB KE-13
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa
Penganjur kerana menjemput saya pada hari ini dan seterusnya
merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Usaha
Bersatu (KUB) ke-13 ini.
2. Kini lebih daripada dua tahun sudah berlalu semenjak
pelancaran semula KUB. Dalam dua tahun kebelakangan ini
saya percaya pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah KUB
telah mengambil peluang untuk memperbaiki segala
kelemahan-kelemahan yang terdapat di KUB di samping cuba
membawa KUB kepada kejayaan yang diharapkan oleh ahli-ahli
KUB.
3. Kita dapati hari ini perkembangan ekonomi negara serta
ekonomi Asia Tenggara berada di paras yang terbaik sama ada
ditinjau daripada segi sejarah mahupun daripada segi
perbandingan dengan ekonomi kawasan-kawasan lain dalam
dunia. Malaysia boleh berbangga kerana sektor korporat
sedang tumbuh dengan pesatnya. Ini terbukti daripada
perkembangan Pasaran Saham Kuala Lumpur yang telah berjaya
menjadi pasaran saham yang terbesar di Asia Tenggara.
Kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam sektor korporat
mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara kita yang pesat.
4. Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita
terhadap pertumbuhan ekonomi serta sektor korporat, sektor
koperasi merupakan satu potensi yang tidak harus diabaikan,
malahan usaha-usaha hendaklah di lipatgandakan untuk
memajukan sektor ini. Dalam pembangunan ekonomi moden
koperasi mempunyai tempat atau 'niche' yang tersendiri.
Memang terdapat banyak aktiviti di mana konsep koperasi
mempunyai kelebihan tersendiri. Tambahan pula koperasi
sangat sesuai dalam membantu dan melibatkan 'the small man'
iaitu para petani, pekebun kecil, penangkap ikan, pewarung
serta pengusaha berbagai-bagai industri kecil-kecilan.
Konsep koperasi membolehkan modal orang kecil disatukan dan
dibantu oleh langganan daripada mereka sendiri untuk
menguntungkan mereka dan menurunkan harga barangan.
5. Sesuai dengan matlamat tersebut adalah menjadi hasrat
Kerajaan untuk memastikan supaya kegiatan koperasi dapat
dimajukan dan supaya ianya tidak ketinggalan dalam usaha
kita mencapai Wawasan 2020. Gerakan koperasi mempunyai
tempatnya yang tersendiri dalam skim ekonomi moden dengan
segala cabarannya termasuk masalah 'globalisation' serta
kemunculan teknologi baru. Koperasi boleh memainkan peranan
penting dalam 'mobilising resources' demi untuk menentukan
bahawa ekonomi kita dapat tumbuh dengan cergas dan dinamik.
Ini memandangkan bahawa ahli koperasi di Malaysia sudah pun
melebihi empat juta orang. Di sekolah-sekolah pula
koperasi sudah melebihi 1,000 buah. Justeru itu adalah
penting pertubuhan-pertubuhan koperasi bergerak aktif untuk
sama-sama seiring maju dengan sektor korporat dalam usaha
mencapai Wawasan 2020.
6. Untuk mencapai potensinya pada masa depan gerakan
koperasi perlu membuat beberapa perubahan. Sistem koperasi
yang asal yang telah saya sebutkan tadi mungkin sesuai untuk
mengelolakan koperasi-koperasi kecil, tetapi ia tidak lagi
sesuai untuk koperasi yang mempunyai ahli yang ramai serta
kegiatan perniagaan dan pelaburan yang melibatkan
berjuta-juta ringgit dalam industri dan perniagaan besar.
Koperasi juga perlu menambah daya tarikannya sebagai majikan
yang mampu menarik para profesional serta pekerja mahir
untuk berkhidmat dengannya sama seperti badan-badan korporat
lain. Struktur pengurusan dan pentadbiran juga perlu
sifat-sifat 'flexibility' yang sesuai dengan keadaan
persekitaran. Sistem 'delegation' dan pengurusan
profesional juga perlu untuk menentukan supaya keputusan dan
tindakan boleh dijalankan dengan cepat. Zaman 'syarikat
jimat-cermat pinjam-meminjam tanggungan berhad' yang diurus
secara sambilan oleh beberapa ahli sudah hampir berakhir.
7. Salah satu cabaran kepada pelabur koperasi di negara
ini ialah untuk mencari jalan supaya sistem koperasi boleh
disesuaikan bagi mengelola koperasi yang besar secara
efektif dan efisyen. Jika konsep syarikat boleh digunakan
untuk menjalani 'one-man company' yang kecil serta gergasi
'multinational conglomerates' maka tidak ada sebab mengapa
konsep koperasi juga tidak berupaya berbuat demikian. Ini
harus difikirkan oleh pihak-pihak berkenaan bagaimana konsep
koperasi boleh diterapkan dengan ciri-ciri yang 'flexible'
supaya koperasi berbagai-bagai bentuk saiz dan kegiatan
ekonomi yang dijalankan di negara ini dapat bersaing maju
dengan badan-badan perniagaan lain.
8. Seperti juga dengan sektor-sektor korporat atau
Kerajaan, koperasi harus dipimpin dan ditadbir dengan betul
dan berteraskan prinsip-prinsip pengurusan sejagat.
Malangnya sebagaimana kita ketahui, pengalaman koperasi di
negara ini pada masa lalu tidak begitu menggalakkan.
Sungguhpun kebanyakan koperasi di negara ini berjalan dengan
baik dan teratur, koperasi-koperasi kita dilanda
berbagai-bagai masalah dalaman yang mana kebanyakannya
berpunca daripada kurang amanah, penyalahgunaan kuasa,
pengurusan yang tidak cekap dan sikap negatif ahli-ahli.
9. Di sini ingin saya merujuk kepada sejarah KUB sebagai
contoh riwayat sebuah koperasi yang agak 'typical' di negara
ini. KUB ditubuhkan untuk memberi peluang kepada
pelabur-pelabur kecil terutama ahli-ahli UMNO mengambil
bahagian dalam perniagaan yang mana koperasi mempunyai
beberapa kesempatan yang diberikan oleh Kerajaan.
10. Pada mulanya KUB berjalan dengan baik walaupun
pencapaiannya tidaklah istimewa. Kemudian orang yang
berkepentingan politik diri telah 'dilantik' untuk menerajui
KUB. Dengan serta-merta KUB dijadikan alat untuk politik
pihak tertentu. Pengerusi dan pengarah mengambil gaji yang
tinggi dan memberi kemudahan-kemudahan kepada diri sendiri.
Kepentingan perniagaan diketepikan. Dengan itu KUB
mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. Namun pengurusan
dan Lembaga Pengarah tidak dapat ditukar kerana
taktik-taktik yang tertentu yang digunakan oleh Ketua dan
Pengarah-pengarah untuk mengekalkan tempat mereka.
11. Hanya selepas KUB menjadi hampir bankrap baharulah
pengarahan dan pengurusan dapat ditukar dan KUB dipisahkan
daripada politik pihak berkenaan.
12. Apabila KUB diambilalih oleh pihak yang mempunyai
kecekapan berniaga yang tidak mengutamakan kepentingan
politik diri, ia dapat dipulihkan sepenuhnya. Hari ini KUB
adalah lebih sihat.
13. Masalah koperasi kerap berkisar daripada pengurusan
yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada
kepentingan koperasi dan ahli-ahlinya. Perniagaan tidak
susah. Jika amalan-amalan yang sihat diamalkan, insya-Allah
kejayaan boleh dicapai. Tetapi apabila perniagaan
dicampur-adukkan dengan perkara-perkara lain atau tidak ada
kerajinan (due diligence) maka apa juga perniagaan akan
gagal. Sudah tentu apabila pengurusan tidak beramanah,
tidak akan ada kejayaan sama sekali.
14. Masalah penyelewengan dalam koperasi tidak terbatas di
peringkat koperasi itu sahaja. Ahli atau penyimpan dalam
koperasi terlibat akan mendesak Kerajaan untuk mencari
penyelesaian. Penyelesaian yang dimaksudkan ialah suntikan
wang oleh Kerajaan atau dalam perkataan lain, wang pembayar
cukai digunakan untuk menolong penyimpan serta ahli koperasi
yang gagal. Sukalah saya menekankan di sini bahawa bukanlah
menjadi hasrat Kerajaan untuk mengguna wang orang ramai
sebagai subsidi untuk menampung keperluan seperti ini.
15. Oleh itu, adalah penting semua ahli serta penyimpan
dalam koperasi meneliti perjalanan koperasi masing-masing.
Periksalah akaun koperasi tuan-tuan, bertanyalah dan
dapatkan penjelasan, dapatkan bantuan mereka yang lebih arif
berkenaan perniagaan dan sebagainya. Tuan-tuan dan
puan-puan tidak boleh bergantung kepada mana-mana pihak lain
jikalau koperasi tuan-tuan gagal atau menghadapi kesulitan.
16. Ini bukanlah bermakna bahawa Kerajaan akan berpeluk
tubuh jikalau penyelewengan dilakukan. Kerajaan tetap
mengawasi perjalanan koperasi dengan tegas untuk menentukan
sebarang penyelewengan tidak berlaku. Untuk tujuan ini,
Akta Koperasi 1992 sudahpun diwartakan dan penguatkuasaannya
akan bermula sebaik sahaja Kementerian berpuas hati dengan
persiapan yang sedang dijalankan. Saya berharap ahli-ahli
koperasi cuba memahami Akta Koperasi 1992 ini dan
menggunakan jentera yang ditubuhkan di bawah Akta tersebut,
termasuk Jawatankuasa Odit yang perlu ditubuhkan oleh semua
koperasi.
17. Kita sedia maklum bahawa penyelesaian yang muktamad
bukan bergantung kepada 'legislation and more legislation'.
Undang-undang yang terlalu ketat akan menyukarkan
pengurusan koperasi. Bukanlah tujuan Kerajaan untuk
membebankan koperasi-koperasi yang berjalan dengan betul.
Oleh itu terpulanglah kepada ahli untuk mengawasi dan
meneliti koperasi masing-masing.
18. KUB merupakan sebuah koperasi yang dianggap penting
sebagai lambang kepada kita semua. Ianya bukan sahaja
institusi yang penting daripada segi jumlah ahli, jumlah
saham ahli serta keluasan kegiatannya. KUB juga sedikit
sebanyak melambangkan masalah serta peluang yang dihadapi
oleh sektor koperasi di negara kita dan kejayaan atau
kegagalan KUB akan mencerminkan kejayaan atau kegagalan
perjuangan koperasi di negara ini.
19. Pada tahun yang lepas, saya telah membuat beberapa
teguran serta cabaran kepada pengurusan KUB. Memang benar
bahawa beban untuk membaiki KUB dan membinanya ke arah
kecemerlangan bukanlah mudah. Namun begitu, usaha yang
gigih oleh semua pihak dalam KUB, termasuk ahli, kakitangan,
pengurusan dan Lembaga Pengarahnya telah berjaya memulihkan
dengan cemerlang prestasi KUB.
20. Saya difahamkan bahawa KUB sekarang ini telah menceburi
dalam berbagai-bagai bidang selain daripada memberi
perkhidmatan kepada ahli-ahli. Apa yang penting ialah
supaya segala kegiatan ini dikelolakan dengan sebaik-baiknya
daripada segi perancangan serta pengelolaan. Kakitangan
perlu diberi latihan yang mencukupi terutama berkenaan etika
kerja supaya mereka mampu memikul beban yang ditugaskan.
21. Gunakanlah peluang yang didapati daripada pertambahan
modal dengan sebaik-baiknya. Saham-saham ahli merupakan
wang yang telah diamanahkan kepada pengurusan dan Lembaga
Pengarah untuk digunakan bagi projek-projek yang bersesuaian
daripada segi keuntungan, risiko serta kemampuan pengurusan
KUB.
22. Binalah budaya korporat serta budaya kerja yang sihat
lagi efektif demi membangunkan sebuah institusi yang boleh
menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain dalam negara
kita. Buktikan bahawa koperasi juga berpotensi serta boleh
memainkan peranan yang penting dalam ekonomi moden ini.
23. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Usaha Bersatu
yang Ke-13.
|