Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUANTAN, PAHANG 
Tarikh/Date 	: 	25/11/93 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN KOMPLEKS METHYL 
			TERTIARY BUTYL ETHER/PROPYLENE 
			DAN POLYPROPYLENE 


 
    Saya mengucapkan terima kasih  kepada  PETRONAS  kerana
menjemput  saya  untuk merasmikan Kompleks Petrokimia Methyl
Tertiary Butyl Ether (MTBE)/Propylene dan Polypropylene pada
hari ini.  Majlis ini menandakan satu lagi kemajuan  penting
dalam pembangunan industri petroleum Malaysia.
2.     Hampir dua tahun lalu, pada bulan Disember 1991, saya
telah   merasmikan   pelancaran   peringkat   kedua   projek
Penggunaan  Gas  Semenanjung  atau PGU II, iaitu projek yang
telah meletakkan asas bagi negara memasuki era gas.
3.    Antara industri yang boleh  meraih  faedah  sepenuhnya
daripada  pelaksanaan  projek  PGU  II  ini  ialah  industri
petrokimia, memandangkan telah pun wujud kemudahan  daripada
segi  pembekalan  tenaga  dan  'feedstock' atau bahan mentah
bagi industri tersebut.   Dengan  ini  pelaksanaan  kompleks
petrokimia    untuk   mengeluarkan   MTBE,   propylene   dan
polypropylene di Kawasan Perindustrian Gebeng ini  merupakan
satu  langkah  penting  yang  sudah  pasti akan membuka satu
lembaran baru dalam program perindustrian negara kita.
4.   Sebagaimana kita sedia maklum, Rangka Rancangan  Jangka
Panjang  Kedua  (RRJP  II) yang merangkumi Dasar Pembangunan
Nasional (DPN), menandakan permulaan  satu  era  baru  dalam
usaha  kita  menjadikan  Malaysia sebagai sebuah negara yang
maju, bukan sahaja dalam bidang ekonomi  tetapi  juga  dalam
semua   bidang   kehidupan  menjelang  tahun  2020.    Untuk
mewujudkan asas yang  kukuh  bagi  menggalakkan  pertumbuhan
yang  berterusan,  penekanan perlu diberikan kepada industri
yang mempunyai nilai ditambah  dan  penggunaan  lebih  besar
serta  pemerosesan bagi sumber-sumber asli domestik.  Selain
daripada itu, teras Rancangan ialah untuk  mengukuhkan  asas
teknologi  bagi  meningkatkan  lagi  keupayaan  dalam negara
serta menggalakkan daya saingan di  peringkat  antarabangsa.
Semua  ini mesti diiringi dengan peningkatan pendapatan bagi
pekerja kita serta penduduk pada keseluruhannya kerana  kita
juga  perlu  memperkukuhkan  pasaran tempatan untuk membantu
barangan keluaran negara.  Ini hendaklah  dilakukan  melalui
peningkatan  produktiviti  tanpa berlakunya inflasi.   Semua
ini memang nampak tidak mudah tetapi  ianya  bukanlah  tidak
mungkin  jika kita bertindak secara teratur dan seperti yang
dirancangkan.
5.   Dalam tempoh kira-kira 10 tahun sahaja struktur eksport
Malaysia telah berubah daripada  menjadi  pengeksport  bahan
mentah  kepada  pengeksport  bahan nilai ditambah.  Sekarang
pula  menjadi  pengeksport  barangan   buatan   berteknologi
tinggi.     Ini  membuktikan  kejayaan  kita  dalam  menarik
industri-industri berteknologi tinggi ke negara ini.  Adalah
jelas  bahawa  Malaysia  sekarang  mendahului  negara-negara
membangun  lain di rantau ini daripada segi eksport barangan
berteknologi tinggi dan ia jelas mencerminkan keupayaan kita
menguasai teknologi baru.   Sungguhpun  negara  kini  sedang
berada   di   landasan  yang  sesuai  daripada  segi  dasar,
pengurusan dan pentadbiran, namun kita perlu melipatgandakan
usaha-usaha untuk menguasai teknologi terpilih  supaya  kita
mampu  menjadi lebih kompetitif.
6.      Dalam  hal  ini  sektor swasta harus terus memainkan
peranan sebagai jentera pertumbuhan untuk membawa negara  ke
arah  perindustrian.    Langkah PETRONAS dan rakan kongsinya
melibatkan diri dalam pengeluaran  bahan  petrokimia  secara
besar-besaran,  tentu  sekali  akan  membantu mempercepatkan
lagi proses menjadikan  Malaysia  negara  maju  yang  cekap,
dinamik dan berteknologi tinggi.
7.            Sehingga kini, industri petrokimia di Malaysia
masih  berada  di  peringkat awal lagi.  Dengan adanya rizab
yang besar bagi gas asli, iaitu kira-kira 76.7 trilion  kaki
padu  standard,  dan oleh kerana kepelbagaian gunaannya, gas
asli adalah bahan yang  paling  sesuai  sebagai  `feedstock'
untuk   menghasilkan   bahan-bahan   petrokimia.      Projek
petrokimia pertama yang terbesar dilaksanakan  dalam  negara
yang  menggunakan  sumber  asli  tempatan  ialah projek baja
kimia ASEAN di Bintulu yang mula beroperasi pada tahun 1985.
Saya  difahamkan  bahawa  semenjak  itu  PETRONAS   sentiasa
meninjau   pilihan-pilihan  lain  untuk  petrokimia,  dengan
mengambilkira keperluan untuk memenuhi  permintaan  pasaran.
Sejajar  dengan  aspirasi  nasional, saya berbangga PETRONAS
telah  melaksanakan  beberapa  projek  petrokimia,  termasuk
projek  MTBE/Propylene  dan Polypropylene ini.  Saya percaya
negara menyanjungi  'prudence'  dan  'commercial  viability'
yang  diambilkira  oleh  PETRONAS  semasa  memilih  bahagian
petrokimia yang disertai olehnya.
8.    Dalam usaha kita  menjadi  sebuah  negara  maju,  satu
perkara  yang  harus  kita  beri  perhatian  ialah keperluan
mengambilkira kepentingan  menjaga  alam  sekitar.    Dengan
perkembangan perindustrian dan urbanisasi yang begitu pesat,
tekanan  terhadap  alam  sekitar  kini  mula dirasai.   Pada
tahun-tahun  1950an  dan  1960an,  oleh  kerana   penggunaan
kenderaan  bermotor  tidak  begitu  besar,  pengeluaran asap
kereta tidak begitu mencemarkan udara.    Tetapi  pada  hari
ini,  jumlah  kenderaan telah berlipat ganda, iaitu daripada
670,000 buah pada tahun 1970 kepada 5.5 juta buah pada tahun
1990.  Dengan peningkatan bilangan kenderaan ini, maka  asap
yang  mengandungi  plumbum  yang  dikeluarkan  ke udara kini
semakin mengancam alam sekitar dan juga kesihatan.   Keadaan
ini  semakin meruncing dengan peningkatan bilangan loji-loji
industri yang mengeluarkan sisa-sisa  kotoran  kerana  semua
ini memberi kesan buruk terhadap mutu alam sekitar.
9.      Justeru  itu  langkah-langkah  yang  sesuai harus di
pertingkatkan bagi  mengimbangi  pembangunan  dan  keperluan
memelihara kualiti alam sekitar.
10.            Kerajaan telah pun mengambil tindakan melalui
penguatkuasaan  undang-undang  pada  bulan Julai, 1985 untuk
mengurangkan kandungan plumbum dalam gasolin, dari 0.84 gram
kepada 0.4 gram bagi  seliter,  dan  kemudiannya  diturunkan
lagi kepada 0.15 gram seliter pada bulan Januari, 1990.
11.     Dalam  usaha  Kerajaan  untuk  mengurangkan  masalah
pencemaran udara, penubuhan loji MTBE ini adalah sesuai  dan
tepat  pada  masanya.   Selain daripada menggantikan plumbum
dalam gasolin  sebagai  'octane  booster',  MTBE  juga  akan
meningkatkan  mutu  gasolin  tanpa  plumbum  yang  dijual di
negara ini.
12.  Sesetengah negara telah  pun  mengiktirafkan  sumbangan
positif MTBE sebagai 'oxygenate'.  Amerika Syarikat misalnya
telah  memperkenalkan  Akta Udara Bersih yang memperuntukkan
penggunaan minimum 'oxygenate' dalam gasolin tanpa  plumbum.
Begitu   juga  dengan  Thailand  yang  telah  memperkenalkan
penggunaan MTBE dalam pengadunan gasolin.    Singapura  pula
telah  memperkenalkan insentif cukai istimewa bagi loji-loji
penapis yang mengadun petrol tanpa plumbum.   Malaysia  juga
telah   mengambil   langkah-langkah   pro-aktif  yang  sama.
Sepertimana yang  diumumkan  baru-baru  ini,  harga  gasolin
tanpa  plumbum  akan lebih murah tiga sen seliter pada tahun
hadapan untuk menggalakkan penggunaan bahan api  yang  lebih
bersesuaian   dengan   alam  sekitar  atau  'environmentally
friendly fuel'.  Langkah selanjutnya ialah  pemansuhan  duti
import  sebanyak  35  peratus  dan  cukai jualan sebanyak 10
peratus  bagi  'catalytic  converters'   bagi   menggalakkan
penggunaan alat mengawal keluaran asap.
13.   Dengan menggalakkan lebih banyak kenderaan menggunakan
gasolin tanpa  plumbum  dan  juga  menerusi  usaha  PETRONAS
menggalakkan  penggunaan  gas asli untuk kenderaan atau NGV,
adalah  diharapkan  mutu  udara  di  kawasan-kawasan  banyak
lalulintas,  terutama  di  bandar-bandar,  akan  benar-benar
dapat dipertingkatkan.
14.            Dengan beroperasinya loji polypropylene  ini,
saya  yakin  PETRONAS  akan  dapat  memainkan  peranan  yang
penting sebagai pengeluar 'full-fledged' bagi 'monomers' dan
'polymers'.  Ini tentu sekali akan  berjaya  memerangsangkan
perkembangan industri plastik tempatan.
15.   Penggunaan plastik per kapita di Malaysia masih rendah
berbanding dengan negara-negara lebih  maju.    Dengan  loji
ethylene   dan   polyethylene  yang  dijadualkan  siap  pada
pertengahan tahun 1995, saya percaya industri plastik negara
akan lebih bersedia untuk memasuki  fasa  pengembangan  yang
baru.    Dengan  adanya  jaminan bekalan bahan-bahan mentah,
Malaysia dijangka  dapat  terus  mengekalkan  daya  saingnya
dengan  pengeluaran bahan-bahan yang berasaskan plastik.  Di
samping itu, para pengilang  dan  'fabricators'  akan  lebih
berpeluang   untuk   beralih   daripada  hanya  mengeluarkan
bahan-bahan  gantian  kepada  menghasilkan  barangan   nilai
ditambah dan barangan siap atau 'finished products'.
16.    Dengan  wujudnya kompleks di Gebeng ini maka Malaysia
melangkah setapak lagi ke hadapan dalam  bidang  petrokimia.
Projek   ini  juga  akan  menjadi  sebagai  penggerak  untuk
pembangunan Kawasan Perindustrian Gebeng, di samping menjadi
nadi kepada industri-industri  lain  yang  akan  ditempatkan
semula  di  kawasan  ini.    Rakyat negeri Pahang kini dapat
menikmati  hasil  sampingan  daripada  projek  ini  menerusi
peluang-peluang  pekerjaan  baru  yang  diwujudkan  dan juga
daripada segi peningkatan kemahiran penduduk tempatan.
17.  Saya mengucapkan selamat maju jaya  kepada  rakan-rakan
kongsi  projek  ini  dan  PETRONAS.    Dengan ini juga, saya
dengan   sukacitanya    merasmikan    Kompleks    Petrokimia
MTBE/Propylene dan Polypropylene ini.
                        
 
 



 
Google