Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PELABUHAN KLANG, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	29/11/93 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN LAMAN MISC 


 
    Saya  mengucapkan   terima   kasih   kepada   Malaysian
International  Shipping  Corporation  Berhad  (MISC), kerana
menjemput saya pada  hari  ini  untuk  merasmikan  pembukaan
Laman  MISC  dan  melancarkan  MISC Trucking and Warehousing
Services dan MISC Container Services.
2.    Langkah MISC mempelbagaikan  lagi  kegiatannya  kepada
kegiatan  pengangkutan  trak  dan pergudangan serta kegiatan
membaiki dan membaikpulih kontena  adalah  satu  usaha  yang
bijak.  Walaupun kegiatan tersebut akan memakan masa panjang
untuk   memberi   keuntungan  ianya  adalah  penting  kepada
perusahaan perkapalan MISC dan rangkaian pengangkutan negara
serta program perindustrian Malaysia.
3.   Satu implikasi penting daripada  kegiatan-kegiatan  ini
ialah   industri-industri  di  Malaysia  dapat  mengurangkan
pergantungan    kepada    syarikat-syarikat     perkhidmatan
pengangkutan asing.
4.      Kegiatan  pengangkutan mempunyai saingan yang hebat.
Justeru itu MISC harus mengambil langkah-langkah yang sesuai
untuk mempertingkatkan  mutu  perkhidmatan  pengangkutannya.
MISC  harus  peka kepada perkembangan-perkembangan baru yang
berlaku di sektor pengangkutan  di  dalam  dan  luar  negara
supaya  daya  saingannya  dapat  terus dipertingkatkan untuk
terus maju.
5.    Salah satu faktor penting  untuk mengekalkan kedudukan
kita  adalah memastikan perkhidmatan  yang  disediakan  oleh
kita sentiasa  kompetitif  dan  mempunyai  kelebihan   untuk
berkembang   mengikut  kesesuaian  dan  permintaan  pasaran.
Perkhidmatan pengangkutan sekarang tidak terkecuali daripada
ancaman beberapa  kesatuan  ekonomi di  negara-negara  Barat
yang  telah   menunjukkan  sikap  perlindungan  dan  'inward
looking'.    Sekatan-sekatan perdagangan yang diadakan untuk
memanfaatkan  sesuatu  kumpulan  dan  menghalang  persaingan
adalah satu pendekatan yang tidak sihat.  Mereka yang sering
mengungkit soal 'level playing field' membisu apabila mereka
memiliki 'advantage' seperti saiz dan modal. Yang ditumpukan
hanyalah kepada apa juga 'advantage' yang sedikit  yang  ada
kepada  kita.  'Fairness' serta keadilan tidak boleh diharap
kan oleh kita.   Justeru  itu  kita perlu bekerja lebih kuat
dan meningkatkan kecekapan  kita,  di samping mempertahankan
apa juga  'comparative advantage' yang ada pada kita.
6.      Berdasarkan pencapaian ekonomi negara-negara di Asia
Tenggara pada tahun-tahun  kebelakangan  ini,  adalah  jelas
bahawa rantau ini sedang melangkah untuk menjadi satu rantau
ekonomi  yang  disegani  dunia  tidak lama lagi.   Sementara
perdagangan di rantau ini begitu meningkat, keadaan  ekonomi
di  negara-negara  Barat  masih  berada  di tahap yang sama,
malah  ada  antara  mereka  yang  kini   sedang   menghadapi
berbagai-bagai masalah termasuk kemelesetan.
7.      Memandangkan dagangan antara negara-negara di rantau
ini semakin meningkat, maka  permintaan  untuk  perkhidmatan
pengangkutan  dijangka  turut bertambah.  Saya berharap MISC
akan terus meningkatkan program pembaharuan  dan  pembesaran
angkatan  kapalnya  untuk  memenuhi  permintaan perkhidmatan
pengangkutan yang kian meningkat itu.  Ini akan  membolehkan
negara  lebih dikenali daripada segi penyediaan perkhidmatan
kapal laut bagi keperluan di  rantau  ini.    Ia  juga  akan
mengurangkan  pengaliran wang ke luar negara yang disebabkan
pengangkutan 'sea freight' diusahakan oleh syarikat-syarikat
asing.
8.      Dalam tempoh dua abad yang lalu, industri perkapalan
telah   mengalami   perubahan   yang  ketara  daripada  segi
teknologi dan  organisasi.    Perubahan-perubahan ini  bukan
sahaja telah memberi kesan kepada industri perkapalan tetapi
juga  mempengaruhi  sektor   pengangkutan  yang  lain  serta
pusat-pusat  pemunggahan   seperti   pelabuhan   dan   pusat
pengedaran.
9.   Salah satu perkembangan yang ketara adalah pengangkutan
'multi-modal'    berkontena   yang   bertujuan   membolehkan
pergerakan   barangan   di   bawah    penyelenggaraan    dan
tanggungjawab  satu  pengendali  sepanjang  perjalanan  dari
pembekal kepada pelanggan.  Para pengguna tidak  perlu  lagi
menghubungi  beberapa  syarikat dalam rangkaian perkhidmatan
pengangkutan untuk memastikan angkutan barangan mereka  dari
satu  tempat  ke tempat yang lain.  Sebaliknya, mereka hanya
perlu  menghubungi  sebuah   syarikat   sahaja   yang   akan
mengendalikan   kesemua   keperluan   pengangkutan  barangan
mereka.
10.      Ini   akan   mempertingkatkan   lagi   'efficiency'
perkhidmatan  pengangkutan  secara menyeluruh.   Kita dapati
sekarang perkembangan industri  untuk  eksport  di  Malaysia
kian   pesat.     Eksport  barangan  perindustrian  Malaysia
melebihi eksport barangan lain dengan  mencatat  71  peratus
daripada  nilai  eksport negara.  Justeru itu adalah penting
untuk   memastikan   bahawa   ruang   muatan    perkhidmatan
pengangkutan  juga  berkembang  selari  dengan  perkembangan
sektor eksport barangan perindustrian  dan  import  'capital
goods' untuk industri Malaysia.
11.    Ini  bererti  ruang muatan perkapalan harus ditambah.
Lebih penting daripada itu ialah kecekapan pengurusan  kapal
dan  pelabuhan.    Kapal yang tidak bergerak kerana menunggu
untuk dimuat atau dipunggah  di  pelabuhan  merugikan  semua
pihak,  termasuk negara.  Ini adalah kerana kegiatan melabuh
dan  punggah-memunggah akan dipindahkan ke pelabuhan  negara
asing.   Dengan itu bukan sahaja kita akan hilang pendapatan
daripada punca ini tetapi juga  pertumbuhan  pelabuhan  kita
akan turut tersekat.
12.   Dalam hal ini, Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama
Malaysia boleh memainkan peranan yang  lebih  penting  dalam
memastikan ianya menjadi sebuah pusat pemunggahan yang utama
di rantau ini.  Apatah lagi Pelabuhan Klang sudah diisytihar
kan sebagai pelabuhan bebas cukai.  Pemeriksaan kastam  bagi
barangan  yang  diimport  untuk  dieksport semula tidak lagi
akan mengganggu dan melewatkan  urusan  dagangan.   Demikian
juga industri  yang  ditempatkan  di Pelabuhan  Klang  untuk
pasaran luar negeri boleh terus  mengeksport barangan mereka
tanpa pemeriksaan kastam.
13.   Dengan penswastaan Klang Container  Terminal  Bhd  dan
Klang  Port  Management  Sdn.  Bhd.  adalah  dijangka bahawa
kecekapan pelabuhan ini  akan  meningkat  lagi.    Kemudahan
tambahan   yang   sedang   dibina  di  Pulau  Indah  bererti
pertambahan ruang muatan Pelabuhan Klang.
14.    Perkhidmatan  sampingan  ke  Pelabuhan  Klang   harus
ditambah   supaya   pelabuhan   tersebut   dapat   memainkan
peranannya sebagai sebuah pusat pemunggahan  dan  pengedaran
atau 'distribution centre' di rantau ini.  Adalah diharapkan
pihak  MISC  sebagai syarikat perkapalan nasional akan terus
menolong  menjayakan  Pelabuhan  Klang   sebagai   pelabuhan
'entrepot'.
15.  Langkah MISC untuk mengambil ekuiti sebanyak 25 peratus
dalam  Klang  Port  Management Sdn. Bhd. adalah satu langkah
yang menentukan kepentingan  MISC  berkait  langsung  dengan
kejayaan Pelabuhan Klang.
16.    Seperti  yang  saya  nyatakan  tadi, kita harus sedar
bahawa kegiatan perkapalan dan pelabuhan sentiasa menghadapi
persaingan yang hebat, terutamanya di rantau  ini,  di  mana
terdapat  beberapa  pelabuhan yang terkenal yang menjalankan
kegiatan 'entrepot'.   Sudah pasti  pelabuhan-pelabuhan  ini
akan  cuba  dengan  sedaya upaya untuk mengekalkan kedudukan
mereka.
17.   Sama ada kita  berjaya  menyaingi  mereka  atau  tidak
bergantung  kepada dedikasi dan kecekapan kita.  Alatan yang
terkini boleh diadakan tetapi dengan sendirinya alatan tidak
akan menolong peningkatan  prestasi  pelabuhan  ini.    Yang
tidak kurang penting, bahkan yang amat berkesan sekali ialah
kecekapan    pengendalian    segala   alat   dan   kemudahan
punggah-memunggah dan 'turn around time' yang terpendek yang
mungkin.  Pengurusan Pelabuhan Klang tidak boleh  lupa  akan
hakikat ini.
18.    Kegiatan-kegiatan lain yang ditempatkan di Laman MISC
ini seperti pengangkutan trak,  pergudangan  serta  membaiki
dan  membaikpulih  kontena,  kesemuanya adalah penting dalam
usaha Malaysia untuk  membina  satu  rangkaian  pengangkutan
yang  cekap  dan  menjadi sebuah negara maritim yang sebenar
bagi   menyokong   program   pembangunan   negara    melalui
perindustrian.    Kegiatan-kegiatan  ini  juga akan membantu
membentuk  satu   sistem   pengangkutan   'multi-modal'   di
Malaysia.
19.    Memang  benar  pada  mulanya  banyak  kerumitan  akan
ditemui.  Ini adalah perkara biasa.   Juga  menjadi  perkara
biasa ialah peningkatan kecekapan melalui pengalaman.  Lebih
banyak pengalaman lebih cekaplah kerja dan pengurusan.  Jika
kerja  diambil berat dan dipelajari betul-betul, insya-Allah
kecekapan akan diperolehi dengan lebih cepat lagi.   Hakikat
ini  perlu  diingati  oleh  semua pihak yang terlibat dengan
MISC dan Pelabuhan Klang.
20.    Sebelum  mengakhiri  ucapan   ini,   saya   mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada MISC sempena
ulangtahunnya  yang  ke-25  dan  saya berharap 25 tahun yang
akan datang akan terus membawa kejayaan.
21.    Dengan  ini,  saya  dengan   sukacitanya   merasmikan
pembukaan  Laman  MISC ini dan melancarkan MISC Trucking and
Warehousing Services serta MISC Container Services.
                          
 
 



 
Google