Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MALAYAWATA STEEL BERHAD DI PRAI,
PULAU PINANG
Tarikh/Date : 20/12/93
Tajuk/Title : UPACARA PEMBUKAAN LOJI ROD DAWAI DAN
PELANCARAN LOJI PEMBUATAN
KELULI NO. 2
Saya mengucapkan terima kasih kepada Malayawata Steel
Berhad kerana menjemput saya untuk merasmikan Pembukaan Loji
Rod Dawai dan Pelancaran Loji Pembuatan Keluli No. 2 pada
hari ini.
2. Saya sukacita mendapati bahawa Malayawata telah berjaya
menyelesaikan segala masalah yang lepas, untuk muncul
sebagai sebuah organisasi yang lebih padu dan efisien di
dalam industri besi waja dalam negara hari ini. Apa yang
lebih meyakinkan ialah kesediaan Malayawata untuk terus maju
ke hadapan, dan tidak sekadar berpuas hati dengan segala
yang telah dicapai setakat ini, sepertimana jelas di dalam
pembukaan Kilang Rod Dawai dan Pelancaran Kilang Pembuatan
Keluli No. 2 hari ini.
3. Malayawata boleh diibaratkan sebagai anak pertama di
dalam industri besi waja kita dan berkat semangat
perintisnya, syarikat ini telah berjaya dalam segala bidang
yang ada. Ianya merupakan satu nama yang berpengaruh di
dalam sektor pembuatan keluli kita pada masa ini.
Pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen, dedikasi dan
taat setia pekerja-pekerja syarikat. Prestasi Malayawata
yang cemerlang memperkukuhkan lagi kepercayaan saya bahawa
semangat inovasi dan dedikasi di kalangan kakitangan adalah
amat perlu untuk kejayaan sesebuah syarikat.
4. Malayawata telah membuka jalan kepada penubuhan
industri besi waja kita. Ia, saya kira, merupakan
syarikat yang pertama di dalam memperkenalkan teknologi
pembuatan keluli ke negara ini. Ianya adalah antara
syarikat-syarikat usahasama Malaysia-Jepun dan Kilang Keluli
Bersepadu yang pertama di Malaysia. Ia menyemarakkan
kebolehan kita di dalam pengilangan besi waja dengan relau
bagas yang pertama di Asia Tenggara. Dan tidak syak lagi,
upacara hari ini merupakan permulaan kepada kejayaan
Malayawata di dekad akan datang, sekaligus memperkukuhkan
kedudukannya di dalam industri keluli kita.
5. Dekad akan datang akan menyaksikan kemunculan kita
sebagai sebuah negara industri. Negara industri tidak akan
wujud melainkan ia mempunyai industri besi waja yang dapat
menampung sekurang-kurangnya separuh daripada keperluannya
sendiri. Kita akan memerlukan besi waja bukan hanya untuk
pembinaan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan bangunan
tetapi juga sebagai bahan untuk diproses menjadi
produk-produk yang lebih tinggi nilainya. Oleh itu, kita
hendaklah menyediakan banyak peluang untuk industri ini
tumbuh bersama pembangunan negara.
6. Penubuhan loji keluli bukan sahaja melibatkan modal
yang besar. Ianya memerlukan pengurusan yang komited dan
canggih, infrastruktur dan komunikasi yang baik serta tenaga
buruh yang mahir. Syarikat keluli juga perlu berupaya
menghadapi persaingan. "The pressures of technology
developments and marketing expertise will push companies
towards specialising -- such as producing rods and bars,
flat products, special steel, etc." Oleh itu pembukaan loji
baru Malayawata ini yang akan mengeluarkan keluli untuk
pembinaan dan kejuruteraan adalah satu langkah yang tepat.
Dari sini ia harus berkembang mengeluarkan gred-gred keluli
khas untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam industri.
7. Malayawata telah berkecimpung di dalam industri ini
selama 25 tahun. Ia telah menimba kepakaran yang boleh
menyumbang ke arah mengukuhkan lagi industri keluli negara.
Rancangannya untuk berkembang dan mempelbagaikan kegiatannya
adalah hasil daripada kekuatan ini. Kekuatan ini saya yakin
boleh menentukan industri keluli Malaysia memasuki fasa
pengeluaran keluli yang mempunyai nilai ditambah yang lebih
tinggi.
8. Bagaimanapun, sehingga hari ini industri ini tidak
banyak melabur dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan
atau R & D. Masanya sudah tiba bagi Malayawata berusaha
mendirikan satu pusat R & D dan satu Pusat Latihan bagi
industri keluli di negara ini.
9. Keperluan untuk menjadi lebih kompetitif dirasakan
lebih mendesak memandangkan pelaksanaan sekim CEPT bagi
Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN. "The CEPT scheme provides
for the elimination of all quantitative barriers upon
enjoyment of the concessions and an elimination of other
non-tariff barriers within five years after the enjoyment of
the concessions." Industri keluli patut mengambil
'advantage' daripada AFTA dan mempelbagaikan barang-barang
keluarannya. Langkah ini akan meningkatkan keupayaan
industri keluli untuk menembusi pasaran eksport di rantau
ini. Sebenarnya, Malaysia dianggap oleh pengeluar-pengeluar
keluli asing sebagai pangkalan yang baik bagi pengeluaran
barang-barang keluli untuk dieksport ke rantau Asia
tenggara. Ini lebih-lebih lagi memandangkan rantau ini
dijangka mengalami pertumbuhan yang tinggi dalam permintaan
bagi 'flat products'. Ini adalah hasil daripada
perkembangan pesat industri-industri yang menggunakan
barang-barang jenis tersebut.
10. Di Malaysia pasaran bagi 'flat products' ialah di
antara satu hingga dua juta tan metrik setahun dan ini
dijangka meningkat kepada tiga juta tan metrik dalam jangka
waktu beberapa tahun akan datang dan sehingga lima juta tan
metrik menjelang tahun 2000.
11. Kepada banyak negara yang menandatangani Multilateral
Steel Agreement (MSA), tindakan Amerika Syarikat mengenakan
'countervailling duties' dan sekatan 'anti-dumping' adalah
membimbangkan. Negara-negara ini terpaksa mencari pasaran
alternatif ataupun mengurangkan pengeluaran. Ini bukanlah
satu pilihan yang mudah memandangkan di seluruh dunia
industri keluli kini adalah dalam keadaan kurang sihat.
Bagaimanapun tidak semua ini disebabkan oleh kemerosotan
ekonomi. Barang-barang plastik dan bahan-bahan yang lain
telah berjaya mengambilalih pasaran daripada keluli. Walau
bagaimanapun prospek bagi industri keluli telah beransur
pulih.
12. Oleh itu pengeluar-pengeluar keluli Malaysia seharusnya
mengambil peluang ini untuk mencari pasaran-pasaran eksport
baru di Asia Timur dan Asia Tengah. Pengeluar-pengeluar
keluli juga patut melaksanakan strategi yang menumpu ke arah
menjamin supaya harga-harganya adalah stabil. Untuk
menjamin harga-harga tetap stabil mereka hendaklah
mengamalkan pendekatan yang berdisiplin terhadap
pengeluaran.
13. Keadaan bekalan yang berlebihan serta pasaran dunia
yang meningkat merupakan faktor-faktor utama yang seharusnya
membuat pengeluar-pengeluar keluli tempatan lebih
berpandangan jauh. Langkah-langkah mesti diambil untuk
meningkatkan pertalian atau 'linkages' di antara
syarikat-syarikat huluan dengan hiliran. "A scheme similar
to the Vendors Development Programme recently established
for the electronics industry, will enable upstream companies
to get easy access to a fund to support and nurture the
growth of downstream industries. There is great potential
for steel fabrication and manufacture in the machinery and
engineering sector, especially if importers are able to
source their components locally."
14. Memandangkan industri ini dijangka menghadapi lebihan
'capacity', industri keluli di negara ini hendaklah
meningkatkan 'competitivenessnya' bagi memenuhi permintaan
pasaran-pasaran tempatan dan eksport. Lazimnya matlamat
pengeluar-pengeluar keluli di seluruh dunia ialah kuantiti
dan bukan kualiti. Ini telah menyebabkan banyak
'shortcomings' dalam industri ini, termasuk lebihan
'capacity', harga-harga yang rendah dan kemelesetan di dalam
industri-industri pelanggan. Di sebaliknya,
pengeluar-pengeluar keluli di Jepun yang mendapat permintaan
tempatan yang menggalakkan daripada industri-industri
otomotif, pembinaan dan jentera, menikmati pulangan yang
tinggi. Sementara harga-harga keluli pada keseluruhannya
telah merosot di Eropah, harga-harga keluli di Jepun terus
kukuh. Industri ini di Jepun juga menghadapi lebihan
'capacity' pada awal 1980an. Bagaimanapun ianya masih
merupakan 'the fittest' di dunia setelah
pengeluar-pengeluarnya melaksanakan program-program
'diversification'.
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
Malayawata kerana menjemput saya ke upacara hari ini.
Dengan pelaburan dan pembesaran kedua-dua Kilang Rod Dawai
dan pembuatan keluli ini, saya yakin syarikat ini akan maju
dan akan dapat meluaskan pasarannya ke luar negara.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Pembukaan Loji Rod Dawai dan Pelancaran Loji Pembuatan
Keluli No. 2 Malayawata Steel Berhad.
|