Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	WISMA KWONG WAH YIT POH, 
			PULAU PINANG 
Tarikh/Date 	: 	20/12/93 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN BANGUNAN BARU WISMA 
			KWONG WAH YIT POH 


 
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada pihak pengurusan
akhbar  Kwong  Wah  Yit  Poh  kerana  menjemput  saya  untuk
merasmikan  bangunan  barunya 'Wisma Kwong Wah Yit Poh' yang
indah tersergam ini pada hari ini.   Saya  juga  mengucapkan
tahniah kepada semua kakitangan dan tenaga pengurusan akhbar
Kwong  Wah  Yit Poh sempena ulangtahun akhbar ini yang ke-83
pada hari ini.
2.    Pembinaan bangunan baru bagi sebuah akhbar  yang sudah
lama   wujud   ini   jelas  menunjukkan  kesihatan  industri
persuratkhabaran di negara kita Malaysia.   Biasanya  akhbar
tidak  tahan lama.   Dengan pertukaran sekitaran, kerap kali
akhbar lenyap dan diganti  dengan  akhbar-akhbar  yang  baru
yang  lebih  sesuai dengan selera zaman.  Justeru itu akhbar
yang berusia  panjang  adalah  unik  dan  pemiliknya  berhak
berbangga dengan ketahanannya.
3.    Dalam  jangkamasa 83 tahun  negara  kita telah melalui
pemerintahan yang bertukar bersilih-ganti.  Akhbar Kwong Wah
Yit Poh mula diterbitkan di zaman pemerintahan British.   Di
zaman  kolonial  itu  tidak ada kebebasan bagi akhbar-akhbar
milik penduduk tempatan.  Akhbar yang popular pada masa  itu
ialah  The  Straits  Times  dan  The  Straits  Echo,  akhbar
berbahasa Inggeris yang menyokong kerajaan kolonial.
4.      Apabila Malaya jatuh ke tangan Jepun,  akhbar  milik
orang tempatan tidak dapat diterbitkan.   Hanya ada beberapa
'Shimbun' keluaran Pemerintahan Tentera Jepun.
5.    Akhbar tempatan dapat diterbitkan semula selepas Tanah
Melayu   diperintah   semula   di   bawah  British  Military
Administration  atau  B.M.A.     Penerbitan   akhbar   dapat
diteruskan  setelah  Pentadbiran  Tentera British digantikan
dengan kerajaan sivil Malayan Union  dan  Persekutuan  Tanah
Melayu   atau   Federation  of  Malaya.    Pada  tahun  1957
Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya  mencapai
kemerdekaan  dan memilih sistem demokrasi berparlimen.  Dari
masa itu industri  persuratkhabaran  mula  berkembang  maju.
Hari  ini,  kerana  kebebasan tertentu yang diberikan kepada
industri ini, terdapat banyak akhbar dan majalah  yang  baru
serta berkualiti yang diterbitkan di seluruh negara.  Dengan
ini  akhbar-akhbar  yang  lama  seperti  Kwong  Wah  Yit Poh
terpaksa menghadapi persaingan yang hebat.    Bahawa  akhbar
Kwong  Wah  Yit  Poh  dapat terus diterbitkan bermakna ianya
dapat  menyesuaikan  diri  dengan  selera  masyarakat   dari
sebelum  hingga  selepas  merdeka  serta  generasi kini yang
lebih terpelajar  dan  lebih  kritikal.    Saya  mengucapkan
syabas dan tahniah kepada Kwong Wah Yit Poh.
6.      Malaysia  kerap dituduh oleh negara-negara Barat dan
media mereka  sebagai  tidak  memberi  kebebasan  berakhbar.
Kononnya  semua  akhbar  di  Malaysia  dikawal oleh Kerajaan
supaya   tidak   mengkritik   Kerajaan.      Ini   dikatakan
bertentangan   dengan   amalan  demokrasi.     Negara-negara
demokratik di Barat dan beberapa  negara  di  Asia  kononnya
memberi kebebasan sepenuhnya kepada akhbar-akhbar mereka.
7.      Sebenarnya  tidak  ada negara di dunia ini, sama ada
demokratik atau tidak demokratik di mana akhbar  benar-benar
bebas  dan  melaporkan kejadian yang sebenar.  Semua berita,
rencana atau pojok dalam media cetak atau elektronik dikawal
oleh pihak tertentu sehingga pembaca  atau  pendengar  hanya
akan  mendapat  laporan  atau  rencana yang dipengaruhi oleh
pihak ini sahaja.   Mereka  yang  menguasai  akhbar  menapis
semua  berita  supaya  kepentingan  mereka  terpelihara  dan
diutamakan.
8.   Pihak yang menguasai akhbar tidak  selalunya  kerajaan.
Kerapkali  yang menguasai media ialah pemilik atau pengarang
atau pemberitanya.  Sama ada kerajaan  atau  pengarang  atau
pemilik  atau  pemberita,  hakikatnya  ialah mereka mengawal
akhbar atau majalah.   Kawalan oleh  sesiapa  juga  bermakna
kebebasan  tidak  ada.    Jika Kerajaan yang demokratik yang
mengawal, sekurang-kurangnya  mereka  dipilih  dan  direstui
oleh  rakyat.    Pihak lain tidak dipilih atau direstui oleh
rakyat.  Mereka bertindak hanya bagi kepentingan mereka atau
kepentingan   falsafah   atau   ideologi   mereka   sendiri.
Kongkongan  oleh  orang  perseorangan atau kumpulan tertentu
adalah lebih tidak adil daripada kawalan oleh Kerajaan.
9.     Demikian yang berlaku  di  negara-negara  Barat  yang
didakwa  sebagai  demokratik.    Akhbar-akhbar  mereka kerap
memihak kepada puak Konservatif atau  puak  Buruh  atau  apa
juga parti yang ada.  Berita, analisa berita, pojok, rencana
pengarang  dan  'slant'  berita  dalam  akhbar  yang memihak
kepada  Konservatif  tetap  mendokong  puak   dan   Kerajaan
Konservatif.   Sebaliknya akhbar yang cenderung kepada Parti
Buruh tetap mendewa-dewakan falsafah sosialis  dan  Kerajaan
Buruh  jika  Parti  Buruh  memerintah.   Secara langsung ada
akhbar mereka dikawal oleh Kerajaan.  Yang lain dikawal oleh
pembangkang.   Dan yang 'bebas' dikawal  oleh  pemilik  atau
pengarangnya.
10.    Di  dalam akhbar-akhbar ini, penulis atau orang ramai
yang mempunyai pendirian  yang  bertentangan  tidak  dilayan
atau  dilayan  secara  terhad  sahaja.    Jika pendapat yang
bertentangan dengan akhbar berkenaan disiarkan,  maka  pihak
pengarang  akan  menjawab  tentangan  itu dalam keluaran itu
juga.    Kemudian  diulangi  jawapan  berkali-kali  sehingga
pendapat penentang dapat dihapuskan.
11.    Sementara amalan ini diterima di negara Barat sebagai
secocok  dengan  demokrasi,  tetapi  jika   negara   seperti
Malaysia  mempunyai  akhbar  yang  menyokong  Kerajaan, maka
dengan serta merta tuduhan dibuat kononnya Kerajaan mengawal
semua akhbar.   Bahawa  adanya  akhbar  yang  menentang  dan
mencerca  Kerajaan di negara ini tidak diambilkira.  Tumpuan
hanya  diberikan  terhadap  akhbar-  akhbar  yang  menyokong
Kerajaan,   sebagai   tanda  kononnya  tidak  ada  kebebasan
berakhbar di negara ini.
12.  Justeru itu apabila sahaja laporan dibuat  oleh  akhbar
Barat berkenaan Malaysia, ianya tidak pernah lupa menekankan
soal tidak adanya kebebasan berakhbar di negara ini.  Bahawa
mereka  sendiri  dikongkong  dan  dikuasai  oleh pihak-pihak
tertentu tidak sedikitpun memalukan mereka.
13.   Demikianlah  kongkongan  terhadap  akhbar-akhbar  oleh
pemilik-pemilik  di  Barat  sehingga  ada  tuanpunya  sebuah
akhbar menggunakannya untuk  mendedahkan  keburukan  seorang
pengusaha  lain  kerana  pengusaha itu berjaya mengambilalih
satu rangkaian 'department store'  di  United  Kingdom  yang
diminati oleh tuanpunya akhbar yang terkenal itu.
14.  Kebebasan akhbar juga telah menyebabkan laporan-laporan
yang  tidak  berasas  disiarkan  sehingga  memburuk-burukkan
negara atau individu tertentu.   Kadangkala  laporan-laporan
akhbar  itu  berjaya  menggagalkan usaha-usaha perdamaian di
antara  dua  negara   yang   berperang.      Demikian   juga
kadang-kadang disiarkan laporan-laporan yang palsu dan tidak
benar sama sekali.
15.    Dalam  keghairahan untuk mendapatkan berita, perasaan
mangsa-mangsa  tragedi umpamanya, sering tidak  dipedulikan.
Dengan  kasarnya  soalan-soalan diajukan dengan bertalu-talu
oleh wartawan-wartawan kepada sasaran mereka walaupun mereka
ini masih dalam keadaan sedih dan pilu.
16.   Penjenayah dan pembunuh dibayar  dengan  bayaran  yang
amat  tinggi untuk mendapatkan cerita mereka sehingga mereka
ini menjadi kaya-raya kerana melakukan jenayah.   Sebaliknya
pendedahan    dibuat terhadap si mangsa, sama ada benar atau
tidak,  sehingga si  mangsa  pula  mengalami  tekanan  jiwa.
Semua ini dibuat dengan alasan 'sanctity of press freedom'.
17.   Di Malaysia kita mempunyai beberapa 'sensitivities' --
antaranya ialah sensitiviti berkenaan kaum.  Sensitiviti ini
jika dipermain-mainkan boleh membawa kepada rusuhan kaum dan
huru-hara.   Atas  sebab  itu  Kerajaan  terpaksa   mengawal
penerbitan akhbar.  Ini adalah satu alat yang berkesan untuk
menentukan akhbar-akhbar di Malaysia tidak sengaja memainkan
isu-isu kaum sehingga boleh mencetuskan rusuhan kaum.
18.    Selain daripada itu, akhbar-akhbar di Malaysia adalah
bebas.  Dan ini jelas daripada isi kandungan beberapa akhbar
dan

 

 



 
Google