Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/93
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 1994
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Negara baru sahaja diselubungi kesedihan kerana tragedi
Kondominium Highland Towers baru-baru ini yang meragut
banyak nyawa. Kita semua bersimpati dengan keluarga mangsa
tragedi ini. Kita berdoa agar Allah Subhanahu wa Ta'ala
mencucuri rahmat ke atas mereka yang menjadi mangsa.
2. Setiap sesuatu yang berlaku tetap mempunyai pengajaran.
Kita percaya demikian jugalah dengan tragedi ini. Hari ini
kita semua sedar akan pentingnya kita mengambilkira segala
kemungkinan apabila membuat sesuatu.
3. Di waktu yang sama rakyat Malaysia boleh berbangga
dengan usaha yang tidak tahu penat-lelah yang ditunjukkan
oleh pasukan-pasukan polis, tentera, bomba, badan sukarela
seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan persatuan-persatuan
lain serta orang awam untuk menyelamatkan mangsa-mangsa
tragedi tersebut. Kerajaan mengucapkan terima kasih dan
tahniah kepada semua yang terlibat termasuk pasukan-pasukan
penyelamat dari Jepun, Singapura dan Perancis.
4. Jika kita ingin tahu sama ada sifat-sifat penyayang ada
kepada rakyat Malaysia, reaksi mereka terhadap tragedi ini
bolehlah dijadikan bukti.
5. Sementara kita boleh gembira kerana menyambut tahun
baru 1994, kita tentulah tidak akan lupa untuk bersyukur
banyak-banyak kerana kita terselamat. Dalam keadaan dunia
yang terus bergolak, rakyat Malaysia tentu insaf dan
bersyukur kerana kita bukan sahaja dijauhi daripada
penderitaan akibat peperangan atau persengketaan kaum atau
perang saudara, tetapi sebaliknya dikurniakan kemakmuran dan
kemajuan yang berterusan.
6. Keadaan aman, stabil, tenteram dan makmur serta
kemajuan yang kita nikmati sekarang bukanlah wujud secara
kebetulan atau datang bergolek kepada kita. Sebenarnya
sebahagian besarnya adalah hasil usaha gigih dan kerjasama
semua pihak -- rakyat, Kerajaan, pekerja dan pengusaha.
Penggemblengan padu usaha semua golongan, alhamdulillah,
telah membolehkan Malaysia mencapai prestasi yang terus
menggalakkan di semua bidang sepanjang tahun 1993.
7. Semua masyarakat di mana-mana negara inginkan
kemakmuran dan kebahagiaan. Untuk ini banyak teori dan
ideologi dicipta. Ada yang berpendapat bahawa manusia akan
merasa bahagia jika kekayaan dibahagi-bahagikan secara sama
rata kepada semua anggota masyarakat. Dengan itu dibentuk
dan diamalkan ideologi seperti sosialisme dan komunisme,
serta suatu sistem negara kebajikan di mana segala kebajikan
rakyat ditanggung oleh Kerajaan, dari buaian hingga ke liang
lahad.
8. Niat untuk merata dan menyamakan semua rakyat memang
baik tetapi ideologi-ideologi ini tidak mengambilkira naluri
manusia. Persamaan antara kita hanyalah di waktu kita
dilahirkan, di waktu mana kita semua bersih daripada segala
dosa. Sama ada kita berjaya atau tidak menjadi manusia yang
baik atau sebaliknya apabila membesar, bergantung kepada
sikap dan usaha kita. Pihak lain boleh menolong kita.
Kerajaan boleh menolong kita. Tetapi akhirnya yang membawa
kejayaan atau tidak kepada kita ialah usaha kita sendiri.
9. Sebab itu anggota masyarakat tidak boleh berharap
kepada masyarakat atau Kerajaan untuk menyediakan semua
kemudahan seperti yang dijanjikan oleh negara kebajikan atau
'welfare state' ala Barat. Mengharapkan pihak lain bekerja
keras dan lebih bertanggungjawab tetapi dengan upahan yang
sama supaya kita yang tidak bekerja keras dan kurang
bertanggungjawab mendapat kebahagiaan hidup adalah tidak
waras. Jika semua pihak diberi nikmat yang sama, tidak akan
ada sesiapa yang ingin memikul kerja yang berat. Dan tidak
ada cara untuk menjadikan semua kerja sama ringan.
Percubaan untuk membayar gaji yang sama untuk kerja yang
berbeza-beza hanya akan menghalang kemajuan masyarakat.
Negara yang tidak maju dan makmur tidak mungkin memberi
kebahagiaan hidup kepada rakyatnya. Yang mudah dibahagikan
secara sama rata ialah kemiskinan dan hidup merana. Negara
kebajikan yang bergantung kepada paksaan undang-undang tidak
akan berjaya menjadi negara kebajikan. Sebab itulah
negara-negara komunis sudah musnah dan negara sosialis dan
'welfare state' menghadapi masalah ekonomi yang merosot.
10. Tetapi ini tidak bermakna negara kebajikan tidak boleh
diwujudkan sama sekali. Ia boleh diadakan jika ada rakyat
yang mampu dan cekap dan boleh mengejar kekayaan dengan
bebas. Jika masyarakat mempunyai sifat-sifat penyayang dan
sanggup menghulur derma dan bantuan dengan rela hati kepada
yang kurang bernasib baik maka negara kebajikan boleh
diwujudkan. Tetapi tujuannya bukanlah supaya yang tidak
bernasib baik menjadi sama kaya dengan penderma. Tujuannya
ialah untuk mengurangkan nasib buruk mereka yang tidak
berjaya kerana apa juga sebab. Dengan itu jurang antara
yang miskin dengan yang kaya tidaklah terlalu jauh.
11. Kerajaan masih mempunyai peranan dalam negara
kebajikan seperti ini. Kerajaan mengenakan cukai terhadap
yang kaya untuk membiayai kemudahan-kemudahan yang boleh
digunakan oleh semua. Tetapi cukai tidak harus terlalu
tinggi sehingga melemahkan semangat pihak yang berkebolehan
menambah kekayaan mereka. Orang yang cekap mencari kekayaan
berguna kepada kebajikan masyarakat dan negara. Jika tidak
ada mereka, atau, seperti dalam negara komunis di mana
mereka tidak dibenar mengumpulkan harta kekayaan, tidak akan
ada cukai yang boleh dipungut oleh Kerajaan untuk
perbelanjaan kepentingan awam. Sudah tentu masyarakat tidak
boleh menumpang mereka yang kaya jika mereka tidak ada.
12. Teori bahawa Kerajaan boleh mengadakan perniagaan dan
perusahaan dan mengambil semua keuntungan dan tidak hanya
sebahagian sahaja melalui cukai adalah tidak berasas.
Perniagaan Kerajaan biasanya rugi, terutama jika semua
anggota dan kakitangan syarikat Kerajaan dibayar gaji yang
sama seperti disarankan oleh komunis dan sosialis. Lagipun
sistem birokrasi Kerajaan menyekat pengurusan daripada
bertindak sebagai orang berniaga. Dengan itu keuntungan
sukar diperolehi. Pengalaman di Malaysia ialah syarikat
Kerajaan perlu bantuan Kerajaan sepanjang masa.
13. Syarikat milik Kerajaan juga kerap menghadapi tuntutan
kenaikan gaji dan tindakan mogok oleh pekerjanya. Jika
tuntutan tidak dilayan, Kerajaan mungkin tidak mendapat
sokongan apabila pilihanraya diadakan. Dengan melayan
tuntutan pula, kerugian akan bertambah atau harga barangan
yang dikeluarkan akan naik. Pendapatan Kerajaan akan
semakin berkurangan dan tidak dapat membiayai bekalan untuk
kepentingan awam.
14. Sebaliknya Kerajaan tidak boleh mencari keuntungan yang
berlebihan. Dengan itu Kerajaan sebagai pemilik perniagaan
tidak boleh membayar gaji yang baik kepada kakitangannya.
Dengan gaji yang rendah, rakyat, yang kebanyakannya bekerja
dengan Kerajaan dalam negara kebajikan ala barat tidak dapat
membeli barangan mewah yang biasanya memberi keuntungan yang
tinggi.
15. Banyak lagi masalah yang dihadapi oleh
syarikat milik Kerajaan. Hakikatnya ialah teori sosialis
atau komunis yang berkata bahawa jika semua punca kekayaan
dimiliki oleh Kerajaan, maka Kerajaan boleh memberi
kehidupan yang bahagia kepada semua rakyat adalah tidak
benar. Masyarakat manusia memerlukan kebebasan untuk
mencari kekayaan bagi diri sendiri. Tugas Kerajaan ialah
menolong mereka ini mencari seberapa banyak kekayaan secara
halal, dan kemudian mengenakan cukai yang berpatutan untuk
mengagihkan kekayaan itu kepada seluruh masyarakat supaya
mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih tinggi mutunya.
16. Di Malaysia kita mempunyai falsafah yang tersendiri.
Kita memberi kebebasan yang sepatutnya kepada semua pihak.
Kita percaya semua pihak, daripada pekerja kasar hingga
kepada pengusaha, pemodal, ahli politik dan pengurus
mempunyai peranan. Peranan mereka tidaklah sama tetapi
mereka semua tetap menyumbang kepada apa juga kemajuan.
17. Pada satu ketika di barat, pemodal dianggap orang yang
terpenting sekali. Mereka dengan itu menjadi begitu tamak
sehingga tidak menghargai peranan pengurusan atau pekerja.
Masyarakat mereka memanglah masyarakat kapitalis. Kerana
mereka terlalu tamaklah maka revolusi komunis dan sosialis
telah berlaku.
18. Masyarakat sosialis dan komunis yang terlalu
mengutamakan pekerja juga tidak mendatangkan kejayaan dan
keadilan. Hari ini di Barat muncul pula masyarakat yang
terlalu menghargai pengurus. Kononnya penguruslah yang
menjayakan segala perniagaan dan perusahaan. Dengan itu
mereka menuntut gaji yang amat tinggi dengan bonus dan
opsyen saham dan faedah-faedah atau `perks' yang lain.
19. Dalam usaha mereka untuk menunjuk kejayaan pengurusan
mereka, pengurus-pengurus cuba mencatat keuntungan yang
besar supaya boleh membayar dividen yang tinggi. Dengan itu
mereka akan mendapat upah yang bertambah dan banyaklah
syarikat gergasi yang cuba 'membeli' mereka dengan tawaran
gaji yang semakin tinggi.
20. Di Malaysia juga sudah terserap falsafah ini. Pengurus
menuntut gaji dan 'perks' yang semakin tinggi. Sudah ada
yang meminta dibayar jumlah upahan berbagai-bagai bentuk
bernilai hampir dua juta ringgit setahun.
21. Sebenarnya pengurus-pengurus yang tamak seperti inilah
yang menyebabkan syarikat-syarikat gergasi di Amerika
Syarikat gagal dan bankrap, dan ekonomi Amerika merosot.
Mereka terlalu mengutamakan keuntungan cepat bagi syarikat
mereka sehingga tidak ada pelaburan untuk pembesaran
perniagaan dan usaha Penyelidikan dan Pembangunan atau
R & D. Dengan itu mereka menjadi tidak kompetitif dalam
pasaran.
22. Nasib yang malang inilah juga yang akan melanda
syarikat-syarikat di negara ini jika pengurus dan pengarah
urusan menuntut gaji yang terlalu tinggi.
23. Kita bernasib baik kerana kita masih terus maju. Dan
kita akan terus maju jika kita berhati-hati, bersikap
sederhana dan tidak tamak. Sama ada kita buruh kasar atau
pemilik syarikat gergasi atau pengurus besar, sama ada kita
di pihak awam atau swasta, tidak ada sesiapa daripada kita
yang begitu penting sehingga tidak perlu kepada orang lain.
Semua kita mempunyai peranan, sama ada kecil atau besar.
Justeru itu kita perlu menilai dan menghargai semua pihak
secara adil dan saksama.
24. Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada budaya,
iaitu jumlah semua nilai hidup dan kepercayaan bangsa itu.
Empayar yang terbesar dalam sejarah pun runtuh apabila
budayanya tidak sesuai lagi dengan kemajuan. Jika pada hari
ini kita masih terus maju sebabnya ialah kerana kita belum
lupa daratan.
25. Peristiwa keruntuhan kondominium Hulu Klang
membuktikan bahawa kemewahan tidak menghapuskan sifat-sifat
penyayang dan keinsafan di kalangan kita. Alhamdulillah.
Kita susuli peristiwa ini dengan mengambil berbagai-bagai
keputusan dan tindakan yang kita percaya boleh menolong kita
mengelak daripada berulangnya tragedi seperti ini. Tetapi
hendaklah kita elak daripada sikap yang keterlaluan terhadap
bangunan tinggi atau kemudahan moden yang lain.
26. Sebagai bangsa yang waras kita harus berani meneruskan
pembangunan negara kita. Kita akan berhati-hati dan akan
mengambil segala tindakan yang diperlukan. Tetapi kita
tidak akan lari daripada cabaran pembangunan negara moden.
27. Dalam tahun-tahun yang akan datang kita akan menghadapi
lebih banyak cabaran. Sebagai bangsa yang ingin maju, yang
ingin dihormati kita mesti menerima hakikat ini dan
menyediakan diri kita. Budaya yang tahan cabaran hendaklah
dibentuk dan diamalkan oleh kita semua, di samping falsafah
yang telah kita bentuk bersama.
28. Pada permulaan tahun 1994 ini, marilah kita
memperbaharui azam kita untuk mengamal nilai-nilai yang
mulia supaya dapat kita membangunkan negara kita, Malaysia,
insya-Allah.
Selamat Tahun Baru.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|