Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/01/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS ANUGERAH USAHAWAN 
			WANITA HARAPAN 


 
    Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih
kepada  PENIAGAWATI  kerana  menjemput  saya dan isteri saya
untuk hadir di Majlis Anugerah Usahawan Wanita  Harapan  '93
pada malam ini.
2.      Anugerah seperti ini sudah pasti dapat mendorong dan
memberi  motivasi  kepada  lebih  ramai  lagi  wanita  untuk
menceburkan  diri  di dalam perniagaan.  Galakan seperti ini
memanglah sesuai  dan  tepat  pada  masanya  kerana  sesuatu
pencapaian  yang  cemerlang  harus diberi pengiktirafan jika
kita mahu melihat lebih ramai lagi usahawan wanita, terutama
Bumiputera, maju dalam bidang perdagangan dan perindustrian.
Bagi usahawan-usahawan yang telah lama berkecimpung di dalam
dunia perniagaan pengiktirafan mereka adalah selaras  dengan
sumbangan   mereka   kepada  masyarakat.     Dalam  hal  ini
Peniagawati boleh memainkan  peranan  yang  penting  sebagai
jentera penggerak di dalam mewujudkan usahawan-usahawan baru
ataupun mempertingkatkan perniagaan-perniagaan yang diwakili
oleh kaum wanita, terutamanya wanita Bumiputera.
3.      Usaha Peniagawati untuk mengadakan Anugerah Usahawan
Cemerlang ini adalah selaras  dengan  dasar  Kerajaan  untuk
menggalakkan  lebih  ramai lagi wanita berkecimpung di dalam
dunia  perniagaan.      Perusahaan   dan   aktiviti-aktiviti
perdagangan  merupakan  satu  tulang  belakang  yang penting
untuk mendokong usaha Kerajaan ke arah negara  perindustrian
yang maju dan dinamik.
4.      Saya  telah  berkali-kali  menekankan  bahawa budaya
sesuatu bangsa akan menentukan maju-mundurnya bangsa itu.
5.    Di kalangan Bumiputera di Malaysia  memanglah  menjadi
sebahagian  daripada  budaya  mereka  untuk  wanita bergerak
lebih aktif daripada  lelaki  dalam  bidang  perniagaan  dan
perusahaan.    Di  mana-mana  juga  kita lihat wanita Melayu
umpamanya sibuk berniaga, kadang-kadang dari rumah ke  rumah
menjaja    barang-barang   kemas   atau   kain   baju,   dan
kadang-kadang di pasar.   Berbagai-bagai jenis  makanan  dan
barangan  tenunan  juga  dikeluarkan  oleh kaum wanita untuk
jualan.
6.    Budaya ini memang baik dan harus  diteruskan.    Hanya
yang  diperlukan  sekarang  ialah  penyesuaian  dengan  alam
pasaran  moden.    Barangan  dan  khidmat  yang   dipasarkan
sekarang  sudah  jauh berubah dan skelnya sudah menjadi jauh
lebih besar.  Selain daripada itu tidak ada banyak perubahan
yang tidak boleh dipelajari dan diamalkan oleh kaum wanita.
7.     Umumnya wanita lebih  berdisiplin  dan  cermat  dalam
pengurusan  wang.    Ini  juga  adalah hasil daripada budaya
masyarakat tempatan.   Ini menjadikan wanita  lebih  mungkin
untuk  berjaya.    Lagipun,  perniagaan  secara  moden tidak
mempunyai banyak misteri.   Sesiapa  sahaja  boleh  berniaga
asalkan  sanggup  melengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat
yang diperlukan dan bersedia  untuk  bekerja  kuat  mengejar
kejayaan  dengan disiplin.   Soal bangsa dan keturunan tidak
relevan melainkan daripada segi budaya.   Dan  budaya  boleh
diserap  secara  sedar dengan tidak perlu menanti budaya itu
menjadi budaya bangsa.
8.     Kita telah menetapkan  supaya  negara  kita  Malaysia
mengejar  pembangunan  sehingga  menjadi negara maju.  Untuk
pembangunan ekonomi kita memerlukan kecekapan perniagaan dan
perusahaan.  Penyertaan wanita dalam usaha ke arah ini  amat
penting   memandangkan   mereka  memiliki  sifat-sifat  yang
sesuai.  Di samping itu, kita juga memerlukan seberapa ramai
daripada rakyat Malaysia menyumbangkan tenaga dan kepintaran
bagi menjayakan pembangunan negara.  Jika wanita  dipisahkan
dan  tidak menyumbang segala aset yang ada pada mereka, maka
separuh daripada tenaga kita akan hilang.  Jika  diambilkira
kualiti-kualiti  tertentu  yang  ada  pada wanita yang boleh
menolong kemajuan  negara,  pengasingan  wanita  dari  dunia
perniagaan   dan   perusahaan  boleh  menghalang  kelancaran
pembangunan.  Sebab itu tenaga  wanita  mesti  digemblengkan
secara berterusan dan rapi.
9.      Memang  pun ada jenis-jenis kerja dan bidang di mana
wanita mempunyai kebolehan yang istimewa.  Di sebaliknya ada
pula jenis kerja yang tidak sesuai untuk wanita.    Pendapat
moden  bahawa  untuk  persamaan  wanita  dengan  lelaki maka
wanita mesti membuat apa  sahaja  yang  dibuat  oleh  lelaki
tidak   penting  dan  tidak  boleh  diterima.    Tetapi  ada
bidang-bidang  yang  mana  sehingga  kini  menjadi  'domain'
lelaki   yang   sebenarnya   boleh   disertai  oleh  wanita.
Umpamanya bidang  kejuruteraan.    Penyertaan  wanita  dalam
bidang  ini  akan  menolong  mengisi  keperluan tenaga kerja
dalam bidang ini.   Tetapi  langkah  ini  tidaklah  sehingga
bidang-bidang  yang  khusus  bagi wanita ditinggalkan.  Kita
tidak perlu kepada jenis budaya yang menimbulkan  kekeliruan
sama  ada  seseorang  itu  wanita atau lelaki.   Keterlaluan
dalam  kecenderungan  mengasingkan  wanita  daripada  lelaki
hanya akan meningkatkan fokus kepada perkara ini.
10.    Umat  Islam yang hari ini perlu berlumba-lumba dengan
orang  lain  tidak  boleh  mengenepikan   separuh   daripada
tenaganya  iaitu wanita tanpa melemahkan umat Islam sehingga
dihina dan ditindas  selama-lamanya.    Mereka  yang  begitu
asyik  dengan  soal  kewanitaan  wanita sehingga tidak dapat
melihat kepentingan  lain  untuk  melindung  dan  memuliakan
Islam dan umat Islam belum tentu mengikuti ajaran Islam yang
sebenar.      Islam  yang  tidak  mengambilkira  keadaan  di
sekeliling tidak akan hidup subur dan maju.  Dan menyebabkan
agama Islam menjadi pudar dan umat Islam lemah bukan suruhan
Islam.   Apabila  mempersoalkan  masalah  wanita,  janganlah
ditekankan   hanya  tentang  jantina  mereka,  kerana  Islam
mengambilkira faktor-faktor lain juga.
11.  Usaha Peniagawati untuk membuka badan-badan perhubungan
di setiap negeri di mana  badan  perhubungan  ini  bertindak
sebagai penyalur maklumat dan pembuka peluang-peluang kepada
ahli-ahli  untuk berinteraksi adalah sungguh baik dan bijak.
Bahawa Peniagawati telah  dipilih  mewakili  Malaysia  untuk
bergabung  dengan  ' Women's World Entrepreneur Association'
yang dianggotai oleh lebih 30 buah negara di  seluruh  dunia
mencerminkan  keupayaan  dan  taraf  pencapaian Peniagawati.
Gabungan ini akan membolehkan Peniagawati  menyumbang  terus
kepada  pertubuhan  antarabangsa ini.  Secara tidak langsung
ini juga akan memberi pendedahan  dan  peluang  'networking'
kepada ahli-ahli Peniagawati.
12.    Peniagawati  diharapkan  dapat meneruskan usaha murni
untuk menyedarkan seluruh masyarakat, terutama  kaum  wanita
bahawa   dunia   keusahawanan  adalah  sesuatu  bidang  yang
kompetitif, penuh risiko tetapi membawa peluang dan kepuasan
yang tinggi.   Justeru itu  kaum  wanita  haruslah  berusaha
dengan   berganding   bahu   serta   dengan   gigih  merebut
peluang-peluang perniagaan yang terbuka luas di negara kita,
di samping melahirkan golongan wanita yang mampu  berdikari,
cekal,  bersemangat  dan  sekaligus  mendapat  pengiktirafan
masyarakat.  Mereka mempunyai peranan bagi memajukan  wanita
masa kini dan generasi baru.
13.    Saya  mengucapkan  tahniah  kepada  pemenang-pemenang
Anugerah Usahawan Wanita Harapan '93 pada malam ini.
                           
 
 



 
Google