Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/01/94
Tajuk/Title : PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN
FRANCAIS SERENTAK DENGAN PERASMIAN
PERSIDANGAN FRANCAIS
ANTARABANGSA MALAYSIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Unit Penyelarasan
dan Pelaksanaan dan Persatuan Francais Malaysia kerana
menjemput saya untuk melancarkan Program Pembangunan
Francais serta merasmikan Persidangan Francais Antarabangsa
Malaysia. Majlis pada hari ini sungguh bermakna kerana
inilah julung-julung kalinya Persidangan Francais
Antarabangsa diadakan di negara ini.
2. Negara kita telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang
agak cemerlang pada tahun lalu dengan kadar pertumbuhan
sebanyak 8.1 peratus. Kadar pertumbuhan ini dijangka akan
meningkat lagi jika tidak pun sekurang-kurangnya
dipertahankan dalam beberapa tahun yang akan datang. Kesan
positif daripada kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini
ialah pendapatan dan taraf hidup rakyat Malaysia semakin
baik.
3. Sebahagian besar penduduk kita telah menjadi semakin
mewah atau 'affluent' dan kemajuan ekonomi telah mewujudkan
peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Di samping itu,
peratusan isi rumah yang merupakan 'dual income earner' juga
telah meningkat. Masyarakat yang mewah sering mempunyai
citarasa yang berbeza daripada keluarga atau ibu bapa mereka
sebelum ini. Dalam memenuhi keperluan seharian, mereka
lebih mementingkan 'convenience', mutu dan khidmat yang
cepat atau 'prompt services'.
4. Dengan perubahan citarasa ini, cara-cara melayan
pelanggan juga perlu diubahsuai. Perniagaan cara lama yang
kurang teratur dan tidak mengambilkira standard, kualiti dan
masa tidak lagi sesuai dengan citarasa baru ini.
5. Sebenarnya perubahan telahpun berlaku dan akan berlaku
dengan lebih cepat lagi. Para peniaga dan pemberi khidmat
atau 'service providers' yang tidak dapat menerima hakikat
perubahan ini akan ketinggalan dan mungkin perniagaan dan
perkhidmatan mereka akan lenyap. Sebagai contoh, tidak
banyak lagi terdapat kedai-kedai kopi di Bandaraya Kuala
Lumpur pada masa ini. Kebanyakannya telah diganti dengan
restoran makanan segera. Begitu juga kedai runcit telah
diganti dengan pasaraya atau 'supermarket' jika tidak pun
'mini-market'. Bengkel kereta di bawah pokok juga telah
mula diganti dengan pusat servis kenderaan yang dilengkapi
dengan alat-alat diagnostik yang canggih. Perubahan ini
sekali lagi membuktikan bahawa masyarakat kita umumnya
mementingkan khidmat yang mudah, cepat dan berkualiti.
Gerai-gerai kecil dan tidak teratur di tepi-tepi jalan yang
menghalang jalan masuk keluar bagi rumah-rumah dan
kedai-kedai akan menjadi perkara lampau. Ini bukan bermakna
perniagaan kecil akan terhapus, tetapi cara perniagaan kecil
perlu disesuaikan dengan zaman. Sebenarnya dengan
keuntungan yang diperolehi oleh peniaga kecil, mereka mampu
melabur dalam perniagaan yang lebih canggih.
6. Semua perubahan ini membawa implikasi kepada
pembekal-pembekal khidmat bahawa sekiranya mereka mahu
berjaya mereka perlu menyesuaikan perkhidmatan dan
perniagaan mereka dengan perubahan masa dan keperluan
masyarakat. Ini penting kerana keperluan dan kehendak
pengguna kian meningkat dan canggih.
7. Dengan perubahan citarasa pelanggan, kaedah menjalankan
perniagaan juga telah berubah. Perniagaan dan pemberian
khidmat secara 'independent' mungkin tidak sesuai lagi,
kecuali bagi mereka yang mempunyai modal yang besar.
Perniagaan berbentuk 'sole proprietor' dan perkongsian
antara dua atau tiga orang rakaniaga tidak menjanjikan
pulangan yang tinggi dan tidak membolehkan mereka menikmati
faedah perniagaan dan ekonomi yang besar. Perniagaan bentuk
ini boleh berkembang tetapi memerlukan masa yang panjang,
modal yang besar dan tenaga kerja sendiri oleh pemilik
perniagaan berkenaan.
8. Di negara-negara maju misalnya, perniagaan berbentuk
'sole proprietor' atau 'mom and pop store' dan perkongsian
ini telah banyak diganti dengan perniagaan yang menggunakan
sistem francais. Perniagaan melalui sistem francais telah
mengubah bentuk perniagaan di Amerika Syarikat dan
negara-negara maju yang lain seperti Kanada, Britain,
Perancis dan Jepun.
9. Di Amerika Syarikat sahaja terdapat lebih 558,000 unit
perniagaan francais pada tahun 1992 yang menyumbangkan
jualan bernilai kira-kira US$803 billion atau 35 peratus
daripada jumlah nilai jualan runcit. Adalah dijangkakan
nilai jualan daripada unit-unit francais ini akan meningkat
kepada US$1 trillion pada tahun 2000 dengan satu unit
francais dibuka dalam tempoh enam setengah minit di Amerika
Syarikat. Pada tahun 1992 juga, perniagaan melalui sistem
francais ini telah mewujudkan lebih daripada lapan juta
peluang pekerjaan di negara tersebut. Perniagaan melalui
sistem francais begitu menarik sekali kerana peratus
kejayaannya tinggi berbanding dengan perniagaan kecil biasa.
Mengikut kajian, perniagaan francais yang gagal adalah
dalam lingkungan lima peratus sahaja berbanding dengan 62.2
peratus bagi perniagaan baru yang bukan berbentuk francais.
10. Begitu juga di Jepun perniagaan melalui sistem francais
telah berkembang dengan pesatnya. Pada tahun 1980 hanya
terdapat 48,500 unit perniagaan francais dan ini telah
meningkat sebanyak 182 peratus kepada hampir 137,000 unit
pada tahun 1990. Manakala nilai jualan pula telah meningkat
sebanyak 323 peratus, iaitu daripada US$14 billion kepada
US$59 billion dalam tempoh yang sama.
11. Jelaslah bahawa `franchising has become a proven and
acceptable method of distributing products and services'.
Ini adalah kerana secara keseluruhannya perniagaan melalui
sistem francais akan mewujudkan 'a higher level of retailing
and service management, increase in productivity, create
more efficient distribution of products and services,
increase technical assistance and last but not least, it
will create a bigger tax base'.
12. Dalam konteks perancangan dan pelaksanaan di negara
kita untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera yang berdayatahan dan berdayamaju,
pelaksanaan perniagaan melalui sistem francais merupakan
suatu perubahan yang sesuai.
13. Ini adalah kerana dalam sistem francais, pemilik
francais, iaitu francaisor, sudahpun berpengalaman dalam
bidang perniagaannya. Sistem perniagaannya dan
masalah-masalah telahpun dikenalpasti dan diselesaikan.
Barangan atau khidmatnya sudahpun diperkenalkan kepada orang
ramai, dan francaisi tidak perlu menunggu sehingga produknya
dikenali baik daripada segi kualiti atau harga. Yang perlu
dipelajari oleh francaisi hanyalah sistem yang disediakan
dan pelaksanaan sistem itu dengan tertib. Dengan ini
kemungkinan perniagaan gagal dapat dikurangkan.
14. Kejayaan pelaksanaan sistem francais memerlukan `mutual
trust' dan 'collective responsibilities' terutamanya antara
francaisor dan francaisi. Francaisor ingin mempertahankan
jenamanya dan segala rahsia perdagangan yang istimewa
baginya, manakala pihak francaisi pula ingin menjaga
semangat keusahawanannya dan memperolehi keuntungan daripada
pelaburannya. Tanpa semangat dan kesanggupan bekerja dalam
satu 'network', perniagaan ala francais tidak mungkin
berjaya dan kedua-dua pihak tentunya akan mengalami
kerugian.
15. Di negara kita yang berbilang kaum ini permuafakatan
dalam perniagaan seperti ini adalah sesuai kerana ia
membantu mewujudkan suatu rantaian perniagaan yang amat
baik. Permuafakatan atau `marriage' melalui sistem francais
ini merupakan salah satu asas penting pencapaian matlamat
Wawasan 2020, iaitu pewujudan sebuah negara maju yang
bersatupadu, kukuh dan yang berasaskan satu bangsa Malaysia.
16. Kita seharusnya menerima hakikat bahawa negara kita
menjelang abad 21 akan mempunyai perniagaan yang tidak lagi
berbentuk 'sole proprietorship'. Perniagaan secara keluarga
tidak lagi boleh digunakan sebagai suatu `growth strategy'.
Tetapi jika kaedah francais digunakan, perniagaan secara
keluarga masih boleh dikembangkan, iaitu dengan satu
keluarga memiliki dan mengurus satu `outlet' sendiri. Ini
akan menjamin bahawa minat dan dedikasi ada bagi setiap
outlet. Dengan kaedah ini juga, peluang terbuka untuk
usahawan dan peniaga Bumiputera yang mempunyai modal dan
penuh komited melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan.
Melalui cara ini perkongsian pengalaman, `know-how' dan
sumber kewangan dapat dilakukan. Sementara pembukaan
cawangan milik syarikat induk memerlukan penyeliaan dari
jauh, francais `outlet' akan diurus oleh francaisi sendiri.
Modalnya hanya untuk `outletnya' sahaja. Peluang Bumiputera
memasuki perniagaan yang terkenal bertambah dengan sistem
ini. Namun sistem francais bukanlah cara untuk berniaga
tanpa modal sendiri sama sekali dan tanpa risiko. Sistem
francais adalah sistem perniagaan dan bukan sistem mendapat
duit percuma.
17. Kaedah francais harus dijadikan satu strategi yang
kreatif dan inovatif untuk mewujudkan unit atau 'outlet'
perniagaan yang baru. Apa yang lebih menarik lagi bagi
peniaga atau syarikat yang sudah menfrancaiskan perniagaan
mereka ialah, mereka dapat memperluaskan perniagaan mereka
tanpa menambah modal dan kakitangan sendiri. Di masa yang
sama kos tetap atau 'overhead' dan promosi boleh diagihkan
dan dengan itu dikurangkan.
18. Semua ini membolehkan pihak francaisor menumpu kepada
kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan atau R & D.
'Outlet' francais dalam bentuk 'networking' adalah lebih
bersifat 'complementary'. Sebenarnya perniagaan francais
merupakan satu falsafah perniagaan yang menggabungkan di
antara satu entiti perniagaan besar yang mempunyai
'reputation' dan sudah 'established' dengan francaisi yang
mempunyai inisiatif, modal dan pengetahuan mengenai pasaran
tempatan.
19. Untuk menggalakkan proses pembangunan ekonomi negara
ini dan mewujudkan kecekapan dalam pengurusan ekonomi,
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar yang inovatif.
Program penswastaan jabatan dan agensi kerajaan adalah
contoh yang baik. Masanya telah tiba bagi kita
memperkenalkan sistem 'franchising' sebagai salah satu
strategi yang baik untuk syarikat-syarikat Kerajaan.
20. Tambahan pula perniagaan francais membolehkan kita
mengurus pelaburan yang kita lakukan, tidak seperti
pelaburan dalam saham. Penyertaan melalui pembelian saham
tidak menjanjikan keupayaan kita untuk memiliki perniagaan
tersebut dan menentukan arah tujuannya kerana polisi dan
pengurusan perniagaannya dibuat oleh pihak lain. Pulangan
daripada perniagaan francais pula adalah sama jika tidak pun
lebih daripada dividen dan 'market appreciation' saham-saham
yang dibeli. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna
pelaburan di pasaran saham tidak baik. Jika kita
berhati-hati dan tidak terlalu mengharapkan kekayaan yang
senang, kita boleh melabur dalam pasaran saham. Pasaran ini
bukan untuk bermain-main.
21. Meskipun perniagaan francais mempunyai potensi yang
besar dan menguntungkan banyak pihak, perhatian perlulah
diberikan kepada konsep kerjasama francisor-francaisi.
Struktur perhubungan daripada segi perjanjian perundangan
hendaklah memberi kepuasan kepada francaisor dan francaisi
yang terlibat. Saya difahamkan bahawa Persatuan Francais
Malaysia baru ditubuhkan dan mempunyai peranan untuk
melaksanakan kawalan dalaman atau 'self-regulatory' bagi
menggalakkan pertumbuhan francais yang sihat.
22. Memandangkan perniagaan francais merupakan satu cara
perniagaan yang baru bagi kita, program promosi untuk
memperluaskan pemahaman konsep francais perlulah
dilaksanakan secara komprehensif, agresif dan kerap.
23. Perniagaan francais juga tidak semestinya hanya
tertumpu kepada perniagaan yang memerlukan modal yang besar
sehingga menyulitkan bakal-bakal francaisi untuk melibatkan
diri. Jika ini dibiarkan berlaku sampai bila pun perniagaan
mengikut kaedah francais tidak dapat diperkembangkan di
Malaysia. Banyak perniagaan dan perkhidmatan francais yang
tidak memerlukan modal yang besar. Perkhidmatan kedai
gunting rambut, membaiki kasut dan lain-lain adalah contoh
yang baik. Jenis perniagaan lain perlulah dikenalpasti dan
dimajukan pakej francaisnya.
24. Salah satu perniagaan tempatan yang belum dieksploit
potensinya secara sepenuhnya ialah 'hospitality business'.
Perniagaan yang termasuk dalam konteks ini ialah
perkhidmatan tempat penginapan, agen pelancongan dan
perjalanan dan 'cultural entertainment'. Sifat
'hospitality' atau 'layanan tetamu' sebenarnya tidak asing
bagi budaya sesuatu masyarakat dan negara. Memandangkan
industri pelancongan akan berkembang dengan pesat di
Malaysia, sudah sampailah masanya untuk mereka yang terlibat
dalam perniagaan 'hospitality' ini membangunkan satu
perkhidmatan yang berasaskan budaya tempatan seperti layanan
tetamu dan hiasan dalaman tempat penginapan.
25. Memandangkan potensi perniagaan francais yang begitu
besar di negara ini, Kerajaan telah menerima sistem francais
sebagai salah satu strategi ke arah pembentukan satu
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang
berdayatahan dan berdayamaju selaras dengan Dasar
Pembangunan Nasional. Semua urusan bersabit dengan francais
akan dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan
Pelaksanaan, iaitu sebagai Pusat Francais Setempat. Di
samping menentukan produk-produk francais yang sesuai,
pemilihan bakal-bakal francaisi dan francaisi induk adalah
kritikal.
26. Kejayaan pelaksanaan Program Pembangunan Francais
banyak bergantung kepada kerjasama semua pihak yang
terlibat. Di sini saya suka mengucapkan tahniah kepada
semua francaisi yang telah berjaya menyertai program ini.
Bagi francaisor-francaisor yang telah bersetuju menyertai
program yang ditaja oleh Kerajaan ini, saya mengucapkan
terima kasih di atas kesanggupan membantu menjayakan Program
Pembangunan Francais ini.
27. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Program
Pembangunan Francais dan seterusnya merasmikan Persidangan
Francais Antarabangsa Malaysia.
|