Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DI KAWASAN PERINDUSTRIAN BAKAR
ARANG, SUNGAI PETANI, KEDAH
Tarikh/Date : 28/01/94
Tajuk/Title : PERASMIAN KILANG PRIME GRANITE
(MALAYSIA) SDN. BHD.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Prime Granite (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana menjemput saya
untuk merasmikan kilangnya pada hari ini.
2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada syarikat Prime
Granite kerana keyakinannya menceburi bidang industri yang
amat penting dalam pembangunan negara ini, iaitu industri
bahan binaan dan pembinaan. Industri granit khususnya
mempunyai potensi untuk mengurangkan import kita dan
menaikkan eksport barangan Malaysia.
3. Kemajuan sektor perkilangan negara kita telah pun
mencapai tahap yang boleh dibanggakan dan dikagumi oleh
negara-negara membangun yang lain. Dalam tempoh jangkamasa
tahun 1988 hingga tahun 1993, ekonomi negara telah
berkembang dengan pesat sekali, iaitu purata lapan peratus
setahun. Sektor perkilangan juga terus mencatatkan
pertumbuhan yang menggalakkan. Sektor ini telah berkembang
sebanyak 12 peratus setahun dalam tempoh tahun 1991 hingga
tahun 1993 yang melibatkan peningkatan sumbangannya kepada
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada 26.9 peratus
pada tahun 1990 kepada 30.1 peratus pada tahun 1993. Punca
utama perkembangan sektor ini ialah sumbangan daripada
industri-industri yang berorientasikan eksport.
4. Selain daripada itu, industri-industri yang berasaskan
pasaran tempatan seperti industri bahan-bahan binaan juga
mencatatkan perkembangan yang kukuh. Ini adalah oleh sebab
pendapatan daripada perniagaan telah meningkat sehingga
mereka mampu menggunakan bahan mewah seperti granit untuk
bangunan-bangunan mereka.
5. Selaras dengan perkembangan keseluruhan dalam aktiviti
pembinaan, pengeluaran bahan-bahan yang berkaitan dengan
binaan telah bertambah pada tahun 1993. Anggaran terbaru
yang dibuat menunjukkan permintaan dan penawaran bahan-bahan
binaan bertambah pada kadar purata 15 hingga 20 peratus
setahun. Prestasi sektor pembinaan juga dijangka bertambah
baik pada tahun 1994 dengan peningkatan nilai tambahan
sebanyak 11.7 peratus.
6. Di negara ini potensi bagi industri granit untuk
berkembang adalah baik. Ini memandangkan industri ini masih
belum dimajukan sepenuhnya. Industri ini dianggap baru di
Malaysia dan syarikat pertama daripada empat syarikat yang
diluluskan hanya mula beroperasi di akhir tahun 1991.
Sebelum ini, 'marble tiles/slabs' adalah popular bagi
pembinaan rumah, hotel dan bangunan-bangunan komersil.
Walau bagaimanapun, `marble tiles/slabs' didapati tidak
begitu tahan lama dan memerlukan penjagaan rapi bagi
mengekalkan kecantikannya.
7. Sebaliknya 'granite tiles/slabs' didapati lebih
tahan lama dan kurang memerlukan
penjagaan rapi. Oleh itu, ia lebih mendapat tempat di
kalangan pembeli. Granit juga lebih tahan lasak yang
menjadikannya sesuai untuk kegunaan luaran sebagai hiasan
dinding.
8. Untuk menggalakkan pengeluaran 'granite tiles/slabs'
kerajaan telah menawarkan galakan cukai. 'Polished slabs
from locally-sourced granite' telah diwartakan sebagai
keluaran yang digalakkan dan layak mendapat galakan Taraf
Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan. Pemberian galakan ini
adalah tertakluk kepada syarikat memperolehi sekurang-
kurangnya 50 peratus granit daripada sumber tempatan.
9. Saya percaya ada potensi yang besar untuk mengeksport
'polished granite tiles' dan 'slabs' ke luar negeri.
Penggunaan granit untuk mengukir tulisan dan 'design' untuk
'commemorative plaque' akan menambah nilainya dan amat
sesuai untuk pasaran tempatan dan eksport.
10. Saya ingin mengingatkan semua pihak sekali lagi akan
pentingnya kita mengawal inflasi. Kerana inflasi kita
rendah, maka kos sara hidup juga rendah. Demikianlah kesan
baik daripada kos sara hidup yang rendah ini sehingga
sebenarnya daya membeli atau 'purchasing power' ringgit kita
adalah sekali ganda lebih daripada nilai sebenarnya. Dengan
perkataan lain, seringgit duit kita boleh membeli barang
yang nilainya dua ringgit.
11. Oleh sebab ini nilai gaji pekerja adalah lebih
daripada jumlahnya. Selagi kita dapat membendung inflasi
maka kos keluaran barangan kita akan terus rendah dan kita
akan dapat bersaing dalam pasaran dalam dan luar negeri.
Sebaliknya jika inflasi meningkat, pendapatan kita mungkin
bertambah tetapi kita tidak akan dapat membeli barangan atau
khidmat yang lebih daripada dahulu.
12. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan
kepada pihak pengurusan Syarikat Prime Granite (Malaysia)
Sdn. Bhd. di atas undangan ini. Saya juga mengucapkan
selamat maju jaya di dalam usaha mereka merintis bidang yang
agak baru juga di Malaysia. Saya yakin dengan usaha gigih
syarikat ini, ia akan menempuh kejayaan dan akan berusaha
memperkenalkan teknologi dan proses pengeluaran kepada
industri-industri lain.
13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kilang
Prime Granite (Malaysia) Sdn. Bhd.
|