Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PERKARANGAN PLANETARIUM NEGARA,
JALAN PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 07/02/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PLANETARIUM NEGARA
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Planetarium
Negara kerana menjemput saya dan isteri untuk hadir di
majlis ini dan seterusnya merasmikan Planetarium Negara pada
malam ini.
2. Penubuhan Planetarium Negara merupakan langkah
Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan
bagi perkembangan dan pembangunan sains angkasa di negara
ini. Dengan wujudnya planetarium ini adalah diharapkan
bidang sains angkasa di negara ini akan dimajukan selaras
dengan pembangunan negara. Untuk mencapai taraf negara
maju, Malaysia juga tidak boleh ketinggalan dalam bidang
sains dan teknologi, terutama sains dan teknologi angkasa.
Bagi mencapai Wawasan 2020, kita perlu menghasilkan
masyarakat saintifik dan progresif yang inovatif dan
berwawasan, yang bukan sahaja menggunakan teknologi tetapi
menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa
depan. Planetarium Negara boleh menjalankan tugas menambah
pengetahuan masyarakat kerana ia akan menyajikan program
yang secara langsung atau tidak langsung meningkatkan
kefahaman masyarakat terhadap sains secara keseluruhan.
Penubuhan Planetarium Negara di bawah Bahagian Kajian Sains
Angkasa juga merupakan langkah penting dalam membangunkan
kumpulan tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi
angkasa.
3. Konsep yang kita amal sekarang, iaitu mengenai diri,
tempat, sejarah dan prospek masa depan kesemuanya
berakar-umbi dan berasal daripada konsep astronomi. Tetapi
sejak tiga dekad yang lepas, kesedaran kita terhadap
angkasalepas dan bumi, sebagai planet yang berpenghuni,
telah dipengaruhi oleh suatu bidang baru yang dikenali
sebagai sains angkasa. Dalam banyak cara, sains angkasa
telah mendedahkan kita kepada suatu konsep yang baharu
mengenai dunia. Ia telah menyedarkan kita bahawa manusia
tinggal di sebuah planet yang mempunyai ruang dan sumber
yang terhad, dan disebabkan kedudukannya yang unik relatif
kepada matahari, ia hanya akan dapat terus menampung
kehidupan menerusi sistem yang sensitif dan juga yang mudah
termusnah. Tanpa pengetahuan sains angkasa dan teknologi
angkasa, fakta-fakta yang dinyatakan ini tidak akan disedari
dan dihayati serta disampaikan kepada masyarakat seluruh
dunia.
4. Oleh kerana peranan penting yang boleh dimainkan oleh
bidang sains angkasa, bidang ini kini mendapat lebih
keprihatinan daripada Kerajaan berbanding dengan masa-masa
yang lepas. Kerajaan menganggap sains angkasa penting
kerana impaknya ke atas politik antarabangsa, pertahanan,
sosio-ekonomi dan budaya negara kita. Kerajaan juga amat
prihatin atas sebarang usaha untuk mengeksploitasi ruang
angkasa atau mana-mana jasad samawi atau 'celestial body'.
5. Aktiviti-aktiviti di angkasa menunjukkan arah
aliran yang harus diberi perhatian oleh negara kita.
Sekarang terdapat usaha menjerat tenaga suria di angkasa
untuk disalur kepada permukaan bumi; sebuah stesen angkasa
berkemampuan menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan
industri akan ditubuhkan oleh satu konsortium antarabangsa
dalam abad 21 dan rancangan untuk menghantar manusia ke
planet Marikh masih belum dibatalkan walaupun ada beberapa
kerumitan.
6. Keputusan mengenai pengagihan orbit untuk satelit dan
frikuensi untuk telekomunikasi masih dikuasai oleh beberapa
negara tertentu walaupun secara formal jawatankuasa yang
membuat keputusan kononnya bersifat antarabangsa.
7. Sejak permulaan era penerokaan angkasa tiga puluh enam
tahun yang lalu, kerjasama antarabangsa dalam
mengeksploitasi ruang angkasa secara aman dan damai telah
berkembang dengan pesatnya. Terdapat banyak kerjasama dalam
aktiviti-aktiviti angkasa yang diusahakan di peringkat
antarabangsa, rantauan dan duahala pada ketika ini.
8. Dengan bermulanya abad ke dua puluh satu, jelaslah
bahawa aktiviti-aktiviti dan teknologi angkasa akan
memainkan peranan yang lebih penting dalam pembangunan
sosial dan ekonomi. Demikian juga teknologi angkasa akan
membekalkan maklumat yang penting kepada manusia sejagat
dalam mengeksploitasi hasil dan bahan mentah bumi tanpa
mendatangkan kesan yang buruk kepada alam sekitar. Era baru
dalam perhubungan antarabangsa, iaitu era kerjasama telah
membolehkan kerjasama antarabangsa secara keseluruhan dalam
aktiviti-aktiviti angkasa. Ini termasuklah penggunaan
teknologi angkasa untuk mengawasi alam sekitar dan
meningkatkan keberkesanan aktiviti-aktiviti diplomasi dan
keamanan.
9. Sebagai strategi untuk membangunkan industri
dan sains angkasa negara ini, langkah-langkah seperti
berikut patut diambil.
* Syarikat-syarikat dan institusi-institusi
Malaysia patut melibatkan diri dalam program-
program angkasa luar negara yang terpilih yang
selaras dengan kekuatan saintifik dan industri
tempatan;
* Mewujudkan perhubungan rasmi dengan agensi-agensi
angkasa di Eropah, Asia dan Amerika dalam program
atau projek bagi membolehkan penyertaan saintifik
dan industri Malaysia dalam projek-projek yang
selaras dengan strategi sains dan industri
Malaysia; dan
* Mempromosikan perhubungan kerajaan dengan
kerajaan yang lebih rapat di kalangan negara
serantau yang boleh membawa faedah bersama dalam
membangunkan aktiviti-aktiviti saintifik dan
komersil yang kekal kepada sains dan industri
Malaysia.
10. Dengan kedatangan sistem komunikasi satelit, sistem
panduarah satelit dan 'remote sensing', industri angkasa
yang lebih bermirip komersil telah dibangunkan.
11. Pasaran bukan-ketenteraan sahaja di peringkat
antarabangsa untuk industri angkasa ini telah menghasilkan
perdagangan berjumlah beberapa ribu juta ringgit setiap
tahun. Industri angkasa berada pada era kemuncak teknologi
baru dalam banyak bidang, termasuk elektronik, robotik,
bahan-bahan baru, sistem perejanan (propulsion), komunikasi,
pengecilan (miniaturisation) sistem-sistem, tenaga suria,
pemprosesan isyarat dan opto-elektronik.
12. Penemuan-penemuan baru dalam bidang angkasa
dapat menyumbang ke arah lain-lain industri termasuk
aeronautics, kejuruteraan aerospace, komunikasi, komputer
dan pertahanan. Oleh itu kita tidak harus lepaskan peluang
untuk menceburi industri angkasa, malahan memimpinnya.
13. Malaysia hari ini telah berjaya mewujudkan sebuah
sistem penerbangan yang terkenal di dunia. Fleet
kapalterbang kita ialah antara yang terbesar di rantau ini
dan Sistem Penerbangan Malaysia mempunyai reputasi yang
baik. Lima puluh tahun dahulu siapa menyangka negara kita
dapat maju dalam industri ini sehingga ke paras yang dicapai
sekarang?
14. Maka tidaklah mustahil bagi kita mewujudkan industri
angkasa yang setanding dengan negara lain. Pada masa ini
pun, sudah terdapat banyak aktiviti berkaitan angkasa dalam
sektor swasta dan awam.
15. Dalam sektor swasta, Technology Resources Industry
(TRI) telah melancarkan satelit komunikasi Rimsat 1, yang
dipunyainya bersama Syarikat Amerika, Rimsat Limited.
16. Kerajaan Malaysia juga mempunyai rancangan melabur
dalam industri angkasa. Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos
bercadang untuk melancar tiga satelit komunikasi, setiap
satu berharga RM600 juta, dalam tempoh masa tiga tahun; dan
ada kemungkinan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam
Sekitar melancarkan satelit bagi tujuan 'remote sensing' dan
cuaca.
17. Untuk membolehkan bidang sains angkasa di negara ini
terus dibangunkan dan berkembang, suatu dasar dan program
angkasa yang komprehensif perlu diadakan. Ini memandangkan
Malaysia akan menghadapi permintaan yang bertambah terhadap
keperluan dan perkhidmatan yang disediakan melalui teknologi
dan penggunaan angkasa. Keperluan ini termasuk pengawasan
alam sekitar, pencarigalian bahan mentah, pertahanan,
pengukuran dan pemetaan, penyelidikan, pendidikan,
kerja-kerja mencari dan menyelamat dan telekomunikasi.
18. Masa depan bagi kita memasuki industri angkasa adalah
amat cerah. Malahan, jika kita mahukan masa depan yang
berjaya, kita tidak ada pilihan melainkan menerokai industri
angkasa. Kalau dahulu kos meletak objek ke orbit angkasa
ialah beberapa ratus ribu ringgit setiap kilogram, kini
terdapat teknologi yang sedang dikaji yang boleh
mengurangkan kos ini kepada beberapa ratus ringgit sahaja
setiap kilogram.
19. Teknologi angkasa harus kita gunakan untuk
memanfaatkan rakyat negara ini. Untuk menggunakannya secara
yang paling menguntungkan daripada segi ekonomi dan sosial,
kita perlu mengambil langkah-langkah yang wajar. Penubuhan
Bahagian Kajian Sains Angkasa dengan Planetarium Negara ini
adalah satu langkah ke arah ini.
20. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Planetarium Negara.
|