home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, (PWTC) 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	08/02/94 
Tajuk/Title  	: 	SEMINAR MENANGANI CABARAN WAWASAN 
			2020: KE ARAH PEMBENTUKAN PARADIGMA 
			BARU PERKHIDMATAN AWAM (PM OFF 
			THE CUFF) 


 
     Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  INTAN kerana
menjemput saya  untuk  menyampaikan  pandangan  saya  kepada
peserta-peserta     seminar     yang     terdiri    daripada
Pegawai-pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam pada hari ini.
2.         Sepertimana  yang  diketahui   kita   telah   pun
mengenengahkan  Wawasan  2020 sebagai satu arah yang dituju,
sebagai dorongan bagi pembentukan mental,  sebagai  falsafah
pembangunan,  sebagai  asas  perancangan dan sebagai panduan
prilaku kita,  bagi  menentukan  kita  akan  menjadi  sebuah
negara   yang   benar-benar  maju  dan  dihormati.    Dengan
ringkasnya  Wawasan  2020  adalah  asas  kepada  pembentukan
budaya  bangsa yang berupaya menangani perubahan dan cabaran
serta mempelopori perubahan dan kemajuan.
3.    Untuk membentuk sebuah negara maju,  pemimpin-pemimpin
dan  pentadbir serta semua lapisan masyarakat perlu berupaya
membezakan antara nilai yang baik dan yang buruk bagi  kita.
Apa  yang  datang  dari  negara maju tidak semestinya sesuai
untuk kita.  Banyak  daripada nilai-nilai lama  dan  tradisi
bangsa   kita  seperti  perhubungan  kekeluargaan,  semangat
bantu-membantu dan sifat  hormat-menghormati  masih  relevan
dan baik untuk masa depan kita.
4.       Kita perlulah berupaya menggabungkan nilai baik dan
positif daripada tradisi kita dengan nilai moden yang sesuai
dengan kemajuan kita  di  samping  tidak  bercanggah  bahkan
dituntut oleh agama kita.
5.       Sejarah tamadun manusia menunjukkan bahawa kemajuan
bangsa dan negara dipengaruhi oleh banyak faktor.  Di antara
yang penting ialah:  kepimpinan yang baik yang dibantu  oleh
penasihat-penasihat   dan   pegawai-pegawai  yang  mempunyai
sifat-sifat yang sesuai dengan pembangunan negara.   Sesuatu
tamadun   tidak   akan  bertahan  lama  sekiranya  pemimpin-
pemimpin,   penasihat-penasihat,   pentadbir-pentadbir   dan
seluruh  masyarakat tidak dapat bekerjasama, tidak mempunyai
penyatuan pemikiran  dan  tidak  berjuang  untuk  menegakkan
keutuhan tamadun tersebut.
6.       Sebagai penjawat jawatan-jawatan awam tuan-tuan dan
puan-puan merupakan satu komponen penting  untuk  menentukan
wawasan kita dicapai di tahap ataupun yang melebihi daripada
matlamat  yang kita gariskan.  Sebagai penjawat jawatan awam
tuan-tuan  dan  puan-puan  merupakan  faktor  penting  dalam
memberi   nasihat,   merancang   dan  melaksanakan  matlamat
pembangunan  yang  telah  kita  bentuk.    Walaupun  dipisah
daripada   kepimpinan   politik  daripada  segi  organisasi,
pegawai-pegawai awam  perlu  berpegang  kepada  prinsip  dan
matlamat yang sama dengan kepimpinan semasa.
7.        Sebagai pasukan yang berpengalaman dalam kerajaan,
pegawai awam mestilah berupaya memberi nasihat yang  bernas,
berani menegakkan kebenaran dan sanggup bekerja lebih keras.
Nasihat   yang  baik  hanya  datang  daripada  pegawai  yang
progresif, berpengetahuan tinggi, bersemangat  dan  bersifat
positif terhadap segala cabaran.
8.      Malaysia adalah sebuah negara dagangan atau `trading
nation'.   Kita tidak  mungkin  mencapai  tahap  pembangunan
sekarang  jika  tidak  kerana kita cekap berdagang.  Pasaran
tempatan adalah terlalu kecil untuk  pembangunan  yang  kita
cita-citakan.
9.       Negara dagangan perlu bersaing atau `compete' dalam
pasaran dunia.   Jika kita  tidak  cekap  dan  pintar  tidak
mungkin  kita  dapat bersaing dengan jayanya.  Kecekapan dan
kepintaran bukan sahaja diperlukan oleh swasta  tetapi  oleh
pentadbir  dan pentadbiran juga.  Jika pentadbir tidak cekap
kos pengeluaran semua barangan kita akan meningkat.   Betapa
tidak?      Satu  daripada  pengawal  kos  ialah  kepantasan
mengeluarkan barangan atau khidmat.  Pentadbiran yang  tidak
cekap   dan   tidak  pintar  akan  melambat  dan  menghalang
pengeluaran barangan atau pemberian khidmat.  Dan  kelewatan
akan menaikkan kos.
10.    Jika pentadbir bersikap negatif, maka idea baru tidak
akan mendapat layanan.   Ini  sudah  tentu  akan  membekukan
proses  pembangunan  kerana idea-idea baru dicipta sepanjang
masa dalam perusahaan  dan  perniagaan  oleh  pihak  swasta.
Demikian   juga   dengan   pentadbiran.      Cara-cara  baru
diperkenalkan hampir setiap hari.    Jika  semuanya  ditolak
atau  masa  yang  panjang  diguna untuk menilai dan menerima
sesuatu idea baru, maka kos pentadbiran dan dengan  itu  kos
pengeluaran  akan  meningkat dan kita akan hilang daya saing
kita.
11.     Di zaman dahulu pentadbir  hanya  menjalankan  tugas
yang ditetapkan baginya.   Kebanyakan kerja adalah 'routine'
yang  berulang-ulang.     Apa  yang  menyusul  atau  menjadi
hasil kerja tidak mengapa.  Yang relevan ialah `so much work
has been done in so much time for  so  much  pay'.   Apabila
sampai masanya pentadbir akan bersara.  Tidak ada penyertaan
secara sedar oleh pihak pentadbir dalam  kejayaan  negara.
12.    Hari ini keadaan sudah berubah.  Pentadbir perlu tahu
bahagian yang dimainkan olehnya dalam produk yang dihasilkan
oleh Negara.   Nilai produk itu, sama  ada  kepada  Kerajaan
atau  swasta,  perlu  diketahui  dan  dengan pengetahuan itu
pentadbir  bertanggungjawab  untuk  mengurangkan   kos   dan
meningkatkan  kualiti  barangan yang dikeluarkan.  Menyusuli
sumbangannya  kepada  produk   ialah   sumbangannya   kepada
kemakmuran  negara.   Sudah tentu jika sumbangannya membantu
kemakmuran negara ia sebenarnya membantu diri sendiri.  Oleh
itu pandangan seseorang pentadbir di zaman ini tidak  terhad
kepada  tugas  yang sedikit yang didepannya.  Tugasnya sudah
menjadi  lebih  luas  dan  meliputi   akhirnya   maju-mundur
negaranya.
13.    Zaman pendapat bahawa kos pentadbiran tidak ada kena-
mengena  dengan  kos  produk  oleh swasta dan seterusnya kos
sara hidup rakyat sudah berakhir.    Menaikkan  cukai  bukan
caranya untuk membiayai pentadbiran.  Sebaliknya cukai harus
diturunkan  supaya kos juga menurun untuk membolehkan segala
produk lebih berdaya saing dan laris.  Daripada  peningkatan
jumlah   produk  yang  dipasar,  kita  berharap  akan  dapat
menaikkan jumlah cukai untuk membiayai pentadbiran.  Justeru
itu,  pentadbir  yang  cekap  dan  dapat  menyumbang  kepada
pengurangan   kos  sebenarnya  menyumbang  kepada  kemewahan
negara dan hidupnya sendiri.
14.            Jika kita sudah faham dan terima hakikat ini,
maka mudahlah kita memperluas paradigma kita.    Tidak  lagi
akan kita percaya bahawa bukan sahaja kebolehan kita sendiri
terhad tetapi kemampuan negara kita juga terhad.  Tidak lagi
akan  kita  fikir  bahawa menjadikan negara kita negara maju
atau `developed nation' adalah mustahil.    Sebenarnya  kita
mampu  dan  negara juga mampu.  Ada negara Eropah yang sudah
maju yang tidak  lebih  besar  daripada  segi  kawasan  atau
penduduk atau sumber alam dari Malaysia.  Rakyat mereka juga
bukan lebih pandai atau mempunyai kualiti yang terhad kepada
mereka  sahaja.    Segala-gala yang ada pada mereka ada pada
kita.   Hanya  kita  tidak  membangunkan  kualiti  ini  atau
menggunakannya dengan sepenuh.
15.      Manusia  adalah `a creature of habit' iaitu manusia
dikuasai oleh tabii  mereka.    Tabiat  bukan  sesuatu  yang
semula  jadi.    Ia  adalah sesuatu yang dicipta dan dipupuk
oleh  individu  atau  masyarakat.    Ia  menjadi  sebahagian
daripada budaya masyarakat atau bangsa itu.
16.   Tidak ada sesuatu yang mempengaruhi pencapaian sesuatu
masyarakat  lebih  daripada budaya masyarakat itu.  Demikian
juga dengan individu.  Faktor sumber alam,  iklim  dan  alam
sekitar  mempunyai  kesan  terhadap  maju  mundurnya sesuatu
masyarakat tetapi tidak seperti budaya.  Bahkan budaya boleh
mengatasi kebaikan atau keburukan faktor-faktor lain.  Sebab
itu daripada kumpulan ethnik yang sama,  ada  kelompok  yang
berjaya  dan  ada yang mundur.   Dan negara yang kaya sumber
alamnya boleh menjadi mundur dan sebaliknya yang  kekurangan
sumber  alam  boleh  menjadi  maju.    Faktor yang memainkan
peranan utama ialah budaya.
17.     Budaya kerap  terbentuk  tanpa  apa-apa  usaha  oleh
seseorang  individu  atau  sesuatu  masyarakat  atau bangsa.
Tetapi  budaya  boleh  juga  dibentuk  dan  dipupuk   secara
sengaja.      Budaya   boleh   diperbaiki  supaya  ia  dapat
menghapuskan unsur-unsur yang buruk dan mengembangkan unsur-
unsur yang baik.   Dalam  usaha  pembentukan  budaya  inilah
paradigma memainkan peranan yang amat penting.
18.       Jika  seseorang  individu  atau  bangsa  mempunyai
kepercayaan bahawa kebolehannya  adalah  terhad,  bahawa  ia
tidak  boleh meningkat atau memperluaskan lagi kemampuannya,
maka sudah tentu ia tidak mungkin membuat  sesuatu  yang  di
luar  daripada paradigmanya.  Soalnya ialah apakah paradigma
yang  diakui  olehnya  benar-benar  paradigma  baginya  atau
bangsanya atau apakah ini hanya satu persepsi sahaja?
19.      Demikian  di  zaman  penjajah pemikiran bangsa yang
dijajah terkongkong sehingga mereka  percaya  bahawa  mereka
tidak  mampu  mentadbir  negara  mereka  sendiri.    Sesuatu
peristiwa atau seseorang individu diperlukan  untuk  memecah
tembok  paradigma  ini  untuk  meyakinkan  bangsa itu bahawa
mereka mampu dan boleh.  Dengan perubahan pemikiran ini maka
kemerdekaan dapat dituntut dan dicapai.
20.   Biasanya masa yang panjang diperlukan untuk penerimaan
perluasan paradigma ini.   Setelah perluasan  paradigma  ini
diterima,  maka  barulah pemikiran berubah.  Secara langsung
ia menolong menyediakan sifat-sifat  yang  diperlukan  untuk
tugas,  tanggungjawab  dan peranan yang akan dimainkan dalam
arena  yang  lebih  luas  dan lebih mencabar hasil perubahan
batasan paradigma yang lama.
21.     Di  zaman  penjajahan,  kepercayaan  disemai  bahawa
peranan  jajahan takluk ialah mengeluarkan bahan mentah yang
mesti  dieksport  ke  negara  metropolitan  untuk  diproses.
Pemerosesan  ini  digambarkan  sebagai  begitu  canggih  dan
kompleks sehingga ianya tidak mungkin dibuat  oleh  penduduk
di  negeri  yang  dijajah.    Dan  pendapat ini diterima dan
menjadi paradigma bukan  sahaja  oleh  mereka  yang  dijajah
tetapi  penjajah juga.  Sementara kemerdekaan dapat dicapai,
paradigma ini masih  dapat  menyekat  kemajuan  negara  yang
telah  dibebaskan.   Secara tidak langsung negara yang telah
merdeka ini kekal sebagai 'colony' kepada  penjajah  dahulu.
Dan   selagi   paradigma   ini  tidak  dapat  ditembusi  dan
perenggannya diperluaskan, penjajahan akan kekal.
22.   Fenomena paradigma yang menakluk pemikiran, dan dengan
itu kemampuan, berada di mana-mana sahaja.  Tetapi di negara
maju paradigma mereka amat  luas.    Manusia  tidak  mungkin
mencipta pesawat terbang dan kapal angkasa jika tidak kerana
mereka  mempunyai  paradigma  yang  luas.    Apabila  mereka
percaya bahawa mereka boleh terbang  maka  mereka  pun  mula
memikirkan  cara-cara  untuk berterbang.  Sekali lagi mereka
menghadapi satu  lagi  paradigma,  iaitu  penerbangan  hanya
boleh  dilakukan  jika  manusia  mempunyai  sayap yang boleh
mengepak seperti burung.  Jika pemikiran seperti  ini  kekal
maka  manusia mungkin tidak boleh terbang sehingga sekarang.
Tetapi ada orang yang tidak terkongkong  dengan  kepercayaan
ini.    Mereka ini mendapati bahawa sesuatu yang berat boleh
melawan `gravity' jika  ia  bergerak  dengan  cukup  pantas.
Sebenarnya  ketul  batu  boleh  terbang jika dibaling dengan
cukup kuat.  Soalnya ialah bagaimana sesuatu benda itu dapat
bergerak dengan pantas dengan tenaganya  sendiri?    Apabila
enjin  dapat memutar kipas yang menarik pesawat dengan cukup
pantas maka  penerbangan  menjadi  kenyataan  bagi  manusia.
Semua ini boleh berlaku kerana ada orang yang tidak menerima
paradigma  yang  lama.    Tetapi  paradigma  yang  baru juga
diperluaskan sehingga manusia boleh mendarat di atas bulan.
23.             Pengajaran daripada ini ialah setiap  orang,
setiap  bangsa, setiap negara boleh maju lebih daripada yang
dijangkakan  jika  sesuatu   paradigma   itu   diperluaskan.
Apabila  kita  mencipta  Wawasan 2020 dan mengumumkan bahawa
kita ingin  menjadi  negara  maju,  kita  telah  membesarkan
paradigma  untuk  negara kita.   Paradigma baru ini diterima
oleh semua organisasi dan lapisan rakyat, oleh Kerajaan  dan
swasta   dan  oleh  individu  dan  kumpulan  daripada  semua
keturunan dan semua peringkat masyarakat.    Penerimaan  ini
sahaja  telah  berjaya  membebaskan  fikiran  dan sikap kita
daripada kongkongan psikologi lama.   Ia  memberanikan  kita
memasuki  bidang-bidang yang dahulu dianggap sebagai di luar
kemampuan kita.   Dan  kita  terkejut  apabila  kita  dapati
bahawa  kita  berupaya,  bahkan  berupaya mencapainya dengan
cemerlang.  Demikianlah kesan paradigma.
24.   Hari ini kita percaya bahawa menjadi negara maju bukan
lagi angan-angan yang keterlaluan.  Kita telah  lihat  hasil
awal  perubahan paradigma yang kita cipta.  Mungkin ia belum
sampai  matlamat,  tetapi  kemungkinannya  ada.    Perubahan
paradigma   negara   memerlukan   perubahan  paradigma  bagi
Kerajaan dan anggotanya  di  semua  lapisan.    Sudah  tentu
pegawai-pegawai  mempunyai  peranan  yang kritikal.   Mereka
mesti menentukan paradigma mereka.  Untuk ini:
      Pertama   :    Mereka  perlu  faham  peranan paradigma
                     dalam menentukan pencapaian diri mereka
                     sendiri,   selain  daripada  pencapaian
                     negara.
      Kedua     :    Mengenalpasti     bidang-bidang    yang
                     perluasan   paradigma   diperlukan  dan
                     menerima  paradigma  yang  baru.
      Ketiga    :    Mereka perlu  melengkapkan diri  mereka
                     dengan pengetahuan dan kecekapan sesuai
                     dengan  paradigma baru ini  serta penuh
                     yakin    bahawa    mereka     mempunyai
                     kebolehan.
      Keempat   :    Di mana  sahaja  pertukaran  pendekatan
                     diperlukan,    mereka   harus   membuat
                     pertukaran ini, termasuklah penghapusan
                     sikap   terasing  dari  masyarakat  dan
                     swasta  yang  menjadi pelanggan mereka.
                     Piagam    pelanggan   mesti    diterima
                     sepenuhnya.
      Kelima    :    Pegawai-pegawai  awam  perlu   sentiasa
                     memikir akan hasil dan sumbangan mereka
                     kepada  masa  depan  dan  tidak   hanya
                     memikir  akan  sumbangan hari ini untuk
                     hari ini.
      Keenam    :    Sementara    setiap   pegawai   sebagai
                     individu    boleh   menyumbang   kepada
                     kejayaan  segala usaha,   mereka  harus
                     sedar bahawa sumbangan  sebagai anggota
                     pasukan adalah lebih berkesan dalam apa
                     juga  usaha.   Oleh  itu  mereka  harus
                     mengutamakan       kerjasama       yang
                     berkoordinasi    dalam   pasukan   bagi
                     menembusi  paradigma  lama dan memasuki
                     paradigma baru.
25.    Ekonomi kita kebelakangan ini telah berkembang dengan
pesat dalam keadaan inflasi yang  rendah.    Rata-rata  kita
lihat   pembangunan  dan  kemajuan.    Banyak  negara  ingin
mencontohi kejayaan kita.  Dalam pada itu, kita tidak  harus
berpuas  hati  dengan kejayaan kita ini. Kita perlu berusaha
supaya kejayaan kita  dapat  terus  dikekalkan.  Malah  kita
perlu  terus  berusaha  dan bekerja keras untuk meningkatkan
lagi kejayaan hari ini dan untuk menempa kejayaan hari esok.
26.   Tanpa usaha yang berterusan kejayaan  hari  ini  tidak
akan  dapat  menjamin kejayaan di masa hadapan.  Tanpa usaha
yang berterusan mungkin kita akan mengalami satu era di mana
kegigihan untuk bekerja kuat,  bermotivasi  tinggi,  berdaya
kreatif dan inovatif akan mula pudar dan lebih buruk, lenyap
sama sekali.
27.        Oleh  itu  kita  mesti  sentiasa  berusaha  untuk
memperkayakan minda, pemikiran dan tingkah laku kita  supaya
tidak  terjebak  dalam budaya 'complacent' dan berpuas hati.
Kita perlu sentiasa memperluas dan memperbesarkan  paradigma
kita  serta  berusaha  untuk  memenuhi  paradigma  yang baru
kerana kita yakin kita memiliki kemampuan  yang  lebih  dari
sekarang.
28.      Akhir  sekali,  saya  berharap  seminar  ini  dapat
memperluaskan paradigma kita dan menyediakan pemikiran  kita
untuk  matlamat yang lebih tinggi daripada yang kita percaya
menepati paradigma sekarang.  Insya-Allah kita akan mencapai
matlamat Wawasan 2020.
Note: PM off the cuff.
                         
 
 



 
Google