Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT BAHASA ARAB, NILAM
PURI, KELANTAN
Tarikh/Date : 03/03/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA RAKYAT
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha
Mengasihani.
2. Setiap kali kita berucap atau membuat sesuatu kita mula
dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
3. Sementara kita menyebut sifat-sifat yang ada pada Allah
Subhanahu wa Ta'ala kita dapati ada orang yang tidak pula
mengambilkira sama ada kita sendiri wajib mengamal dan
menunjukkan sifat-sifat ini. Sebaliknya apabila menjalankan
urusan-urusan Islam jika terdapat tafsiran al-Quran dan
Sunnah yang tidak secocok dengan sifat-sifat yang ada pada
Allah Subhanahu wa Ta'ala, mereka terima sahaja tanpa
menyoal sama ada ianya adalah daripada ajaran al-Quran atau
Sunnah atau kerana kesilapan dalam kefahaman dan tafsiran
ajaran-ajaran ini.
4. Antara kita ada juga yang tidak cuba mengikut atau
menghayati sifat-sifat yang ada pada Allah Subhanahu wa
Ta'ala. Antara kita ada yang bukan sahaja tidak penyayang
dan pengasih, tetapi juga mudah bertindak dengan tidak adil
kepada umat Islam yang lain dan umat manusia. Mereka ini
tidak menganggap kebengisan atau ketidakadilan mereka
sebagai bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan ini maka
agama Islam tercemar dan orang Islam tidak dihormati.
5. Agama Islam disampaikan kepada umat manusia melalui
bahasa Arab asli. Namun tiap seorang Arab tidak mungkin
memahami ajaran Islam hanya kerana ia faham dan menggunakan
bahasa Arab setiap hari.
6. Untuk memahami ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi, semua
orang Arab perlu kepada tafsiran dan penjelasan oleh orang
yang sudah mempelajari agama dan membaca serta mentafsir
ajaran al-Quran dan Sunnah. Tetapi tafsiran dan penjelasan
oleh pakar-pakar agama ini bergantung kepada pengertian dan
kefahaman atau fikh mereka tentang apa yang mereka baca
dalam Quran dan Hadith. Selepas itu apa yang disampaikan
oleh mereka kepada orang Arab pun bergantung kepada
terjemahan mereka ke bahasa Arab harian. Ini mendedahkan
mereka kepada dua kemungkinan. Jika kefahaman orang yang
menyampai ajaran Quran dan Hadith salah, maka salahlah
ajaran mereka. Yang kedua jika penterjemahan ke bahasa Arab
harian salah, maka salahlah ajaran. Kemungkinan kesalahan
berlaku menjadi lebih apabila orang bukan Arab tetapi faham
bahasa Arab cuba menyampaikan ajaran Quran dan Hadith dalam
bahasa bukan Arab. Kefahaman dan tafsirannya mungkin salah
di samping penterjemahannya juga salah.
7. Kemungkinan kesalahan berlaku apabila seorang bukan
Arab menyampaikan ajaran Islam dalam bahasa bukan Arab
adalah sama dengan kemungkinan kesalahan berlaku apabila
orang Arab yang fasih dalam bahasa bukan Arab mengajar
melalui syarahan atau buku dalam bahasa berkenaan. Justeru
itu janganlah sesiapa mendakwa bahawa ajarannya lebih tepat
hanya kerana ia faham bahasa Arab. Ianya juga mungkin salah
sama seperti orang Arab yang menulis dalam bahasa lain.
Orang yang mempelajari agama Islam yang tidak memahami
bahasa Arab tidak semestinya selalu salah berbanding dengan
orang yang memahami bahasa Arab. Semua pihak terdedah
kepada kesalahan kefahaman atau tafsiran atau penterjemahan
oleh diri sendiri atau oleh ulama.
8. Amatlah angkuh bagi orang Melayu yang faham bahasa
Arab moden mendakwa bahawa hanya kefahaman dan tafsiran
mereka sahaja yang tepat dan sesiapa yang mempelajari agama
melalui tafsiran dan kefahaman ulama lain dalam bahasa bukan
Arab tidak tepat dan tidak boleh diterima. Tiap kali
mereka mengulas tafsiran mereka dalam bahasa bukan Arab,
mereka juga boleh melakukan kesalahan sama seperti orang
yang menulis buku-buku agama dalam bahasa bukan Arab. Tidak
ada perbezaan antara orang yang tahu bahasa Arab dan
mengajar dalam bahasa Melayu, dengan orang yang juga tahu
bahasa Arab dan menulis dalam bahasa Melayu.
9. Perbezaan tafsiran terhadap ajaran Islam memang berlaku
sepanjang zaman, walaupun di kalangan orang yang berbahasa
Arab. Ini adalah oleh kerana terdapat dalam al-Quran bukan
sahaja ayat-ayat yang jelas dan terang seperti yang
menyatakan babi dan zina adalah haram.
10. Tetapi terdapat kebanyakan daripada ayat-ayat dalam
al-Quran yang memberi panduan secara umum. Ini memang
begitu kerana panduan ini adalah untuk keadaan yang
berbeza-beza. Dengan itu tafsiran ayat-ayat ini melalui
proses ijtihad sekali pun boleh berbeza mengikut kefahaman
atau fikh pentafsir atau keadaan atau zaman.
11. Hanya kerana ada perbezaan tafsiran ini tidak bermakna
yang satu itu betul dan yang lainnya semua salah. Semua
tafsiran mungkin betul dan semua mungkin salah, dan juga
mungkin ada yang betul dan mungkin ada yang salah antara
tafsiran-tafsiran yang dibuat. Bukanlah suatu perkara yang
mustahil bagi hasil ijtihad yang dahulu dibatal atau diubah
oleh ijtihad yang kemudian. Yang tidak boleh diubah atau
dipinda ialah ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang sahih.
Ahli fikh boleh mempunyai kefahaman yang berbeza berkenaan
ayat dan Hadith yang sama.
12. Oleh kerana terdapat perbezaan tafsiran ajaran Islam
dalam al-Quran dan Hadith maka terbentuklah banyak
mazhab. Tidak ada satu mazhab yang berhak mendakwa bahawa
ianya sahaja Islam, dan yang lain tidak Islam.
13. Walaupun ada ajaran yang tetap menyeleweng dan tidak
Islam tetapi mazhab-mazhab yang diiktiraf, walaupun berbeza,
tidak boleh didakwa tidak Islam dengan sewenang-wenangnya.
14. Yang ditegah oleh agama Islam ialah perpecahan di
kalangan ummah. Dalam Surah Al-An'am Ayat 159 Allah
berfirman yang bermaksud:
" Sesungguhnya orang-orang yang memecahbelah agamanya
dan mereka menjadi beberapa golongan, tidak ada
sedikit pun tanggungjawab terhadap mereka .... Allah
yang akan memberitahu kepada mereka apa yang telah
mereka perbuat"
15. Dakwaan oleh PAS bahawa sesiapa tidak menerima
undang-undang hudud PAS menjadi murtad amatlah bertentangan
dengan ajaran Islam yang memberi kelonggaran dalam mentafsir
ajaran Islam sehingga perbezaan boleh berlaku. Kita dibenar
menolak atau menerima mana-mana tafsiran. Undang-undang
hudud PAS adalah hasil kefahaman atau fikh dan tafsiran
orang PAS akan ajaran al-Quran dan hukum syarak. Ia juga
adalah hasil kepentingan politik parti. Ia tidak menjadi
sebahagian daripada ajaran Islam yang mesti diterima oleh
semua orang Islam. Ia tidak pun termasuk dalam ajaran Islam
hasil kefahaman dan tafsiran imam-imam yang diiktiraf baik
oleh puak Sunni atau Syiah.
16. Kita tidak menafikan adanya orang yang boleh menjadi
murtad. Ada syarat dan perbuatan tertentu yang membolehkan
kita mendakwa orang itu murtad. Penolakan undang-undang PAS
tidak termasuk dalam syarat-syarat ini. Bahkan
undang-undang PAS juga tidak memasukkan 'kesalahan' menolak
undang-undang PAS sebagai sebahagian daripada perbuatan
irtidad atau riddah. Ini boleh dilihat dalam seksyen 23
dalam undang-undang PAS.
17. Oleh itu PAS tidak boleh mendakwa bahawa
undang-undangnya tepat dan menjadi sebahagian daripada
ajaran Islam. Kesahihan undang-undang PAS pun belum boleh
ditentukan. Ia mungkin bertentangan dengan ajaran Islam
sendiri.
18. Untuk menentukan sama ada undang-undang hudud PAS
Kelantan mematuhi hukum hudud dalam Islam, tidak ada ujian
yang lebih tepat daripada penilaian terhadap adil atau tidak
adilnya hukuman yang akan dihasilkan oleh undang-undang PAS.
Jika adil maka kemungkinannya ialah ia diasaskan kepada
hukum-hukum Islam. Jika hukuman yang dibuat berasaskan
kepada undang-undang PAS itu jelas dan nyata tidak adil maka
mustahillah ia adalah berasaskan kepada hukum-hukum Islam
sepenuhnya yang juga mengambilkira maslahah Am Syariah.
Soal berat atau tidak hukum Islam berbanding dengan hukum
dalam undang-undang semasa tidak perlu diambilkira.
19. Sebagai contoh untuk kajian, kita boleh mengambil kes
rogol. Secara ringkas seorang wanita yang belum kahwin
dirogol. Ia membuat pengaduan terhadap orang yang
merogolnya, orang yang dikenali olehnya. Apakah yang akan
berlaku dengan kes ini mengikut undang-undang PAS, iaitu
Seksyen 10 berkenaan Zina.
20. Untuk mengesahkan bahawa wanita itu benar-benar telah
dirogol dan bukan ianya dengan rela hati berzina, empat
orang saksi yang terdiri daripada orang yang tidak berdosa
besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil berulangkali
diperlukan.
21. Saksi seperti ini sudah tentu sukar didapati. Yang
pertamanya, perogol tidak merogol di hadapan saksi. la
sudah tentu tidak ingin mendedahkan dirinya kepada hukuman
yang berat yang akan dikenakan ke atasnya. Jika hukuman
tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.
22. Saksi yang mulia tidak akan berdiam diri melihat
perbuatan merogol berlaku di hadapan mereka. Tentulah
mereka tidak bertanggungjawab jika mereka melihat jenayah
yang begitu dasyat berlaku di hadapan mereka tanpa memberi
pertolongan. Jika mereka tidak cuba menolong maka mereka
akan menjadi orang yang bersubahat dengan perogol. Ini
bermakna mereka turut berdosa dan tidak layak lagi untuk
menjadi saksi yang boleh diterima.
23. Hanya jika mereka dipaksa menyaksi dan diugut oleh
perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa menyaksi
tanpa membuat apa-apa. Keadaan ini tidak mungkin berlaku
melainkan dalam peperangan umpamanya, di waktu mana rogol
berlaku tanpa apa-apa sekatan seperti di Bosnia, di mana
orang Serb yang bukan Islam sering merogol. Tetapi mereka
bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS mereka tidak akan
dikenakan hukum hudud.
24. Yang jelas ialah mangsa rogol yang membuat pengaduan
tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang boleh diterima di
bawah undang-undang PAS. Dengan itu perogol tidak boleh
didakwa di bawah undang-undang PAS.
25. Undang-undang PAS juga tidak akan menerima
'circumstantial evidence' iaitu tanda-tanda pada mangsa yang
membuktikan ia telah dirogol. Undang-undang PAS tidak
menerima kesan atau cedera luka di tempat-tempat berkenaan
atau tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah
melawan untuk mempertahankan kehormatannya.
26. Dengan tidak adanya saksi yang empat yang diterima sah
oleh undang-undang PAS dan penolakan 'circumstantial
evidence' maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol akan
ditolak. Perogol akan terlepas daripada apa-apa hukuman.
27. Sementara itu jika wanita yang tidak berkahwin
melahirkan anak maka ia dianggap telah melakukan zina. Oleh
kerana ia tidak dapat membuktikan ia telah dirogol maka ia
tidak akan dapat mempertahankan dirinya daripada tuduhan
zina apabila ia hamil dan melahirkan anak. Mengikut
undang-undang PAS wanita yang tidak berkahwin tetapi
melahirkan anak adalah salah kerana zina. Dengan itu ia
akan dihukum kerana berzina. (Seksyen 46 Sub seksyen 2) --
Undang-undang PAS.
28. Hukuman ini berat, jika yang melakukan zina itu
telah berkahwin, boleh dihukum dengan rejam sampai mati.
Jika dia belum berkahwin, boleh dihukum dengan sebatan
sebanyak 100 kali. Terdapat pandangan baru dalam hukuman
rejam ke atas orang yang telah berkahwin tetapi ini telah
tidak diambil kira.
29. Apakah boleh umat Islam menerima bahawa menghukum
mangsa rogol tetapi melepaskan orang yang merogol adalah
adil? Kita boleh kata bahawa wanita sepatutnya menjaga
dirinya dan tidak bergerak ke mana-mana tanpa muhrim untuk
mengelak daripada dirogol. Tetapi kita tahu bahawa walau
bagaimana dijaga sekalipun akan ada wanita yang akan
dirogol. Mereka boleh diculik walaupun selalu berada dengan
muhrim. Kemudian mereka boleh dirogol.
30. Apakah kita boleh terima bahawa menghukum mangsa
jenayah dan melepaskan penjenayah adalah adil? Sudah tentu
siapa sahaja akan menganggap hukuman seperti ini tidak adil,
bahkan menganiayanya. Apakah wanita dalam masyarakat yang
sanggup menghukum mereka jika mereka dirogol akan berasa
terselamat? Apakah masyarakat yang begitu tidak adil
sehingga melepaskan perogol dengan sewenang-wenangnya akan
menjadi tenteram? Apakah ada keadilan dalam masyarakat yang
sedemikian?
31. Islam adalah agama yang membawa keadilan kepada Arab
Jahiliah dan kepada umatnya yang lain. Islam menjamin
keadilan bagi semua rakyat yang berada dalam negara Islam
dan masyarakat Islam. Islam tidak mungkin mengizinkan
ketidakadilan menjadi sebahagian daripada ajarannya. Islam
tetap menegakkan keadilan dan mempertahankannya. Kezaliman
bukan sesuatu yang menjadi sifat KeIslaman.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Saad Ayat 27 - bermaksud;
" Dan tiadalah kami mencipta langit dan bumi serta
segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan
yang tidak mengandungi hikmat dan keadilan ".
Dalam Surah Asy-Syura Ayat 17 Allah Berfirman bermaksud,
" Allah yang menurunkan Kitab suci dengan membawa
kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi
neraca keadilan ".
Dalam Surah Arrahman Ayat 7 -
" Dan langit dijadikannya tinggi serta Ia mengadakan
undang-undang dan peraturan neraca keadilan ".
Ayat 8
" Supaya kamu tidak melampau batas dalam menjalankan
keadilan ".
32. Justeru itu sebarang kezaliman yang berlaku dalam
masyarakat Islam bukanlah kerana ajaran Islam. Sebarang
kezaliman dalam masyarakat Islam dan negara Islam adalah
kerana umat Islam atau pemimpin Islam atau Kerajaan Islam
tidak mengikut ajaran Islam atau mereka menyalahtafsirkan
ajaran Islam yang sebenar. Dan ini memang kerap berlaku dan
menyebabkan masyarakat dan negara Islam menjadi mundur,
tidak tertib, kucar-kacir dan lemah.
33. Undang-undang PAS adalah hasil tafsiran PAS terhadap
ajaran agama Islam. Ia bukanlah undang-undang Islam yang
asli. Ia juga bukan mengikut tafsiran ajaran Islam yang
tepat. Ia adalah hasil kefahaman dan kajian agama Islam
yang dibuat oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman Islam
yang tidak mendalam. Lebih buruk lagi ialah ia dibuat oleh
orang dan puak yang mempunyai kepentingan tertentu, yang
mana kepentingan ini tidak ada kena mengena dengan
kepentingan Islam. Kepentingan Islam dalam sesebuah negara
mengambilkira maqasid Am Syariah. Ini telah diketepikan.
Ia adalah dipengaruhi oleh kepentingan politik sebuah parti
politik yang dicipta oleh orang yang beragama Islam yang
sama dengan orang Islam lain di zaman ini dan dalam sejarah
Islam. Dan kita lihat bagaimana berkali-kali orang Islam
atau Kerajaan orang Islam sengaja menyalahtafsirkan ajaran
agama Islam untuk kepentingan mereka. Sudah tentu
undang-undang PAS hasil tafsiran PAS termasuk dalam tafsiran
golongan tersebut. Ini bukan kali pertama yang orang Islam
membuat sesuatu yang tidak Islam tetapi berselindung dengan
agama Islam. Sepanjang sejarah Islam perkara ini berlaku.
Jika tidak kenapakah orang Islam yang bersaudara berperang
sesama sendiri? Tidakkah peperangan sesama Islam
bertentangan dengan ajaran Islam? Tetapi masing-masing
mendakwa mereka berperang kerana Islam, bahkan menggunakan
nama Allah.
34. Ajaran Islam tidak salah. Adalah mustahil ajaran Islam
menghasilkan undang-undang yang begitu jelas tidak adil
seperti yang telah dihuraikan berkenaan kes rogol.
Ketidakadilan tidak boleh berlaku jika ajaran agama Islam
dilaksanakan. Jika ia berlaku maka ia bukan daripada ajaran
agama Islam. Adalah dusta jika sesiapa berkata
ketidakadilan adalah Islam dan keadilan adalah tidak Islam.
35. Lebih buruk lagi ialah undang-undang PAS bukan sahaja
tidak adil tetapi ia menyebabkan agama Islam menjadi ejekan
orang lain, memburukkan imej Islam, dan memisah serta
menjauhkan orang lain daripada agama Islam dan orang Islam.
Jika undang-undang PAS dilaksanakan maka bilangan penganut
agama Islam tidak akan bertambah, bahkan akan berkurangan.
Sebaliknya kita tahu Islam telah berkembang sebelum ada PAS
dan undang-undang PAS. KeIslaman orang PAS sendiri adalah
kerana tidak ada PAS dan undang-undang PAS di zaman orang
Melayu menerima Islam.
36. Kerana ketidakadilan ini sahaja pun kita tidak boleh
terima undang-undang PAS sebagai undang-undang Islam
sebenar. Tetapi undang-undang PAS mempunyai unsur-unsur dan
kesan-kesan lain yang buruk yang juga tidak Islam.
Umpamanya di negara berbilang kaum seperti di Malaysia ianya
dihadkan oleh Kerajaan PAS kepada orang Islam sahaja.
37. Di zaman Nabi memang benar orang Yahudi dihukum dengan
undang-undang mereka semasa Nabi memerintah di Madinah.
Tetapi hukuman di bawah undang-undang Taurat Yahudi adalah
sama berat dengan hukuman di bawah undang-undang Islam.
38. Apabila orang Islam memerintah negara-negara yang
mempunyai rakyat yang bukan beragama Islam, umpamanya orang
Kristian Koptik di Mesir, undang-undang yang dikenakan
ke atas orang Koptik ialah undang-undang yang dicipta oleh
Kerajaan Islam hasil kajian dan interpretasi mereka terhadap
ajaran Islam. Oleh itu orang Koptik tidak dikenakan bayaran
zakat dan fitrah. Mereka dikenakan cukai kepala, atau
jizyah iaitu tiap seorang orang Koptik dikenakan cukai
sekian banyak tiap-tiap tahun. Ini juga amalan beberapa
Kerajaan Islam dahulu. Setelah membayar jizyah mereka
mendapat perlindungan. Mereka boleh dikecualikan daripada
perkhidmatan ketenteraan. Dengan mengenakan jizyah maka
cukai ke atas orang bukan Islam menjadi sama dengan orang
Islam. Tidak siapa boleh berkata jizyah tidak adil atau
zakat tidak adil.
39. Ini adalah undang-undang Kerajaan Islam. Akan tetapi
cara pelaksanaannya berubah mengikut keadaan. Ada
fleksibiliti dalam pelaksanaan. Jika masyarakat atau negara
Islam lain tidak menerima atau tidak mengamalkan sistem
cukai jizyah ke atas orang bukan Islam, ini tidak bermakna
bahawa mereka tidak Islam. Mereka masih Islam. Hanya
keadaan di sesebuah negara itu yang boleh menentukan. Dalam
perkara ini kaedah fekah ada menyatakan, " Hukum itu berubah
dengan sebab perubahan masa, tempat dan waktu " dan kaedah
lain menyatakan, " Tindakan imam atau ketua negara ke atas
rakyat bergantung kepada maslahah ". Kaedah-kaedah ini
terkandung dalam prinsip yang besar yang dipanggil Siasah
Syari'ah.
40. Undang-undang PAS tidak akan dikenakan ke atas orang
bukan Islam di Kelantan. Tetapi orang bukan Islam di
Kelantan tidak terletak di bawah undang-undang mana-mana
kitab. Mereka terletak di bawah undang-undang ciptaan
manusia.
41. Selain daripada itu hukum di bawah undang-undang yang
akan dikenakan ke atas orang bukan Islam amat berbeza dengan
hukuman ke atas orang Islam di bawah undang-undang PAS.
Sementara orang Islam yang berzina akan dikenakan hukuman
rejam dengan batu sampai mati, orang bukan Islam hanya akan
didenda atau di penjara buat beberapa bulan atau tahun
sahaja. Bolehkah kita menerima hukuman bunuh dan hukuman
penjara itu sama?
42. Sebaliknya mengikut Taurat Yahudi orang yang berzina
dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati, iaitu sama
dengan hukuman dalam Islam. Inilah hukuman yang dijatuhkan
oleh Nabi apabila sepasang orang Yahudi dihadapkan kepada
Baginda kerana berzina. Tidaklah ada sesiapa yang boleh
berkata hukuman ke atas orang bukan Islam lebih ringan
daripada hukuman ke atas orang Islam. Dengan perkataan lain
ketidakadilan tidak berlaku di Madinah di bawah pemerintahan
Nabi.
43. Sekali lagi terbukti yang undang-undang PAS tidak
sedikit pun berasas kepada maqasid syariah. Ia akan
menyebabkan ketidakadilan yang ketara berlaku -- dan
ketidakadilan tidak boleh dianggap sebagai Islam. Perbezaan
hukuman bagi orang Islam dan orang bukan Islam adalah tidak
Islam.
44. Undang-undang PAS adalah hasil tafsiran agama Islam
oleh orang PAS. Tiada ada siapa yang berhak menjadikan
tafsirannya sebahagian daripada agama Islam. Punca dan asas
agama Islam hanyalah al-Quran dan Sunnah Nabi.
45. Tafsiran oleh orang lain walaupun melalui proses
ijtihad tidak menjadi sebahagian daripada hukum Islam yang
mutlak sehingga penolakannya menjadi seseorang Islam itu
murtad.
46. Kita tahu bahawa penentuan hukuman, tafsiran atau
pandangan Islam terhadap sesuatu walaupun melalui proses
ijtihad berbeza di antara kumpulan dengan kumpulan, dan
daripada satu masa ke satu masa. Apatah lagi apabila
tafsiran, hukuman dan pandangan yang dibuat tidak melalui
proses ijtihad yang sah.
47. Undang-undang PAS bukanlah hasil proses ijtihad yang
sah. Ia dibuat kerana kepentingan yang lain daripada agama,
khususnya kerana politik parti PAS. PAS sendiri mendakwa
bahawa undang-undang ini dibuat kerana tekanan politik oleh
UMNO. Ia bukan kerana politik Islam. Politik parti dan
politik Islam bukan perkara yang sama. Dengan itu ia tidak
boleh diterima sebagai sah di sisi agama Islam.
48. Hukuman yang tidak sama, hukuman yang membezakan antara
pesalah yang melakukan kesalahan yang sama, hukuman yang
amat berat bagi seseorang pesalah tetapi amat ringan bagi
pesalah yang lain yang melakukan kesalahan yang sama adalah
tidak adil, baik daripada segi Islam atau bukan Islam.
Hukuman yang tidak adil tidak boleh dikatakan berasaskan
kepada agama Islam. Dalam Islam ketidakadilan tidak boleh
berlaku. Jika ia berlaku sudah tentu ia bukan daripada
Islam. Dakwaan PAS dengan sewenang-wenangnya bahawa
undang-undang ciptaan PAS hanya akan dikenakan kepada orang
Islam sahaja dan tidak kepada orang bukan Islam tetap tidak
adil dan dengan itu tidak Islam.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. ada bersabda,
" Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya orang di
zaman silam ialah kerana mereka apabila seorang yang
mempunyai kedudukan di kalangan mereka mencuri mereka
biarkan dan apabila orang yang lemah di kalangan
mereka mencuri, mereka potong tangannya. "
49. Islam bukan agama yang buta tuli, yang tidak
mengambilkira keadaan, yang tidak mengambilkira masalah
penganutnya dan umat Islam setempat atau keseluruhan, yang
membebankan individu Islam dan umat Islam. Sebaliknya Islam
adalah agama Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang,
yang memberi pertimbangan kepada segala masalah yang
dihadapi oleh penganut dan umat, yang tidak menekan dan
menyusahkan mereka. Kalaulah dalam perkara ibadah ada
kelonggaran, apakah dalam perkara perundangan tidak ada?
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 78 yang
bermaksud,
" Dan sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam
agama suatu kesempitan ".
50. Untuk itu banyak kelonggaran diberi dalam pengamalan
ajaran-ajaran Islam, dalam pelaksanaan dan amalan ibadat
dan sudah tentu dalam penguatkuasaan hukum. Sebagai contoh
amalan rukun Islam yang lima pun diberi kelonggaran. Bagi
anak kecil yang belum boleh bertutur dan memahami, bagi
orang yang bodoh atau gila, lafaz dua kalimah syahadat tidak
dikenakan. Demikian bagi orang yang diancam seksaan atau
bunuh tidak melafazkan dua kalimah syahadat tidak menjadi
kesalahan asalkan diniat dalam hati.
51. Untuk solat, keadaan alam sekeliling diambilkira. Yang
pertamanya masa dilonggarkan, bahkan sembahyang boleh
didahulukan atau ditangguhkan, dipendek atau dicantumkan
dalam keadaan tertentu. Bagi yang sakit yang tidak dapat
bergerak dengan sempurna, gerakbadan semasa bersembahyang
tidak diperlukan sepenuhnya sebelum sembahyang menjadi sah.
Bahkan penganut Islam boleh sembahyang sambil tidur, sambil
duduk atau semasa bergerak dalam kenderaan. Untuk wuduk pun
banyak kelonggaran diberi. Islam memberi 'rukhsah' kepada
umatnya.
52. Demikian juga dengan puasa, mengeluar zakat dan ibadat
haji. Semuanya bergantung kepada kemampuan tertentu.
Tidaklah menjadi kesalahan dan berdosa jika tidak
melakukannya kerana keadaan tidak mengizinkan, kerana sakit,
kerana miskin dan sebab-sebab lain. Jelas sekali fardhu ain
pun tidak dipaksa ke atas umat dengan begitu keras sehingga
menimbul masalah dan menjadi beban kepada mereka. Jelas
bahawa semuanya dibenarkan mengikut prinsip-prinsip Islam.
53. Larangan terhadap orang Islam juga mengambilkira
keadaan dan masalah yang dihadapi. Daging babi tidak boleh
dimakan. Tetapi oleh kerana Islam menghargai nyawa manusia,
terutama nyawa orang Islam, daging babi pun dihalalkan jika
tidak ada makanan lain untuk menyelamatkan nyawa. Darurah
membolehkan yang terlarang.
54. Sudah tentu dalam pelaksanaan hukum hudud, ianya
tidaklah sehingga memudaratkan orang Islam. Hukum hudud
adalah untuk keadilan dan kebaikan ummah. Jika ini tidak
tercapai kerana keadaan atau sebab-sebab lain, ia boleh
ditangguhkan pelaksanaannya. Sebagai contoh dalam
pemerintahan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik, pelaksanaan
hukum hudud telah digantungkan selama setahun. Tentu ada
justifikasinya mengapa pemerintahan Islam ketika itu tidak
melaksanakan hukuman hudud. Menguatkuasakan hukum hudud
sehingga melemahkan orang Islam, sehingga menjadi masyarakat
mereka kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah
secocok dengan amalan ibadat-ibadat dan ajaran Islam yang
lain yang memberi berbagai-bagai kelonggaran supaya tidak
menjadikan beban kepada orang Islam. Allah Subhanahu wa
Ta'ala yang disebut berkali-kali sebagai Yang Maha
Mengasihani dan Maha Menyayangi tidak menjadikan Islam
sebagai agama yang zalim dan tidak bertimbangrasa.
55. Yang menyebabkan Islam menjadi beban, zalim dan
penghalang kepada kesejahteraan umat Islam ialah orang
tertentu yang fanatik dan ingin menjadikan Islam sebagai
agama ibadah dan amalan buta-tuli.
56. Ini mungkin benar dalam agama-agama lain yang
menganggap ibadat yang menyusah dan menyeksa pengikutnya
boleh menguji kekuatan pegangan kepada agama berkenaan.
Dengan itu banyaklah acara menyeksa diri yang diamalkan.
Kadang-kadang membunuh diri dianggap perlu dan baik bagi
penganut yang setia, yang kuat kepercayaannya.
57. Dalam Islam tidak ada ajaran yang menyeksa diri untuk
mendapat pahala. Banyak kelonggaran diberi sehingga dalam
keadaan tertekan orang Islam boleh secara zahir menerima
agama lain tetapi secara tersembunyi terus memegang kepada
agama Islam. Sebab itu di zaman Komunis memerintah beberapa
negara Islam di Eropah Timur dan Asia Tengah, agama Islam
ternampak seolah-olah sudah hilang. Tetapi apabila sahaja
Komunis ditewas, Islam kembali kepada negara-negara ini
walaupun berpuluh tahun telah berlalu setelah Islam ditegah.
58. Jika kelonggaran diberi dalam Islam sehingga
ke peringkat ini, apakah dalam pelaksanaan hukum hudud tidak
ada sama sekali kelonggaran, tidak ada faktor dan keadaan
yang diambilkira? Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan
juga walau apapun keadaan sehingga mendatangkan mudarat
kepada orang Islam dan agama Islam? Apakah dalam keadaan
Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi
orang Islam mesti dilaksanakan juga? Apakah orang Islam
yang tinggal di negara majoriti bukan Islam terpaksa
melaksanakan juga hukum hudud sehingga mereka didakwa di
bawah undang-undang negara berkenaan? Bukankah Islam itu
luas dan `flexible' serta mampu `respond' kepada perubahan
yang berlaku pada umat manusia, perubahan masa dan tempat.
Inilah yang menyebabkan Islam itu sesuai dengan setiap masa
dan tempat. Keadaan yang berlaku tentu diambilkira.
Lebih-lebih lagi apabila keadaan umat Islam itu berada dalam
keadaan lemah dan kurang kemampuan. Keadaan demikian boleh
dianggap sebagai berada dalam keadaan darurat.
59. Islam bukan agama buta-tuli yang tidak mempedulikan
keadaan sekeliling dan kesan daripada pengamalan ajarannya.
Tuhan yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi tidak akan
menyeksa umatnya. Yang buta tuli ialah sesetengah daripada
ahli fikh dan pentafsir fanatik dalam Islam. Mereka ini
yang menjadikan agama Islam beban besar kepada umat Islam
sehingga mereka lemah dan tidak dapat menjayakan diri mereka
walaupun untuk akhirat. Yang ingin menjadikan agama Islam
agama buta tuli ialah mereka yang mempunyai kepentingan
lain, umpamanya politik persendirian.
60. Undang-undang PAS perlu dikaji sebelum ia boleh
diterima atau ditolak oleh sebuah Kerajaan yang ingin
menerap nilai-nilai Islam seperti Kerajaan Barisan Nasional.
Sudah tentu Kerajaan tidak boleh membelakangkan dengan
sewenang-wenangnya undang-undang yang didakwa berpunca
daripada ajaran Islam.
61. Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Pusat telah
mengambil masa yang panjang untuk mengkaji undang-undang
yang diluluskan dengan begitu mudah oleh Kerajaan PAS di
Kelantan. Kajian ini belum tamat. Kajian ini akan
diteruskan. Tetapi untuk memberi panduan kepada rakyat
negara ini, hasil kajian hingga kini perlu dimaklumkan
kepada mereka. Ini adalah bertujuan untuk menjaga
kepentingan umat Islam di Malaysia tanpa mengira parti atau
kumpulan. Walaupun orang Islam di Malaysia terselamat dan
mampu menghadapi banyak cabaran dunia luar, tetapi mereka
masih lemah dan belum dapat memelihara keselamatan diri
mereka. Sudah tentu mereka belum boleh menolong umat Islam
yang tertindas di tempat-tempat lain. Justeru itu,
Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap umat Islam dan agama
Islam tidak boleh membenar mana-mana pihak melaksanakan
sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam tanpa terlebih
dahulu mengkaji baik buruk kesannya terhadap orang Islam dan
agama Islam. Kerajaan Pusat bertanggungjawab dan tidak akan
mengabaikan tanggungjawab ini. Kerajaan Negeri Kelantan
tidak boleh dibenar melakukan sesuatu yang mungkin
bertentangan dengan agama Islam.
62. Perkara yang pertama yang perlu ditentukan ialah apakah
undang-undang ini dibuat melalui proses yang mengikut
kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan kaedah
feqah yang syaamil. Jawapan secara ringkas tetapi tepat
kepada soalan ini ialah proses ini tidak digunakan. Segala
alim ulama di dalam negara, bahkan di negeri Kelantan pun,
tidak terlibat dalam proses tafsiran dan kajian ajaran yang
terdapat dalam undang-undang Hudud PAS. Yang dibuat ialah
kajian yang terhad yang tidak boleh ditafsir sebagai selari
dengan kaedah feqah dan mencapai maslahah umat Islam.
63. Mereka yang diberi peluang mengambil bahagian adalah
ulama daripada parti politik tertentu atau yang bersimpati
dengan parti itu sahaja. Pendirian mereka sudahpun
diketahui. Mereka tidak bebas dan tidak mungkin
mengasingkan diri daripada pendirian politik mereka. Dalam
keadaan ini ajaran dan kepentingan Islam dan umat Islam
tidak mendapat kedudukan yang utama dan unggul. Kepentingan
politik parti mempengaruhi fikiran dan proses kajian.
Politik Islam juga tidak mendapat tumpuan yang unggul kerana
politik parti dicampuradukkan.
64. Hukum hudud adalah berkenaan dengan jenayah.
Ulama yang alim dalam ajaran Islam dan hukum hakam Islam
tidak semestinya pakar dalam bidang jenayah. Keadaan dan
jenayah di zaman Nabi tidak sama seperti di zaman ini.
Demikian masyarakat diMadinah, bahkan masyarakat di
negara-negara Islam semasa hukum hudud dilaksanakan
sepenuhnya, amat berbeza dengan masyarakat di Malaysia di
waktu ini. Masalah penduduk berbilang kaum dengan
komposisinya di Malaysia memerlukan pertimbangan secara
serius dan istimewa. Jenis jenayah perlu diambil kira.
Hukuman dibawah undang-undang biasa juga perlu diambilkira.
65. Untuk semua ini pendapat dan hujah-hujah daripada
pakar-pakar jenayah bukan sahaja di Kelantan tetapi di
seluruh negara (kerana undang-undang yang hendak digubal
akan melibatkan secara langsung atau secara tidak langsung
rakyat seluruh negara) perlu bersama dalam proses ijtihad.
Tidak ada bukti yang pakar-pakar ini mengambil bahagian
sepenuhnya. Ini bermakna proses ijtihad daripada segi ini
juga tidak diamalkan. Ini menjadikan proses rundingan cetek
dan tidak menepati kehendak dan semangat ijtihad.
66. Kerana ini sahaja pun undang-undang PAS tidak boleh
diterima sebagai secocok dengan kehendak agama Islam. Jauh
daripada penolakannya menjadikan seseorang orang Islam itu
murtad, kemungkinannya ialah penerimaannya akan menjadi
orang yang baru memeluk Islam kembali semula ke agama asal
mereka.
67. Kajian yang akan dibuat oleh Kerajaan Pusat terhadap
undang-undang PAS tertumpu kepada semua aspek yang penting
dalam Islam. Perkara yang akan dipersoalkan ialah apakah
undang-undang PAS berkenaan dengan hukum hudud Islam
menepati dan mencapai maksud dan matlamat hukum hudud dalam
Islam?
68. Soal yang kedua ialah apakah undang-undang PAS akan
menjamin keadilan bagi mereka yang akan didakwa di bawahnya?
Hukum hudud bukan menekan keberatan hukum dalam Islam tetapi
sebaliknya adalah untuk keadilan. Menganggap keadilan tidak
penting dalam Islam adalah salah. Sebenarnya kedatangan
Islamlah yang membawa keadilan kepada Arab Jahiliah dan
masyarakat lain yang menerima Islam. Sebab keadilannyalah
Islam mudah diterima.
69. Secara sambil lewa dan mudah pemimpin PAS mendakwa
bahawa undang-undang PAS tidak akan dipaksakan ke atas orang
bukan Islam. Dakwaan ini dibuat kerana kepentingan politik.
Walaupun Nabi sendiri tidak menggunakan undang-undang Islam
untuk mengadili orang bukan Islam, tetapi hasilnya masih
keadilan bagi semua pihak, yang Islam dan yang bukan Islam.
70. Tetapi jika undang-undang PAS diguna untuk orang Islam
dan undang-undang jenayah biasa diguna untuk bukan Islam
maka hasilnya ialah perbezaan hukuman yang amat ketara
antara penjenayah Islam dan penjenayah bukan Islam bagi
jenayah yang sama. Perbezaan hukuman untuk jenayah yang
sama amatlah tidak adil bagi apa juga sistem nilai atau
agama.
71. Daripada kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa
undang-undang PAS Kelantan adalah tidak menepati sepenuhnya
undang-undang, semangat dan sifat-sifat yang ada pada agama
Islam. Ia tidak mengasaskan sepenuhnya kepada maqasid
syariah. Undang-undang PAS bukan sahaja tidak boleh
diterima tetapi setakat ini hendaklah ditolak.
72. Ini tidak bermakna kita menolak hukum hudud. Kita
hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang
tidak serasi dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang
salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.
73. UMNO tidak melihat undang-undang ini sebagai UMNO,
sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan
politik dalam perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada
sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji, terima atau
tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah
melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan
Parti. UMNO tidak berbuat demikian.
74. Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah
orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah
kerana orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian
yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu feqah dan maqasid
syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO
secara sewenang-wenang.
75. Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang
dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga
dipertanggung jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia.
Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat semata-mata,
walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut
Perlembagaan Negara.
76. Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS
Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang
pakar dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh.
Mereka ini hendaklah terdiri daripada orang yang tidak
mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan
kepada agama Islam. Namun mereka perlu kepakaran bukan
sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain
dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan
jenayah. Seperti biasa mereka perlu mengambilkira keadaan
semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan ajaran,
ibadat dan hukum dalam Islam.
77. Kerajaan Malaysia, sebagai Kerajaan yang
bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia
akan mengambil tindakan untuk menubuhkan badan ini.
Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima atau
dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan
undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.
|