Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 13/03/94
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Bismillahir rahmanir rahim. Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Walillahilhamd
Syukur alhamdulillah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izin-Nya sekali lagi umat Islam di negara ini
selamat menjalankan ibadat puasa dengan sempurna dan
menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman dan
tenteram. Kita seharusnya banyak bersyukur kerana walaupun
kita di Malaysia terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan
agama, kita sentiasa dilindungi oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala di mana kita dapat hidup berharmoni, bersefahaman dan
saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Inilah
antara kelebihan kita yang kadangkala kita hanya
menyedarinya setelah orang lain menyebut tentangnya atau
setelah kita melihat sendiri perbalahan kaum yang dahsyat
yang berlaku di negara-negara lain melalui kaca televisyen
atau gambar-gambar dalam akhbar dan majalah. Tidak ada
sebab kenapa umat Islam di negara ini tidak bersyukur
memandangkan mereka tidak menghadapi sebarang masalah besar
dalam mengerjakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain.
Kezaliman dan huru-hara yang terdapat di Bosnia-Herzegovina,
Palestin dan Somalia tidak melanda negara kita,
alhamdulillah.
2. Jika saya kerap mengulangi tema kesyukuran ini,
sebabnya ialah kerana terdapat ramai yang kerap merungut
mengenai masalah-masalah kecil yang terpaksa mereka hadapi
dan lupa akan nikmat yang besar seperti kestabilan, keamanan
dan kemakmuran negara kita.
3. Sebahagian daripada kejayaan dan kemakmuran yang kita
nikmati adalah hasil sistem pemerintahan Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Walaupun demokrasi
boleh menghasilkan sebuah kerajaan pilihan rakyat, tetapi
ini tidak bermakna kerajaan pilihan rakyat ini tetap mampu
mengurus dan mentadbir negara dengan jayanya. Banyak
Kerajaan pilihan rakyat, termasuk di negara-negara maju,
yang gagal mentadbir dengan cekap dan berkesan. Sebab itu
banyak negara demokrasi mengalami kemerosotan ekonomi dan
tidak stabil.
4. Kejayaan kita membangunkan negara sehingga mencapai
kemajuan yang pesat, sedikit sebanyak, menimbulkan perasaan
irihati di kalangan negara-negara maju di barat. Mereka
khuatir akan kemungkinan kita juga menjadi maju seperti
beberapa buah negara Timur. Justeru itu, mereka mencari
jalan dan berusaha untuk menghalang pembangunan negara kita.
5. Memandangkan bahawa satu daripada sebab kita membangun
dengan pesat ialah produktiviti industri-industri kita
tinggi, mereka cuba menghasut kaum pekerja kita supaya
menuntut kenaikan gaji berlebihan dan kemudahan-kemudahan
lain supaya kos kita meningkat. Jika tuntutan tidak dilayan
atau tidak dipenuhi sepenuhnya, mereka menghasut supaya
pekerja kita mengambil tindakan perusahaan. Mereka tahu
bahawa jika kos pengeluaran kita meningkat maka kita tidak
akan dapat bersaing dengan mereka.
6. Kita, sebagai negara membangun, tidak mempunyai modal
atau teknologi atau pasaran tempatan atau kecekapan
pengurusan yang tinggi. Yang ada pada kita hanyalah kos
sara hidup yang rendah yang membolehkan upah kerja yang juga
rendah. Jika negara maju berjaya menghasut pekerja-pekerja
kita supaya menuntut upahan yang tinggi dengan mengadakan
mogok dan sebagainya, maka kelebihan kita yang satu ini
iaitu kos kita yang rendah berbanding dengan negara-negara
maju akan turut hilang.
7. Inilah sebabnya yang mereka selalu mendesak supaya kita
melonggarkan lagi dasar buruh kita sehingga
kesatuan-kesatuan sekerja kita boleh bertindak liar seperti
kesatuan mereka.
8. Kita bersimpati dengan kaum pekerja tetapi simpati ini
perlu dilayan dengan bijak. Pekerja, tetap akan mendapat
upahan yang meningkat apabila kemajuan negara meningkat.
Hari ini pun upahan sudah meningkat kerana peluang kerja
melebihi bilangan pekerja. Tindakan perusahaan tidak perlu.
Sebaliknya tindakan perusahaan yang tidak bertanggungjawab
akan menjejaskan pelaburan, mengurangkan peluang kerja,
menaikkan kos pengeluaran dan menghalang pembangunan.
Akhirnya ramai yang akan menganggur dan negara menjadi
miskin.
9. Negara-negara maju faham akan semua ini kerana inilah
yang telah terjadi di negara mereka dan inilah yang
menyebabkan kemerosotan ekonomi mereka. Sekarang di
kebanyakan negara maju terdapat sepuluh peratus tenaga
pekerja yang menganggur, sedangkan di Malaysia kurang
daripada empat peratus yang tidak bekerja tetap. Jika
mereka berjaya menghasut kesatuan sekerja kita, maka kitalah
yang akan menganggur dan ekonomi kitalah yang akan merosot.
Dengan itu mereka sekali lagi akan menguasai pasaran dunia.
10. Di masa yang sama, ramai daripada eksekutif kita
terpengaruh dengan gaji yang tinggi yang dibayar oleh
syarikat-syarikat negara maju. Kerana inginkan gaji yang
tinggi dan pembayaran bonus, pengurus mengutamakan
keuntungan jangka pendek tanpa mengambilkira masa depan
syarikat. Akhirnya syarikat akan gagal bersaing di pasaran
dunia.
11. Mereka tidak sahaja cuba menghasut pekerja kita dan
mempengaruhi pengurus kita, tetapi mereka cuba mengenakan
berbagai-bagai syarat berkenaan hak asasi manusia dan
pemeliharaan alam sekitar hanya untuk menaikkan kos
pengeluaran kita. Mereka juga cuba memboikot barangan kita
jika kita tidak melayan tuntutan mereka seperti pemeliharaan
alam sekitar.
12. Satu daripada kekuatan kita ialah kestabilan politik
dan Kerajaan yang berwibawa. Justeru itu berbagai-bagai
usaha dibuat oleh mereka untuk menggugat kestabilan kita.
Jika mereka dapat mengurangkan kepercayaan rakyat kepada
kepimpinan kerajaan, maka kewibawaan dan keberkesanan
kerajaan akan terjejas.
13. Sebab itu mereka sering memburuk-burukkan Kerajaan
Malaysia. Baru-baru ini mereka cuba memburukkan imej
pemimpin-pemimpin kerajaan. Kononnya pemimpin-pemimpin
kerajaan terlibat dengan rasuah. Dengan beraninya akhbar
mereka membuat tuduhan secara terbuka.
14. Jika tuduhan ini tidak disangkal, rakyat Malaysia,
bahkan orang asing, akan percaya bahawa tuduhan mereka
adalah benar. Dengan itu kepercayaan rakyat kepada kerajaan
akan luntur. Lebih daripada itu suara lantang Malaysia
dalam arena antarabangsa akan terjejas.
15. Jika rakyat tidak percaya lagi kepada kepimpinan negara
maka sokongan kepada kerajaan akan menjadi lemah. Dengan
ini, bukan sahaja pembangunan negara akan terjejas, tetapi
kestabilan politik juga akan berakhir. Kemungkinan Malaysia
mengejar kemajuan juga akan turut hilang.
16. Demikianlah usaha mereka sehingga mereka sanggup
mempertahankan siapa sahaja yang bermusuh dengan kerajaan
ini. Walaupun mereka tidak bersimpati dengan perjuangan
ekstremis Islam, mereka sanggup melapor bahawa Kerajaan
Malaysia menindas parti politik Islam di Malaysia.
Sebaliknya apabila parti politik Islam di sebuah negara
Islam menang pilihanraya, mereka tidak sedikit pun mengecam
perbuatan tidak menghormati pilihan rakyat.
17. Satu perkembangan yang rakyat harus ambil perhatian
ialah pengaruh dan penguasaan media antarabangsa oleh
sekumpulan kecil pemodal Barat. Media, terutama televisyen,
mempunyai pengaruh yang amat kuat. Dengan penguasaannya
oleh orang tertentu dari Barat, pemikiran, sikap dan budaya
kita boleh dikuasai oleh mereka. Jika kita tidak
berhati-hati kita mungkin akan dipengaruhi oleh mereka untuk
membinasakan diri kita sendiri.
18. Apa yang telah dihuraikan di sini adalah hasil maklumat
dan kajian yang teliti. Cabaran yang kita hadapi adalah
benar. Penjajahan secara langsung sudah tamat. Tetapi
sifat dan hasrat yang ada pada penjajah masih kekal. Jika
ada sahaja peluang mereka akan menjajah semula.
19. Kita tidak menuntut apa-apa yang luar biasa. Kita
hanya ingin berdiri sama tinggi dengan orang lain. Untuk
ini kita harus sentiasa berhati-hati. Kita juga harus
berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara kita
secepat mungkin. Kita bukan menuntut kekayaan di dunia ini
kerana nafsu. Kita menuntut kejayaan untuk mempertahankan
maruah bangsa kita. Kita tidak rela dipandang rendah dan
dihina oleh sesiapa.
20. Penghormatan tidak akan kita perolehi semata-mata
kerana umat manusia perlu hormat-menghormati antara satu
sama lain. Adalah menjadi naluri manusia memandang rendah
dan menindas orang yang daif dan miskin.
21. Hakikat ini perlu difahami dan diakui terutama
oleh umat Islam di Malaysia. Rata-rata kita lihat umat
Islam ditindas dan dihina. Mereka mengalami nasib ini
kerana mereka lemah dan miskin. Mereka bukan sahaja miskin
daripada segi wang ringgit, tetapi juga daripada segi ilmu
pengetahuan, kecekapan, teknologi dan kebijaksanaan
mentadbir.
22. Sementara kita boleh mengecam ketidakadilan orang lain,
kita tidak mungkin dapat menukar sikap dan tindakan mereka
kerana kecaman kita. Sebaliknya jika kita sedar akan
sifat-sifat yang melemahkan diri kita, kita boleh bertindak
mengubahkannya. Inilah yang harus kita buat.
23. Kita baru sahaja melalui ujian berpuasa. Puasa melatih
kita menghadapi cabaran dengan tabah hati. Kita bukan
sahaja lebih sedar akan penderitaan kerana lapar, tetapi
kebanggaan daripada kejayaan kita menguasai tekanan nafsu
kita. Alangkah gembiranya orang yang berpuasa apabila ia
berbuka puasa setiap hari dan apabila ia merayakan tamatnya
sebulan berpuasa. Mereka yang tidak berpuasa tidak akan
menikmati kepuasan berhari raya seperti mereka yang
berpuasa.
24. Demikian jugalah dengan proses pembangunan negara.
Hari ini kita bekerja keras dan menidakkan desakan nafsu
kita. Insya-Allah akhirnya kita akan berjaya dan akan
dihormati oleh dunia. Sedikit sebanyak akan tertebuslah
maruah agama Islam dan bangsa kita, insya-Allah.
25. Dengan ingatan tulus ikhlas saya mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada
Muslimin dan Muslimat di seluruh negara. Buktikanlah
kebesaran hati umat Islam dengan membuka rumah kita kepada
kawan dan rakan daripada semua kaum dan agama.
Mudah-mudahan kita akan mencapai kebahagiaan yang berkekalan
kerana keperihatinan kita.
26. Saya juga mengucapkan Selamat Berhari Raya kepada
pasukan-pasukan keselamatan kita yang bertugas di dalam dan
di luar negara. Negara tidak akan lupa atas pengorbanan dan
khidmat mereka.
27. Akhir kata, saya serta keluarga memohon maaf zahir dan
batin atas apa jua kesilapan yang mungkin kami lakukan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd.
|