Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN DUTA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/03/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN IKIM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM) kerana menjemput saya untuk merasmikan
bangunan baru IKIM pada hari ini.
2. IKIM ditubuhkan kerana kesedaran bahawa kebanyakan
daripada masalah umat Islam berpunca daripada kefahaman dan
perbezaan kefahaman berkenaan ajaran agama Islam di kalangan
penganut agama Islam dan juga di kalangan orang bukan Islam.
Sepatutnya orang Islam dengan orang Islam tidak bersengketa
dan bermusuh-musuhan. Tetapi hakikatnya ialah mereka sering
bersengketa sesama sendiri, bahkan berperang sesama sendiri
walaupun agama menegaskan bahawa orang Islam adalah
bersaudara. Permusuhan sesama Islam kerapkali disebabkan
oleh perbezaan kefahaman berkenaan dengan ajaran Islam. Di
beberapa buah negara Islam puak ekstrimis sanggup membunuh
orang yang seagama dengan mereka dan orang asing dalam usaha
mereka untuk menggulingkan Kerajaan. Dengan itu banyak
negara Islam yang menjadi lemah dan mudah diperalatkan oleh
kuasa-kuasa asing. Islam dan umat Islam tidak sedikit pun
mendapat keuntungan daripada perbezaan kefahaman yang
menjadi punca tindakan ekstrimis ini.
3. Di waktu yang sama terdapat permusuhan dan ketegangan
perhubungan di antara orang Islam dengan orang bukan Islam.
Di seluruh dunia terdapat perhubungan yang buruk di antara
orang Islam dengan orang bukan Islam sehingga rusuhan dan
peperangan berlaku sepanjang zaman. Dan ini juga berpunca
daripada perbezaan kefahaman atau kurang kefahaman
terutamanya berkenaan agama Islam oleh orang bukan Islam dan
sebaliknya.
4. Sebenarnya, hampir semua masalah dalam masyarakat
berpunca daripada perbezaan kefahaman berkenaan
perkara-perkara tertentu. Demikian ketegangan perhubungan
di antara Malaysia dengan Britain di saat ini adalah kerana
perbezaan kefahaman berkenaan kebebasan akhbar. Sementara
Malaysia mentafsir kebebasan ini sebagai kebebasan
melaporkan perkara yang benar, di Barat kebebasan akhbar
bermakna hak untuk melaporkan yang tidak benar dan
membohong.
5. Kita kadang-kadang bercerita berkenaan dengan kefahaman
yang berbeza-beza antara empat orang buta akan apakah dianya
gajah setelah mereka merasai dengan tangan bahagian-bahagian
gajah yang berlainan itu. Tetapi sebenarnya antara orang
yang celik sekalipun terdapat pendapat dan persepsi yang
berbeza-beza akan apa sahaja yang mereka lihat.
6. Bagi umat Islam, kefahaman mereka akan ajaran Islam
bergantung kepada tafsiran dan ajaran guru-guru dan
ulama-ulama yang mempelajari, mengkaji dan mentafsir isi
kandungan al-Quran, hadith dan kitab-kitab lain. Ajaran dan
tafsiran guru dan ulama ini pula bergantung pada kefahaman
mereka akan apa yang mereka pelajari dan kaji. Sama ada
disedari atau tidak alim-ulama ini dipengaruhi oleh
nilai-nilai dan pegangan masyarakat di sekeliling dan
kepentingan-kepentingan tertentu. Demikian jika masyarakat
tidak toleran terhadap agama lain, maka ajaran al-Quran
berkenaan dengan toleransi tidak dihuraikan. Atau jika ada
sesuatu tujuan yang hendak dicapai, maka dipilih-pilihnya
ajaran yang menyokong tujuan tersebut. Dengan itu umat
Islam mendapat panduan agama yang hanya separuh benar.
7. Kefahaman terhadap sesuatu masalah atau hukum
tidak selalunya sama di antara seorang ulama dengan ulama
yang lain. Dengan itu terdapat perbezaan pendapat dan
tafsiran di antara satu imam dengan imam yang lain, di
antara seorang ulama dengan ulama yang lain. Perbezaan
kefahaman ini boleh menjadi begitu luas sehingga masing-
masing tidak sanggup menerima ajaran pihak yang lain.
Dengan ini berlakulah perpecahan di kalangan pengikut agama
yang satu. Perpecahan yang ketara ialah di antara puak
Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan golongan Syiah. Bukan sahaja
mereka mempunyai perbezaan pendapat tentang siapa yang
sepatutnya mengambil tempat sebagai pemimpin umat Islam
selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w., tetapi berkenaan
dengan berbagai-bagai ajaran Islam terdapat perbezaan yang
ketara antara mereka.
8. Demikianlah perbezaan ini sehingga mereka menuduh pihak
yang lain tidak Islam dan sanggup berperang sesama mereka
kerana pendapat yang berbeza ini.
9. Kepimpinan umat sebenarnya adalah isu politik. Tetapi
isu ini dijadikan isu agama dan masing-masing mendakwa
kononnya mereka berjihad semasa berperang sesama sendiri.
Dengan itu umat Islam yang satu, yang sepatutnya bersaudara
akhirnya berpecah kepada dua mazhab yang bertentangan secara
berkekalan.
10. Tetapi perpecahan tidak tamat dengan kewujudan puak
Syiah dan Sunni. Beberapa imam dalam puak-puak ini membuat
tafsiran yang berlainan berkenaan dengan berbagai-bagai
ajaran Islam kerana kefahaman mereka berikutan dengan
pelajaran, kajian dan tafsiran berbagai-bagai sumber ajaran
agama. Maka berpecahlah lagi umat Islam kepada banyak
mazhab kecil dan berbagai-bagai kumpulan. Masing-masing
berpegang kuat kepada ajaran imam masing-masing.
11. Sementara kebanyakan perbezaan ini tidak sebenarnya
menyeleweng daripada ajaran Islam, tidak dapat tidak ada
yang lari jauh daripada ajaran Islam sehingga tidak lagi
boleh dikatakan daripada ajaran Islam. Antara ajaran-ajaran
yang jauh menyeleweng ialah dakwaan bahawa orang tertentu
adalah setaraf dengan nabi atau pemimpin kumpulan tertentu
sebenarnya adalah Imam Mahdi yang telah menjelma hidup
setelah tidak ada beratus-ratus tahun.
12. Oleh kerana umat Islam biasanya tidak mampu memahami
ajaran agama Islam dengan hanya membaca al-Quran atau Hadith
sendiri sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa lain, maka
siapa sahaja yang dianggap mampu mentafsir ajaran agama akan
diterima sebagai pengajar dan pentafsir. Sementara
kebanyakan daripada mereka ini adalah orang yang ikhlas dan
tidak berkepentingan, terdapat juga ramai yang mengambil
peluang daripada kelemahan pengetahuan umat Islam biasa
untuk membuat berbagai-bagai tafsiran atau mencari pengaruh.
Dengan itu bukan sahaja terdapat ajaran karut berkembang,
tetapi akidah ramai umat Islam terancam dan mungkin
menyeleweng. Yang lebih bahaya ialah ada yang sengaja
mengajar agama dengan tujuan mengekal pengaruh mereka ke
atas pihak yang sanggup mempelajari agama daripada mereka.
Demikianlah berkesannya pengaruh ulama atau guru agama
sehingga pengikut kadang-kadang sanggup membuat sesuatu yang
salah jika diarah berbuat demikian. Inilah yang menyebabkan
keganasan dan kebengisan kerapkali dilakukan oleh
kumpulan-kumpulan ekstrimis orang Islam terhadap orang Islam
lain atau Kerajaan Negara Islam.
13. Pengaruh yang kuat seperti ini ada baiknya juga.
Tetapi jika disalahgunakan, hasilnya amatlah buruk.
Demikian pengajaran bahawa ilmu selain daripada yang
bersangkutan dengan agama adalah sekular dan tidak perlu
bahkan ditegah daripada dipelajari oleh orang Islam telah
menyebabkan hampir semua umat Islam ketinggalan zaman, lemah
dan tertindas. Adalah jelas bahawa keadaan kefahaman yang
lemah terhadap ajaran agama Islam yang sebenar bukan sahaja
telah menyebabkan mereka terbahagi kepada ratusan mazhab,
kumpulan, tarikat dan sebagainya tetapi telah menjadikan
mereka mundur dan lemah. Buat beberapa dekad pada awal
kurun ke-20 semua orang Islam dan negara Islam telah
dijajah. Jika tidak kerana kemunculan beberapa tokoh Islam
yang berjaya menghidupkan semula semangat umat Islam,
penjajahan terhadap negara-negara Islam mungkin kekal hingga
sekarang. Malangnya semangat keIslaman sahaja tidak
mencukupi. Tidak kurang pentingnya ialah pengetahuan yang
luas serta ilmu-ilmu moden dan teknologi.
14. Keadaan menjadi lebih rumit kerana dengan peredaran
zaman dan pertaburan umat Islam, mereka menjadi lebih
terdedah kepada orang bukan Islam di negara mereka dan di
negara asing di mana mereka berhijrah. Perhubungan mereka
dengan bukan Islam menjadi masalah kerana mereka tidak faham
apakah sebenarnya kehendak agama Islam dalam perhubungan
ini. Di masa yang sama orang bukan Islam pula tidak
memahami apa dianya agama Islam. Mereka membuat tafsiran
mereka sendiri yang kerapkali tidak benar dan tidak tepat
tentang apa dianya agama Islam.
15. Dengan kefahaman yang kerapkali salah di kalangan
kedua-dua pihak maka perhubungan antara orang Islam dengan
bukan Islam biasanya tegang. Permusuhan dan peperangan
kerap berlaku. Yang sedihnya ialah oleh kerana
'misconception' atau ketidakfahaman orang bukan Islam
terhadap agama Islam dan umat Islam, ramai orang Islam dan
negara-negara Islam tertekan dan ditindas.
16. Di zaman ini terdapat seribu juta umat Islam di seluruh
dunia. Ini bermakna setiap lima orang umat manusia seorang
adalah beragama Islam. Sementara kebanyakan daripada orang
Islam tinggal di negara-negara majoriti Islam, ratusan juta
lagi tinggal sebagai minoriti di negara-negara bukan Islam.
Biasanya terdapat 'bias' terhadap orang Islam dan agama
Islam di negara-negara bukan Islam dan di kalangan orang
bukan Islam. Demikianlah pandangan serong ini sehingga
apabila orang Islam ditindas dan dibunuh dengan kejam
seperti di Bosnia dan Israel, majoriti masyarakat manusia
memandang penindasan dan pembunuhan orang Islam sebagai
perkara ringan. Sebaliknya apabila orang Islam tidak lagi
dapat membendung perasaan, lalu bertindak balas, mereka
dicap sebagai 'terrorist'. Sebab itu apabila seorang Yahudi
rakyat Israel menembak mati 50 orang Muslim yang sedang
bersembahyang dan mencedera berpuluh-puluh lagi, Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu tidak mengecam perbuatan ini sebagai
'terrorism'. Hanya orang Islam sahaja boleh dicap sebagai
'terrorist'. Orang lain yang membunuh orang Islam bukan
'terrorist'.
17. Semua ini berpunca daripada salah faham orang bukan
Islam tentang apa dianya agama Islam, walaupun kadang-kadang
orang Islam sendiri yang menyebabkan salah faham ini. Jika
perhubungan di antara orang Islam dengan orang bukan Islam
hendak dibaiki maka amatlah penting asas-asas Islam
sekurang-kurangnya difahami oleh bukan Islam. Di masa yang
sama orang Islam sendiri perlu tahu tentang ajaran Islam
berkenaan dengan perhubungan di antara mereka dengan bukan
Islam. Mereka harus tahu bahawa Allah yang menentukan
adanya orang yang bukan beragama Islam.
18. Dalam Surah Yunus, Ayat 99, Allah berfirman:
" Dan (bukanlah tanggungjawabmu Wahai Muhammad
menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu
menghendaki nescaya berimanlah sekelian manusia yang
ada dibumi, maka patutkah engkau pula hendak memaksa
manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang
beriman ".
19. Jika Rasulullah sendiri dilarang daripada memaksa semua
orang supaya beriman, apakah kita umat Islam biasa harus
memaksa. Sebenarnya kita diarah untuk berbaik-baik dengan
orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan kita.
Berbaik-baik tentulah memerlukan toleransi terhadap adat
resam, budaya dan amalan penganut-penganut agama lain.
Dalam surah Al-An'aam Ayat 108, Allah berfirman:
" Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka
sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan
mencerca Allah secara melampaui batas dengan
ketiadaan pengetahuan ".
20. Di sebaliknya, jika orang bukan Islam tidak
dipengaruhi oleh sejarah permusuhan Islam/bukan Islam, serta
pandangan serong pihak-pihak tertentu, serta memahami bahawa
Islam "is a religion of peace and tolerance", maka mereka
tidak akan mempunyai syak-wasangka terhadap orang Islam.
21. Penubuhan IKIM berasaskan kepada pengenalan pasti bahawa
kebanyakan daripada masalah perhubungan di antara manusia
dengan manusia, terutama yang berlainan agama adalah
disebabkan oleh kefahaman yang berbeza-beza berkenaan dengan
perkara yang sama. Jika kajian dapat dibuat secara objektif
berkenaan dengan perkara-perkara tertentu oleh semua pihak,
maka sedikit sebanyak akan berkuranganlah perbezaan
kefahaman berkenaan dengan masing-masing. Di masa yang
sama segala tafsiran oleh orang yang berkepentingan dapat
dibendung dan dikaji oleh ulama-ulama yang tidak
berkepentingan untuk menentukan hanya ajaran Islam yang
sebenar sahaja diterima dan disebarkan kepada umat Islam.
22. Penyertaan orang bukan Islam dalam seminar-seminar yang
dianjurkan oleh IKIM merupakan aspek yang penting dalam
usaha meningkatkan kefahaman orang bukan Islam berkenaan
dengan asas-asas sebenar agama Islam. Penyertaan mereka
juga akan menolong alim-ulama Islam atau 'Muslim scholars'
memahami pandangan dan kefahaman orang bukan Islam terhadap
agama Islam dan umat Islam. Dengan ini dapatlah kita
betulkan sebarang salah kefahaman yang mungkin ada di
kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam dan orang
Islam, sekurang-kurangnya di Malaysia.
23. Sebenarnya tidak ada sebab kenapa orang Islam dan orang
bukan Islam bermusuh-musuhan. Jika kita mengambil iktibar
daripada Sunnah Nabi sudah tentu orang Islamlah yang perlu
dipercayai oleh bukan Islam.
24. Malah ditegaskan juga bahawa sekiranya anak memeluk
Islam dan ibu bapanya masih beragama lain, maka anak ini
tidak boleh memutuskan hubungan dengan ibu bapanya. Ia
mestilah menunaikan
tugasnya sebagai anak kepada ibu bapanya itu walaupun mereka
masih berlainan agama.
25. Ditakdirkan umat Islam mempunyai tawanan perang dan
sebagainya, Islam melarang umatnya daripada berlaku zalim
dan kejam terhadap tawanan ini. Allah Subhanahu wa Ta'ala
berfirman dalam Surah Al-Insaan, Ayat 8:
" Dan mereka (iaitu orang yang beriman) memberi
makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak
yatim dan orang yang ditawan ".
26. Al-Quran juga mengajar kita supaya jangan terikut-ikut
dengan emosi liar. Kejahatan musuh kita tidak sepatutnya
disusuli dengan kejahatan daripada pihak umat Islam. Jika
kita ingin membalas kejahatan dan kezaliman, cara yang kita
gunakan itu tidak sepatutnya sehingga menjatuhkan
kredibiliti kita sebagai umat yang mulia, adil dan saksama,
walaupun dalam ketegasan. Dalam Surah Al-Maa-idah, Ayat 8,
Allah berfirman:
" ......... Dan janganlah sekali-kali kebencianmu
terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak
berlaku adil.... "
27. Keadilan dan toleransi yang berprinsip ini dicatat
dalam sejarah bagaimana masyarakat Kristian dan Yahudi
ketika Sepanyol di bawah Bani Umaiyyah dan Baghdad di bawah
Bani Abassiyah mendapat peluang yang saksama untuk belajar
bersama-sama penuntut Muslim di madrasah, pusat pengajian
tinggi dan juga asrama yang dibiayai oleh kerajaan Muslim
ketika itu. Tidak ada 'inquisition' di bawah pemerintahan
Islam.
28. Rasulullah s.a.w. pula mengajar umat Islam supaya tidak
menjadikan dendam sebagai penghalang bagi kita melakukan
kebaikan. Sewaktu kaum kafir Quraish menghadapi kemarau,
Rasulullah s.a.w. memberi pertolongan kepada yang miskin di
kalangan mereka dalam bentuk wang.
29. Asmak binti Abu Bakar pula menceritakan bagaimana
Rasulullah s.a.w. menasihati beliau supaya berbuat baik
dengan ibunya yang musyrik ketika itu.
30. Teladan toleransi Rasulullah s.a.w. juga disaksikan
dalam bentuk sikap Rasulullah s.a.w. apabila Baginda
menziarahi mereka yang sakit tanpa mengira agama mereka.
Daripada segi prinsipnya Baginda tidak membezakan di antara
Muslim ataupun tidak.
31. Pernah satu ketika, Baginda berdiri menghormati jenazah
seorang Yahudi yang lalu. Bagi Baginda, Yahudi itu juga
adalah seorang makhluk Allah Subhanahu wa Ta'ala yang
mempunyai jiwa manusia.
32. Pada masa yang lain pula, apabila sebuah rombongan
Kristian Najran ingin berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.,
mereka memasuki masjid Baginda dan ingin melaksanakan
sembahyang mereka sebab waktu sudahpun masuk bagi mereka.
Walaupun ada sahabat menghalang mereka, Rasulullah s.a.w.
bersabda:
" Biarkan mereka sembahyang ". Lalu, mereka pun
sembahyang dengan menghadap ke arah timur.
33. Teladan Rasulullah s.a.w. ditanam ke dalam hati dan
jiwa umat Islam selepas kewafatan Baginda. Sayidina Umar
Al-Khattab pernah memberi pendapatan tetap daripada dana
Baitulmal untuk seorang Yahudi serta keluarganya. Beliau
juga pernah memberi bantuan kewangan daripada sumber yang
sama kepada sekumpulan Kristian yang berpenyakit kusta.
34. Keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat bukan
Islam berterusan sehingga beliau menghadapi saat-saat
kematian. Sayidina Umar berpesan kepada bakal penggantinya
supaya berlaku adil kepada yang bukan Islam, sempurnakan
janji di antara umat Islam, berjuang untuk melindungi
masyarakat bukan Islam di bawah jagaan kerajaan Islam dan
elakkan daripada terlalu membebankan mereka.
35. Jika semua orang Islam tahu dan faham akan ajaran
Islam daripada al-Quran, hadith dan Sunnah, kitab-kitab
dan sejarah maka bukan sahaja perhubungan di antara orang
Islam dengan bukan Islam akan menjadi baik, tetapi bukan
Islam akan memahami ajaran dan prinsip agama Islam yang
tepat dan benar. Dengan itu akan terbuktilah toleransi Islam
dalam hubungan dengan semua pihak.
36. Dengan harapan dan doa bahawa Institut Kefahaman Islam
ini akan dapat menolong orang Islam dan bukan Islam memahami
agama Islam yang sebenar, saya dengan lafaz Bismillahir
rahmanir rahim merasmikan bangunan Institut Kefahaman Islam
Malaysia ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|