Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 23/04/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERPISAHAN RASMI OLEH
KERAJAAN BAGI SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA
PERMAISURI AGONG
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Kerajaan Malaysia menjunjung kasih kepada Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,
kerana berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan Rasmi oleh
Kerajaan bagi Baginda berdua pada malam ini.
2. Kerajaan dan pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan
rakyat sekalian ingin merakamkan terima kasih kepada Tuanku
kerana di bawah naungan Tuanku semenjak lima tahun yang lalu
negara telah menikmati bebagai-bagai kemajuan di dalam
banyak bidang. Kerajaan yang mendokong prinsip Raja
Berperlembagaan berasa bangga dengan peranan Tuanku yang
telah menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong dengan
dedikasi dan mengikut asas-asas yang telah ditetapkan dalam
Perlembagaan. Dengan kerjasama serta panduan Tuanku,
Kerajaan dan pegawai-pegawai perkhidmatan awam telah berjaya
menumpukan masa dan tenaga mereka kepada pengurusan
pentadbiran negara, yang mana secara langsung telah
membolehkan negara mencapai pembangunan yang amat pesat.
Daripada segi politik, negara juga stabil dan tidak ada
perbalahan politik yang mengancam keamanan rakyat. Rakyat
juga kini menikmati kualiti hidup yang tinggi dan sempurna.
3. Di bawah naungan Tuanku, negara telah mengalami
kemajuan yang pesat dalam bidang-bidang ekonomi, sosial dan
politik antarabangsa. Sungguhpun ekonomi dunia, terutamanya
Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun mengalami pertumbuhan
ekonomi yang lembap, namun ekonomi Malaysia telah berjaya
mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan. Selama lima
tahun yang lalu pertumbuhan ekonomi negara melebihi lapan
peratus setiap tahun. Kadar inflasi juga berjaya dibendung
oleh Kerajaan dan pencapaian ini adalah antara yang terendah
di rantau ini. Rakyat juga mula sedar akan kebaikan dalam
peningkatan simpanan wang mereka dan mengurangkan
pembaziran.
4. Tuanku juga berjaya mengukuhkan lagi hubungan Malaysia
dengan negara-negara sahabat semasa menjalankan tugas Tuanku
terutama sewaktu melakukan lawatan-lawatan rasmi ke luar
negara. Melalui lawatan-lawatan tersebut perhubungan baik
negara dengan negara-negara berkenaan semakin mantap
terutamanya dalam hubungan dua hala. Hubungan mesra antara
rakyat dan sikap saling hormat- menghormati negara-negara
berkenaan turut semakin erat dan terpelihara.
5. Malah semasa di bawah naungan Tuanku, nama Malaysia
begitu harum di dalam dunia politik antarabangsa. Malaysia
dikenali kerana peranannya yang aktif memperjuangkan hak-hak
negara-negara dunia ketiga yang lemah dan sedang membangun
serta meningkatkan kerjasama politik dan ekonomi antara
negara-negara Selatan. Kehadiran Malaysia dalam forum-forum
antarabangsa bagi membincangkan isu-isu semasa seperti hak
asasi manusia, alam sekitar dan perdagangan telah
meninggalkan kesan yang mendalam kepada dunia. Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali
(NAM), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Mesyuarat
Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM), Mesyuarat Kumpulan 15
(G-15) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)
telah menjadi medan utama bagi negara mengutarakan
persoalan-persoalan besar seperti pembunuhan kejam di
Bosnia- Herzegovina, nasib dan hak rakyat Palestin,
kebuluran di Somalia, dasar apartheid di Afrika Selatan,
masalah pemerintahan di Kemboja, sekatan perdagangan dunia
dan pelbagai lagi perkara penting yang menjadi masalah
bersama negara-negara di dunia. Kedudukan negara di pentas
dunia kini tidak lagi boleh dipandang rendah dan sepi oleh
negara-negara kuat yang besar dan maju.
6. Kerajaan dan rakyat juga berbangga dengan penglibatan
Tuanku di dalam pelbagai bidang sukan terutamanya hoki.
Minat yang ditunjukkan serta sokongan Tuanku pada bidang
sukan bukan sahaja telah berjaya meningkat dan memajukan
sukan negara di peringkat kebangsaan tetapi juga telah
berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat
antarabangsa. Pencapaian sukan negara adalah begitu pesat
sekali dan sejak kebelakangan ini adalah amat menggalakkan.
Malaysia telah banyak mencatatkan nama yang cemerlang dalam
kejohanan dan acara-acara sukan di peringkat antarabangsa
semasa di bawah naungan Tuanku. Kejayaan yang terbesar
ialah kemenangan Piala Thomas. Pencapaian yang lain ialah
di bidang hoki, boling dan olahraga.
7. Negara kita juga kini menjadi pilihan, tumpuan dan
gelanggang utama dunia bagi acara-acara sukan antarabangsa
dan ini termasuklah pengurusan Sukan Komanwel di tahun 1998.
Ini adalah satu penghormatan dan kebanggaan kepada negara.
8. Kerajaan dan rakyat juga ingin mengucapkan terima kasih
kepada Raja Permaisuri Agong atas penglibatan aktif Baginda
dalam berbagai-bagai bidang sosial dan kemasyarakatan
terutama kerja- kerja amal dan kebajikan. Rakyat amat kagum
dengan keprihatinan dan kejayaan Tuanku Bainun dalam menanam
sikap mengambil berat atau mengambil tahu hal-hal susah
senang masyarakat. Rasa kasih sayang terhadap insan yang
lemah, tertindas dan tidak bernasib baik berjaya dibukukan
dalam hati masyarakat sehingga dapat diwujudkan `masyarakat
penyayang'. Justeru itu, Kerajaan serta pegawai-pegawai
perkhidmatan awam serta rakyat sekalian ingin menjunjung
tinggi dan merakamkan ribuan terima kasih di atas sumbangan
Tuanku Bainun semasa menjalankan peranan dan tugas Baginda
sebagai Raja Permaisuri Agong.
9. Sekali lagi Kerajaan dan rakyat menjunjung
kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kerana berkenan
berangkat ke Majlis Perpisahan Rasmi ini.
10. Akhir kata, Kerajaan dan rakyat berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha
Pemurah, mudah-mudahan dilanjutkan usia Tuanku berdua.
Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala menganugerahkan kesihatan
dan kesejahteraan ke atas Tuanku berdua.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|