Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN PARLIMEN
Tarikh/Date : 25/04/94
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN USUL-USUL MENGENAI
LAPORAN ULANGKAJI DAN PERSEMPADANAN
BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHANRAYA
PARLIMEN DAN NEGERI BAGI NEGERI-
NEGERI TANAH MELAYU, DAN NEGERI
SABAH DI BANGUNAN PARLIMEN
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan -
"Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 27 (3)
Dewan ini membuat ketetapan di bawah seksyen 10 Jadual
Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa draf
bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan
Bahagian-Bahagian Pilihanraya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu)
1994, yang telah dibentangkan dalam Dewan ini pada 14hb
April 1994 bersama dengan laporan Suruhanjaya Pilihanraya
bertarikh 15hb Februari 1994 mengenai persempadanan
Bahagian-Bahagian Pilihanraya Parlimen dan Negeri dalam
Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan) dan Bahagian-Bahagian
Pilihanraya Negeri setiap Negeri dalam Negeri-Negeri Tanah
Melayu dan yang akan dibuat di bawah seksyen 12 Jadual
tersebut untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung
dalam laporan tersebut, adalah diluluskan."
Tuan Yang Dipertua,
Saya juga mohon mencadangkan -
"Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 27 (3) Dewan ini
membuat ketetapan di bawah seksyen 10 Jadual Ketiga Belas
kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa draf bagi Perintah
Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian
Pilihanraya (Negeri Sabah)) 1994, yang telah dibentangkan
dalam Dewan ini pada 14hb April 1994 bersama dengan Laporan
Suruhanjaya Pilihanraya bertarikh 15hb Februari 1994
mengenai persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihanraya
Parlimen dan Negeri dalam Negeri Sabah dan yang akan dibuat
di bawah seksyen 12 Jadual tersebut untuk menguatkuasakan
syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah
diluluskan"
Tuan Yang di-Pertua,
2. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum
menurut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan,
Suruhanjaya Pilihanraya adalah bertanggungjawab untuk
mengulangkaji dan mempersempadankan seluruh bahagian
pilihanraya Parlimen dan bahagian pilihanraya Negeri pada
lat tempoh tidak kurang daripada 8 tahun dan urusan
persempadanan yang dijalankan hendaklah siap dalam tempoh
tidak lebih daripada 2 tahun dari tarikh bermulanya
ulangkaji itu. Tarikh bermulanya ulangkaji ini ialah pada
23hb Julai 1993 berasaskan kepada notis
pengesyoran-pengesyoran sempadan bahagian-bahagian
pilihanraya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya
pada tarikh tersebut.
3. Berhubung dengan ulangkaji dan persempadanan bahagian-
bahagian pilihanraya ini saya juga ingin menarik perhatian
Ahli-ahli Yang Berhormat, yang saya kira masih lagi ingat,
bahawa dalam sidangnya pada bulan Oktober 1992 Dewan yang
mulia ini telah meluluskan Rang Akta Perlembagaan (Pindaan)
1992 (Akta A 837). Menurut Akta itu Perkara 46 dalam
Perlembagaan telah dipinda dengan menambah 12 kerusi dalam
Dewan ini daripada 133 kepada 145 bagi Negeri-Negeri Tanah
Melayu (Semenanjung Malaysia) dan tiada tambahan kerusi
Parlimen bagi negeri Sabah. Berikutan dengan pertambahan
kerusi-kerusi Parlimen itu, Dewan-dewan Perundangan Negeri
bagi Negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah meminda
perlembagaan negeri masing-masing dengan menambah bilangan
kerusi-kerusi dalam Dewan-dewan Perundangan Negeri yang
berkenaan.
4. Dengan adanya pindaan-pindaan kepada Perkara 46 dalam
Perlembagaan dan perkara-perkara berkenaan di dalam
Perlembagaan-Perlembagaan Negeri yang berkenaan, maka
menjadi perlu bagi Suruhanjaya Pilihanraya untuk menjalankan
ulangkaji membahagikan Negeri Tanah Melayu kepada
bahagian-bahagian pilihanraya dan mengesyorkan apa-apa
perubahan yang difikirkan perlu, sebagai mematuhi kehendak
Fasal (1) dan (2) Perkara 116 dalam Perlembagaan Persekutuan
yang berbunyi seperti berikut:-
"(1) Bagi memili h Ahli-ahli Dewan Rakyat, sesuatu unit
ulangkaji hendaklah dibahagi kepada beberapa bahagian
pilihanraya mengikut peruntukan-peruntukan yang
terkandung dalam Jadual Ketiga Belas;
(2) Jumlah bilangan bahagian-bahagian pilihanraya hendak-
lah sama dengan bilangan ahli-ahli supaya seorang ahli
dipilih bagi tiap-tiap satu bahagian pilihanraya, dan
daripada jumlah bilangan bahagian-bahagian pilihanraya
dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu itu sebilangan yang
ditetapkan mengikut peruntukan-peruntukan yang
terkandung dalam Perkara 46 dan Jadual Ketiga Belas
hendaklah diuntukkan bagi tiap-tiap satu Negeri."
5. Sungguhpun kerusi Parlimen dan Negeri bagi Negeri Sabah
tidak bertambah iaitu kekal pada bilangan 20 bagi kerusi
Parlimen dan 48 bagi kerusi-kerusi Negeri, namun Suruhanjaya
Pilihanraya, berdasarkan kepada kriteria-kriteria dan
panduan-panduan tertentu mendapati perlu mengubahsuaikan
sempadan bahagian-bahagian pilihanraya bagi seluruh Negeri
Sabah supaya taburan pemilih menjadi lebih seimbang dan
rakyat mendapat perwakilan yang lebih adil.
Tuan Yang di-Pertua,
6. Suruhanjaya Pilihanraya telah pun menyiapkan kedua-dua
laporannya berpandukan kepada prosedur-prosedur yang
diberikan di dalam Bahagian II Jadual Ketiga Belas
Perlembagaan. Ulangkaji dan Persempadanan semula yang telah
dijalankan itu adalah juga diasaskan, setakat mana yang
boleh, kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam
Bahagian I Jadual Ketiga Belas Perlembagaan.
7. Laporan-laporan Ulangkaji dan Persempadanan ini telah
diserahkan kepada saya pada ll Mac 1994 sebagaimana yang
dikehendaki oleh seksyen 8 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan.
Laporan-laporan itu telah pun dibentangkan di dalam Dewan
ini sebagai Kertas Statut No. 54 Tahun 1994 dan Kertas
Statut No. 56 Tahun 1994.
8. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat dapat lihat,
laporan-laporan Suruhanjaya mengenai Ulangkaji dan
Persempadanan Bahagian Pilihanraya Parlimen dan Negeri bagi
negeri-negeri Tanah Melayu dan Negeri Sabah mengandungi 6
Bab iaitu Bab A hingga F. Ianya terkandung di dalam 2 Jilid
iaitu Jilid I mengandungi Bab A hingga E dan Jilid II
mengandungi Bab F, iaitu peta.
9. Bab A dalam laporan Ulangkaji dan Persempadanan
Bahagian Pilihanraya Parlimen dan Negeri bagi negeri-negeri
Tanah Melayu ada menerangkan dengan jelas latarbelakang
mengenai perkara-perkara bersabit dengan keadaan sesebuah
negeri, skop, penentuan bilangan pemilih, keadaan
kemasyarakatan dan lain-lain perkara yang berkaitan
dengannya. Bab A bagi negeri Sabah mengandungi
maklumat-maklumat mengenai latarbelakang keadaan Negeri
Sabah seperti penduduk dan kebudayaan, keadaan muka bumi dan
kawasan pilihanraya yang sedia ada. Bab B dalam kedua-dua
laporan tersebut ada diterangkan mengenai aspek-aspek
perundangan, panduan tugas dan kriteria pembahagian kawasan
yang dipersempadankan oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Perkara
yang penting di dalam Bab B kedua-dua laporan ini yang perlu
saya sebutkan ialah berkaitan dengan unit ulangkaji
kerusi-kerusi Parlimen dan Negeri.
10. Bagi tujuan persempadanan bahagian-bahagian pilihanraya
Fasal (6) Perkara 113 dalam Perlembagaan telah membahagikan
Malaysia kepada unit ulangkaji yang berasingan iaitu:
i) Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan
Labuan);
ii) Negeri Sabah;
iii) Negeri Sarawak (yang tidak terlibat dalam
ulangkaji ini buat masa ini).
Oleh kerana pembahagian Malaysia kepada unit-unit ulangkaji,
Suruhanjaya Pilihanraya perlulah mengemukakan
laporan-laporan yang berasingan, iaitu satu bagi
Negeri-Negeri Tanah Melayu dan satu lagi bagi Negeri Sabah.
Negeri Sarawak tidak terlibat di dalam ulangkaji ini buat
masa ini.
Tuan Yang di-Pertua,
11. Bab B Laporan-laporan Ulangkaji dan Persempadanan ini
juga ada menerangkan bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya
menjalankan ulangkaji dan persempadanan di samping
maklumat-maklumat lain bersabit dengan prinsip-prinsip
persempadanan, daftar pemilih, asas yang digunakan, purata
bilangan pemilih bagi Parlimen dan Negeri, pembahagian
daerah-daerah mengundi, nama-nama bahagian pilihanraya dan
pemetaan. Sebagaimana yang telah saya terangkan sebentar
tadi, Suruhanjaya Pilihanraya telah memulakan kerja
ulangkaji sejak bulan Julai 1993 dan dengan yang demikian
asas ulangkaji daripada segi bilangan pemilih ialah daftar
pemilih yang disahkan pada bulan April, 1993 bagi negeri
Tanah Melayu dan Mei, 1993 bagi negeri Sabah. Jumlah
pemilih bagi negeri-negeri Tanah Melayu, termasuk Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan,
ialah sebanyak 6,839,844 orang. Ini merupakan 30.5 peratus
tambahan pemilih daripada pemilih tahun 1984 yang berjumlah
5,239,278 orang. Bagi negeri Sabah, jumlah pemilih adalah
sebanyak 598,312. Berasaskan kepada 20 bahagian Parlimen
dan 48 bahagian Negeri purata pemilih Parlimen ialah 29,915
dan purata pemilih Negeri ialah 12,464.
Tuan Yang di-Pertua,
12. Bab C Laporan-laporan Suruhanjaya itu mengandungi
keterangan-keterangan berhubung dengan Notis-Notis dan
pengesyoran-pengesyoran dan juga pameran-pameran serta
dengan rayuan-rayuan dan bantahan-bantahan dan seterusnya
mengenai pindaan-pindaan kepada syor-syor Suruhanjaya yang
keseluruhannya ialah dilakukan mengikut prosedur yang
terkandung di dalam Bahagian II Jadual Ketiga Belas
Perlembagaan. Berhubung dengan rayuan-rayuan dan
bantahan-bantahan bagi syor-syor yang disiarkan menerusi
Notis yang dipamerkan buat pertama kali pada 23 Julai hingga
23 Ogos 1993, Suruhanjaya telah menerima sebanyak 103 rayuan
bagi negeri-negeri Tanah Melayu. Rayuan-rayuan itu telah
diproses dan sebanyak 58 siasatan tempatan di semua negeri
di Semenanjung Malaysia telah dijalankan. Bagi pameran yang
kedua yang dibuat pada 22 November hingga 22 Disember 1993,
Suruhanjaya telah menerima sebanyak 42 rayuan dan telah
menjalankan sebanyak 7 Siasatan Tempatan di beberapa buah
negeri di Semenanjung Malaysia. Bagi negeri Sabah 50 rayuan
telah diterima. Sebanyak 37 siasatan tempatan telah
dijalankan di Negeri Sabah di dalam bulan September dan
Oktober 1993. Pindaan-pindaan dibuat selepas
siasatan-siasatan itu selesai dijalankan. Setelah notis dan
syor-syor pindaan yang kedua dipamerkan daripada 22 November
1993 hingga 22 Disember 1993, sebanyak 24 rayuan telah
diterima dan satu siasatan tempatan telah dijalankan pada 18
Januari 1994.
13. Bab D laporan-laporan itu mengandungi
perakuan-perakuan Suruhanjaya Pilihanraya.
Perakuan-perakuan ini dapat diteliti sepenuhnya di dalam
Jadual I dan Jadual II yang menerangkan bahagian-bahagian
pilihanraya Parlimen dan Negeri yang dicadangkan bagi
Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah dan juga daerah-daerah
mengundi di dalam bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan
Negeri serta bilangan pemilih di dalam tiap-tiap bahagian
pilihanraya.
14. Sepertimana Ahli-ahli Yang Berhormat boleh lihat di
dalam laporan-laporan itu, Suruhanjaya Pilihanraya ada
mengesyorkan beberapa perubahan nama kepada bahagian
pilihanraya yang sedia ada sekarang. Sebab-sebab perubahan
itu dilakukan juga diberikan dalam laporan-laporan itu.
Bagi bahagian-bahagian pilihanraya yang baru Suruhanjaya
telah mencadangkan nama-nama tertentu yang difikirkan sesuai
dan ada antara nama-nama ini diubah setelah menimbangkan
rayuan-rayuan yang dibuat oleh pengundi-pengundi tempatan
atau pihak-pihak yang layak.
15. Bab E dalam kedua-dua laporan mengandungi
lampiran-lampiran dan maklumat penting berkaitan dengan
syor-syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya.
16. Bab F dalam kedua-dua laporan mengandungi peta-peta
yang menunjukkan sempadan-sempadan bahagian-bahagian
pilihanraya Parlimen dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah
Melayu, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Wilayah Persekutuan Labuan, dan Sabah. Peta-peta yang
disediakan itu mengandungi asas-asas maklumat yang paling
kemaskini, khususnya mengenai pertalian jalanraya, keretapi
serta rangkaian sungai-sungai dan lain-lain lagi.
Tuan Yang di-Pertua,
17. Satu perkara yang perlu dinyatakan di sini mengenai
purata pemilih bagi Negeri Sabah ialah bahawa amat sukar
bagi Suruhanjaya Pilihanraya untuk menseimbangkan pemilih
bagi tiap-tiap bahagian pilihanraya berpandukan kepada
purata pemilih. Ini kerana terdapat kawasan-kawasan luar
bandar yang keadaan topografi dan demografinya amat luar
biasa, menyebabkan bilangan pemilih yang dicadangkan bagi
bahagian-bahagian tertentu di luar bandar lebih rendah
daripada yang sepatutnya. Ini adalah suatu perkara yang
tidak dapat dielakkan bagi negeri Sabah oleh kerana
konsentrasi penduduk adalah tertumpu kepada kawasan-kawasan
tertentu sahaja, khususnya kawasan-kawasan yang telah maju
dan yang sedang dimajukan.
18. Sungguhpun demikian Suruhanjaya Pilihanraya di dalam
usahanya untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat,
khususnya di kawasan-kawasan di mana kemudahan-kemudahan
perhubungan dan pengangkutan sangat terhad atau langsung
tidak wujud, telah cuba mengurangkan keluasan sesebuah
kawasan pilihanraya tanpa banyak menjejaskan jumlah pemilih
supaya tidak jauh daripada angka purata pemilih yang telah
ditetapkan.
Tuan Yang di Pertua,
19. Mengikut seksyen 9 Jadual Ke Tiga Belas Perlembagaan,
laporan-laporan itu hendaklah dibentangkan bersama dengan
draf suatu Perintah yang hendak dibuat di bawah seksyen 12
untuk menguatkuasakan dengan atau tanpa ubahsuaian syor-syor
yang terkandung di dalam laporan itu. Draf-draf Perintah
itu sekarang ini ada di hadapan Dewan ini sebagai Kertas
Statut No. 55 Tahun 1994 dan Kertas Statut No. 57 Tahun
1994.
20. Kerajaan telah mengkaji dengan teliti syor-syor yang
dibuat dalam laporan-laporan itu dan tidak mencadangkan
apa-apa pengubahsuaian. Sebagaimana Ahli-ahli Yang
Berhormat sedia maklum, ulangkaji bahagian-bahagian
pilihanraya Parlimen dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah
Melayu dan Sabah itu dibuat sebagaimana yang diperlukan oleh
Suruhanjaya Pilihanraya mengikut prosedur-prosedur dan
prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Perlembagaan
Persekutuan. Penambahan kerusi di negeri-negeri Tanah
Melayu juga adalah sesuai dengan perkembangan ekonomi dan
sosial sejak 8 tahun yang lalu dan juga dengan peningkatan
penduduk atau bilangan pemilih. Perubahan sempadan
bahagian-bahagian pilihanraya bagi negeri-negeri yang tidak
mendapat tambahan kerusi Parlimen atau negeri perlu dibuat
sesuai dengan perubahan alam sekitar sebaran atau penempatan
penduduk di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Penambahan dan perubahan kawasan-kawasan pilihanraya
Parlimen dan Negeri sebagaimana yang disyorkan dalam
laporan-laporan itu akan memberikan peluang kepada rakyat
untuk mendapat perwakilan yang lebih sempurna dan berkesan.
Saya yakin Ahli-ahli Yang Berhormat akan menyambut baik
langkah yang telah diambil itu dan memberi sokongan yang
sewajarnya.
21. Akhirnya sukalah saya mengambil kesempatan di sini
untuk merakamkan penghargaan saya kepada Pengerusi,
Ahli-ahli dan Setiausaha, pegawai-pegawai dan seluruh
kakitangan Suruhanjaya Pilihanraya yang telah bertugas
dengan penuh dedikasi untuk menyiapkan laporan ini dengan
sempurnanya dalam tempoh yang singkat.
Tuan Yang di-Pertua,
22. Saya mohon mencadangkan.
|