Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/05/94
Tajuk/Title : MAJLIS MENANDATANGANI MEASAT-1
Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Binariang
Sdn Bhd kerana menjemput saya ke majlis menandatangani
kontrak bagi projek satelit serantau yang akan dapat
mengubah corak komunikasi di negara kita pada masa depan.
2. Malaysia akan melancar dan mengendalikan satelit
serantaunya yang pertama, iaitu Satelit Asia Timur Malaysia
(MEASAT) tidak lama lagi. Pada mulanya, Kerajaan diberi
jaminan hanya satu satelit akan dilancarkan tetapi majlis
menandatangani perjanjian ini melibatkan dua satelit dalam
sistem MEASAT. Saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan
Telekom Malaysia (JTM) dan MEASAT atas usaha mereka membawa
satelit MEASAT ini menjadi kenyataan kerana ia akan
mengukuhkan kedudukan strategik Malaysia di peringkat
antarabangsa masa ini dan pada masa depan. Kerajaan gembira
dengan kerjasama di antara konsortium MEASAT dengan
rakan-rakan teknologi seberang lautnya dalam memajukan
sistem satelit ini bagi memenuhi keperluan dan peraturan
komunikasi Kerajaan. Kajian yang meluas telah dilakukan
untuk rekaan dan menetapkan konfigurasi MEASAT dan hasilnya
itu ialah yang pertama bagi Asia Timur.
3. MEASAT bukan sahaja akan menjadi sebahagian daripada
keperluan telekomunikasi dan penyiaran Malaysia tetapi
juga akan menjadi pusat komunikasi serantau yang
berpangkalan di Malaysia. Dengan adanya satelit MEASAT ini
hubungan komunikasi di seluruh Malaysia tidak akan mempunyai
batas lagi termasuk hubungan dengan kawasan-kawasan
pendalaman yang jauh. Malah ia menjangkau ke
kawasan-kawasan luar dari Malaysia iaitu yang dapat diliputi
oleh satelit MEASAT. Ini akan merapatkan lagi hubungan
negara kita dengan negara-negara jiran di samping
meningkatkan hubungan dengan India dan negara-negara lain di
Asia. Sebagai satu sistem satelit serantau, MEASAT akan
memainkan peranan utama dalam sumbangan Malaysia terhadap
pembangunan komunikasi di Asia.
4. Ini telah diakui semasa mesyuarat-mesyuarat koordinasi
yang diadakan bersama negara-negara berkenaan sepanjang 18
bulan lalu. Untuk pelancaran satelit kedua dalam sistem
satelit MEASAT ini dalam tahun 1996, Malaysia mengalu-alukan
penyertaan pihak-pihak serantau yang lain. Kerajaan akan
menggalakkan MEASAT untuk melabur dalam satelit-satelit lain
yang dilancarkan oleh negara-negara Asia. Kerajaan mahukan
hubungan komunikasi serantau ini bergantung dan berkait di
antara satu dengan lain dan berupaya memelihara nilai-nilai
tradisi kita.
5. Yang paling penting, MEASAT akan membawa Malaysia ke
dalam era baru perkhidmatan penyiaran secara teratur.
MEASAT akan merintis penggunaan transponder Rangkaian-KU
(Ku-band) yang dahulunya dianggap tidak sesuai di rantau
Asia kerana penerimaan oleh antena kecil di rumah-rumah
tidak sempurna akibat hujan lebat. Sistem satelit yang lain
di rantau ini hanya beroperasi dalam Rangkaian-C bagi
telekomunikasi analog dan penggunaan penyiaran, yang
memerlukan antena dan sistem kabel berkaitan yang besar.
MEASAT telah direka dengan teknologi yang terkini termasuk
pengunaan modulasi digital, teknik tekanan dan 'encryption'
iaitu penyiaran kandungan rancangan yang boleh dikodkan.
Penduduk negara ini tidak lama lagi akan dapat menggunakan
perkhidmatan Terus ke Pengguna atau Direct to User (DTU)
melalui Rangkaian-Ku di mana hanya penerima yang dibenarkan
boleh mendapat rancangan-rancangannya.
6. Sistem DTU yang direka oleh MEASAT dan Hughes bukan
sahaja akan memberi mutu siaran dan penerimaan yang tinggi.
Teknologinya telah membolehkan Kerajaan melesenkan MEASAT di
bawah Akta Penyiaran, tidak seperti siaran Rangkaian-C dari
seberang laut yang tidak boleh dikawal. Satu lagi
'safeguard' ialah sebarang satelit lain yang ingin
memasukkan Malaysia dalam liputannya perlu menyelaraskannya
dengan Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos. Oleh itu,
kemasukan sebarang sistem baru yang setaraf dengan
Rangkaian-KU ke Malaysia akan tertakluk kepada dasar-dasar
negara ini.
7. Sekarang terdapat satu konsep baru yang agak pelik yang
cuba diketengahkan iaitu sebarang negara tidak mempunyai hak
untuk mengawal siaran satelit kepada rakyatnya. Kononnya
adalah tidak demokratik siaran seperti ini ditakluk di bawah
undang-undang tempatan. Sebenarnya sejak radio dicipta
tidak sekalipun frekuensi siaran tidak pernah dikawal oleh
Kerajaan. Lagipun Kerajaan berhak untuk mengutip hasil
daripada siaran-siaran dalam negaranya.
8. The Malaysian Government has always been cautious in
licensing communications technologies due to our concerns
about securing the nation's cultural and social integrity.
The broadcasting licences of Measat Broadcast Network
Systems Sdn. Bhd. will incorporate the customary conditions
of the Ministry of Information. Furthermore, the MEASAT
consortium is committed to build a regional broadcasting
centre in Malaysia for video and audio broadcasts.
Utilising the rights negotiated by MEASAT with countries
within its footprint, the group has given an undertaking to
the Government of Malaysia and the other administrations in
the region, to build a truly Asian broadcasting network.
Malaysia will lead the region in using the Measat design
technology effectively to licence satellite broadcasting,
and deliver consumer-oriented DTU services.
9. Selain daripada rancangan-rancangan berita dan hiburan,
perkhidmatan DTU boleh juga digunakan untuk tujuan
pendidikan yang sentiasa mendapat perhatian utama Kerajaan.
Siaran program-program pendidikan ke sekolah-sekolah,
institusi pendidikan tinggi dan universiti-universiti di
seluruh negara dan negara-negara yang diliputi oleh MEASAT
boleh mengatasi kekurangan sumber-sumber pengajaran
sekarang. Selain daripada itu, perkhidmatan-perkhidmatan
DTU akan membolehkan kita memaju dan meningkatkan mutu
pendidikan di kawasan luar bandar. Dalam sektor perniagaan,
perkhidmatan-perkhidmatan DTU akan memberi kesan yang besar
daripada segi penyediaan berita terkini di rantau ini,
'video conferencing' dan penghantaran data-data kewangan
dengan pantas.
10. Malaysia pada hari ini perlu berfikir secara 'global'.
"Not global imports but global exports. Not just exports of
commodities and manufactured goods, but exports of services
derived from talent and brainpower."
11. Akhir sekali saya mengucapkan selamat maju jaya kepada
Konsortium MEASAT dalam usahanya menyedia dan mengendalikan
satelit yang inovatif. MEASAT akan mempelopori teknologi
siaran di rantau ini. Usaha-usaha seperti ini mempunyai
risikonya, tetapi saya yakin ia tidak merugikan jika MEASAT
boleh mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan
olehnya.
Sekian.
|