Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/05/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN DASAR
TELEKOMUNIKASI NEGARA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Tenaga, Telekom dan Pos kerana menjemput saya untuk
melancarkan Dasar Telekomunikasi Negara (DTN) pada hari ini.
Tahniah juga diucapkan kepada Kementerian kerana berjaya
menggubal dan menyediakan Dokumen Dasar Telekomunikasi
Negara. Adalah diharapkan dasar yang menyeluruh ini akan
dapat memberi arahtuju kepada perkembangan sektor
telekomunikasi negara ini menjelang abad ke-21.
2. Pada hari ini sistem telekomunikasi yang meliputi
beberapa jenis rangkaian perhubungan seperti satelit,
gelombang mikro, fiber optik dan teknologi digital bergerak
adalah infrastruktur asas yang penting bagi kemajuan
sesebuah negara, bagi perniagaan dan perindustrian. Ianya
telah menjadi salah satu keperluan penting bagi kehidupan
moden.
3. Seperti yang kita ketahui kesan telekomunikasi ke atas
ekonomi adalah besar. Ia sendiri merupakan suatu 'growth
industry' yang penting dan ia juga mempengaruhi pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan. Teknologi telekomunikasi cepat
berubah dan menjadi lebih canggih dan berkesan sepanjang
masa serta memberi banyak peluang baru untuk perniagaan dan
perusahaan. Saiz pasaran telekomunikasi sedunia dianggarkan
sebanyak US$535 billion pada tahun 1992. Lebih tiga
perempat daripada pasaran ini terdiri daripada perkhidmatan
melalui sistem-sistem yang baru dicipta.
4. Di negara kita, sektor telekomunikasi juga turut
mengalami perkembangan yang pesat dengan pengenalan
perkhidmatan-perkhidmatan dan peralatan-peralatan baru dan
terkini. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun,
Malaysia perlu memperalatkan sistem-sistem yang baru dan
canggih ini dengan cara yang boleh mendatangkan faedah yang
maksima.
5. Untuk mencapai rangkaian telekomunikasi yang canggih
pelaburan yang besar diperlukan dan beban ini tidak mampu
dipikul oleh sebuah syarikat pengusaha sahaja. Atas sebab
ini Kerajaan berpendapat bahawa satu 'competitive
environment' perlu diwujudkan dan selaras dengan matlamat
ini lebih daripada satu pengusaha telah dibenarkan untuk
menyedia rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi negara.
6. Masyarakat kita juga telah mengalami
perubahan-perubahan yang besar akibat perkembangan dalam
teknologi telekomunikasi dan pengenalan produk dan
perkhidmatan yang baru. Jika tidak ada saingan terbuka
antara pembekal khidmat, kemungkinan pelanggan dibeban
dengan teknologi yang usang adalah besar. Sebaliknya
persaingan antara pembekal alat dan khidmat akan menentukan
pelanggan mendapat sistem yang terkini dengan bayaran yang
berpatutan.
7. Untuk maksud ini, Kerajaan telah mengeluarkan lesen
kepada pengusaha rangkaian kedua di samping pembukaan
pasaran telekomunikasi yang lain seperti telefon berbayar,
telefon selular dan perkhidmatan tambah nilai. Perkhidmatan
antarabangsa bagi trafik ke luar negara juga telah meningkat
lebih dua kali ganda selepas pengenalan panggilan
antarabangsa terus dail pada tahun 1979. Perkembangan
ini juga telah menyebabkan sektor perkhidmatan antarabangsa
dibuka bagi membenarkan penglibatan yang lebih cergas
daripada pengusaha-pengusaha baru.
8. Melalui persaingan, terutamanya dalam perkhidmatan
tambah nilai, pengguna-pengguna Malaysia kini menikmati
pelbagai perkhidmatan perhubungan dan maklumat melalui
sistem telekomunikasi yang terkini. Dengan menggunakan
peralatan khas yang disambungkan kepada rangkaian
telekomunikasi beberapa perkhidmatan tambah nilai dapat
ditawarkan di samping perkhidmatan asas telekomunikasi
seperti teleks, telefaks dan penghantaran data, sistem
videoteks, 'private wide area networks' (WANS) dan 'private
local area network systems' (LANS).
9. Dasar Penswastaan Kerajaan juga telah menyumbang kepada
kemajuan pesat sektor telekomunikasi di Malaysia. Industri
telekomunikasi negara yang ada sekarang adalah juga hasil
daripada proses liberalisasi yang dilaksanakan oleh
Kerajaan. Melalui penswastaan dan liberalisasi sektor ini,
perkembangan rangkaian yang pesat dan peningkatan mutu
perkhidmatan telah dapat dilaksanakan dengan berkesan. "The
Malaysian public is now provided with an expanding
telecommunication capabilities comparable to those of
developed countries".
10. Perubahan besar yang berlaku dalam sektor
telekomunikasi ini telah menimbulkan isu-isu berhubung
dengan pengurusan perubahan. Segala perubahan ini perlu
ditangani dan dikawalselia secara sempurna untuk menentukan
pembangunan sektor telekomunikasi yang teratur, di samping
memberi manfaat kepada pengguna.
11. Saya difahamkan bahawa rangka kawalselia atau
'regulatory framework' telekomunikasi negara 'is still far
from perfect'.
12. Satu bidang kawalselia yang perlu dikaji ialah isu
berhubung dengan proses pelesenan. `Presently, licenses are
technology-based rather than service-based, and are issued
upon request and submission of proposal by individuals or
firms. In the future, we should approach the licensing
issue from the point of view of service rather than
technology, and that the regulators should be alert to the
latest innovation and take the initiative to announce the
need to update the nation's telecommunication services, and
this therefore calls for bidders to undertake these
improvement through proper licensing. It is imperative that
the regulator should always be two steps ahead of the
private sector, in respect of scanning worldwide for
technological improvements in the telecommunications sector.
13. Another regulatory issue that needs urgent attention is
the way we manage our radio frequencies spectrum resources.
Radio frequencies are used everyday -- when watching
television, when making long distance calls, when using
microwave ovens, automatic gate opener, pagers and mobile
cellular communications, radar for navigating aircraft or
for other scientific and medical uses. Radio frequency
spectrum has the potential to support a multi-billion
ringgit industry in Malaysia. However, it will be useless
if it is not properly managed. Therefore we should strive
for a more efficient radio spectrum management and
regulatory framework. The regulator should refrain from
reserving too broad a range of radio frequencies spectrum to
one or two service providers only, to the exclusion of other
potential users.'
14. Kita juga sering mendengar konsep 'global village' dan
dunia tanpa sempadan yang memberi gambaran kemampuan
rangkaian telekomunikasi melalui satelit dan hubungan kabel
dapat memindah suara, data dan imej dengan pantas dan cekap
tanpa menghiraukan sekatan sempadan. Proses 'globalisation'
ini mempunyai implikasi kepada Malaysia dalam beberapa segi.
Kesan yang pertama ialah peningkatan dalam jumlah dan
mudahnya trafik telekomunikasi antarabangsa. Jika kita
tidak berhati-hati dan bersedia mengambil bahagian dan
melabur dalam industri ini, kemungkinannya ialah ia akan
dimonopoli oleh syarikat-syarikat gergasi negara-negara
maju. Dengan itu bukan sahaja kita tidak akan mendapat
hasil dan pendapatan, tetapi kita akan dibanjiri dengan
khidmat dan maklumat termasuk dalam bidang hiburan yang
boleh merosakkan budaya kita. Justeru itu kita harus
melabur dan melibatkan diri dalam proses globalisasi ini dan
menguasai teknologi dan pasaran antarabangsa bersama.
15. Satu lagi kesan positif akibat globalisasi ialah
penglibatan negara dalam perdagangan antarabangsa untuk
peralatan komunikasi. Pada tahun 1991, nilai eksport
sedunia untuk peralatan telekomunikasi mencapai paras US$64
billion, di mana sebahagian besar pasaran dikuasai oleh
negara-negara Eropah dan Jepun. Pasaran peralatan
telekomunikasi sedunia adalah lumayan, tetapi malangnya cuma
beberapa syarikat telekomunikasi sahaja berpandangan jauh
untuk mencari pasaran baru di luar negeri.
16. Justeru itu, pengeluar-pengeluar peralatan
telekomunikasi serta pembekal urusan khidmat telekomunikasi
tempatan hendaklah lebih agresif dalam mencari peluang
pasaran dan perniagaan yang baru di seberang laut. Demikian
juga dengan pembekal maklumat dan hiburan dalam dan luar
negara.
17. Untuk terus berjaya dalam sektor telekomunikasi,
pengusaha-pengusaha perlu mempunyai wawasan strategik dan
perikatan dengan pihak-pihak yang lain dalam pasaran
antarabangsa. Malaysia perlu berusaha untuk menjadi 'hub'
telekomunikasi serantau dan antarabangsa di Asia Tenggara.
Kita perlu meletakkan Malaysia sebagai pusat aktiviti
telekomunikasi supaya dapat dikenali sebagai 'teleport' di
rantau ini.
18. Untuk menjadi 'hub' telekomunikasi, Malaysia perlu
mempunyai sistem telekomunikasi berpadu yang menyediakan
pelbagai perkhidmatan melalui teknologi terkini pada harga
yang munasabah. Kita harap pelancaran Malaysia East Asia
Satellite (MEASAT) pada tahun 1995 adalah langkah pertama
untuk membolehkan negara kita menawarkan perkhidmatan
telekomunikasi berasaskan satelit.
19. Kepakaran Malaysia dalam bidang pembuatan peralatan
'hardware' dan 'software' memerlukan garispanduan dan dasar
yang tertentu dan Pelan Induk Perindustrian telah menjelas-
kan garis-garis panduan ke arah ini. Untuk menentukan
kejayaan dalam sektor pembuatan dan pengeluaran ini,
pemindahan teknologi perlu dijalankan. Malaysia juga perlu
menerimapakai teknologi-teknologi baru supaya lebih
kompetitif dalam teknologi telekomunikasi seperti
penghantaran (transmission), penyuisan (switching),
'mobile', satelit, kelui dan komunikasi 'broadband'.
20. Untuk meningkatkan beberapa tahap dalam proses
perkembangan sektor telekomunikasi, teknologi moden dengan
menggunakan fiber optik dan teknologi radio perlu dikaji
dengan serius. Secara khusus, sistem penghantaran merupakan
aset terbesar pengusaha-pengusaha rangkaian telekomunikasi
yang boleh bersaing dengan pengusaha-pengusaha
telekomunikasi yang baru. Semua yang terlibat dalam sektor
ini, iaitu pihak yang menyelia dalam Kerajaan dan pihak
swasta, perlu lebih arif dengan perkembangan teknologi baru
dalam sistem penghantaraan yang melibatkan fiber optik,
pemampatan data, rangkaian radio dan satelit berkuasa
tinggi. Pihak-pihak tempatan harus menceburkan diri dalam
pengeluaran sistem-sistem penyuisan yang melibatkan
perkembangan terbaru dalam teknologi ini, iaitu penyuisan
digital yang lebih 'intelligent'.
21. Kualiti perkhidmatan penting dalam membantu Malaysia
menarik pelaburan asing dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi
yang tinggi. Perkhidmatan yang kurang berkualiti, akibat
daripada kesesakan trafik, peralatan lama dan penyenggaraan
yang kurang sempurna adalah suatu masalah di negara ini.
Saya dimaklumkan bahawa penggunaan telefon selular masih
mengalami kesulitan terutamanya ketika waktu sibuk. Oleh
itu, usaha-usaha baru hendaklah diambil untuk meningkatkan
keupayaan rangkaian, di samping membuat pelaburan baru untuk
meningkatkan kualiti, ketepatan masa, reliability dan mutu
perkhidmatan. Memandangkan sektor telekom menguntungkan,
penarikan pelaburan daripada sektor swasta sudah tentu tidak
menjadi masalah. Di kalangan negara-negara maju tertentu,
pelaburan dalam sektor telekomunikasi adalah besar. Mereka
melabur sekurang-kurangnya 3.5 peratus daripada pelaburan
kasar domestik di sektor telekomunikasi.
22. Adalah jelas kita perlu melabur lebih dengan cara yang
baik sekiranya kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara
perlu ditingkat dan dimajukan. Masalah yang wujud bukanlah
kekurangan sumber kewangan memandangkan hampir kesemua
pengusaha dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi menikmati
keuntungan. Pengusaha-pengusaha utama kita seperti Telekom
Malaysia, Celcom dan Sapura kesemuanya telah mencatat
keuntungan yang agak besar dalam tahun-tahun kebelakangan
ini. Mereka perlu melabur sebahagian daripada keuntungan
ini jika khidmat mereka hendak ditingkatkan.
23. Dalam usaha kita mengejar pembangunan ekonomi yang
pesat keperluan asas penduduk luar bandar tidak harus
diketepikan. Memang benar bahawa pembekalan perkhidmatan
telekomunikasi di kawasan bandar lebih menguntungkan, tetapi
daripada segi tanggungjawab sosial perhatian yang sewajarnya
harus juga diberikan kepada peningkatan perkhidmatan
telekomunikasi di kawasan luar bandar. Adalah menjadi
hasrat Kerajaan untuk memberi 'access' kepada perkhidmatan
komunikasi kepada semua rakyat.
24. Saya yakin dengan adanya Dasar Telekomunikasi Negara
ini, sektor telekomunikasi di Malaysia dapat dibangunkan
dengan lebih teratur, cekap dan kompetitif. Di peringkat
nasional, DTN diharapkan dapat mewujudkan suasana persaingan
secara teratur supaya sumber-sumber negara dapat digunakan
secara optima. Di samping itu, DTN juga diharapkan dapat
memberi panduan kepada perkembangan sektor telekomunikasi
supaya ianya lebih efektif, bermutu dan setanding dengan
keadaan di negara-negara maju. Namun pendapat pihak swasta
berkenaan dengan DTN harus diberi penilaian dan pandangan
yang serius supaya DTN tidak menganggu pertumbuhan industri
dan khidmat telekomunikasi di negara kita. Kita harus
bersedia menyesuaikan dasar supaya ianya tidak mengganggu
perkembangan khidmat dan industri ini.
25. Dengan ini, saya dengan sukacita melancarkan Dasar
Telekomunikasi Negara.
|