Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/05/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN HARI PENGGUNA 
			SEDUNIA 1994 SERTA KEMPEN 
			ANTI INFLASI 



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
    Saya   mengucapkan   terima  kasih  kepada  Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, iaitu pihak
penganjur majlis ini kerana menjemput saya pada hari ini dan
seterusnya melancarkan Hari Pengguna Sedunia 1994 dan Kempen
Anti Inflasi.
2.       Pertumbuhan  ekonomi  negara   yang   pesat   telah
meningkatkan  kualiti  dan  taraf  hidup rakyat.   Ini telah
membawa kesedaran  kepada  masyarakat  untuk  menikmati  apa
sahaja  yang  terbaik  dalam  kehidupan  mereka.   Dari sini
timbullah pula perhatian dan pengetahuan  masyarakat  kepada
masalah  kepenggunaan.   Dari waktu Presiden John F. Kennedy
memperkenalkan empat hak asasi  pengguna  dalam  tahun  1962
hingga  ke  hari  ini, lapan hak telah termaktub dalam carta
International Organisation of Consumer Unions.  Gerakan  dan
kesedaran  kepenggunaan  memang telah mendapat pengiktirafan
kerajaan di merata dunia termasuk juga di negara kita.  Saya
yakin gerakan dan kesedaran kepenggunaan  mempunyai  peranan
yang  penting  dalam  meningkatkan  lagi  kualiti  hidup dan
kemakmuran rakyat dan  negara  jika  semua  pihak  memainkan
peranan masing-masing secara positif.
3.      Penjual  dan  pembeli adalah orang yang sama, kerana
tidak ada penjual yang tidak perlu  membeli  barangan  untuk
dirinya  atau  perusahaannya.   Jelaslah bahawa setiap orang
daripada  kita  adalah  pengguna.     Justeru  itu   masalah
kepenggunaan   adalah  masalah  setiap  anggota  masyarakat.
Sebagai seorang  pengguna,  kita  terpaksa  membayar  dengan
sejumlah  wang  atau  tenaga  pada  kadar tertentu bagi kita
mendapatkan barangan keperluan ataupun perkhidmatan.    Kita
mengharapkan  kos  yang  kita  bayar  adalah kos yang paling
minima dan kita memperolehi faedah yang maksima.  Oleh  itu,
sekiranya  barangan  yang dibeli tidak setimpal dengan harga
yang dibayar, disebabkan penyelewengan yang  dilakukan  oleh
penjual, maka sudah tentu kita sebagai pengguna akan kecewa.
Sebab  itu  apabila kita menjadi pengeluar atau penjual kita
harus  ingat  akan  kekecewaan  kita  sebagai  pembeli   dan
pengguna.
4.      Jika kita memisahkan diri kita sebagai pengeluar dan
pengguna, dan kita bersikap berlainan sewaktu kita memainkan
peranan sebagai pengeluar dan  di  masa  yang  lain  sebagai
pengguna,  dan  ini  dilakukan  oleh kita semua, sudah tentu
kita semua akan mengalami kerugian.   Keuntungan  yang  kita
perolehi  sebagai  pengeluar  barangan  akan terhapus kerana
sebagai pengguna kita terpaksa membeli barangan buatan orang
lain yang juga tertakluk kepada sikap  terlalu  mengutamakan
keuntungan  yang  sama.   Sebaliknya, jika sebagai pengeluar
kita semua mengamalkan amalan yang  sihat,  kita  juga  yang
akan mendapat faedah sebagai pengguna.
5.      Falsafah  dahulu ialah setiap pengeluar atau penjual
perlu mencuba sedaya upaya untuk  mendapat  keuntungan  yang
lebih  dengan  mengurangkan  kos  keluaran  dengan  apa cara
sekalipun.   Oleh itu,  barangan  yang  dihasilkan  biasanya
berkualiti rendah dan tidak seperti yang didakwa.  Malangnya
pengeluar  dan penjual juga terpaksa membeli dan menggunakan
hasil kerja orang lain yang juga tidak berkualiti dan  tidak
seperti  didakwa.    Akibatnya  semua  pihak,  iaitu seluruh
masyarakat tertipu.
6.    Falsafah moden ialah  kualiti  hasil  kerja  hendaklah
seperti  yang  didakwa  walaupun  kos  meningkat.   Kos yang
meningkat ini tidak menjadi  beban  kerana  apabila  pembeli
atau   pengguna   menghasilkan  kerja  mereka,  mereka  juga
mendapat nilai yang tinggi daripada hasil kerja mereka  yang
berkualiti  itu.    Dengan  ini,  pengguna tidak tertipu dan
masyarakat akan menikmati kehidupan yang lebih bahagia.
7.   Jika masyarakat faham bahawa kualiti hasil  kerja  yang
kita sumbangkan akan dibalas dengan kualiti hasil kerja yang
sama oleh pihak lain, maka Kerajaan dan pengguna tidak perlu
bertindak lagi.  Tetapi hakikatnya ialah ramai daripada kita
yang  tidak sedar.  Justeru itu, Kerajaan terpaksa mengambil
beberapa langkah tertentu bagi memastikan bahawa kepentingan
masyarakat pengguna mendapat perlindungan  yang  sewajarnya.
Ke  arah  ini  pelbagai  undang-undang  dan  peraturan telah
digubal dan dipinda dari masa ke  masa  bagi  memperkemaskan
tindakan   perlindungan  pengguna  di  negara  ini.    Dalam
hubungan ini Kerajaan sedang  dalam  proses  menggubal  satu
lagi   rang   undang-undang   bagi   perlindungan  pengguna.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna
sedang menggubal 'Akta Perlindungan Pengguna' atau 'Consumer
Protection   Act'.    Dengan  undang-undang  baru  ini  para
pengguna akan diberi perlindungan  dalam  urusan  jual  beli
serta  kualiti  barang-barang.    Kerajaan juga dalam proses
menggubal satu dasar pengguna negara khususnya bagi  menjaga
kepentingan pengguna di negara ini.
8.     Masanya sudah tiba bagi pengguna-pengguna di Malaysia
memahami  benar-benar  peranan  yang  harus  dimainkan  oleh
mereka.     Jika  mereka  betul-betul  mengutamakan  masalah
pengguna, maka kita semua  sebagai  pengguna  akan  mendapat
manfaat.    Sebaliknya  jika  persatuan pengguna membenarkan
diri  mereka  diperalatkan  oleh   ahli-ahli   politik   dan
badan-badan  luar  yang bersaing dengan kita, hasilnya ialah
kerugian bagi pengguna dan bagi negara.
9.   Pengguna mempunyai kuasa yang amat besar.  Hanya dengan
bertindak  membeli  atau  tidak   membeli   pengguna   boleh
menguntung  atau  merugikan  sesuatu  perniagaan.    Apabila
pengguna disusun rapi dalam  persatuan  maka  kuasanya  akan
meningkat  sehingga tidak terkawal.  Dengan itu kerap muncul
keinginan untuk menggunakan kuasa  ini  untuk  maksud-maksud
lain.    Pengguna  mestilah berhati- hati.  Senjata pengguna
adalah tajam.   Jika disalahgunakan ia  akan  memakan  diri.
Sebaliknya  jika ia digunakan dengan bijak dan berhati-hati,
bukan sahaja pengguna akan  mendapat  nikmat  tetapi  negara
akan  pesat  maju.    Dan negara yang maju akan menggandakan
nikmat pengguna sebagai rakyat.
10.   Semua negara  di  dunia  sama  ada  maju  atau  sedang
membangun  mengalami  inflasi.    Pada satu masa dahulu kita
dapat menggunakan satu sen untuk membeli-belah.    Hari  ini
satu  sen  tidak  boleh  digunakan  lagi  untuk  maksud ini.
Demikian juga dengan matawang negara lain.   Satu yen  Jepun
yang  dibahagikan dahulu kepada 100 sen, hari ini tidak lagi
dibahagikan.  Semua barangan dijualbeli dengan  yen  sahaja.
Tentulah  pembahagian  yen  kepada 100 sen dibuat kerana sen
Jepun  dahulu  mempunyai  nilai  semasa  untuk  menjualbeli.
Apakah  dengan  menggugurkan  sen dan menjualbeli dengan yen
atau ringgit kita menjadi lebih  kaya?    Sebenarnya  tidak.
Tidak,  kerana  matawang  yang  nilainya  seratus kali ganda
lebih tinggi tidak juga dapat membeli barangan atau  khidmat
100  kali lebih banyak daripada sen dahulu.  Hanya perkataan
sahaja yang berubah.  Daya membeli tidak berubah.   Demikian
pendapatan  pekerja sebanyak RM60.00 sebulan pada tahun 1945
tidak  jauh  berbeza  daripada  pendapatan  ratusan  ringgit
sekarang  daripada  segi  daya  beli.    Ini disebabkan oleh
inflasi yang mengurangkan kesan kenaikan pendapatan.    Jika
inflasi  dapat  dikawal  maka kenaikan pendapatan akan lebih
bermakna dalam menaikkan taraf hidup.
11.  Kerajaan telah mengambil berbagai-bagai  langkah  untuk
menentukan  pertumbuhan  pesat negara berjalan dalam suasana
harga barangan  dan  perkhidmatan  yang  rendah  dan  stabil
kerana  Kerajaan  percaya kestabilan harga merupakan tunggak
dalam  usaha  ke  arah  pembangunan  yang  berterusan   atau
'sustainable   development'.      Keazaman   tersebut  telah
mendorong Kerajaan mengambil tindakan dengan  segera  setiap
kali  mula  ternampak adanya tanda-tanda tekanan harga.
12.    Dasar kewangan yang ketat  telah  dilaksanakan  untuk
menentukan  bekalan  wang tidak akan berlebihan supaya tidak
wujud  keadaan  di  mana  terlalu   banyak   wang   mengejar
barang-barang  yang  terhad.    Namun demikian sejak ekonomi
pulih daripada kemelesetan dalam tahun  1987,  negara  telah
mengalami   pertumbuhan   yang   pesat   selama  enam  tahun
berturut-turut.   Pada masa yang sama,  bekalan  wang  telah
berkembang dengan pesat, mencapai kadar peratusan dua angka.
Pertambahan  bekalan  wang  telah  membawa kepada permintaan
yang berlebihan dan  dalam  keadaan  pendapatan  yang  lebih
tinggi   dan   ekonomi   yang   mencapai  gunatenaga  penuh,
pertambahan tersebut telah memberi  tekanan  yang  hebat  ke
atas  harga.  Ini merupakan satu daripada punca meningkatnya
inflasi.   Jika diukur dari  Angka  Tunjuk  Harga  Pengguna,
inflasi  telah  meningkat  sebanyak  4.4 peratus dalam tahun
1991 dan 4.7 peratus dalam tahun 1992, iaitu tahap tertinggi
sejak tahun 1982.  Ianya turun sedikit dalam tahun  1993  ke
tahap  3.6  peratus  tetapi  meningkat  kembali  dalam  suku
pertama 1994 kepada 4.5 peratus.
13.   Pertumbuhan  bekalan  wang  yang  pesat  bukan  sahaja
disebabkan oleh kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, malah
oleh  kemasukan  wang  asing  dari luar negeri terutama dari
tahun 1992 hingga tahun ini yang didorong oleh asas  ekonomi
yang  kukuh,  kadar faedah yang berbeza, aktiviti di pasaran
saham tempatan yang  melambung  dan  jangkaan  bahawa  nilai
ringgit  akan  naik.   Oleh itu, sejak tahun 1989 lagi, kita
telah melaksanakan dasar kewangan  yang  ketat.    Bank-bank
saudagar  dikenakan  simpanan rizab berkanun atau `statutory
reserve requirement' yang lebih tinggi, iaitu daripada  enam
peratus  pada  1989  kepada  9.5  peratus pada bulan Januari
1994.   Langkah ini dijangka telah  berjaya  menyerap  RM6.5
bilion   daripada  sistem  perbankan  dan  sedikit  sebanyak
mengawal inflasi.
14.  Kemasukan wang asing yang banyak untuk pelaburan adalah
sihat bagi ekonomi negara.  Tetapi apabila wang asing dibawa
masuk  untuk  kegiatan  spekulatif,  termasuk  menurun   dan
menaikkan nilai ringgit, ekonomi negara akan terdedah kepada
bermacam-macam   bahaya.     Kejatuhan  nilai  ringgit  akan
menyebabkan kos import meningkat.    Sebaliknya  jika  nilai
ringgit  tiba-tiba  naik  dan  pemain  pasaran  wang menjual
ringgit mereka dengan banyaknya, maka bukan sahaja  nilainya
akan  jatuh  dengan  teruk  malah  tukaran  asing  juga akan
merosot.   Kedua-dua faktor ini  akan  menyebabkan  kenaikan
harga  barangan  import,  dan  dengan  itu juga akan berlaku
inflasi.
15.  Oleh itu, mulai 1 Jun 1992, kesemua urusniaga wang yang
tidak berkaitan dengan perdagangan  di  antara  bank  dagang
dengan pelanggan asing telah dihadkan, dan mulai 23 Februari
lalu,  bank  dagang  tidak  dibenarkan membuat dagangan yang
tidak berkaitan dengan urusniaga  hadapan  dengan  pelanggan
asing.
16.  Seperti dilihat tindakan sistem bank mengurangkan mudah
tunai   dan  spekulasi  wang  sahaja  tidak  dapat  mengawal
inflasi.    Banyak  lagi  kegiatan  yang  boleh  menyebabkan
inflasi  meningkat.    Di  antaranya ialah percubaan peniaga
untuk  meraih   keuntungan   yang   keterlaluan.      Mereka
berpendapat  bahawa  dengan menaikkan margin di antara harga
belian dengan harga jualan, mereka boleh mendapat keuntungan
yang lebih.   Mungkin buat seketika ini  tercapai.    Tetapi
tindakan   mereka   akan  menaikkan  inflasi  dan  ini  akan
melibatkan  harga  belian  mereka  kerana  ia   juga   turut
dinaikkan.    Dengan  itu  margin  mereka  akan turun semula
kepada tahap asal atau lebih rendah lagi.
17.    Jika  peniaga  menaikkan  juga  margin  mereka  untuk
menidakkan  kesan  inflasi,  akibatnya  ialah  inflasi  akan
meningkat dengan banyak lagi.   Di sesetengah  negara,  oleh
sebab   inflasi   dikejar  dengan  kenaikan  harga,  inflasi
meningkat hingga ke-1000 peratus setahun, iaitu barang  yang
dijual  dengan  harga  RM1  pada permulaan tahun akan dijual
dengan harga RM10 pada penghujung tahun.   Dengan  perkataan
lain  wang  RM1  akan bernilai 10 sen pada penghujung tahun.
Dengan ini  kepercayaan  kepada  matawang  sebagai  pengukur
nilai  akan  hilang.    Tidak  ada siapa yang akan menyimpan
wang.  Mereka akan membelanjakan wang yang diperolehi dengan
serta-merta  kerana  mengelak  daripada  kesan  nilai   wang
merosot.  Tetapi kemerosotan nilai akan terus berlaku, iaitu
inflasi  akan  terus meningkat.  Dalam keadaan huru-hara dan
tidak menentu dalam soal inflasi dan nilai matawang, ekonomi
akan hancur.   Dan semua pihak  akan  menderita  --  rakyat,
peniaga, bank, Kerajaan dan negara.
18.    Apabila inflasi berlaku dan nilai wang merosot, nilai
pendapatan juga merosot.   Cara yang  ternampak  mudah  bagi
mengatasi  masalah kemerosotan nilai pendapatan ialah dengan
menambah pendapatan, umpamanya  dengan  kenaikan  gaji  atau
kenaikan  margin keuntungan.  Kita telah sebut tentang kesan
kenaikan margin keuntungan.   Kenaikan gaji  kerana  inflasi
mempunyai   kesan   yang   sama,   iaitu  menambah  inflasi,
menurunkan lagi nilai matawang dan melemahkan ekonomi.
19.  Eropah sekarang menghadapi masalah  ekonomi  yang  amat
berat.    Pengangguran  meningkat  kepada paras 11 hingga 12
peratus.  Mesyuarat demi mesyuarat  diadakan  oleh  Kumpulan
Tujuh  negara maju.   Tetapi masalah pengangguran juga tidak
dapat diatasi.   Sekarang  mereka  bercadang  untuk  memaksa
negara   membangun  menaikkan  gaji  minima  supaya  masalah
pengangguran mereka dapat diatasi.   Jurang  yang  besar  di
antara  upahan  pekerja  mereka dengan upahan pekerja negara
membangun  adalah  sebabnya  mereka  tidak   dapat   menarik
pelaburan dan mewujudkan peluang kerja.
20.    Sebenarnya  mereka  juga  boleh  mengurangkan  jurang
perbezaan  upahan  dengan  menurunkan  upahan  minima  untuk
pekerja   mereka.    Tetapi  ini  bermakna  mereka  terpaksa
merendahkan taraf hidup mereka.  Mereka lebih  rela  pekerja
negara membangun dikorbankan untuk menyelamatkan taraf hidup
yang tinggi bagi diri mereka.
21.    Upahan  bagi  pekerja di negara kita harus dinaikkan.
Tetapi  kenaikan  hendaklah  dilakukan  secara  berhati-hati
supaya  kita  tidak  kehilangan  dayasaing,  dan  kita tidak
dilanda inflasi.  Sekali lagi perlu diingatkan bahawa  hanya
jika  inflasi  tidak  berlaku  baharulah kenaikan pendapatan
bermakna.
22.  Dalam keadaan di mana peluang kerja  melebihi  bilangan
pekerja,  tidak  dapat  tidak  upah  akan  meningkat.    Ini
sudahpun berlaku di Malaysia.    Kita  harus  mengalu-alukan
pendapatan  pekerja  yang  bertambah ini.   Tetapi kita juga
tahu ia mungkin menyebabkan inflasi dan menjadikan  barangan
kita kurang kompetitif di luar negeri.
23.    Penggunaan pekerja asing bukan caranya bagi mengatasi
masalah ini.  Cara yang lebih  berkesan  ialah  meningkatkan
daya  pengeluaran  pekerja kita melalui didikan dan latihan,
memperbaiki prestasi pengeluaran dengan  memperbaiki  sistem
urusan  serta  penggunaan  automasi  dan robot, dan memindah
kepada  industri  yang  lebih  `capital',  `knowledge'   dan
`skill-intensive'.    Dengan  ini  walaupun upahan dinaikkan
tetapi nilai ditambah dan `competitiveness' akan berterusan.
Nilai matawang tidak  akan  turun  dan  inflasi  tidak  akan
meningkat.    Adalah  jelas  bahawa  cara yang mudah seperti
mengejar  inflasi  dengan  menaikkan  upah  atau  mengimport
pekerja  asing  hanya akan membawa masalah kepada negara dan
rakyat.   Adalah lebih baik  kita  pindahkan  industri  yang
terlalu bergantung kepada tenaga kerja ke negara-negara yang
mempunyai pengangguran yang tinggi.
24.    Masalah pengguna dan inflasi tidak dapat diselesaikan
dengan  satu  cara  semata-mata  atau  satu  pihak   sahaja.
Berbagai-bagai  cara  boleh  dilakukan dan semua pihak perlu
terlibat dalam usaha ini.    Untuk  masing-masing  memainkan
peranan,  semua  pihak  mestilah faham tentang mekanisme dan
kesan  masalah  pengguna  dan  inflasi.    Kesatuan-kesatuan
pengguna  adalah  penting  bukan semata-mata sebagai aktivis
tetapi sebagai penyebar pengetahuan berkenaan dengan masalah
pengguna dan inflasi.  Sebaliknya kesatuan pengguna  sendiri
tidak     harus    menyebabkan    kos    meningkat    kerana
perjuangan-perjuangan yang tidak  khusus  untuk  kepentingan
pengguna, bahkan kadang-kadang bercanggah dengan kepentingan
mereka.
25.    Pengguna-pengguna  yang  berpengetahuan boleh menjadi
suatu kuasa yang dapat  mempengaruhi  pasaran  dan  mengawal
inflasi.      Secara  kolektif,  mereka  boleh  menghapuskan
berbagai-bagai bentuk amalan perdagangan  yang  tidak  sihat
dengan  lebih berkesan lagi.  Bersama dengan Kerajaan mereka
boleh bergerak dan bertindak secara yang boleh menguntungkan
mereka  dan  menyelamatkan  negara.    Pencapaian   matlamat
Wawasan  2020  banyak  bergantung  kepada pengetahuan, sikap
tanggungjawab dan peranan pengguna -- iaitu  seluruh  rakyat
negara.
26.    Kerajaan  akan terus berusaha memerangi inflasi.  Ini
adalah kerana inflasi yang  tinggi  hanya  akan  menjejaskan
taraf  hidup  rakyat,  terutama  mereka  yang  berpendapatan
rendah dan berpendapatan tidak  menentu,  atau  mereka  yang
berpendapatan   tetap  seperti  pesara.    Golongan-golongan
inilah yang paling `vulnerable' apabila masalah kepenggunaan
dan inflasi melanda negara.
27.   Sesungguhnya Kerajaan telah  mengambil  berbagai-bagai
langkah  untuk  mengurangkan tekanan inflasi bagi menentukan
kesejahteraan pengguna.   Walau bagaimanapun,  seperti  yang
telah  disebutkan  kejayaan dasar Kerajaan adalah bergantung
kepada kerjasama semua pihak.  Saya yakin sekiranya sambutan
yang baik diberikan oleh semua, kita akan  dapat  menjadikan
Malaysia  sebuah  negara  contoh yang mampu berkembang pesat
secara berterusan  dalam  suasana  harga  yang  stabil  demi
kesejahteraan penduduknya.
28.    Dengan  ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Hari
Pengguna Sedunia 1994 dan Kempen Anti Inflasi.
                           
 
 



 
Google