Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 26/05/94
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN T.Y.T.
DR. HAMED KAROUI, PERDANA
MENTERI TUNISIA
Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin
mengucapkan selamat datang kepada Tuan Yang Terutama Perdana
Menteri Tunisia, Puan Karoui dan ahli-ahli rombongan ke
Malaysia. Ini merupakan pertama kali kami menerima
kunjungan seorang Perdana Menteri dari Tunisia. Kami
gembira mendapat kesempatan untuk membalas sambutan mesra
dan meriah yang diberikan kepada saya, isteri saya dan
rombongan saya sewaktu lawatan kami ke Tunisia pada tahun
1992. Isteri saya dan saya gembira sekali menerima
kunjungan Tuan Yang Terutama dan isteri serta rombongan ke
rumah kami malam ini sebagai tetamu kehormat.
2. Lawatan rasmi pertama saya ke Tunisia yang sungguh
indah telah meninggalkan kenangan yang manis. Lawatan
tersebut tidak sahaja mengeratkan tali persahabatan bahkan
telah meningkatkan pemahaman saya dan ahli-ahli rombongan
Malaysia mengenai sejarah, keindahan dan pembangunan pesat
yang berlaku di Tunisia. Sukacita saya menyatakan bahawa
lawatan tersebut juga telah meletakkan asas ke arah
meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan kesedaran di antara
kedua-dua negara.
3. Kita telah mengadakan perbincangan yang berhasil pagi
ini mengenai cara-cara memperkukuhkan lagi hubungan,
terutama dalam bidang ekonomi. Kita telah mengkaji dan
mengenalpasti bidang-bidang berpotensi bagi meluaskan lagi
interaksi ekonomi, saintifik, teknologi dan politik antara
kita. Komitmen bersama kita ke arah memperkukuhkan kerjasama
dua hala jelas kelihatan apabila kedua-dua buah negara
menandatangani dua perjanjian pagi ini, iaitu perjanjian
mengenai Ekonomi dan Kerjasama Teknikal dan Memorandum
Persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang Sains dan
Teknologi. Selain daripada itu, agensi-agensi berkenaan
daripada kedua-dua buah negara juga telah menandatangani
Memorandum Persefahaman bagi mengukuhkan kerjasama dalam
bidang-bidang perdagangan, sains dan teknologi. Saya yakin
perjanjian-perjanjian ini akan menghasilkan bentuk kerjasama
yang nyata yang akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua
buah negara serta menggalakkan usaha-usaha pembangunan dalam
negara masing-masing.
4. Walaupun kita berminat untuk memajukan kerjasama
duahala, potensi kita belum lagi diterokai sepenuhnya. Ini
sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan hubungan dan
maklumat mengenai kemajuan dan potensi masing-masing. Saya
gembira mendapati Tunisia telah menjadi pelanggan SITTDEC.
Malaysia akan menubuhkan sebuah pejabat perdagangan di
Tunisia dan mengalu-alukan Tunisia untuk mendirikan pejabat
yang sama di Kuala Lumpur. Kami yakin usaha-usaha ini di
samping perjanjian-perjanjian duahala yang telah di
tandatangani akan memperkukuhkan lagi dan menggalakkan
hubungan ekonomi dan perdagangan terus di antara Malaysia
dengan Tunisia dalam semangat kerjasama Selatan-Selatan.
Malaysia percaya kerjasama di kalangan negara-negara
membangun adalah penting. Kami percaya kerjasama
Selatan-Selatan mempunyai potensi besar bukan sahaja dalam
perdagangan tetapi juga pelaburan yang akan menggalakkan
pengaliran kewangan yang lebih besar dan
perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan serta menggalakkan
pertukaran teknologi yang berkenaan. Dalam konteks hubungan
Malaysia-Tunisia, saya percaya kita baharu sahaja mula
menerokai permulaan potensi dalam kerjasama Selatan-Selatan.
5. Saya sungguh tertarik hati dengan usaha-usaha
Kerajaan Tuan Yang Terutama ke arah reformasi ekonomi dan
politik di Tunisia. Berdasarkan pendekatan-pendekatan
pragmatik yang diambil oleh Kerajaan Tuan Yang Terutama,
saya yakin Tunisia akan berupaya mencapai kemajuan dan
kemakmuran yang lebih besar di masa akan datang. Malaysia
bersedia bekerjasama dan menyumbang kepada usaha-usaha
memperbaiki ekonomi Tunisia. Walaupun kami bukannya
pengeksport modal yang besar, namun kami mempunyai kepakaran
dalam bidang-bidang tertentu yang mana kami bersedia
berkongsi dengan Tunisia jika ianya relevan.
6. Perubahan-perubahan besar telah berlaku di peringkat
global dalam tempoh beberapa tahun yang lepas.
Negara-negara baru telah muncul sementara yang lama telah
hilang. Tidak ada suatu negara yang mampu berdiri sendiri
dan begitu juga tidak ada suatu negara pun yang boleh
mendominasi lain negara melalui kekuatan politik, tentera
atau ekonomi. Negara-negara membangun yang kecil seperti
Malaysia patut bersatu menyuarakan kebimbangan mereka
mengenai isu-isu yang melibatkan mereka. Sementara kami
melihat kegagalan yang membimbangkan dalam menyelesaikan
cabaran-cabaran berhubung sistem perdagangan global yang
lebih bebas yang memberi faedah kepada semua, kami percaya
keuntungan yang lebih besar boleh diperolehi daripada
perdagangan antara negara-negara. Namun adalah penting kita
berusaha ke arah sistem perdagangan berbagai hala dan
memberi sokongan kepada penubuhan Pertubuhan Perdagangan
Dunia (WTO).
7. Malaysia juga bimbang mengenai bagaimana isu-isu global
di urus dan ditangani. Kami dapati kerapkali
keputusan-keputusan yang melibatkan ramai pihak dibuat oleh
sebilangan kecil mereka yang istimewa. Kami sungguh kecewa
dengan kegagalan untuk menyelesaikan dengan adil tragedi di
Bosnia-Herzegovina. Belum pernah dunia menyaksikan
pencabulan hak asasi manusia yang begitu terus terang
seperti yang berlaku di sana. Namun kuasa-kuasa besar dan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang telah mengisytiharkan dengan
jelas bahawa mereka tidak akan membiarkan pencabulan hak
asasi manusia di mana-mana pun telah gagal memberikan
bantuan yang bermakna. Sementara kami percaya sistem UN
boleh menyediakan mekanisma yang wajar bagi mewujudkan order
dunia yang lebih adil, kejadian Gorazde, bagaimanapun, telah
menyebabkan Malaysia kehilangan kepercayaan sepenuhnya
terhadap kredibiliti UN dalam membantu negara-negara yang
lemah. Justeru itu, adalah perlu proses membuat keputusan
global dijadikan benar-benar demokratik. Monopoli ke atas
proses keamanan di Bosnia patut ditamatkan dan negara-negara
lain hendaklah dibenarkan menyelia dan mengawasi
rundingan-rundingan perdamaian tersebut. Ancaman-ancaman
supaya menerima perdamaian atau kami biarkan anda dibunuh
beramai-ramai tidak seharusnya dijadikan asas rundingan.
8. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Rwanda sekali lagi
membuktikan kelemahan UN dalam menangani masalah pencabulan
hak asasi manusia. Hanya jika kepentingan pihak tertentu
terlibat baharulah UN digunakan. Ini amat mengeciwakan.
9. Malaysia sungguh kagum dengan peranan aktif yang
dimainkan oleh Tunisia dalam diplomasi antarabangsa,
terutama dalam usaha menggalakkan keamanan, kestabilan dan
kemakmuran di rantau Tuan Yang Terutama. Sumbangan Tuan
Yang Terutama kepada Liga Arab, Kesatuan Maghreb Arab dan
Persidangan Pertubuhan Islam serta menggalakkan kerjasama
dan perpaduan di kalangan negara-negara Arab dan Islam
adalah sesuatu yang dipuji. Malaysia menyanjungi pendirian
tegas Tunisia ke atas isu-isu Palestin dan Bosnia-
Herzegovina sebagai contoh sokongan tidak berbelah bagi
Tunisia terhadap perjuangan bagi kebebasan dan keadilan
selaras dengan ajaran-ajaran Islam.
10. Adalah diharapkan lawatan Tuan Yang Terutama hari ini
akan merintis jalan baru dan menggalakkan interaksi yang
lebih besar dalam bidang-bidang ekonomi dan perdagangan di
antara kedua-dua negara. Saya berharap dalam lawatan
singkat ini, Tuan Yang Terutama akan dapat melihat sedikit
sebanyak negara kami dan pembangunan ekonomi yang telah
dicapai.
11. Akhir kata, sekali lagi saya ingin menyatakan
kegembiraan kami menerima Tuan Yang Terutama, Puan Karoui
dan ahli-ahli rombongan dari Tunisia bersama kami petang
ini.
|