Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/06/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN 
			SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN 
			SERI PADUKA BAGINDA YANG 
			DI-PERTUAN AGONG 


 
    Dengan  hormat  dan  penuh  takzimnya  pihak  Kerajaan,
pegawai   dan   kakitangan   perkhidmatan  awam  dan  rakyat
mengucapkan  setinggi-tinggi tahniah kepada  Tuanku  sempena
Ulangtahun   Keputeraan  Rasmi  Tuanku  hari  ini.    Rakyat
sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa  Ta'ala  semoga
dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya ke
atas  Tuanku  dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Najihah, dan
semoga  kedua-dua  Tuanku  berada   dalam   keadaan   sihat,
sejahtera dan penuh kedaulatan.
2.   Sesungguhnya adalah menjadi harapan Kerajaan dan rakyat
semoga  Tuanku  dapat menjalankan tugas-tugas Tuanku sebagai
Yang Di-Pertuan Agong dengan penuh adil dan saksama dan juga
mengikut   lunas-lunas    undang-undang    dan    peruntukan
Perlembagaan  demi  untuk  mempertingkatkan lagi imej Tuanku
dalam konteks negara Malaysia yang mengamalkan  sistem  Raja
Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
3.      Sebagai  Yang  Di-Pertuan Agong Tuanku adalah simbol
kemegahan,  keutuhan  dan  perpaduan  negara  dan  di  bawah
naungan   Tuanku  rakyat  berbagai-bagai  kaum  mengharapkan
perlindungan dan pemerintahan yang adil.    Sebagai  seorang
Kepala  Utama  Negara bagi Persekutuan, Tuanku adalah faktor
penting dalam menyatupadukan rakyat.  Sesungguhnya di  bawah
naungan  Tuanku  rakyat  juga bergantung kepada Tuanku dalam
menguruskan hal-hal ehwal agama Islam seperti yang termaktub
dalam Perlembagaan.  Kerajaan percaya penglibatan Tuanku  di
dalam  aktiviti-aktiviti  keagamaan  akan  menyinarkan  lagi
agama Islam dan memberi  teladan  yang  baik  kepada  rakyat
dalam  menghayati  nilai-nilai  agama demi kesejahteraan dan
keharmonian hidup mereka.
4.    Syukur alhamdulillah dengan  izin  dan  limpah  kurnia
Allah  Subhanahu wa Ta'ala negara terus berada dalam keadaan
aman dan makmur.  Keadaan aman damai dan suasana tenang  ini
bukanlah  satu  perkara kebetulan.  Ianya adalah hasil usaha
gigih rakyat berbilang kaum  yang  sentiasa  berusaha  untuk
mengekalkan  perpaduan  dan persefahaman yang erat di antara
satu sama lain demi menjamin negara akan  tetap  stabil  dan
aman.
5.      Rakyat kini lebih sedar akan pentingnya mereka hidup
bersatu  padu  dan  bekerjasama  antara  satu   sama   lain.
Peristiwa  perbalahan  kaum  dan agama di beberapa negara di
luar  negeri  yang  telah  mengorbankan  banyak  nyawa   dan
kemusnahan  harta benda tentulah menyedarkan rakyat Malaysia
akan betapa pentingnya mengekalkan perpaduan kaum.    Rakyat
sedar  bahawa  persengketaan antara kaum akan hanya menyusah
dan merugikan  mereka  dan  negara.    Justeru  itu,  rakyat
sentiasa    berusaha   dengan   penuh   keazaman   ke   arah
memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian di kalangan mereka.
6.   Syukur alhamdulillah juga bahawa negara terus mengalami
pertumbuhan ekonomi  yang  menggalakkan.    Kejayaan  negara
mencatat  kadar  pertumbuhan  lebih  lapan  peratus  setahun
berturut-turut  buat  enam  tahun  yang  lepas  adalah  satu
kejayaan  yang besar.   Lebih membanggakan pertumbuhan pesat
ini dicapai dengan kadar inflasi yang rendah dan harga  yang
stabil.    Bagi menentukan pendapatan rakyat  tidak terjejas
oleh inflasi, Kerajaan akan terus mengambil  langkah-langkah
untuk  mengawal  kenaikan  harga.    Prestasi  ekonomi  yang
menggalakkan ini adalah  hasil  usaha  dan  kerjasama  semua
pihak -- rakyat, pekerja, sektor swasta dan Kerajaan.
7.    Pelaburan sektor swasta adalah antara penyumbang utama
kepada pertumbuhan ekonomi negara.   Bagi membolehkan  ianya
terus  menjadi  penggerak  utama pertumbuhan ekonomi, sektor
swasta perlulah lebih dinamik dan  agresif  dalam  menerokai
pasaran- pasaran baru di samping meningkatkan lagi kecekapan
dan produktiviti demi memperbaiki lagi  daya saingan mereka.
Sektor  swasta tidak harus lagi melihat prospek pelaburan di
dalam negeri sahaja, malah demi faedah jangka panjang, perlu
membuat pelaburan di luar negeri.  Di pihaknya Kerajaan akan
berusaha  sedaya  upaya  mewujudkan  iklim  perniagaan  yang
sesuai  untuk  perniagaan  dan  pelaburan.   Langkah-langkah
telah pun diambil bagi  memperbaiki  dan  memodenkan  sistem
infrastruktur  seperti  pelabuhan  dan bekalan elektrik bagi
mengatasi    segala    halangan    yang    dihadapi     oleh
pengusaha-pengusaha.
8.      Jika  Malaysia  dapat meningkatkan lagi `competitive
advantagenya', negara  akan  terus  mencapai  kejayaan  yang
lebih  besar.   Kini Malaysia berada di tingkat ke-19 antara
negara- negara dagangan di dunia.   `Competitive edge'  yang
ada  kepada  kita  ialah  kos  buruh yang rendah.   Oleh itu
adalah amat  perlu  kos  buruh  dipastikan  tidak  meningkat
tetapi   pendapatan   mereka   meningkat   melalui  kenaikan
produktiviti.     Sudah  ada   cubaan   oleh   Barat   untuk
menghapuskan  `competitive  advantage' kita melalui kenaikan
upahan ke paras yang tinggi.
9.     Sebagai sebuah  negara  yang  merdeka  dan  berdaulat
Malaysia  akan  terus  memainkan  peranan  yang  berkesan di
peringkat  antarabangsa.    Negara  akan  terus  menyuarakan
pandangan  dan  pendapatnya  dengan  terus terang dan berani
demi  keadilan.    Suara  lantang  Malaysia  di  forum-forum
antarabangsa  bukanlah  bertujuan  untuk  menonjolkan  diri,
tetapi  adalah  kerana  kita   berpegang   kepada   prinsip.
Malaysia  akan  terus menentang ketidakadilan, kekejaman dan
usaha-usaha mengilas tangan  atau  `arm  twisting'  ke  atas
negara-negara   yang   lemah.   Selaras  dengan prinsip kita
untuk menyumbang kepada keamanan antarabangsa, Malaysia juga
telah menghantar anggota-anggota keselamatannya bertugas  di
bawah  naungan  Bangsa-Bangsa Bersatu di Bosnia-Herzegovina,
Somalia dan Kemboja.
10.   Sempena ulangtahun  Hari  Keputeraan  Tuanku,  sukalah
Kerajaan memberi jaminan bahawa pihak Kerajaan dan ahli-ahli
Jemaah  Menteri  akan  berusaha sedaya upaya membantu Tuanku
berdua dalam menjalankan  tugas-tugas  sebagai  Seri  Paduka
Baginda  Yang  di-Pertuan  Agong  dan  Raja Permaisuri Agong
selaras dengan  kehendak-kehendak dan  prinsip  sistem  Raja
Berperlembagaan.    Kerajaan  yakin  di bawah naungan Tuanku
negara Malaysia akan terus stabil, maju dan makmur.
11.   Pada hari yang  berbahagia  dan  penuh  istiadat  ini,
Kerajaan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dan rakyat
keseluruhannya,    dengan   penuh   hormat   dan   takzimnya
menyampaikan ikrar taat setia  yang  tidak  berbelah  bahagi
kepada  Tuanku  sebagai Raja yang memerintah dan juga kepada
Raja Permaisuri Agong.

 
 



 
Google