Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SHAH ALAM, SELANGOR
Tarikh/Date : 06/06/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT EDARAN
OTOMOBIL NASIONAL BERHAD
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) kerana menjemput saya
untuk merasmikan ibu pejabat EON yang baru.
2. Tahniah juga diucapkan kepada EON sempena sambutan
ulangtahunnya yang ke-10. Sambutan ini adalah tepat dengan
kejayaan EON dalam pemasaran kereta PROTON dalam negara ini
di samping kemunculan EON sebagai salah sebuah konglomerat
utama yang giat dalam program kepelbagaiannya.
3. Pada hari ini, EON meraikan dua peristiwa penting --
ulangtahunnya yang ke-10 dan perasmian ibu pejabatnya yang
baru.
4. EON kini terkenal sebagai syarikat pengedaran kereta
PROTON yang amat berjaya hasil daripada pencapaian EON
menjual lebih setengah juta kereta dan menguasai 74 peratus
daripada pasaran kereta penumpang di Malaysia.
5. Ini adalah satu pencapaian besar dan
membanggakan kerana dalam industri kereta di Malaysia, belum
terdapat syarikat pengedaran yang menjual begitu banyak
kereta serta mencapai kongkongan pasaran kereta setahap
keupayaan EON.
6. Salah satu daripada kejayaan projek kereta nasional ini
ialah keupayaan PROTON mengeluarkan kereta yang bermutu
tinggi, dijual dengan harga yang berpatutan dan yang dapat
diterima oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan
hidup. Kejayaan PROTON di luar negara juga membanggakan di
mana kereta buatan Malaysia telah berjaya menembusi pasaran
di 15 buah negara dengan jualan melebihi 85,000 unit.
7. Kejayaan EON dalam pemasaran kereta di Malaysia ini
adalah kerana strategi pasaran EON yang agresif lagi
inovatif. Antara lain, EON telah menjalankan kempen sebelum
pelancaran yang begitu berkesan dan berjaya seperti tempahan
sebelum pelancaran, plat kereta khas PROTON dan penjelajahan
kereta Sagarama dan Sagathon ke seluruh negara.
8. Strategi ini telah diperteguhkan lagi dengan dasar
perletakan harga kereta yang standard, perlantikan para
wakil jualan dan servis yang bertauliah serta komitmen EON
terhadap perkhidmatan pelanggan yang cemerlang menerusi
perkhidmatan selepas jualan yang cekap di seluruh negara.
9. Kejayaan program pembangunan jualan dan perkhidmatan
ini telah membolehkan para usahawan Bumiputera dan bukan
Bumiputera yang terbabit menikmati faedah daripada projek
kereta nasional ini. Kini terdapat 105 wakil jualan dan 76
wakil servis francais yang menyokong perkhidmatan jualan dan
selepas jualan EON. Ini merupakan satu peralihan yang baik
dalam industri motor yang belum pernah dialami sebelum
pengenalan projek kereta nasional ini.
10. Penglibatan EON dalam pengedaran kereta telah
meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam industri
kereta selaras dengan dasar Kerajaan bagi meningkatkan
penyertaan mereka dalam bidang perdagangan dan
perindustrian.
11. Bangunan baru ini menandakan satu era baru bagi EON
dalam usaha EON untuk meningkatkan komitmen bagi menyediakan
perkhidmatan yang lebih baik kepada para pemilik kereta
PROTON. Pusat servis 24 jam, yang pertama di rantau ini,
adalah satu contoh yang baik di mana para pemilik kereta
PROTON boleh menghantarkan kereta mereka pada bila-bila
masa, sepanjang 365 hari setahun. Perkhidmatan 24 jam ini
adalah satu langkah yang harus dipuji dalam usaha EON
meningkatkan lagi perkhidmatan selepas jualannya kerana ini
menunjukkan komitmen EON untuk memberi perkhidmatan terbaik
kepada para pemilik kereta PROTON.
12. Keputusan EON untuk mempelbagaikan perniagaannya sebaik
ia disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur dalam tahun 1990
amat tepat pada masanya untuk menentukan EON terus
berkembang maju serta mempelbagaikan sumber pendapatannya.
13. Keupayaan EON untuk menjadi sebuah konglomerat dalam
masa yang agak singkat, iaitu empat tahun, boleh dilihat
daripada penglibatannya dalam bidang perdagangan am,
kewangan, pengubahsuaian kereta, telekomunikasi, hartanah,
pengedaran alat dan komponen kereta serta pembrokeran saham.
Saya berasa amat bangga kerana EON telah mula melangkah ke
seberang laut menerusi pelaburannya dalam Cycle and Carriage
Ltd. sebuah syarikat konglomerat di Singapura, PROTON Car
Europe untuk memasarkan kereta PROTON di Eropah serta
kegiatan EON Trading dalam perdagangan am di peringkat
antarabangsa.
14. Usaha-usaha ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan
Malaysia menggalakkan perdagangan dan pelaburan di
negara-negara lain, termasuk negara-negara di Selatan.
15. Perlantikan EON dalam Program Syarikat Perdagangan Am
menandakan kepercayaan Kerajaan kepada EON untuk membantu
dalam usaha-usaha mempertingkatkan lagi eksport dengan
negara-negara luar, terutamanya dengan negara-negara
Selatan. Saya harap EON akan muncul sebagai syarikat yang
berjaya dalam perdagangan luar negara seperti kejayaannya
dalam memasarkan kereta PROTON di Malaysia.
16. Sebagai pengilang kereta, PROTON telah berjaya
memasarkan kereta nasional ke lebih 15 buah negara di
seberang laut dalam sepanjang lapan tahun yang lalu.
Usaha-usaha mempertingkatkan lagi eksport kereta PROTON
adalah perlu dan diharapkan PROTON akan terus berjaya
menembusi pasaran seberang laut.
17. Untuk muncul sebagai salah sebuah negara yang mempunyai
industri automotif bertaraf antarabangsa, kita perlulah
meluaskan pasaran antarabangsa untuk merebut kelebihan daya
saingan ekonomi atau `economies of scale' yang ada pada
kita. Kejayaan kereta nasional juga bergantung kepada
keupayaan PROTON menguasai sebilangan pasaran eksport. Ini
adalah kerana pasaran tempatan adalah kecil. Kejayaan
PROTON adalah penting untuk menentukan keberkesanan daya
saing kereta PROTON di peringkat antarabangsa.
18. Dalam hal ini, saya rasa EON kini berada dalam
kedudukan yang baik untuk membantu PROTON merebut pelbagai
peluang yang terdapat di pasaran baru di seberang laut
dengan menggunakan kepakarannya dalam bidang pemasaran
kereta PROTON dan pencapaian yang telah dicatat sedekad yang
lalu. Di samping itu, EON, sebagai sebuah syarikat
perdagangan, boleh meningkatkan eksport kereta PROTON
melalui urusan perdagangan timbal balas atau `counter
trade'.
19. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada
EON di atas pencapaian mereka dan berharap EON akan terus
maju untuk memberi sumbangan kepada negara. Dengan
kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan ibu
pejabat baru EON.
|