Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MAKTAB PERGURUAN TEKNIK BDR
TUN RAZAK, KL
Tarikh/Date : 07/06/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN EKSPO KEMAHIRAN
HIDUP DAN REKA CIPTA PELAJAR
PERINGKAT KEBANGSAAN 1994
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Pendidikan kerana menjemput saya untuk merasmikan Ekspo
Kemahiran Hidup dan Reka Cipta Pelajar peringkat Kebangsaan
pada hari ini.
2. Ekspo dan pertandingan seperti ini adalah selaras
dengan usaha-usaha untuk menanamkan minat para pelajar dalam
bidang kemahiran hidup serta sains dan teknologi di samping
membolehkan Kementerian mengukur kemajuan para pelajar dalam
bidang tersebut. Ianya juga akan mendedahkan guru-guru dan
pelajar-pelajar kepada pengalaman bersepadu tentang betapa
pentingnya kemahiran dalam dunia teknologi yang sebenar.
Pengetahuan dan kemahiran asas yang diperolehi oleh pelajar
melalui ekspo dan pertandingan ini akan membantu mereka
menyediakan diri untuk menguasai apa juga teknologi dalam
zaman teknologi yang sentiasa berkembang dengan pesat.
3. Oleh kerana perubahan dan kemajuan teknologi di masa
yang lampau, negara memerlukan lebih ramai tenaga manusia
yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, dinamik dan yang
mempunyai nilai-nilai murni dan positif. Pada abad akan
datang, negara dijangka memerlukan lebih ramai tenaga kerja
yang mahir dan terlatih memandangkan ekonomi negara giat
memasuki zaman teknologi termaju dan teknologi tinggi.
Antara teknologi ini ialah teknologi pembuatan automasi,
teknologi bahan-bahan termaju, bioteknologi dan teknologi
maklumat.
4. Kecekapan dalam bidang-bidang teknologi ini dan
kemampuan mewujudkan teknologi baru adalah sangat penting
jika Malaysia ingin mencapai kemajuan ekonomi yang lebih
tinggi dan mengekalkan daya saingan ekonominya dalam pasaran
dunia. Memang menjadi dasar Kerajaan untuk menggalakkan
rakyat Malaysia menceburi bidang reka cipta dan inovasi yang
masih belum diterokai.
5. Untuk menjadi sebuah negara industri penuh, kita tidak
boleh hanya meniru dan menerima gaya cara kemajuan yang
telah dicapai oleh negara-negara maju. Yang lebih penting,
negara kita perlu turut menjadi pencipta dan penyumbang
kepada pembentukan peradaban sains dan teknologi di dunia di
masa depan. Justeru itu, kita perlu mewujudkan masyarakat
yang mempunyai budaya mencipta agar pada masa depan
teknologi ciptaan rakyat Malaysia juga mampu menembusi
pasaran antarabangsa. Di samping itu, semua lapisan
masyarakat tentulah berasa bangga dengan kemajuan teknologi
kita sendiri.
6. Matlamat Malaysia untuk mencapai status negara maju
pada tahun 2020 bergantung kepada keupayaan untuk
mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada tahap yang tinggi dan
kelebihan bersaing di pasaran dunia. Pembangunan asas
teknologi yang teguh bagi meningkatkan proses perindustrian
dan pertumbuhan ekonomi adalah satu daripada prasyarat
penting bagi mencapai matlamat jangka panjang ini. Komponen
penting untuk menyokong peningkatan teknologi ialah sistem
Pendidikan Sains dan Penyelidikan dan Pembangunan atau
Research and Development (R&D) yang kukuh.
7. Di bawah Rancangan Malaysia Keenam peruntukan
pembiayaan R&D telah ditingkatkan kepada RM1,160 juta, iaitu
dua kali ganda daripada peruntukan Rancangan Malaysia Kelima
sebanyak RM540 juta. Bagi maksud ini, Kerajaan telah
menyiapkan secara terperinci saiz dan pengurusan
perbelanjaan R&D serta jumlah pelaksanaan aktiviti-aktiviti
R&D yang memberi keutamaan kepada peningkatan keupayaan
tempatan dalam inovasi hiliran.
8. Walaupun Kerajaan menggalakkan pemindahan teknologi
dari negara asing, usaha untuk membangunkan teknologi kita
sendiri juga adalah penting. Oleh itu, jika Malaysia ingin
berjaya sebagai sebuah negara perindustrian, para saintis
dan AHLI teknologi negara harus segera meningkatkan
kepakaran mereka, agar bukan sahaja berupaya menerima,
mengasimilasi dan menyesuaikan teknologi dari luar, malah
berupaya menghasilkan teknologi tempatan yang setanding,
jika tidak lebih maju daripada teknologi asing. Ini adalah
faktor kritikal yang membolehkan kita mencapai kelebihan
persaingan di arena antarabangsa.
9. Sungguhpun beberapa kemajuan telah dicapai oleh R&D
perindustrian menerusi institusi penyelidikan awam seperti
SIRIM dan MIMOS, tetapi kesan pembangunan teknologi secara
perbandingan masih belum memuaskan. Oleh itu, sektor swasta
hendaklah turut meningkatkan usaha-usaha R&D serta
menganggap keperluan membangunkan teknologi tempatan secara
yang lebih objektif.
10. Saya juga berbangga kerana telah ada saintis kita yang
berjaya di peringkat antarabangsa, seperti memenangi hadiah
pingat emas dalam `22nd International Exhibition for New
Inventions and Techniques' di Geneva, Switzerland pada bulan
April yang lepas. Ini menunjukkan keupayaan kita
menghasilkan penyelidikan dan ciptaan baru telah mendapat
pengiktirafan antarabangsa.
11. Di negara-negara perindustrian baru seperti Korea,
kejayaan perindustrian bergantung kepada pendidikan asas
tenaga buruh yang mahir dan terlatih. Dalam tahun 1980,
tenaga buruh Korea mempunyai lapan tahun persekolahan
berbanding 6.5 tahun di Malaysia. Ini adalah perkembangan
yang berbeza dengan keadaanpada tahun 196 7, di mana tenaga
buruh Malaysia mendapat purata lima tahun persekolahan
berbanding dengan 3.9 tahun di Korea.
12. Begitu juga dibandingkan dengan negara-negara lain,
tenaga buruh di Malaysia adalah lebih rendah tahap
pendidikannya. Di negara Jepun, 94 peratus penuntut
meneruskan pelajaran mereka lebih daripada tahap umur yang
ditetapkan berbanding dengan 80 peratus di Amerika Syarikat.
Di Korea Selatan, 85 peratus dalam kumpulan umur 17-18 tahun
meneruskan pelajaran mereka dan 1/3 daripadanya meneruskan
ke peringkat Universiti. Oleh itu, kejayaan negara-negara
ini dalam proses perindustrian jelas bergantung kepada
banyaknya bilangan penuntut yang meneruskan pendidikan lebih
daripada tahun umur yang diwajibkan. Justeru itu, generasi
muda negara kita hendaklah terus berusaha meningkatkan tahap
pencapaian pendidikan, terutamanya yang memberi penekanan
kepada bidang matematik, sains dan komunikasi.
13. Oleh kerana Kerajaan ingin menambahkan bilangan saintis
dan ahli teknologi dalam kegiatan R&D sehingga menjadi 1,000
orang bagi sejuta rakyat pada tahun 2000, pendidikan sains
tentulah menjadi semakin relevan. Ini adalah kerana
berbanding dengan negara maju dan negara perindustrian baru,
bilangan tenaga manusia R&D Malaysia adalah sangat rendah,
iaitu 400 penyelidik bagi setiap sejuta penduduk dalam tahun
1989. Sebaliknya, Jepun mempunyai 6,500 bagi sejuta, Jerman
3,000 bagi sejuta dan Korea Selatan 1,300 bagi sejuta.
14. Saya ingin menekankan kepada para pencipta dan pereka
bentuk negara kita bahawa segala ciptaan dan inovasi yang
dihasilkan perlulah dilihat juga daripada segi keupayaannya
untuk dipasarkan bukan sahaja dalam negara tetapi hingga ke
peringkat global. Oleh itu, tumpuan strategi perlulah ke
arah mengkomersilkan hasil penyelidikan atau ciptaan
teknologi yang berpotensi agar ia sejajar dengan keperluan
pasaran. Para saintis dan ahli teknologi kita hendaklah
menumpu kepada `techno-entrepreneurship' serta memikir akan
konsep-konsep keperluan pengguna teknologi serta
strategi-strategi pemasaran yang berkesan. 15.
Di negara-negara maju, syarikat-syarikat swasta bukan sahaja
turut terlibat menyediakan institusi latihan teknikal, malah
badan-badan bukan kerajaan juga menggalakkan
aktiviti-aktiviti yang dapat menanamkan minat dan sikap yang
inventif dan inovatif di kalangan generasi muda.
16. Di Jepun misalnya, syarikat Mitsubishi telah
menyediakan lima institut teknik bagi melatih kemahiran
teknik kepada golongan belia. Begitu juga, `Japan Institute
of Invention and Innovation' turut menggalakkan kreativiti
yang menjurus kepada ciptaan saintifik dan teknologi di
kalangan pelajar sekolah dengan membantu penubuhan Kelab
Reka Cipta di sekolah-sekolah. Malah, pameran reka cipta
yang dianjurkan di Jepun setiap tahun berjaya menampilkan
ciptaan saintifik, bukan sahaja oleh pelajar sekolah, tetapi
turut disertai oleh para pendidik dan guru dengan
ciptaan-ciptaan yang kreatif dan inovatif. Di Malaysia
galakan yang diberikan oleh Petronas melalui pertandingan
rekacipta harus dijadikan contoh kepada badan-badan swasta
yang lain.
17. Saya menyeru pihak swasta dan Pertubuhan-pertubuhan
Bukan Kerajaan (NGO) negara kita supaya turut membantu usaha
Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi Kerajaan yang lain
dalam memupuk dan menyemai minat untuk mencipta di kalangan
generasi muda. Persatuan Reka Bentuk dan Reka Cipta
Malaysia (MINOS) harus lebih agresif membantu keupayaan
pencipta-pencipta muda negara kita agar dapat ditonjolkan
hingga ke peringkat antarabangsa.
18. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang
menjayakan ekspo ini, bermula dari ekspo peringkat negeri
hinggalah ke peringkat kebangsaan. Kepada para pemenang,
saya mengucapkan syabas. Kepada yang tidak berjaya, usaha
yang lebih gigih hendaklah diteruskan. Menang atau kalah
pada tahap ini belumlah begitu penting. Yang lebih penting,
generasi muda serta para pelajar hari ini mestilah
meningkatkan kecekapan teknikal, giat berusaha,
berdedikasi, berdaya kreatif, berdisiplin
tinggi,mementingkan k ualiti dan dapat menyesuaikan diri
pada suasana perubahan ekonomi dan teknologi.
19. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan
sukacitanya merasmikan Ekspo Kemahiran Hidup dan Reka Cipta
Pelajar Peringkat Kebangsaan Tahun 1994.
|