Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/06/94
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN MCA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan
Perhimpunan Agong MCA ini. Oleh kerana pelbagai tugas,
jarang sekali saya berkesempatan bertemu dengan ahli-ahli
MCA dan juga ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional
yang lain. Oleh itu apabila setiap kali saya dijemput oleh
parti-parti komponen, dan dalam hal ini oleh Presiden MCA
untuk merasmikan Perhimpunan Agong MCA, saya amat menghargai
peluang pertemuan ini. Saya sedar akan pentingnya
perhubungan di antara para pemimpin dan para perwakilan bagi
menentukan Barisan Nasional kukuh, unggul dan berwibawa.
2. Saya gembira mendapati MCA semakin hari semakin kukuh.
Ini dapat dilihat daripada sokongan yang meningkat yang
ditunjukkan oleh masyarakat Cina Malaysia kepada MCA.
Bahawa MCA kini lebih diterima oleh masyarakat Cina Malaysia
adalah satu petanda baik bagi Barisan Nasional. Kita juga
gembira kerana MCA yang kukuh bererti Barisan Nasional juga
akan menjadi bertambah kuat dan mantap. Dalam perkara ini
saya mengucapkan tahniah kepada para pemimpin dan ahli-ahli
MCA di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik kerana
telah berusaha kuat untuk menjadikan MCA sebuah parti yang
lebih berwibawa dan dihormati.
3. Rakyat Malaysia patut bersyukur atau `thankful'
bahawa negara kita bukan sahaja aman dan stabil, bahkan
ekonominya juga terus menunjukkan prestasi yang
menggalakkan. Negara bukan sahaja berjaya mencatat
pertumbuhan ekonomi melebihi lapan peratus setahun buat enam
tahun berturut-turut, tetapi lebih menggalakkan ialah
pertumbuhan ini dicapai dengan kadar inflasi yang rendah dan
harga yang stabil. Tidak banyak negara di dunia yang
berjaya mencapai prestasi seperti ini. Sungguhpun ada
negara yang mencapai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi,
pertumbuhan ini disertai dengan kadar inflasi yang tinggi.
Ini menjejaskan kuasa membeli rakyat.
4. Kita juga bernasib baik kerana pertumbuhan ekonomi yang
menggalakkan ini dapat dinikmati oleh semua kaum di negara
ini. Peluang pekerjaan dan peluang perniagaan wujud dengan
banyaknya di negara ini. Hanya mereka yang tidak sanggup
berusaha sahaja yang tidak akan menikmati faedah daripada
kemakmuran ekonomi sekarang.
5. Bahawa negara kita aman dan stabil serta maju dan
makmur adalah kerana dasar dan pendekatan Kerajaan Barisan
Nasional. Pemimpin-pemimpin Kerajaan Barisan Nasional bukan
sahaja terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab dan
berkemampuan menjalankan tugas, tetapi mereka memberi
perhatian yang serius terhadap kepentingan semua rakyat
serta mengutamakan kepentingan negara. Lebih penting,
pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak keterlaluan,
sebaliknya terdiri daripada mereka yang `moderate' iaitu
bersikap sederhana.
6. Pada hari ini kita melihat sesetengah negara menghadapi
keadaan huru hara dan perpecahan. Antara sebabnya ialah
kerana para pemimpinnya lebih mementingkan diri sendiri
daripada nasib rakyat dan negara. Mereka sanggup membiarkan
rakyat menderita dan mati kebuluran, diserang berbagai-bagai
jenis penyakit atau dibunuh dan negara menjadi tidak stabil
asalkan kepentingan diri mereka tercapai. Dalam satu aspek
lain pula sikap ekstrim di kalangan para pemimpin Serb telah
menyebabkan penduduk Bosnia- Herzegovina yang berbilang kaum
dan agama yang pada satu ketika dahulu hidup aman damai dan
bersatu padu, kini berperang antara satu sama lain.
Sehingga hari ini negara itu masih berperang kerana sikap
dan keganasan para pemimpin Serb yang ekstrim. Tiada siapa
akan untung kerana perang ini, termasuk puak Serb.
7. Bagi Malaysia kita menentang sekuat-kuatnya sebarang
bentuk `extremism'. `Extremism' sama ada berbentuk
perkauman atau keagamaan tidak akan mendatangkan apa-apa
kebaikan. Dalam negara berbilang kaum dan agama seperti
Malaysia ia tetap akan membawa kepada ketidakstabilan dan
rusuhan. Itulah sebabnya Kerajaan Barisan Nasional sentiasa
menentang sebarang bentuk `extremism' di negara ini.
8. Kerajaan Barisan Nasional bersikap adil kepada semua
kaum dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
Hasilnya sepertimana yang kita maklum dan yang dapat dilihat
oleh dunia, ialah rusuhan kaum tidak berlaku dan negara aman
dan makmur. Oleh itu amatlah penting rakyat terus memberi
sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional demi kestabilan,
kemajuan dan kemakmuran negara. Kerajaan Barisan Nasional
telah diuji atau `tested' dan telah membuktikan bahawa ia
dapat memenuhi kehendak dan aspirasi semua kaum di negara
ini.
9. Kejayaan Malaysia dalam berbagai-bagai bidang telah
menarik perhatian dunia. Banyak negara yang ingin belajar
dari Malaysia. Dalam pada itu ada juga pihak-pihak tertentu
yang kurang senang hati dengan kejayaan kita. Pihak-pihak
ini telah memburuk-burukkan Malaysia dengan mendakwa
kononnya kita tidak demokratik, tidak adil, tidak
menghormati hak-hak asasi manusia dan lain-lain.
10. Yang lebih mengecewakan ialah ada ahli-ahli parti
politik pembangkang di Malaysia yang terpengaruh atau turut
sama dengan usaha-usaha memburuk-burukkan Malaysia. Mereka
turut memberikan maklumat-maklumat yang tidak betul. Kita
sedar bahawa ada individu-individu tertentu dan ahli-ahli
politik daripada parti lawan yang turut memburuk-burukkan
Malaysia melalui temuramah-temuramah mereka dengan media
asing. Mereka menuduh, antara lain, bahawa tidak ada
kebebasan bersuara di Malaysia. Bahawa mereka jelas bebas
menyuarakan pendapat mereka dan memberikan maklumat yang
palsu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan mereka.
Kita amat kecewa dengan tindakan mereka ini. Ahli-ahli
parti-parti pembangkang ini sebenarnya mengkhianati negara
sendiri.
11. Inilah bezanya di antara anggota-anggota Barisan
Nasional dengan parti-parti lawan. Kita bersikap
bertanggungjawab memelihara imej dan prestasi negara kita.
Kita berusaha untuk membangunkan negara kita. Kita
mempertahankan keharmonian dan keamanan negara kita.
Sebaliknya parti-parti lawan tidak ada apa-apa program untuk
kebaikan negara. Yang mereka tahu ialah menolak kenyataan
dan menidakkan pencapaian negara walaupun dengan perbuatan
ini mereka menghinakan negara sendiri dan rakyatnya.
12. Sementara mereka mudah memburukkan negara sendiri di
arena antarabangsa, mereka tidak bersetuju jika kita lantang
menegur keburukan negara-negara lain. Mereka juga sanggup
memfitnah negara mereka sendiri, kononnya apabila Malaysia
menghantar tenteranya untuk berkhidmat dengan Bangsa-Bangsa
Bersatu di Bosnia-Herzegovina, kita menolong puak Serb.
Sebaliknya mereka tidak membuat apa-apa pun untuk orang
Bosnia yang ditindas.
13. Saya ingin menegaskan di sini sekali lagi bahawa kita
menyuarakan pandangan dan pendapat kita terhadap isu-isu
yang melibatkan Malaysia dan negara-negara membangun
berdasarkan kepada prinsip. Kita bersuara kerana ini adalah
hak kita sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan
berwibawa. Sayugia ditegaskan bahawa bukanlah niat Malaysia
untuk menonjolkan dirinya apabila ia menyuarakan sesuatu.
14. Kita juga menegur kerana ada beberapa perkara yang
dibuat oleh Barat yang bertentangan dengan
kepentingan-kepentingan negara-negara membangun. Di samping
itu kerapkali tindakan-tindakan negara-negara maju, sama
ada dalam bidang politik atau ekonomi, berbeza daripada apa
yang mereka kata mereka perjuangkan. Sebagai contoh, Barat
menuduh negara-negara membangun kononnya mencabuli hak-hak
asasi manusia. Tetapi di Bosnia di mana pengganas-pengganas
Serb membunuh sesuka hati mereka, Barat tunduk kepada pihak
Serb sepanjang masa. Sebagai sebuah negara yang
bertanggungjawab dan prihatin, Malaysia tidak boleh berdiam
diri. Kita mestilah menegur perkara-perkara yang salah ini.
15. Ada juga beberapa pihak yang berkata Malaysia berani
bersuara kerana kedudukan ekonomi Malaysia kukuh. Ini
tidaklah benar. Malaysia tetap akan menyuarakan
pandangannya dengan tegas dan berani, sama ada ekonominya
kukuh atau tidak, berasaskan kepada prinsip dan kebenaran.
Malaysia tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya walaupun
akibatnya mungkin kita akan ditindas oleh kuasa-kuasa
tertentu.
16. Hari ini Malaysia lebih terkenal di dunia. Ini adalah
disebabkan beberapa kejayaan yang telah kita capai.
Sementara kita boleh berbangga dengan prestasi kita, kita
tidak boleh sombong kerananya. Sebaliknya dengan rendah
hati kita perlu berusaha dengan lebih kuat lagi. Kita belum
mencapai matlamat kita. Banyak lagi yang perlu dibuat dan
diusahakan sebelum Wawasan 2020 kita menjadi kenyataan.
17. Kejayaan yang dicapai oleh negara telah menjadikan
rakyat Malaysia lebih yakin terhadap diri sendiri atau lebih
`self-confident'. Keyakinan ini adalah penting. Sebabnya
dahulu kita ketinggalan, lemah dan ditakluk oleh orang ialah
kerana kita mempunyai sifat `inferiority complex' yang
menyebabkan kita percaya bahawa kita tidak mampu membuat apa
yang dibuat oleh orang lain, terutamanya orang Eropah yang
menjajah kita.
18. Walau bagaimanapun, `self-confidence' sahaja tidak
mencukupi. Tidak kurang penting ialah keharmonian dan
perpaduan kaum yang merupakan asas utama kepada kestabilan
negara. Asas ini hendaklah sentiasa dipelihara. Janganlah
ada pihak yang cuba menggugat kestabilan yang kita sama-sama
wujudkan selama ini dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang
berbau perkauman atau agama. Jika ini berlaku, semua
kejayaan yang kita capai akan hancur. Rusuhan kaum atau
agama tidak pernah membawa kemewahan atau kebahagiaan kepada
sesiapa.
19. Sepertimana yang kita maklum nampaknya `demam'
pilihanraya telah bermula. Ramai merasakan bahawa `demam'
ini berpunca daripada parti-parti lawan. `Demam'
pilihanraya ini tidak akan merebak jika parti lawan tidak
menyebarkannya. Mungkin oleh kerana mereka takut hanya
ahli-ahli mereka sahaja yang terkena `demam' ini maka mereka
menyebarkan penyakit ini supaya terkena juga kepada
ahli-ahli Barisan Nasional.
20. Sayugia diingatkan bahawa Barisan Nasional mempunyai
mandat untuk memerintah negara sehingga bulan Oktober tahun
1995. Setakat ini kita belum memutuskan lagi bila
pilihanraya akan diadakan. Walau bagaimanapun, Barisan
Nasional sentiasa bersiap sedia. Kita dalam Barisan
Nasional tidak risau dengan `demam' pilihanraya ini kerana
Barisan Nasional mempunyai `ubat yang mujarab' untuk
mengatasinya, sepertimana yang telah dibuktikan di
pilihanraya-pilihanraya yang lepas.
21. Parti-parti lawan berasa risau sebab mereka tidak ada
isu yang hendak dimainkan. Ada parti yang `desperate'
sehingga menggugurkan apa yang mereka dakwa sebagai dasar
liberal mereka. Sebaliknya mereka cuba mendapatkan sokongan
orang Melayu dengan menukar nama dan mendakwa bahawa mereka
adalah parti orang Melayu untuk orang Melayu sahaja. Tetapi
apabila berhadapan dengan kaum bukan Melayu, mereka berkata
pula bahawa mereka sebuah parti yang memperjuangkan hak
istimewa orang bukan Melayu. Demikian juga ada parti yang
mendakwa mereka adalah `champion' hak orang Cina. Tetapi
apabila mereka dicabar membuat sesuatu bagi kaum Cina,
mereka menafikan yang mereka cuba menjadi `champion' kaum
Cina. Apakah sebenarnya yang mereka perjuangkan yang tidak
diperjuangkan oleh Barisan Nasional? Jika mereka tidak ada
perjuangan adalah lebih baik mereka berdiam diri sahaja.
Penyokong-penyokong mereka patut bertanya kepada diri
sendiri apakah faedah yang mereka telah perolehi daripada
parti-parti pembangkang ini? Sebenarnya tidak ada sesuatu
apa pun.
22. Masyarakat Cina Malaysia patutlah terus memberi
sokongan kepada MCA. Ini kerana MCA adalah parti yang dapat
menjaga kepentingan masyarakat Cina dalam konteks negara
berbilang kaum seperti Malaysia. MCA adalah parti yang
boleh diterima oleh UMNO dan parti-parti komponen Barisan
Nasional yang lain kerana ia tidak `extreme' dan `racist'.
MCA juga adalah parti yang dapat menyelesaikan
masalah-masalah yang dihadapinya secara rasional, senyap dan
dengan berkesan. Dengan pucuk pimpinan yang ada sekarang
ini, saya yakin MCA akan mencapai kejayaan yang lebih
tinggi.
23. Dengan harapan bahawa masyarakat Cina Malaysia akan
terus menyokong Barisan Nasional demi kestabilan, kemajuan
dan kemakmuran negara di masa depan, saya dengan sukacitanya
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA bagi tahun 1994.
|