Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 19/06/94
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
UMNO jarangkali mengadakan perhimpunan khas yang
terasing daripada Perhimpunan Agung biasa. Kita mengadakan
Perhimpunan Khas ini kerana perkara yang akan kita bincang
dan bahaskan amatlah berat dan penting bukan sahaja bagi
parti kita, bahkan juga bagi orang Melayu dan Bumiputera
lain khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Maju-mundurnya
UMNO, orang Melayu dan Bumiputera lain dan negara Malaysia
serta tercapainya atau tidak Wawasan 2020, bergantung kepada
keputusan dan pengamalannya yang menyusul Perhimpunan Agung
Khas kita ini. Jika kita silap atau gagal maka akan
mundurlah negara kita. Besar kemungkinan kita akan dijajah
semula, dihina dan ditindas. Segala nikmat dan kemakmuran
yang dinikmati sekarang akan hilang dan kita, terutama orang
Melayu dan Bumiputera lain, akan kembali menjadi bangsa yang
dihina, ditindas dan dipermain-mainkan.
2. Tidak dapat dinafikan bahawa sedikit sebanyak kita
telah berjaya memulihkan kaum, bangsa dan negara kita.
Daripada jajahan takluk kuasa Barat, kita bukan sahaja telah
berjaya membebaskan bangsa dan negara kita, tetapi yang
lebih bermakna lagi ialah kita telah berjaya mentadbir dan
membangunkan negara kita dengan begitu baik sehingga kita
mampu memainkan peranan di arena antarabangsa dengan
berwibawa.
3. Sebagai ukuran, daripada sebuah negara yang tidak
mempunyai apa-apa kedudukan dalam perdagangan antarabangsa,
kita hari ini adalah yang kesembilan belas terbesar antara
negara-negara dagangan di dunia. Ini kita capai walaupun
negara kita kecil daripada segi bilangan penduduk dan
luasnya berbanding dengan negara-negara gergasi yang
disenaraikan bersama kita seperti Amerika Syarikat,
negara-negara Eropah, Jepun dan China. Lebih bererti lagi
ialah kita bukan lagi pengeluar bahan mentah semata-mata.
Eksport barangan buatan yang canggih oleh negara kita adalah
dua kali ganda lebih besar daripada eksport bahan mentah.
Sebenarnya jika kita tidak berjaya menukar negara kita
daripada negara pengeluar bahan mentah kepada negara
industri pembuatan, hari ini kita akan menjadi antara negara
yang termiskin di dunia. Betapa tidak? Hari ini bijih
timah tidak berharga sama sekali. Getah asli pula membawa
hasil yang rendah. Hanya minyak kelapa sawit dan minyak
mentah yang boleh membantu eksport kita sedikit.
Bahan-bahan mentah ini merupakan 29 peratus daripada jumlah
eksport kita sekarang. Jika kita bergantung kepada
bahan-bahan mentah ini sahaja, sudah tentu kita tidak akan
menjadi negara dagangan yang kesembilan belas terbesar di
dunia.
4. Daripada segi pengagihan kekayaan antara kaum juga kita
telah berjaya. Melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB)
sahaja terdapat lebih daripada tiga juta Bumiputera yang
memiliki saham bernilai lebih daripada 40,000 juta ringgit.
Bukan PNB sahaja yang memiliki saham bagi pihak orang Melayu
dan Bumiputera, Tabung Angkatan Tentera, Koperasi Polis,
KUB, Amanah Saham negeri-negeri dan badan-badan lain juga
memiliki saham bernilai ribuan juta ringgit untuk orang
Melayu dan Bumiputera.
5. Peniaga dan pengusaha Melayu dan Bumiputera sekarang
terlibat dalam perniagaan dan perusahaan daripada yang
sekecil-kecilnya hinggalah ke peringkat gergasi. Jika
dahulu tidak pernah ada berita disiarkan mengenai peniaga
dan pengusaha Bumiputera dalam akhbar tempatan pun, hari ini
sudah ada pengusaha Bumiputera yang dilaporkan dalam Majalah
'Fortune' di Amerika Syarikat yang hanya biasa dengan Lee
Iacocca, Rothschild, Rockefeller dan usahawan-usahawan Barat
terkemuka yang lain. Barangan buatan syarikat Bumiputera
telah berjaya memenangi hadiah kerana teknologinya yang
canggih berbanding dengan produk yang sama daripada negara
lain, termasuk yang maju.
6. Barangan buatan syarikat milik Bumiputera dieksport dan
dijual di negara-negara maju setanding dengan barangan
jenama terkenal yang lain. Bahkan Bumiputera serta
syarikat-syarikat mereka memiliki harta dan syarikat
perusahaan di negara-negara asing yang bernilai ribuan juta
ringgit.
7. Saya boleh senaraikan lebih banyak lagi kejayaan
penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi negara
dan antarabangsa. Hanya mereka yang buta hati sahaja yang
tidak dapat melihat. Hanya mereka yang mempunyai sikap
benci kepada Bumiputera yang berjaya atau kepada Kerajaan
Barisan Nasional sahaja yang menafikan kejayaan ini.
8. Sementara kita mengakui orang Melayu dan Bumiputera
telah berjaya, kejayaan ini juga membawa masalah. Jika
dahulu UMNO bersidang untuk membincangkan dengan sedihnya
tentang kegagalan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam
ekonomi negara, hari ini kita bersidang kerana kejayaan
Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi telah membawa
masalah; masalah yang boleh menghancurkan kuasa politik
Bumiputera, yang boleh menghancurkan ekonomi dan kemakmuran
negara dan segala-gala yang telah kita bina.
9. Masalah yang dimaksudkan ialah politik wang dan sifat
tamak dan tidak bertanggungjawab di kalangan sesetengah
orang Melayu dan Bumiputera akibat daripada kekayaan yang
mereka miliki. Mereka bukan sahaja mahukan kekayaan tetapi
juga jawatan dan kuasa bagi diri mereka atau bagi orang yang
boleh dipermain-mainkan oleh mereka.
10. Masalah ini menjadi-jadi kerana UMNO berkuasa, kerana
orang Melayu dan Bumiputera lain berkuasa. Kuasa boleh
membawa rasuah. 'Power corrupts, and absolute power
corrupts absolutely'. Kuasa yang mutlak membawa rasuah yang
tidak terbatas.
11. Kombinasi kemewahan wang ringgit orang Melayu dan
Bumiputera dengan kuasa yang mereka miliki sekarang telah
membentuk peribadi yang semakin merosot daripada segi moral.
Hanya dengan memiliki kuasa memberi satu undi sahaja pun
sudah menjadikan kita begitu tidak bertanggungjawab sehingga
sanggup menggadaikan maruah, parti dan bangsa kita. Apatah
lagi jika kita mempunyai lebih daripada hanya kuasa
mengundi.
12. Sistem undi dan sistem demokrasi bertujuan untuk
memelihara tiap seseorang daripada kita daripada kebinasaan.
Melalui undi kita boleh menentukan nasib kita dan nasib
negara kita. Undi merupakan modal besar untuk mereka yang
tidak mempunyai apa-apa kekayaan. Ia menyamakan yang miskin
dengan yang kaya dan yang lemah dengan yang kuat. Tetapi
seperti juga dengan modal yang lain, ia boleh disalahgunakan
dan membawa bencana kepada diri sendiri dan masyarakat. Ia
boleh diperjudikan dengan menghasilkan kesan-kesan yang
termaklum daripada perjudian.
13. Di sesetengah negara, undi pilihanraya boleh dibeli
secara terbuka. Tetapi di Malaysia umumnya kita masih bebas
daripada amalan jenayah ini. Malangnya dalam pemilihan
kepimpinan parti kita di semua peringkat, bencana ini secara
tersembunyi telah meresap ke dalam jiwa kita di masa-masa
yang lampau ini. Secara langsung dan tidak langsung
pembelian undi diamalkan.
14. Dengan itu kita tidak lagi memilih orang yang layak dan
berkemampuan daripada segi kaliber memimpin parti. Kita
memilih orang yang menyogok kita dengan wang atau hadiah
atau lain-lain.
15. Orang yang sanggup membeli undi tidak akan segan-segan
menjual dirinya apabila ia berkuasa sebagai pemimpin. Yang
akan diutamakan bukanlah perjuangan agama, bangsa dan
tanahair. Yang akan diutamakan ialah dirinya sendiri,
pengekalan dirinya sebagai pemegang jawatan dan pengumpulan
harta kekayaan bagi dirinya. Orang seperti ini akan menjual
negara dan bangsanya. Orang seperti ini tidak mempunyai
maruah dan tanggungjawab.
16. Memang benar urusan parti memerlukan wang. Tidak ada
keadaan di mana jumlah yang diperlukan mencukupi. Akan ada
sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu dibuat. Tetapi
banyak manakah yang diperlukan? Dan dari manakah dan
bagaimanakah wang ini harus diperolehi dan dibelanjakan?
17. Apabila ada sahaja orang yang boleh membiayainya, akan
timbullah keperluan membelanjakan wang. Kita katakan bahawa
dahulu kita tidak memerlukan wang. Jika kita perlukan wang,
setiap seorang daripada kita akan membelanjakan duit
sendiri. Jika tidak ada, kita gunakan apa juga tenaga yang
ada pada diri kita. Kita buat sesuatu kerana agama, bangsa,
parti dan tanahair. Jika kita sebutkan kejayaan perjuangan
kita di masa lampau tanpa wang -- bagaimana kita menubuhkan
parti, menentang Malayan Union dan memperjuangkan
kemerdekaan -- ada di kalangan kita yang akan berkata: "Itu
dahulu. Itu zaman kita tidak ada duit. Itu zaman kita
menentang kezaliman dan penjajahan."
18. Mereka tidak mahu mendengar cerita lama ini. Dahulu
lain sekarang lain, kata mereka. Tetapi sebenarnya tidak
ada perbezaan. Pengorbanan adalah baik di sepanjang masa.
Rasuah adalah buruk pada bila-bila masa pun. Tidak ada
zaman atau masa di mana pengorbanan itu buruk dan rasuah itu
baik.
19. Berkorban dialu-alukan dan disuruh bukan sahaja oleh
agama tetapi juga oleh masyarakat yang siuman. Demikian
juga rasuah bukan sahaja ditegah oleh agama tetapi oleh
semua masyarakat.
20. Kita tentu akan berkata bahawa tidak perlu dijelaskan
mengapa berkorban itu baik dan rasuah itu buruk. Kita semua
tahu. Kita bukan bodoh. Kita tidak perlu sesiapa
berkhutbah mengenai perkara-perkara ini. Tetapi benarkah
kita tahu dan faham dengan cukup mendalam, sehingga kita
tidak akan melakukan perkara yang dilarang ini?
21. Dalam negara kita hukuman bunuh adalah mandatori bagi
jenayah mengedar dadah. Apakah dengan adanya hukuman yang
begitu berat maka jenayah mengedar dadah tidak berlaku?
Kita tahu bahawa ia masih berlaku. Kita tahu bahawa ramai
sudah digantung sampai mati kerana mengedar dadah, tetapi
masih ada juga yang begitu tamak sehingga sanggup
memperjudikan nyawa mereka.
22. Tetapi kita tidak boleh menghapuskan hukuman ini kerana
ada yang tidak menghiraukannya. Jika kita hapuskan, lebih
ramai yang akan melakukan jenayah ini. Justeru itu, kita
masih mengekalkan hukuman ini. Ada orang yang hanya takut
kerana wujudnya hukuman. Walau apa pun kesan hukuman,
setiap jenayah mesti mempunyai balasan yang setimpal.
23. Tetapi kebanyakan tidak melakukan jenayah bukanlah
semata-mata kerana takut kepada undang-undang dan hukuman.
Sebahagian besar daripada orang yang tidak melakukan jenayah
tidak berbuat demikian kerana mereka sedar bahawa jenayah
itu adalah salah, satu perkara yang keji dan hina. Jika
kita berpegang kuat kepada agama dan kepada nilai-nilai yang
mulia, kita tidak akan melakukan jenayah. Perasaan malu
sahaja kadang-kadang memadai untuk membanteras jenayah.
24. Tidak ramai daripada kita yang memikirkan akan kesan
jenayah terhadap masyarakat. Justeru itu ada baiknya jika
kita cuba memikirkan secara mendalam apa yang akan terjadi
kepada masyarakat kita jika rasuah menjadi sebahagian
daripada budaya kita sepertimana kita tahu ia menjadi budaya
sesetengah bangsa lain.
25. Dalam parti kita jika politik wang diterima sebagai
perkara biasa yang tidak dapat dielakkan, maka sudah tentu
yang pertama sekali orang yang dipilih untuk memimpin parti
akan terdiri daripada orang yang kaya dan menganggap rasuah
sebagai halal dan boleh diamalkan, dan ini bererti
pemimpin-pemimpin kita akan terdiri daripada penjenayah.
Calon-calon yang jujur, cekap dan bersih tetapi tidak mampu
memberi sogokan akan kalah.
26. Orang yang menganggap rasuah sebagai sebahagian
daripada alat politik dan pentadbiran tidak digerak untuk
berkhidmat oleh semangat tetapi oleh perasaan tamak. Minat
mereka untuk menjadi pemimpin adalah untuk mendapatkan kuasa
yang boleh digunakan untuk kepentingan diri, bukan
kepentingan bangsa dan negara. Jika mereka pemimpin rendah
mereka akan menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan
peluang-peluang, umpamanya perniagaan bagi diri sendiri.
Orang seperti ini akan memilih pemimpin yang boleh disogok.
Akhirnya semua pemimpin akan terdiri daripada pengamal
rasuah yang tamak dan tidak bermaruah.
27. Kakitangan Kerajaan pula, setelah melihat anggota
Kerajaan daripada parti politik tidak beramanah dan
mengamalkan rasuah, akan turut menerima rasuah. Dengan ini
rasuah menjadi budaya keseluruhan jentera pentadbiran.
28. Kita akui bahawa hari ini pun rasuah wujud. Tetapi
umumnya masyarakat belum menerima rasuah sebagai amalan
biasa. Dengan itu kegiatan menyogok dan menerima rasuah
masih disembunyikan. Mereka yang terlibat masih merasa
malu, masih menganggap rasuah salah dan hina. Selagi
masyarakat umum tidak menerima amalan ini sebagai perkara
biasa, rasuah masih boleh dibendung. Sekurang- kurangnya ia
tidak dapat menjejaskan pembangunan masyarakat. Jika usaha
menentang rasuah dibuat, ia masih boleh berjaya.
29. Tetapi jika tidak ada usaha gigih dijalankan untuk
membendung rasuah, ianya akan berkembang sehingga diterima
sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat. Apabila
ianya sudah menjadi budaya, ianya tidak boleh dihapuskan
lagi. Ini adalah kerana semua tempat mengadu, semua pihak
yang ditugaskan untuk membanteras rasuah, semua pendakwa dan
hakim, semuanya terdiri daripada pengamal rasuah secara
terbuka. Mereka semua tidak mahu sistem rasuah dihapuskan;
polis tidak mahu, pendakwa mahkamah tidak mahu, hakim tidak
mahu, bahkan akhbar-akhbar juga tidak mahu. Jika mereka ini
cuba menghalang rasuah, mereka akan disogok oleh yang
berkepentingan. Jika mereka cuba menghapuskan rasuah,
penglibatan mereka yang terdahulu akan dibongkar. Dengan
itu segala usaha orang ramai untuk mendapat perlindungan
undang-undang akan gagal. Rakyat yang menjadi mangsa tidak
mempunyai tempat sama sekali untuk mengadu.
30. Mungkin ada beberapa orang yang benar-benar tidak mahu
menerima sogokan. Namun jika mereka memegang jawatan yang
tinggi atau jawatan-jawatan yang berkuasa, kelurusan,
kejujuran dan pendirian mereka tidak mahu menerima rasuah
tidak akan dipercayai. Orang ramai tidak segan-segan akan
mendakwa bahawa mereka ini juga sama, mereka ini juga
menerima rasuah dan mungkin lebih teruk lagi. Orang ramai
akan mendakwa bahawa mereka ini hanya berjaya menyembunyikan
penerimaan rasuah.
31. Walaupun mereka ini cuba dengan cara terbuka menolak
sogokan dan mengamalkan kehidupan yang sederhana, yang
secocok dengan pendapatan mereka yang halal, masih ada juga
orang ramai yang sudah menerima amalan rasuah sebagai
budayanya yang tidak akan mempercayai orang yang lurus ini.
Mereka yang lurus ini tetap akan ditohmah dan difitnah juga.
32. Akhirnya orang yang lurus dan bersih ini akan kecewa.
Jika tidak menerima rasuah pun tidak dipercayai, bahkan
dituduh sebagai orang yang tidak beramanah dan pengamal
rasuah, ada yang berfikir lebih baik jika mereka menerima
rasuah. Sekurang-kurangnya mereka mendapat sesuatu bagi
diri mereka.
33. Dengan itu tidak akan ada sesiapa dalam masyarakat
berbudaya rasuah yang bebas dan sunyi daripada amalan
rasuah. Semua anggota masyarakat akan terlibat sebagai
penerima atau pemberi rasuah. Dalam keadaan ini, rasuah
akan dilakukan tanpa segan silu dan secara terbuka.
34. Masyarakat seperti ini tidak mungkin berjaya dibangun
dan dimajukan. Segala kos akan meningkat. Harga jualan
semua barangan terpaksa mengambilkira bayaran rasuah yang
telah dibuat atau akan dibuat, bayaran untuk lesen import,
lesen kilang, lesen kenderaan dan lesen-lesen lain, sogokan
kepada pegawai dan kakitangan Kerajaan di semua peringkat,
di tiap-tiap pejabat dan seribu satu lagi bayaran untuk
melicinkan urusan. Semua ini akan menjadi sebahagian
daripada kos yang mesti dibayar oleh pembeli khidmat atau
barangan. Jika tidak ada lesen atau AP yang hendak
dikeluarkan, rasuah boleh didapati dengan melewat-lewatkan
kerja. Dan ini boleh dilakukan oleh semua anggota
pentadbiran, daripada pelayan pejabat hinggalah ke menteri
dan perdana menteri. Harga jualan dan harga khidmat tentu
berlipat ganda. Negara kos tinggi ini tidak mungkin boleh
bersaing dalam apa-apa bidang. Dan negara yang tidak
berjaya bersaing tidak mungkin maju.
35. Berhutang dengan bank mesti disertai dengan duit
`football' atau `kickback'. Dengan ini bukan sahaja kos
hutang akan mengandungi faedah tetapi juga rasuah terpaksa
ditokok kepada kos wang atau `cost of money'.
36. Dengan ini semua urusan akan berjalan perlahan-lahan.
Begitu banyak tangan yang perlu diisi sepanjang jalan.
Kelewatan ini juga mempunyai kesan terhadap kos. Sekali
lagi kos meningkat.
37. Mungkin yang menerima rasuah gembira kerana ia
beruntung. Tetapi penerima juga mempunyai urusan, sama ada
sebagai pegawai atau orang yang berkuasa atau sebagai
pengguna biasa. Wang rasuah yang diperolehi terpaksa
dibelanjakan untuk sogokan apabila melakukan urusan
peribadi. Akhirnya, wang rasuah yang diterima tidak
menguntungkan penerima. Dalam masyarakat yang berbudaya
rasuah, segala keburukan kerananya akan dipikul oleh semua
anggota masyarakat, pemberi dan penerima. Sesungguhnya
tidak ada sedikitpun kebaikan bagi sesiapa daripada amalan
rasuah, sama ada secara tertutup atau terbuka.
38. Saya sedar bahawa dengan berkhutbah sahaja
tidak akan menghasilkan masyarakat yang mulia. Saya berucap
berkenaan dengan rasuah ini dengan kesedaran bahawa amalan
rasuah bukan senang untuk dihapuskan sama sekali. Saya
menjelaskan perkara ini supaya kita lebih faham dan tidak
boleh berkata bahawa kita tidak tahu begitu sekali buruknya
rasuah. Di zaman ini ramai yang suka mempertahankan
penjenayah dan perbuatan-perbuatan yang salah. Kerap
kedengaran kata-kata seperti "mereka miskin, mereka susah,
mereka lemah, mereka tidak tahu, mereka terpaksa, mereka
takut, masyarakat memang begitu, jika mereka tidak terima
orang lain akan terima, pemberi yang salah, penerima yang
salah; justeru itu kita jangan salahkan penjenayah, salahkan
masyarakat, jangan kita hukum penjenayah, kita harus
bersimpati dengan mereka". Dan akhbar-akhbar serta
televisyen pun akan membuat rencana dan laporan penyiasatan
atau `investigative reporting' supaya masyarakat tidak cepat
menyalahkan yang salah, sebaliknya memahami masalah mereka
dan sebabnya mereka melakukan kesalahan.
Pemberita-pemberita penyiasatan akan berkata penjenayah
perlu diberi simpati, bukan tekanan dan hukuman. Di Barat
penjenayah yang dahsyat diberi kontrak yang bernilai tinggi
untuk menceritakan riwayat mereka supaya masyarakat faham
dan bersimpati dengan mereka. Dan apa sahaja yang dibuat
oleh Barat, malangnya tidak lama selepas itu kita akan
menirunya. Bukan sahaja rambut panjang dan subang yang
dipakai oleh lelaki ditiru oleh belia kita, tetapi juga yang
dewasa pun terbawa-bawa dengan cara-cara Barat.
39. Parti UMNO bukan sebarang parti politik. UMNO adalah
parti yang memerintah. Kita telah memerintah sejak sebelum
merdeka, tidak putus-putus. Pemimpin-pemimpin parti UMNO
bukan sahaja memimpin parti tetapi juga Kerajaan, di
peringkat negeri dan di peringkat pusat. Dan sebagai
pemimpin Kerajaan, kita berkuasa.
40. Jika kita terima politik wang dalam parti, jika rasuah
menjadi budaya bagi parti UMNO, jika pemimpin-pemimpin kita
mendapat tempat melalui sogokan, kita akan memperolehi
Kerajaan yang dipenuhi, dianggotai dan dipimpin oleh
penjenayah rasuah. Bolehkah kita percaya pemimpin-pemimpin
seperti ini akan dapat memerintah dengan bijak, lurus, jujur
dan adil? Bolehkah kita yakin yang negara kita akan terus
maju? Bolehkah kita yakin orang Melayu dan Bumiputera lain
tidak akan dijual oleh pemimpin-pemimpin yang kita pilih?
Hanya yang tidak siuman sahaja yang akan percaya
pemerintahan oleh penjenayah rasuah akan membawa kebahagiaan
kepada negara dan kepada kita.
41. Saya sedar dengan tumpuan yang kita beri kepada masalah
politik wang dalam parti UMNO, parti-parti lawan akan
mendapat isu untuk menyerang kita. Tentu ada antara kita
yang berpendapat lebih baik jika kita tidak heboh sangat
tentang masalah ini.
42. Tetapi saya ingin mengingatkan parti-parti lawan,
mereka tidak boleh berbangga dengan kepercayaan bahawa
mereka bersih. Ramai daripada mereka yang terlibat dengan
rasuah. Sudah tentu kumpulan serpihan UMNO, yang sekarang
berada di luar parti, bertanggungjawab terhadap perkembangan
politik wang dalam UMNO. Mereka boleh bersumpah tetapi kita
tahu mereka menggunakan banyak wang pada tahun 1987 untuk
membeli undi. Mereka menyogok di hotel, mereka menyogok
dalam tandas, mereka mengurung ahli-ahli dan mereka berjanji
kepada berpuluh-puluh ahli UMNO jawatan Menteri Besar,
Timbalan Menteri dan Menteri. Mereka memberi hadiah dan
membiayai lawatan. Kata seorang daripada mereka "Twenty
million is cheap to be a Prime Minister."
43. Jika tidak kerana majoriti wakil UMNO tidak boleh
disogok, mungkin mereka menang pada tahun 1987. Tetapi
mereka kalah. Kekalahan mereka tidak bermakna mereka
bersih. Mereka kotor. Malangnya kekotoran mereka terpalit
kepada ahli-ahli UMNO yang lain. Kerana 1987-lah UMNO
sekarang terpaksa menghadapi masalah politik wang. Kerana
1987-lah UMNO terpaksa bersidang hari ini.
44. Rakan mereka juga tidak bebas daripada rasuah.
Menjanjikan syurga jika parti disokong juga merupakan satu
jenis rasuah. Ia lebih murah dan mudah dibuat bagi mereka
yang tidak takutkan Tuhan, tetapi lebih berkesan di kalangan
orang yang kuat pegangan kepada agama. Justeru itu, mereka
jangan sombong kerana kononnya mereka bersih. Najis rasuah
terpalit juga di muka mereka, bahkan lebih dahsyat lagi
kerana yang disogok ialah agama. Dengan ini bukan sahaja
mereka kotor, agama juga turut dikotorkan.
45. Seperkara lagi ialah keberanian mereka `menjual'
ayat-ayat al-Quran walaupun ini terang-terang ditegah oleh
al-Quran. Pengikut mereka dan orang Melayu mudah
terpengaruh. Jika ayat-ayat ini adalah untuk perkembangan
ajaran Islam di kalangan orang Islam atau untuk berdakwah,
ia bukanlah sogokan, bahkan ia disuruh dan dibenarkan.
Tetapi apabila ayat-ayat ini diguna untuk mendapat sesuatu
bagi diri sendiri atau bagi parti, ia tidak berbeza daripada
penyalahgunaan wang untuk membeli undi. Ia tidak berbeza
daripada rasuah. Ia juga adalah rasuah.
46. Tetapi PAS tidak berhenti setakat itu sahaja. Apabila
sahaja berkuasa di Kelantan mereka menyogok penyokong mereka
dengan jawatan-jawatan penghulu, penggawa dan imam, walaupun
mereka terpaksa melucutkan jawatan-jawatan ini daripada
orang lain yang sedang memegangnya. Mereka menggunakan wang
Kerajaan untuk bayaran elaun-elaun bagi penyokong-penyokong
mereka. Ini juga sejenis rasuah.
47. Justeru itu, yang perlu membanteras dan bertindak
menghapuskan politik wang di dalam parti bukanlah UMNO
sahaja. Parti-parti lawan patut mengadakan mesyuarat khas
untuk membentuk undang-undang mencegah semua jenis rasuah --
rasuah agama dan rasuah kebendaan. Janganlah parti lawan
ghairah mempermain-mainkan UMNO kerana usahanya untuk
menghapuskan politik wang. Masalah UMNO hanyalah politik
wang. Tetapi masalah parti-parti lawan termasuklah
penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran dan syurga untuk
kepentingan diri dan parti. Parti-parti lawan patut jujur
seperti UMNO. Mereka patut mengaku kesalahan dan jenayah
yang berlaku dalam parti-parti mereka dan bertindak
menghapuskannya. Inilah cara Islam. Mereka tidak harus
menepuk belakang diri sendiri, mengucap tahniah kepada diri
sendiri kerana beranggapan mereka lebih baik daripada UMNO.
Sebenarnya mereka adalah lebih kotor.
48. Saya berucap dengan panjang lebar berkenaan dengan
keburukan politik wang dan keburukan rasuah. Tetapi saya
sedar akan ada antara tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil
ke persidangan ini, bahkan antara pemimpin-pemimpin dan
ahli-ahli UMNO yang akan berkata "Dua kali lima. Dia pun
samalah. Takkan dia tak kebas duit, takkan dia tak bolot
'pink-form', takkan dia tolak segala pemberian kepadanya.
Tak guna dia nafi."
49. Saya sedar bahawa bagi mereka yang gemar menerima atau
memberi sogokan, mereka beranggapan mustahil orang lain
tidak seperti mereka. Mustahil ada orang yang lurus. Saya
sedar saya juga terdedah kepada tuduhan, dan penafian oleh
saya tidak akan dipercayai. Saya masih ingat di waktu saya
dan anggota-anggota Kerajaan yang lain di peringkat pusat
dan negeri memotong gaji kerana Kerajaan kekurangan wang,
ramai yang berkata "mereka tentu boleh kerana mereka dapat
banyak wang sogokan." Tetapi walaupun saya kecewa dengan
sangkaan buruk ini, saya tidak akan bertanggungjawab jika
kerananya saya tidak cuba memperbaiki keadaan yang akan
menghancurkan kita.
50. Sama ada UMNO akan terus memerintah hingga tahun 2020
sekurang-kurangnya, sama ada tahun 2020 akan memperlihatkan
Malaysia mencapai matlamatnya, sama ada UMNO, orang Melayu
dan Bumiputera lain, serta negara Malaysia dihormati dan
dimuliakan, dan sama ada kita boleh berdiri tinggi di
kalangan bangsa-bangsa lain di dunia bergantung kepada
pembasmian politik wang dalam UMNO.
51. Saya harap kita bukan sahaja akan meluluskan pindaan
perlembagaan pada hari ini tetapi juga kita akan dengan
ikhlas berikrar akan patuh kepadanya, akan mengamalkan
nilai-nilai yang mulia dan akan menjayakan penguatkuasaan
undang-undang.
52. Insya-Allah, keikhlasan kita akan mendapat balasan
yang setimpal daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
53. Dengan ini, saya dengan penuh insaf merasmikan
Perhimpunan Agung Khas UMNO ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|