Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KAWASAN PERUSAHAAN MAKMANDIN,
PULAU PINANG
Tarikh/Date : 18/07/94
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PEMBUKAAN KILANG
BARKATH CO-RO MANUFACTURING
SDN. BHD.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Syarikat Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd. kerana
menjemput saya untuk merasmikan pembukaan kilangnya pada
hari ini.
2. Tahniah juga diucapkan kepada Kumpulan Barkath Sdn.
Bhd. kerana telah berjaya mengadakan usahasama dengan Co-Ro
Food A/S Denmark. Ini merupakan satu langkah yang baik yang
akan membuka lebih banyak lagi peluang untuk
aktiviti-aktiviti nilai ditambah dengan wujudnya teknologi
asing yang dapat meningkatkan produktiviti dan pengeluaran
industri tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Memanglah menjadi dasar Kerajaan untuk mengalakkan
usahasama di antara syarikat-syarikat Bumiputera dengan
syarikat-syarikat asing untuk membolehkan syarikat
Bumiputera meningkatkan lagi mutu perniagaan mereka. Oleh
itu, inovasi dan ketekunan yang ditunjukkan oleh Kumpulan
Barkath ini diharapkan akan mendorong syarikat-syarikat
Bumiputera lain untuk mempertingkatkan usaha bagi memasuki
pasaran baru dan mengadakan usahasama.
4. Penyertaan Bumiputera secara meluas di sektor moden
seperti pembuatan diberi penekanan selaras dengan
peningkatan peranan yang lebih besar dan dinamik dalam
sektor ini dimasa hadapan. Pada hari ini sektor perkilangan
telah berkembang pesat dan terus menjadi penggerak utama
pertumbuhan ekonomi dan merupakan penyumbang terbesar kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semenjak tahun 1987.
5. Sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK telah meningkat
daripada 22 peratus pada tahun 1987 kepada 30 peratus pada
tahun l993. Dalam tahun-tahun akhir Rancangan Malaysia
Keenam, sektor pembuatan dijangka mengekalkan kadar
pertumbuhan dua angka sebanyak 12 peratus setahun dan
sumbangannya kepada KDNK pula diunjurkan meningkat kepada 32
peratus pada tahun 1995. Di dalam usaha untuk mencapai
status negara perindustrian yang maju, tanggungjawab dan
peranan yang perlu dimainkan oleh sektor pembuatan tidak
dapat dinafikan lagi.
6. Dasar kerajaan adalah untuk terus memperkukuh dan
mempelbagaikan asas perindustrian negara. Mengikut Pelan
Induk Perindustrian Malaysia, industri pemprosesan makanan
telah dikenalpasti sebagai salah satu industri yang perlu
diberi keutamaan dalam pembangunan perindustrian.
7. Adalah didapati bahawa pengeluaran industri pemprosesan
makanan telah meningkat daripada RM4.6 billion pada tahun
1986 kepada RM9.4 billion pada tahun 1993. Sub-sektor yang
menjadi penyumbang utama adalah pengeluar-pengeluar keluaran
'dairy products and animal feeds, sugar refineries',
pengeluar minuman dan pemprosesan tepung. Kini,
dianggarkan bahawa 70 peratus bahan mentah yang digunakan
dalam industri ini adalah diimport. Walaupun prestasi
eksport sektor ini semakin bertambah baik, iaitu eksport
telah meningkat daripada RM812 juta pada tahun 1986 kepada
RM2,026 juta pada tahun 1993, import telah turut juga
meningkat daripada RM1,129 juta kepada RM2,363 juta dalam
tempoh yang sama. Oleh itu, Malaysia pada keseluruhannya
masih merupakan pengimport bersih makanan yang diproses.
Keadaan ini perlulah diperbaiki.
8. Di samping itu, industri minuman juga dijangka akan
berkembang dengan pesatnya di masa akan datang memandangkan
prospek ekonomi yang begitu menggalakkan. Permintaan
tempatan untuk minuman ringan dijangka berkembang maju
dengan peningkatan 'popularity' kedai-kedai makanan segera
dan peningkatan penduduk di negara ini.
9. Sebagai usaha untuk menggalak industri minuman
tempatan, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan cukai.
Pengeluaran jus buah-buahan dengan menggunakan buah-buahan
tempatan adalah digalakkan dan mengikut skim ini adalah
layak untuk dipertimbangkan galakan di bawah Akta
Penggalakan Pelaburan 1986. Ini adalah untuk mewujudkan
industri pengeluaran dan pemprosesan makanan yang kukuh
dengan meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti nilai ditambah.
Penubuhan projek seumpama ini akan dapat membantu
perkembangan industri minuman di negara kita terutama untuk
memastikan pembangunan jangka panjang industri pengeluaran
makanan dan industri pemprosesan yang berkaitan. Tambahan
pula aktiviti pengeluaran buah-buahan masih ditahap awalan
di negara kita. Oleh itu, saya menyeru usahawan-usahawan
tempatan supaya mengkaji dengan teliti bidang tersebut demi
merebut peluang yang sedia ada.
10. Di samping memenuhi permintaan tempatan, terdapat juga
skop untuk mengeksport jus buah-buahan ke luar negara.
Dalam hal ini, eksport jus buah-buahan dan sari jus
buah-buahan Malaysia pada tahun 1993 hanyalah sebanyak RM17
juta manakala pasaran antarabangsa untuk jus buah-buahan
dianggarkan sebanyak RM11 billion. Oleh yang demikian,
masih terdapat banyak peluang untuk syarikat-syarikat
Malaysia, terutamanya usahawan Bumiputera, untuk menceburi
bidang ini dan bersedia bersaing di pasaran antarabangsa.
11. Dalam usaha kita mempergiatkan pembangunan industri
berorientasikan eksport, satu hakikat yang harus diambilkira
ialah proses perindustrian melibatkan beberapa perubahan
pesat, terutama dalam tingkat teknologi yang meliputi
aspek-aspek kemahiran serta keupayaan pengurusan di
peringkat antarabangsa. Kemajuan teknologi yang tinggi amat
diperlukan untuk membolehkan negara terus bersaing dalam
ekonomi dunia.
12. Untuk membolehkan kita berdaya saing di pasaran
antarabangsa, kita perlu meninggikan tahap teknologi,
kemahiran keusahawanan dan kualiti pekerja dan pengurusan.
Dalam hal ini diperhatikan bahawa kilang Syarikat Barkath
Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd. adalah antara kilang-kilang
yang memberi penekanan kepada kualiti serta teknologi dengan
memastikan bahawa automasi digunakan dalam proses
pengeluaran. Memang benar bahawa pemindahan teknologi
adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dan
memantapkan asas proses perindustrian di negara ini demi
menjamin pembangunan ekonomi jangka panjang. Pemindahan
teknologi dapat mewujudkan kesan rantaian yang positif ke
atas industri-industri tempatan melalui kepakaran dan
kemahiran yang dicapai oleh buruh tempatan.
13. Walau bagaimanapun, konsep pemindahan teknologi yang
lengkap dan sempurna harus meliputi aspek penguasaan
teknologi yang lebih luas dan dapat disebarkan ke
sektor-sektor lain dalam ekonomi. Seterusnya, keadaan ini
dapat membuka jalan kepada pengubahsuaian dan pembangunan
teknologi tempatan.
14. Adalah diharapkan dengan adanya lebih banyak usahasama
syarikat-syarikat tempatan dengan syarikat-syarikat asing,
maka pembangunan teknologi industri tempatan akan dapat
dipercepatkan. Kerajaan akan terus menyediakan
infrastruktur asas serta suasana yang sesuai untuk
pembangunan teknologi.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan kilang Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd.
|