Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PENANG SKILLS DEVELOPMENT CENTRE
(PSDC), PULAU PINANG
Tarikh/Date : 19/07/94
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN RASMI PENANG SKILLS
DEVELOPMENT CENTRE (PSDC)
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
pihak Penang Skills Development Centre (PSDC) kerana
menjemput saya untuk merasmikan pembukaan PSDC pada hari
ini.
2. Saya sungguh gembira bahawa penubuhan PSDC adalah satu
contoh baik mengenai kerjasama rapat antara Kerajaan Negeri,
Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta. Saya difahamkan
bahawa sementara Kerajaan Pulau Pinang menyediakan
'operating grant' tahunan sebanyak RM120 ribu dan Kerajaan
Persekutuan memperuntukkan RM7 juta untuk alat-alat
kelengkapan, semua 'lab' dan 'workshop' di PSDC telah
didirikan dengan alat-alat atau geran daripada sektor
swasta. Sektor swasta juga saya diberitahu telah
menyediakan sumber latihan, mengenalpasti keperluan latihan
dan membantu mendirikan kemudahan-kemudahan. Dalam
lain-lain perkataan, ini merupakan satu contoh baik mengenai
'Malaysia Incorporated concept at work'.
3. Penubuhan PSDC juga merupakan satu langkah yang penting
yang memberi faedah bersama kepada semua pihak. Oleh kerana
program latihan dan alat-alat yang dilengkapkan di PSDC
adalah 'industry standard', semua program latihan adalah
terkini dan 'geared' bagi memenuhi keperluan industri di
negara ini amnya dan Pulau Pinang khasnya. Juga oleh kerana
program yang dijalankan oleh PSDC adalah berdasarkan
keperluan industri, tumpuan sudah tentu diberi terhadap
meningkatkan kecekapan dan mencapai produktiviti yang lebih
tinggi. Di samping itu, dengan adanya PSDC, saya yakin
usaha-usaha untuk menjadikan Pulau Pinang dan negeri-negeri
di sebelah utara Semenanjung Malaysia sebagai pusat
perkilangan akan lebih berjaya.
4. Dalam usaha kita mencapai pertumbuhan ekonomi yang
lebih tinggi, pembangunan kemahiran adalah penting. Dalam
hal ini, Kerajaan sentiasa memberi perhatian berat terhadap
pembangunan tenaga kerjanya. Ini adalah kerana Kerajaan
percaya bahawa penduduknya merupakan sumber tenaga yang
penting. Untuk mencapai kejayaan ekonomi yang lebih tinggi
mutu tenaga kerja adalah antara faktor utama. Oleh itu,
sebarang usaha untuk meningkatkan lagi mutu tenaga kerja
negara ini adalah dialu-alukan.
5. Bagaimanapun tanggungjawab melatih dan melengkapkan
kemahiran kepada rakyat bukanlah terletak di bahu Kerajaan
semata-mata. Ianya merupakan tanggungjawab semua pihak --
majikan, pekerja, kesatuan sekerja, institusi-institusi
latihan, sekolah dan juga ibu bapa. Adalah mendukacitakan
bahawa masih ada pihak yang kerap beranggapan bahawa
pembangunan dan latihan kemahiran adalah tanggungjawab
Kerajaan. Bagaimanapun saya gembira bahawa penubuhan PSDC
ini menunjukkan bahawa sudah wujud kesedaran bahawa
tanggungjawab ini seharusnya dikongsi bersama di antara
Kerajaan dengan pihak-pihak lain.
6. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun
adalah penting para pekerja kita sentiasa memperbaiki
kemahiran dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran
baru. Para pekerja harus sedar bahawa hanya melalui
peningkatan kemahiran sahaja baharulah produktiviti dapat
ditingkatkan lagi dan dengan itu pendapatan mereka. Pekerja
yang mahir juga boleh membantu meningkatkan dayasaing
barangan keluaran eksport negara. Dengan memiliki
berbagai-bagai kemahiran, para pekerja juga akan lebih mudah
membuat penyesuaian dan perubahan-perubahan yang perlu yang
dibawa oleh teknologi baru.
7. Memandangkan pembangunan tenaga kerja adalah penting,
Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira 13 peratus daripada
belanjawan pembangunan Rancangan Malaysia Keenam untuk
pendidikan dan latihan. Bagi sebuah negara membangun jumlah
ini adalah besar. Kerajaan akan terus memberi perhatian
berat terhadap pembangunan tenaga kerja di masa-masa akan
datang kerana tenaga kerja yang terlatih dan mahir adalah
antara aset penting negara.
8. Penubuhan PSDC merupakan satu langkah yang tepat.
Ekonomi negara kini berkembang pesat dan pertumbuhan yang
menggalakkan ini dijangka akan terus berlaku di tahun-tahun
akan datang. Dalam keadaan ini peluang kerja bagi mereka
yang mahir adalah banyak, terutama di sektor perkilangan.
Oleh itu PSDC sudah tentu dapat memainkan peranan yang
penting membantu negara memenuhi keperluan pekerja-pekerja
yang terlatih dan berkemahiran.
9. Saya difahamkan bahawa PSDC akan melancarkan Tabung
Biasiswanya dengan tujuan untuk menggalakkan para penuntut
mengambil 'engineering' sebagai karier mereka. Pelancaran
tabung ini adalah satu langkah yang baik dan diharapkan
ianya akan mendapat sokongan orang ramai.
10. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada semua pihak yang terlibat yang telah
menjayakan penubuhan PSDC ini. Adalah diharapkan PSDC dapat
dijadikan satu 'model' yang boleh dicontohi oleh
negeri-negeri lain, terutama yang sedang mengalami proses
perindustrian yang pesat.
11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan Penang Skills Development Centre ini.
|