Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOTA KINABALU, SABAH
Tarikh/Date : 23/07/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PROJEK SUTERA
HARBOUR RESORT SDN. BHD.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Sutera Harbour Resort Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk
merasmikan pelancaran Projek Sutera Harbour Resort. Tahniah
diucapkan kepada pemaju projek peranginan ini kerana usaha
seperti ini sudah tentu akan membantu meningkatkan lagi daya
tarikan Sabah sebagai pusat pelancongan.
2. Sabah berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia,
mempunyai kadar pembangunan pelancongan yang agak rendah.
Justeru itu, usaha-usaha yang lebih pesat hendaklah
dijalankan bagi memajukan lagi sektor pelancongan di negeri
Sabah. Sesungguhnya Sabah mempunyai banyak potensi sebagai
pusat pelancongan. Oleh itu usaha-usaha harus dijalankan
bagi membangunkannya secara terancang. Kita dapati bahawa
di samping Peranginan Sutera Harbour ini terdapat juga
kawasan-kawasan lain yang boleh dimajukan sebagai pusat
peranginan yang dapat menarik minat lebih ramai lagi
pelancong ke negeri Sabah.
3. Saya percaya bahawa pemaju Sutera Harbour Resort
mengambil langkah yang bijak kerana memilih Kota Kinabalu
sebagai lokasi projeknya. Ini memandangkan lapangan terbang
di Kota Kinabalu adalah antara lapangan terbang yang paling
sibuk dan juga pelabuhannya adalah setanding dengan
Pelabuhan Kelang dan Pulau Pinang daripada segi kemasukan
kapal-kapal. Jarak yang dekat dengan Singapura juga membuat
Sabah sebagai pasaran yang luas. Sungguhpun Singapura
adalah lebih popular bagi pelancong- pelancong, tetapi
penerbangan dari Kota Kinabalu ke Semenanjung hanyalah dua
jam sahaja.
4. Kawasan pantai di Asia Tenggara termasuk di Sabah
merupakan antara yang paling cantik di dunia. Terdapat
banyak sumber yang menarik di kawasan ini. Ianya
mengandungi 30 peratus daripada terumbu karang di dunia, 25
peratus daripadanya adalah bakau dan 10 peratus daripada
keluaran ikan. Di samping itu ia juga kaya dengan
sumber-sumber asli yang dapat memberi peluang-peluang
pekerjaan kepada penduduk di kawasan ini.
5. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa telah timbul beberapa
kepincangan di antara berbagai-bagai sektor terhadap cara
yang paling optima bagi membangunkan sumber-sumber pantai
ini. Salah satu daripadanya ialah industri pelancongan.
Tempat-tempat semula jadi saperti pantai pasir, pulau-pulau
karang dan terumbu adalah antara yang paling asas yang dapat
menarik para pelancong. Dengan itu adalah lebih sesuai
kawasan ini dibangunkan sebagai kawasan peranginan.
6. Dalam hal ini Kerajaan dan sektor swasta perlu
bekerjasama dalam mengenalpasti kawasan mana yang boleh dan
harus dibangunkan sebagai pusat pelancongan.
7. Pihak Kerajaan sentiasa bersedia memberi kerjasama
kepada pihak swasta dalam pembangunan ekonomi negara. Di
samping menyediakan suasana pelaburan yang menarik, Kerajaan
akan menentukan bahawa infrastruktur yang cukup disediakan
bagi membantu pihak swasta.
8. Satu perkara yang harus kita beri perhatian ialah
kapasiti pelaksanaan kawasan tersebut, sama ada hutan bakau
atau pantai pesisiran. Pada asasnya, kita harus pastikan
supaya pembangunan yang diusahakan mengambilkira kepentingan
alam sekitar. Sumber- sumber alam semula jadi harus
dibangunkan dengan bijak supaya ianya merupakan satu daya
tarikan kepada pelancong-pelancong asing dan pencinta alam.
9. Saya percaya bahawa dengan pengurusan pembangunan yang
mampat dan jitu, di samping kerjasama semua pihak kita akan
berjaya membangunkan Sabah sebagai pusat peranginan yang
popular di rantau ini. Pendekatan yang rapi dan bijak akan
membolehkan pembangunan pelancongan dijalankan tanpa
memusnahkan budaya kita tetapi sebaliknya akan memanfaatkan
negara dan penduduk tempatan.
10. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Projek Sutera Harbour Resort Sdn. Bhd.
|