Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 26/07/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN SE-ABAD
PERKHIDMATAN VETERINAR DAN
INDUSTRI HAIWAN
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya bersama tuan-tuan
dan puan-puan pada hari ini. Saya juga mengucapkan terima
kasih kerana dijemput untuk melancarkan Perayaan Se-abad
Perkhidmatan Veterinar dan Industri Haiwan dan seterusnya
merasmikan International Animal Industry and Agriculture
Expo (Intagro '94).
2. Saya difahamkan bahawa perkhidmatan veterinar Kerajaan
di negara ini telah wujud semenjak tahun 1888. Pengalaman
yang dilalui oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dalam tempoh
se-abad lalu boleh dijadikan teladan dan pedoman.
3. Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang ada pada hari ini
sangat jauh berbeza dari masa penubuhannya. Saya yakin
jabatan ini akan terus melaksanakan dasar-dasar yang selari
dengan perubahan dalam masyarakat, daripada segi
perkembangan pengetahuan dan teknologi berkaitan dengan
pertanian. Personaliti akan bertukar ganti, namun wawasan,
harapan dan cita-cita Jabatan hendaklah diteruskan oleh
generasi berikutnya.
4. Sains perubatan veterinar mula dipakai di negara kita
ini hanya seratus tahun lalu. Dalam tempoh tersebutlah kita
mula melihat perubahan sistem ternakan tradisional bertukar
menjadi bidang usaha komersil. Nilai pengeluaran hasil
ternakan pada tahun 1993, telah pun melebihi daripada tiga
billion ringgit dan nilai eksportnya pula melebihi 500 juta
ringgit.
5. Daging ayam yang menjadi makanan asas rakyat Malaysia
sekarang tidak mungkin berjaya tanpa penerimaan teknologi
baru. Dua faktor penting yang menjadi asas kemajuan
industri ternakan ayam di negara ini ialah kawalan penyakit
dan penggunaan baka bermutu. Pada zaman dahulu ternakan
ayam kita sering dilanda oleh wabak sampar atau `Newcastle
Disease'. Vaksin untuk penyakit ini telah dikeluarkan oleh
Jabatan Perkhidmatan Haiwan pada tahun 1947. Dengan
penggunaan vaksin yang meluas, usaha ternakan ayam telah
dapat dijalankan dengan secara lebih intensif dan lebih
cekap. Jika dahulu daging ayam menjadi makanan orang yang
berada sahaja, hari ini ia dapat dinikmati oleh semua
lapisan rakyat.
6. Mungkin ramai orang yang tidak sedar bahawa penyakit
`Newcastle' ini mula sekali dikesan pada tahun 1926 di Jawa
dan seterusnya menular ke negara ini dan ke seluruh dunia.
Tetapi oleh kerana pada ketika itu masyarakat kita masih
menggunakan khidmat bomoh dan pawang, maka penyakit ini
terus merebak sehinggalah ia tercetus di Newcastle-upon-Tyne
England di mana ia mendapat nama rasminya. Setelah dikaji
dengan cara yang lebih saintifik di sana, barulah kaedah
kawalannya ditemui.
7. Perkara kedua yang mempengaruhi ternakan ayam ialah
penggunaan baka yang baik. Mungkin juga ramai yang tidak
sedar bahawa baka ayam yang terdapat di dunia sekarang
berasal daripada ayam hutan negara kita. Tetapi hasil
daripada usaha membiak baik baka ayam oleh para ahli
genetik, mereka telah menghasilkan baka ayam bermutu seperti
yang ada sekarang ini.
8. Kalau sejarah penyakit `Newcastle' ingin kita jadikan
contoh, sewajarnya pada masa ia mula menular ke negara ini,
kitalah yang patut menjadi pemberi nama dan pencipta
vaksinnya. Kalau sejarah baka ayam pula dapat diubah
kitalah sewajarnya menjadi pengeluar baka ayam yang terbaik
di dunia pada hari ini.
9. Jadi untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah negara
maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar dan pencipta
teknologi. Kita tidak boleh terus menerus kekal
sebagai pengguna teknologi orang lain sahaja. Saintis
kita perlulah lebih agresif dalam penyelidikan mereka. Kita
perlulah berani menerokai bidang-bidang baru dengan
pendekatan yang lebih saintifik dan logik.
10. Andaian-andaian lama yang kita pakai selama ini perlu
dirombak dan dilihat dari sudut yang lain pula. Tiada
sempadan yang dapat menghalang pemikiran yang berani dan
kreatif. Daya saing kita, daya tahan kita dan kedudukan
kita di dunia sejagat terletak kepada kemampuan kita
berfikir dengan lebih kreatif.
11. Mereka yang terlibat dalam pendidikan dan khususnya
dalam bidang Perubatan Veterinar dan Sains Penternakan
hendaklah mendahului perkembangan dan bukan sekadar menjadi
pengikut kemajuan. Tenaga mahir yang kita latih bukan lagi
untuk abad kedua puluh tetapi untuk persaingan dalam abad
kedua puluh satu.
12. Kerajaan memang kagum dengan pertumbuhan yang dicapai
oleh industri haiwan di negara ini. Pengeluaran daging
ayam, telur dan khinzir telah mencukupi malahan berupaya
untuk dieksport. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa
khidmat bakti serta pengorbanan daripada tuan-tuan dan
puan-puan.
13. Majlis Veterinar Malaysia mendaftarkan sejumlah 741
veterinarwan. Pengamal profesion ini dalam sektor awam atau
swasta telah banyak berkorban dan menyumbang kepada
pembangunan negara. Sejarah telah membuktikan bahawa ahli
profesion ini merupakan satu kumpulan yang dinamik dan
kreatif. Mungkin ramai yang tidak sedar kerana kreativiti
seorang veterinarwan bernama J.B. Dunlop yang mencipta tayar
getah, telah membawa manfaat yang besar kepada para pekebun
getah di negara kita. Harapan kita ialah tradisi ini akan
dikekalkan dalam persediaan negara untuk mencapai Wawasan
2020.
14. Penduduk negara kita akan bertambah ramai. Peranan
penternak sebagai pembekal makanan asas akan menjadi lebih
penting. Sebaliknya jumlah penternak akan berkurangan
sepanjang masa. Masanya sudah lama tiba untuk kita
menjadikan ternakan binatang selain daripada ayam dan
khinzir, sebagai industri yang bercorak komersil. Ternakan
secara sambilan dan kecilan sudah tidak sesuai lagi dan
tidak akan dapat menjamin bekalan bagi rakyat yang kian
bertambah.
15. Penternak yang mengamalkan cara lama pasti akan
ketinggalan. Mereka tidak akan dapat bersaing dalam pasaran
terbuka. Perjanjian GATT yang baru kita meterai akan
membawa implikasi besar kepada penternak. Sempadan negara
bukan lagi boleh dijadikan benteng untuk melindungi industri
yang tidak efisien. Daya saing merupakan senjata yang
paling sesuai dalam pasaran yang lebih terbuka. Ini juga
bermakna penternak perlulah berani menerima teknologi baru
dan membuat pelaburan yang lebih besar.
16. Bagi anggota Jabatan Perkhidmatan Haiwan, tuan-tuan dan
puan-puan hendaklah ingat bahawa peranan tuan-tuan dan
puan-puan akan terus berubah. Perkhidmatan yang berbentuk
reaktif sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan. Abad kedua
perkhidmatan tuan- tuan dan puan-puan pasti akan lebih
mencabar lagi. Perubahan yang berlaku pada masa sekarang
adalah jauh lebih pantas daripada yang dialami oleh generasi
lalu. Tuan-tuan perlu menjadi lebih proaktif dengan
menggunakan teknologi terkini.
17. Masyarakat mengharapkan agar jabatan ini memastikan
bekalan makanan daripada hasil ternakan sentiasa mencukupi.
Bekalan mungkin datang daripada pengeluaran tempatan atau
pun diimpot tetapi ia hendaklah dijamin sebagai bersih, suci
dan selamat untuk dimakan.
18. Mengambil kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan
ucapan terima kasih kerajaan kepada anggota Jabatan
Perkhidmatan Haiwan, agensi-agensi kerajaan berkaitan, para
penternak, semua NGO yang bergerak aktif dalam sektor ini
dan semua pihak yang terlibat dalam industri haiwan di atas
khidmat bakti mereka kepada negara. Tanpa sumbangan
tuan-tuan dan puan-puan sekalian kepada industri ini,
masyarakat yang kita bina selama ini tidak akan dapat
berfungsi dengan baik.
19. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Perayaan Se-abad Perkhidmatan Veterinar dan
Industri Haiwan.
|