Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 30/07/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
PERWAKILAN KE-23 PARTI GERAKAN
RAKYAT MALAYSIA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti
Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, serta ahli-ahli
Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk
merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gerakan yang ke-23 pada
hari ini. Kesempatan untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin
dan ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional adalah
sesuatu yang saya hargai. Oleh itu, saya cuba sedaya upaya
untuk tidak menghampakan sebarang jemputan untuk merasmikan
mana-mana juga persidangan perwakilan parti- parti komponen
Barisan Nasional.
2. Saya gembira bahawa kerjasama di antara Gerakan dengan
parti-parti Komponen Barisan Nasional yang lain adalah
sangat rapat. Kerjasama rapat ini telah meningkatkan
perpaduan di kalangan parti-parti Komponen Barisan Nasional.
Saya juga berasa gembira bahawa seperti parti-parti komponen
Barisan Nasional yang lain, Gerakan di bawah pimpinan Datuk
Seri Dr. Lim Keng Yaik yang dinamis, juga telah menjadi
bertambah kukuh. Ini telah turut menyumbang menjadikan
Barisan Nasional pada hari ini sebuah parti yang lebih kuat,
berwibawa dan dihormati. Bahawa Barisan Nasional kini lebih
kuat, berwibawa dan dihormati adalah kerana usaha gigih dan
kerja kuat oleh para pemimpin dan ahli-ahli parti-parti
komponen Barisan Nasional. Ini telah membolehkan Barisan
Nasional terus berkembang sebagai sebuah parti yang terbesar
dan paling berpengaruh di negara ini.
3. Antara keunikan dan kelebihan Barisan Nasional ialah
kemampuannya untuk terus bertahan begitu lama walaupun
Barisan Nasional terdiri daripada banyak parti dengan para
pemimpin dan ahli-ahlinya terdiri daripada berbagai-bagai
kaum dan agama. Semenjak daripada `The Alliance' atau
Perikatan yang merupakan `forerunner' kepada Barisan
Nasional, kita telah berjaya memenangi pilihanraya umum
berturut-turut dan dengan itu membentuk Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan-Kerajaan Negeri kecuali di Kelantan dan Sabah.
Bagaimanapun kita telah kembali memerintah Sabah. Ini
adalah satu rekod bagi mana-mana parti politik di dunia ini.
4. Bagi pemerhati luar, perkara ini adalah sesuatu yang
menghairankan mereka dan hampir tidak dipercayai. Mereka
sungguh hairan bagaimana parti-parti komponen dalam Barisan
Nasional boleh hidup bersatu padu dan berharmoni sebegitu
lama sedangkan parti-parti tersebut mewakili berbagai-bagai
kaum dan kepentingan. Mereka hairan bagaimana
pemimpin-pemimpin parti- parti komponen ini tidak
bersengketa dan berselisih faham. Mereka beranggapan adalah
mustahil bagi mana-mana pertubuhan politik yang mewakili
berbagai-bagai kaum dan kepentingan untuk bersatu hati dan
bekerjasama rapat sebegitu lama. Mereka percaya dalam
tempoh yang singkat kita akan berpecah-belah. Bagaimanapun,
sangkaan mereka ini jelas salah dan Barisan Nasional
sehingga hari ini tetap padu dan kukuh. Dan setiap kali
pilihanraya umum diadakan Barisan Nasional tetap dipilih
semula oleh rakyat untuk memerintah negara.
5. Kita tidak mempunyai formula khas bagi kejayaan Barisan
Nasional. Kejayaan Barisan Nasional ialah kerana wujud
persefahaman, sikap tolak ansur dan kompromi serta semangat
toleransi di kalangan para pemimpin dan ahli-ahlinya. Ini
tidak bermakna tidak ada perselisihan faham dan pendapat
langsung di kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.
Sebarang perselisihan kita bincang bersama dengan rasional
seperti dalam satu keluarga. Kita tidak heboh-hebohkan
`masalah dalaman' kita untuk orang lain mengetahuinya.
Melalui sikap tolak ansur dan kompromi, Barisan Nasional
telah berjaya menyelesaikan kebanyakan masalah. Dengan
adanya sikap ini sebarang masalah yang timbul telah dapat
diatasi oleh Barisan Nasional.
6. Kesanggupan bertolak ansur dan berkompromi ini tidak
bermakna bahawa ada pihak yang menang dan ada yang kalah.
Dalam kita bertolak ansur dan berkompromi tidak ada pihak
yang menang dan kalah. Kita bertolak ansur dan berkompromi
demi kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.
Kepentingan negara dan rakyat sentiasa diambil kira dan
mengatasi segala kepentingan sempit yang lain. Inilah
prinsip yang dipegang oleh Barisan Nasional dan akan terus
diamalkan. Itulah antara sebab Barisan Nasional sentiasa
mendapat sokongan rakyat untuk membentuk Kerajaan.
7. Justeru itu, adalah diharapkan sikap toleransi dan
tolak ansur serta persefahaman yang wujud dikalangan para
pemimpin dan ahli-ahli Barisan Nasional akan terus
dikekalkan.
8. Sebenarnya ada banyak faedah yang boleh diperolehi
dengan rakyat memilih Barisan Nasional untuk membentuk
Kerajaan setiap kali pilihanraya umum diadakan. Di samping
menjamin kestabilan politik, ia juga akan menentukan
dasar-dasar Kerajaan yang konsisten. Oleh kerana ada
kestabilan politik dan dasar-dasar yang konsisten, para
pelabur asing tertarik untuk melabur di Malaysia.
Dasar-dasar kita yang konsisten telah membolehkan para
pelabur membuat perancangan jangka panjang dan tidak perlu
risau dengan pertukaran dasar oleh kerana pertukaran
kerajaan baru. Tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan
Malaysia ke tahap sekarang dalam semua bidang, termasuk
ekonomi, adalah antaranya kerana kita mempunyai Kerajaan
yang sama memerintah negara ini sejak merdeka.
9. Bayangkanlah apa yang akan berlaku jika tidak ada
`stability' dalam Kerajaan kerana pertukaran kerajaan setiap
kali pilihanraya umum diadakan. Bukan sahaja dasar-dasar
kerajaan ditukar separuh jalan, bahkan politik negara juga
mungkin tidak stabil. Ini dapat kita lihat di beberapa buah
negara, di mana Kerajaan dan dasar-dasarnya bertukar setiap
kali pilihanraya diadakan.
10. Dengan rakyat memilih Barisan Nasional untuk membentuk
Kerajaan setiap kali pilihanraya umum diadakan, tidak
bermakna bahawa Malaysia kurang demokratik. Kita adalah
demokratik sepertimana juga negara-negara demokrasi yang
lain. Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik kerana
rakyat mempunyai pilihan untuk menggantikan kerajaan yang
mereka tidak suka. Jika rakyat memilih parti yang sama
untuk membentuk Kerajaan, ini juga adalah hak demokratik
mereka.
11. Kejayaan Barisan Nasional telah mendapat perhatian
beberapa buah negara asing yang mempunyai penduduk berbilang
kaum pada akhir-akhir ini. Mereka tertarik hati dengan
bentuk parti campuran Barisan Nasional yang kita amalkan dan
ingin mempelajari dan mencontohinya.
12. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan pencapaian
negara pada hari ini. Di samping mempunyai kestabilan
politik, Malaysia juga berjaya dalam bidang ekonomi.
Daripada sebuah negara pengeksport bahan mentah, Malaysia
kini telah menjadi sebuah negara di mana 71 peratus
daripada eksportnya adalah hasil keluaran perkilangan.
Ramai yang mengecam Kerajaan dahulu apabila kita memasuki
industri berat. Ramai termasuk rakyat Malaysia sendiri pada
mulanya tidak percaya bahawa Malaysia boleh berjaya menjadi
sebuah negara pengeluar kereta. Pada hari ini ternyata
kita telah berjaya dalam banyak bidang kegiatan ekonomi.
Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha bersungguh-sungguh
rakyat bersama kepimpinan-kepimpinan parti-parti Barisan
Nasional.
13. Tanpa `good leadership' ini, Malaysia sudah pasti tidak
akan berjaya mencapai tahap ekonomi sekarang. Dengan
ekonomi yang baik peruntukan yang besar dapat diberi untuk
projek dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat. Dengan
itu taraf hidup rakyat Malaysia sekarang adalah tinggi.
14. Di sesetengah negara yang kaya dengan sumber-sumber
semula jadi kita kerap mendengar atau membaca
laporan-laporan bahawa ramai rakyatnya yang masih hidup
menderita. Ini ialah kerana para pemimpinnya tidak jujur
dan tidak mementingkan nasib rakyat mereka.
Pemimpin-pemimpin negara-negara ini lebih mementingkan diri
sendiri. Kekayaan negara tidak dibelanjakan untuk faedah
rakyat tetapi untuk kepentingan para pemimpin dan penyokong-
penyokong mereka.
15. Kini Malaysia ingin maju ke hadapan lagi. Sebab itu
kita telah menetapkan matlamat untuk menjadi sebuah negara
maju menjelang tahun 2020. Untuk mencapai cita-cita ini
kita ingin menceburi bidang-bidang baru seperti
`aeronautical', telekomunikasi setelit dan barangan
komposit.
16. Bagaimanapun, ada pihak-pihak yang kurang yakin bahawa
Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju. Saya juga kerap
ditanya oleh para wartawan asing yang menemubual saya
mengenai sama ada kita boleh mencapai Wawasan 2020.
17. Saya mempunyai keyakinan bahawa Malaysia boleh berjaya
menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Untuk
berjaya kita mesti mempunyai keyakinan terhadap diri
sendiri. Di samping itu, rakyat Malaysia juga hendaklah
berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai segala ilmu dan
kecekapan dan bekerja dengan lebih kuat jika kita mahu
menjadi sebuah negara maju.
18. Tidak ada sebab kita tidak boleh mencapai taraf negara
maju seperti yang dicapai oleh Britain, Perancis dan Jerman.
Jika Jepun sebuah negara Asia yang tidak mempunyai
sumber-sumber semula jadi boleh berjaya, mengapa kita tidak
boleh? Sebenarnya bagi sesetengah negara Barat, mereka
telah maju `to a certain extent' dengan bantuan
negara-negara koloni mereka. Ketika mereka menjajah dahulu
mereka bukan sahaja telah mengambil hasil kekayaan
negara-negara jajahan mereka, bahkan juga menjadikan negara
jajahan mereka sebagai pasaran terkawal untuk barangan
keluaran industri mereka. Dengan itu negara mereka telah
dapat dimajukan.
19. Kita percaya kita boleh mencapai taraf negara maju
tanpa menjajah mana-mana negara. Yang penting seperti yang
dinyatakan tadi ialah kita mesti bekerja kuat, berusaha
dengan gigih dan yakin terhadap kebolehan dan keupayaan
kita. Kita tidak boleh `complacent' dengan kejayaan yang
dicapai setakat ini. Kita juga tidak mempunyai masa yang
panjang. Kita mempunyai hanya kira- kira 26 tahun sahaja
lagi untuk mencapai cita-cita kita menjadi sebuah negara
maju.
20. Jika kadangkala kita ternampak terlalu `pushy' dan
`impatient', sebabnya ialah kerana kita ingin maju dengan
lebih pantas dari negara-negara yang telah mencapai tahap
negara maju sekarang. Lagipun negara yang kita kejar tidak
berdiam diri. Mereka juga sedang mara ke hadapan. Hanya
kita boleh lebih pantas kerana kita tidak perlu cipta
alat-alat yang diperlukan. Semua ini sudah ada.
21. Adalah diharapkan rakyat akan bersama-sama Kerajaan
Barisan Nasional dalam usaha mencapai taraf negara maju.
Matlamat negara maju yang ditetapkan oleh Kerajaan dan
kepimpinan Barisan Nasional bukanlah untuk faedah
pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Ianya adalah untuk
faedah negara dan rakyat keseluruhannya. Rakyat harus sedar
bahawa selama ini apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan
Barisan Nasional adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.
22. Kita mempunyai tempoh hingga Oktober tahun depan untuk
mengadakan pilihanraya umum. Walaupun saya belum memikirkan
bila untuk mengadakan pilihanraya umum, Barisan Nasional
sentiasa bersedia untuk menghadapinya pada bila-bila masa.
23. Parti-parti lawan sedar bahawa mereka tidak mempunyai
isu- isu penting untuk dieksploitasikan pada pilihanraya
umum kali ini. Namun demikian ini tidak bermakna mereka
tidak akan mencipta isu. Jika kita pegang kepada prinsip
tolong-menolong dalam Barisan Nasional kita akan dapat
menangkis segala dakwaan palsu mereka. Saya percaya
cita-cita mereka adalah semata-mata angan-angan Mat Jenin -
kata orang Melayu.
24. Hanya Barisan Nasional yang mempunyai keupayaan dan
kemampuan untuk menjamin kestabilan, kemajuan dan kemakmuran
negara ini. Oleh itu, marilah kita semua yang menganggotai
Barisan Nasional meyakinkan rakyat bahawa hanya Barisan
Nasional sahaja yang dapat menentukan masa depan yang lebih
cerah bagi anak-cucu kita.
25. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat
Agong Tahunan Parti Gerakan Yang Ke-23. Saya ucapkan
selamat bersidang.
|