Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RAWANG, SELANGOR
Tarikh/Date : 01/08/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KILANG
KERETA PERODUA
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. kerana menjemput saya
untuk merasmikan pembukaan kilang kereta PERODUA pada hari
ini.
2. Saya difahamkan kayu cerucuk pertama yang ditanam bagi
pembinaan kilang ini dilakukan pada bulan Mac 1993 dan
siapnya kilang ini dalam tempoh satu tahun mencerminkan
semangat kerjasama yang jitu di antara rakan kongsi Malaysia
dengan Jepun serta kesanggupan mereka untuk bertolak ansur
bagi kebaikan semua.
3. Kira-kira 12 tahun yang lalu Kerajaan telah mengumumkan
konsep kereta nasional sebagai salah satu usaha ke arah
proses industrialisasi negara. Sungguhpun industri
pemasangan kereta telah 15 tahun beroperasi sehingga ketika
itu, namun industri tersebut masih tidak mampu menyediakan
sebarang `impetus' kepada perkembangan industri komponen
sepertimana yang diharapkan oleh Kerajaan. Ditinjau kembali
ini mungkin kerana pemilik kilang pemasangan kereta yang
biasanya juga pemegang francais, menganggap pemasangan
kenderaan dan `procurement' alat ganti daripada pasaran
tempatan adalah satu `unnecessary evil' bagi penjualan
kenderaan tersebut. Pengeluar kereta, kebanyakannya dari
Jepun juga keberatan untuk membenarkan alat-alat ganti
mereka ditukar dengan alat-alat ganti buatan Malaysia. Oleh
itu, aspirasi Kerajaan untuk mengindustrialisasikan industri
motor negara menghadapi beberapa masalah. Kita sedar bahawa
wujud ramai `skeptics' pada masa itu, baik di dalam mahupun
di luar negara. Bagaimanapun, kini Proton mampu mencapai
kejayaan yang membanggakan daripada segi komersil. Yang
lebih penting, ia berjaya sebagai satu `impetus' untuk
membantu industri komponen otomobil Malaysia berkembang
seperti yang diharapkan sekarang. Malaysia kini mampu
mengeluarkan lebih 80 peratus komponen kenderaan bermotor.
4. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada pihak pengurusan dan pemegang saham PERODUA
kerana berjaya mempercepatkan projek ini sehingga ke tahap
ini. Saya berharap semoga mereka yang terlibat dalam
industri otomobil akan meningkatkan penggunaan barangan
tempatan dan mengeksport kenderaan tersebut atau alat
gantinya secepat mungkin. Peningkatan penggunaan bahan
tempatan akan meningkatkan keupayaan dalam bidang
kejuruteraan kereta dan menentukan wang kita tidak mengalir
keluar.
5. Dalam usaha kita menempuh era baru, PERODUA dijangka
menjadi sebahagian wawasan negara bagi mencapai industri
otomobil negara yang bermutu, di mana syarikat Malaysia akan
merekacipta, membangun dan mengeluarkan otomobil untuk
pasaran dalam dan luar negara. Kita sebenarnya masih jauh
daripada mencapai objektif ini. Sekalipun kita boleh
menghasilkan komponen untuk membuat kenderaan itu sendiri,
kita masih di tahap awal dalam mencipta dan membangunkannya
sendiri. Oleh itu, pencapaian kemampuan tersebut mestilah
menjadi objektif kita supaya kita menguasai industri motor
sepenuhnya.
6. Kerajaan berharap PERODUA akan dapat menjadi salah
sebuah syarikat yang mampu merekacipta, membangun dan
menghasilkan otomobil Malaysia yang tulen. Oleh itu PERODUA
harus mempunyai program-program untuk mencapai tahap
tersebut. PERODUA tidak sepatutnya melihat kepada satu
sumber sahaja bagi pemindahan teknologi, tetapi juga
tempat-tempat lain di dunia yang sesuai. Kerajaan sentiasa
akan menyokong usaha-usaha ini tetapi inisiatif mestilah
datang dari PERODUA sendiri.
7. Kemampuan ini mestilah merangkumi keupayaan dalam
kejuruteraan pengeluaran dan rekacipta serta pembangunan.
Di samping itu adalah penting mereka yang terlibat mencari
rakan kongsi yang bersedia memberikan teknologi dan
kecekapan yang diperlukan. Pemindahan teknologi akan hanya
tercapai dan bermakna apabila Malaysia boleh mencipta dan
mengeluarkan keretanya sendiri dengan sepenuhnya. Dalam hal
ini, segala usaha hendaklah dibuat untuk mempelbagaikan
sumber kepakaran teknikal dan latihan untuk mencapai
pertumbuhan yang berterusan bagi industri ini.
8. Bagi menghadapi cabaran dalam industri yang sungguh
mencabar ini, industri otomobil Malaysia mestilah komited
dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membolehkannya
bersaing dalam pasaran antarabangsa. Dengan perancangan
yang rapi dan komitmen yang tinggi PERODUA boleh mencapai
matlamatnya.
9. Saya yakin PERODUA akan terus berusaha menerokai bidang
ini tanpa banyak bergantung kepada bantuan luar. Kilang
PERODUA ini merupakan satu lagi simbol negara ke arah
kecemerlangan dalam pengeluaran otomobil dan proses
industrialisasi.
10. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan kilang kereta PERODUA ini.
|