Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/08/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN
KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
KEBANGSAAN 1994
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber
Manusia kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran
Kempen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 1994
pada hari ini.
2. Seperti yang diketahui para pekerja adalah antara aset
penting negara dan menjadi tulang belakang proses
pembangunan. Pembangunan ekonomi dan sosial tidak akan
tercapai tanpa sumbangan daripada para pekerja. Justeru
itu, usaha-usaha sentiasa dijalankan bagi memastikan
keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja tidak terjejas.
Pekerja yang tidak sihat tidak dapat menyumbang kepada
produktiviti dirinya atau perusahaannya atau negaranya.
3. Keprihatinan dan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan
tahap keselamatan dan kesihatan pekerja dapat dilihat dengan
penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Kilang dan Jentera
1967. Di samping itu di bawah Rancangan Malaysia Keenam,
Kerajaan telah memberi penekanan yang khusus untuk
meningkatkan tahap kesihatan pekerjaan. Kerajaan juga telah
bersetuju untuk menubuhkan Institut Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan Negara yang akan menjalankan kajian,
penyelidikan dan memberi latihan kepada pekerja-pekerja di
dalam bidang keselamatan dan kesihatan mereka.
4. Usaha-usaha untuk menanamkan kesedaran tentang betapa
pentingnya aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan
perlulah bermula pada peringkat awal lagi. Ini bermakna ibu
bapa haruslah memberikan kesedaran tentang keselamatan dan
kesihatan kepada anak-anak mereka. Kesedaran ini juga perlu
diberikan di kalangan kanak-kanak di peringkat persekolahan
dan pelajar- pelajar di institusi-institusi pengajian
tinggi. Langkah-langkah yang sesuai harus diambil supaya
aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat dilatih
secara formal atau tidak formal di peringkat sekolah dan
institusi pengajian tinggi.
5. Di samping kesedaran ini, pihak majikan harus beringat
bahawa jika kemalangan berlaku mereka akan mengalami
kerugian disebabkan produktiviti mereka terjejas dan kos-kos
lain. Kerajaan juga terpaksa membiayai kos sampingan
walaupun majikan mencarum kepada PERKESO untuk rawatan dan
lain-lain. Kerugian mana-mana perusahaan atau perniagaan
akan mengurangkan pendapatan Kerajaan. Pekerja itu sendiri
sudah tentu akan menghadapi kesengsaraan, sementara
keluarganya akan hilang tempat bergantung. Kos-kos langsung
dan tidak langsung ini akan menurunkan kadar produktiviti
dan seterusnya menjadikan barangan kita lebih mahal dan oleh
itu daya saing kita di pasaran antarabangsa akan terjejas.
6. Selain daripada kos, kualiti juga akan terjejas jika
tempat kerja itu bermasalah, khususnya tidak mempunyai
ciri-ciri keselamatan dan kesihatan. Tenaga kerja mahir
yang mengalami kecederaan dan penyakit pekerjaan sudah tentu
tidak akan berupaya untuk menghasilkan produk yang
berkualiti. Pengambilan pekerja-pekerja baru akan
memerlukan perbelanjaan tambahan bagi melatih
pekerja-pekerja tersebut supaya mahir. Tempat kerja yang
teratur, kemas, dan mempunyai ciri-ciri keselamatan dan
kesihatan yang baik akan membolehkan pekerja-pekerja
berkerja dengan cekap dan selesa dan seterusnya meninggikan
produktiviti mereka.
7. Dalam keghairahan kita menarik pelabur-pelabur asing,
kita tidak seharusnya lupa kepada ciri-ciri keselamatan dan
kesihatan pekerja. Kita perlu pastikan bahawa kesemua
peralatan, bahan dan teknologi yang dibawa masuk adalah
selamat digunakan dan yang diiktiraf oleh masyarakat
antarabangsa. Di sini sukalah saya menyeru pelabur-pelabur
asing agar setiap pemindahan teknologi yang dijalankan di
negara ini harus disertai dengan ciri-ciri keselamatan dan
kesihatan.
8. Adalah mengecewakan bahawa dalam usaha kita
meningkatkan taraf keselamatan dan kesihatan di tempat
kerja, isu-isu berkaitan dengan piawaian perburuhan telah
dibangkitkan oleh negara-negara maju. Mereka mengaitkan
`social clause' di dalam piawaian perburuhan ini dengan
perdagangan antarabangsa. Negara-negara tersebut cuba
memaksa negara-negara membangun patuh kepada `social clause'
ciptaan mereka. Bukanlah niat kita untuk mengeksploitasi
pekerja tetapi hakikatnya ialah `social clause' mereka hanya
akan menambah kos pengeluaran tanpa membawa manfaat yang
lebih kepada pekerja. Jika kos kita meningkat maka barangan
kita tidak akan dapat bersaing dengan jayanya dengan
barangan mereka. Akhirnya industri kita tidak akan
berkembang dan peluang kerja tidak akan bertambah. Jauh
daripada mendapat kebaikan, pekerja kita akan menganggur.
Bagi pekerja yang menganggur segala keistimewaan `social
clause' tidak akan dirasai sama sekali. Sebaliknya apabila
barangan kita tidak lagi ada di pasaran, barangan negara
maju akan berlimpah-limpah seperti dahulu dan penganggur
mereka akan dapat bekerja dengan upahan dan kemudahan sosial
yang bertambah. Inilah hasrat mereka yang sebenar.
9. Malaysia sekarang menjadi syurga bagi pekerja. Sebab
itu lebih daripada satu juta rakyat asing datang untuk
bekerja di sini. Walau bagaimana susah sekalipun perjalanan
dan layanan terhadap mereka, mereka datang juga. Jika tidak
kerana Malaysia mempunyai peluang pekerjaan yang lebih baik,
mereka tidak akan bersusah payah datang ke sini. Bagi
pekerja di Malaysia pula, peluang kerja adalah begitu banyak
sehingga mereka boleh memilih kerja yang disukai oleh
mereka. Majikan pula terpaksa menawar upahan yang semakin
tinggi kerana berebut untuk mendapat pekerja yang tidak
ramai. Dalam keadaan ini pekerja yang untung. Keuntungan
ini didapati tanpa tindakan perusahaan, tanpa merosak
jentera pengeluaran atau mengurang daya pengeluaran.
10. Pekerja di Barat mendapat gaji yang lebih tinggi.
Tetapi kos sara hidup berkali ganda lebih tinggi daripada
kita sehingga upah yang tinggi ini tidak dapat membeli lebih
banyak barangan dan khidmat jika dibandingkan dengan negara
yang upahnya rendah dan sara hidupnya murah seperti
Malaysia. Dalam pada itu ramai yang menganggur dan
bergantung kepada bayaran `dole'. Ini bermakna bahawa
negara Barat tidak lebih baik dari Malaysia bagi para
pekerja. Lebih daripada itu di Malaysia kita mempunyai
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan PERKESO, yang membantu
pekerja apabila bersara atau cedera dan hilang upaya. Dan
sekarang kita menumpu pula kepada kesihatan dan keselamatan
pekerja. Sebenarnya tidak banyak negara membangun yang
mempunyai peruntukan-peruntukan seperti ini. Jika pun
Malaysia tidak menjadi syurga bagi pekerja,
sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada negara-negara
membangun yang lain dan juga beberapa negara maju. Sudah
tentu ia lebih baik daripada negara Komunis atau Sosialis
yang hari ini sudah menggugurkan ideologi mereka.
11. Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa keselamatan
dan kesihatan pekerjaan adalah elemen penting dalam
pembentukan masyarakat yang bermaruah dan prihatin. Dalam
usaha kita menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju,
masyarakat perlu dididik supaya peka dengan
kehendak-kehendak keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Keadaan tempat kerja yang selamat dan sihat akan
menggalakkan pekerja-pekerja meningkatkan pengeluaran dan
meninggikan kualiti kerja yang dihasilkan. Walaupun
kebanyakan daripada kita sedar akan peranan kesihatan dan
keselamatan, namun satu kempen untuk memperingati semua
pihak adalah penting. Ini adalah kerana kita mudah lupa
tentang pentingnya berhati-hati apabila kita rasa sihat dan
terselamat. Saya harap semua pihak akan menunjukkan minat
yang serius terhadap perkara ini.
12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Kempen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Kebangsaan 1994.
|