Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/08/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PERSATUAN AGEN-
AGEN INSURANS JAMINAN PENDAPATAN
HIDUP MELAYU MALAYSIA (JAMIN)
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan
Agen- Agen Insurans Jaminan Pendapatan Hidup Melayu Malaysia
(JAMIN) kerana menjemput saya untuk melancarkan JAMIN pada
hari ini. Saya berasa sukacita kerana dapat bersama
tuan-tuan dan puan-puan sekalian di majlis ini.
2. Tahun 1993 merupakan tahun keenam berturut-turut di
mana ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan yang amat
memberangsangkan. Kedudukan yang membanggakan ini telah
dicapai hasil kerjasama yang erat di antara Kerajaan dengan
sektor swasta dalam proses menghadapi cabaran dalam negeri
mahupun pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan ini,
industri insurans tempatan juga turut mencatatkan prestasi
perniagaan yang memberangsangkan semenjak beberapa tahun
kebelakangan ini. Pertumbuhan industri insurans yang
menggalakkan ini telah juga dapat diteruskan dalam tahun
1993 dengan kadar pertumbuhan dua angka selari dengan
pertumbuhan ekonomi negara. Dengan prospek ekonomi Malaysia
yang cerah dalam tahun 1994 dan tahun-tahun berikutnya,
insya-Allah, industri insurans tempatan adalah juga dijangka
mencatatkan pertumbuhan yang berterusan kukuh.
3. Walaupun kita boleh berbangga dengan pencapaian dan
prospek ini, namun secara keseluruhannya pencapaian industri
insurans didapati masih lagi pada tahap yang tidak memuaskan
jika dibandingkan dengan beberapa pasaran insurans luar
negeri yang lebih matang. Sungguhpun terdapat peningkatan
dalam petunjuk- petunjuk prestasi industri, namun masih
terdapat skop yang begitu luas sekali bagi pertumbuhan
lanjut yang berterusan dalam industri ini.
4. Kesedaran tentang insurans di kalangan rakyat negara
ini adalah masih lagi rendah. Ini ialah kerana bagi setiap
sebelas orang penduduk, hanya dua polisi insurans sahaja
berkuatkuasa. Keadaan ini menunjukkan bahawa skop industri
ini masih luas dan ianya hendaklah disahut sebagai satu
cabaran oleh industri insurans nyawa. Adalah menjadi
tanggungjawab mereka yang terlibat dalam industri ini
menentukan agar setiap rakyat di negara ini yang mampu
membiayai kos polisi insurans memperolehi perlindungan
sewajarnya. Ini adalah satu tanggungjawab sosial yang mesti
dipenuhi selaras dengan seruan Kerajaan bagi sektor korporat
yang penyayang atau `caring corporate sector'. Dalam proses
ini, industri insurans bukan sahaja perlu bersedia menampung
permintaan insurans yang semakin canggih dan kompleks malah
juga lebih bersifat proaktif dalam membuka pasaran baru
dengan cara memperkenalkan produk-produk baru yang sesuai
dengan keperluan setiap sektor masyarakat.
5. Kerajaan sentiasa bersedia dan berusaha untuk membangun
dan memajukan industri insurans dan meletakkannya di tahap
yang lebih kukuh. Berbagai-bagai langkah telah
diperkenalkan untuk kebaikan industri berpandukan kepada
matlamat untuk memberi perlindungan kepada pemegang polisi
dan memastikan pertumbuhan industri yang teratur sebagai
komponen penting sistem kewangan negara. Hasil daripada
langkah-langkah tersebut serta struktur kawalan rapi
Kerajaan, tanggapan umum terhadap industri insurans telah
bertambah baik dan prospek bagi pertumbuhan industri semakin
menggalakkan.
6. Keupayaan untuk mengambil peluang-peluang pasaran yang
terserlah adalah bergantung kepada kebolehan dan usaha-usaha
gigih tuan-tuan dan puan-puan sendiri di samping mengatasi
masalah struktur dan operasi yang masih berlanjutan. Antara
isu struktur yang paling mendesak dan yang melibatkan tenaga
agensi secara langsung ialah tahap kos operasi
syarikat-syarikat insurans nyawa yang begitu tinggi yang
mencerminkan kawalan kos operasi yang tidak efektif.
Sekiranya dibiarkan berterusan, kedudukan ini dalam jangka
panjang, akan menggugat kedudukan kewangan dan daya tahan
syarikat-syarikat insurans. Kadar perbelanjaan industri
insurans nyawa yang tinggi ini juga nyata sekali menjejaskan
kepentingan pemegang polisi.
7. Memandangkan hal ini, semua pihak yang terlibat,
termasuk tenaga agensi, harus menyedari dan mengakui betapa
pentingnya untuk memperbaiki kedudukan industri insurans
melalui strategi kawalan kos dan peningkatan produktiviti.
Hanya mereka yang menekankan kawalan yang efektif terhadap
kos akan dapat terus kekal beroperasi dalam jangka masa
panjang. Usaha-usaha Kerajaan sahaja tidak memadai untuk
mengatasi masalah ini dan tenaga agensi juga harus bersedia
untuk bertolak ansur bagi kepentingan negara. Peningkatan
dalam tahap pendapatan tenaga agensi haruslah dicapai dengan
meningkatkan produktiviti dan bukannya semata-mata
berdasarkan kadar komisen yang tinggi.
8. Hasrat untuk memantap dan meningkatkan kecekapan serta
daya saing industri insurans akan dapat dicapai sekiranya
semua pihak yang terlibat dalam industri insurans nyawa --
syarikat- syarikat insurans dan persatuan-persatuan serta
tenaga agensi -- dapat bergerak selari dan mengenepikan
perbezaan kepentingan bagi mencapai kepentingan negara yang
lebih besar, iaitu ke arah menjadikan industri insurans
nyawa sebagai komponen sektor kewangan dan perkhidmatan yang
utama, kukuh dan berdaya maju. Dalam proses untuk
menyelesaikan masalah-masalah struktur sebegini, setiap
pihak yang terlibat harus bersedia mengenepikan kepentingan
peribadi untuk mencapai kepentingan nasional. Usaha-usaha
yang dilakukan oleh Kerajaan ke arah mengurangkan kos
operasi haruslah dilihat dalam perspektif yang betul.
9. Dalam konteks pembangunan sektor insurans di negara
ini, peranan tenaga agensi sebagai pengantara di antara
orang ramai sebagai pengguna dengan syarikat-syarikat
insurans menjadi semakin penting dewasa ini. Fenomena ini
jelas dicerminkan oleh pertambahan yang nyata dalam bilangan
ejen insurans nyawa berdaftar yang telah meningkat sebanyak
26 peratus daripada 54,300 orang pada tahun 1992 kepada
68,500 orang pada tahun 1993. Walaupun bilangan keseluruhan
ejen-ejen telah bertambah dengan nyata, tetapi profil
keseluruhan ejen-ejen masih kekal tidak berubah. Saya
difahamkan bahawa bilangan ejen-ejen Bumiputera masih kekal
pada tahap yang kecil, iaitu tidak melebihi 10 peratus
daripada jumlah keseluruhan ejen-ejen. Pada akhir tahun
1993, bilangan ejen Bumiputera hanya seramai 5,736 orang,
iaitu hanya merupakan 8.4 peratus daripada bilangan
keseluruhan tenaga ejen. Daripada jumlah yang kecil
tersebut, sebilangan besar daripada ejen-ejen Bumiputera
hanyalah merupakan ejen-ejen sambilan sahaja dan kebanyakan
daripada mereka hanya berkhidmat sebagai ejen dalam tempoh
kurang daripada dua tahun.
10. Pelancaran Persatuan Agen-agen Insurans Jaminan
Pendapatan Hidup Melayu Malaysia atau JAMIN diharapkan akan
dapat meningkatkan penglibatan kalangan Bumiputera dalam
bidang ejen insurans nyawa. JAMIN mempunyai satu
tanggungjawab yang besar, iaitu membangun dan
mempertingkatkan kedudukan dan tahap profesionalisma
ejen-ejen Bumiputera supaya menjadi setanding dengan
ejen-ejen insurans yang lain. Saya juga difahamkan bahawa
memandangkan kepada kebanyakan daripada ejen hanya bekerja
secara sambilan, ramai tidak cenderung kepada meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan insurans
nyawa yang mendalam sewajarnya. Justeru itu, saya percaya
persatuan-persatuan ejen seperti JAMIN akan mencerminkan
komitmen yang serius bagi memainkan peranan yang giat dan
aktif untuk membantu ahli-ahli mencapai tahap kecemerlangan
perkhidmatan atau `excellence in service'. Satu lagi
strategi yang harus diutamakan ialah membantu ejen-ejen
sambilan ini menjadi ejen sepenuh masa yang profesional
supaya produktiviti dan prestasi mereka dapat ditingkatkan.
11. Aspek peningkatan dalam profesionalisma ejen-ejen
adalah begitu penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna
dan masyarakat terhadap produk insurans. Ahli-ahli JAMIN
sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk memasarkan produk
insurans kepada orang ramai harus lebih prihatin dalam
mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menembusi
pasaran-pasaran baru dalam rangka untuk menyedarkan orang
ramai, terutama sekali masyarakat Bumiputera tentang betapa
pentingnya insurans kepada mereka. Saya difahamkan bahawa
daripada jumlah masyarakat yang membeli perlindungan
insurans, hanya segelintir daripadanya adalah daripada
kalangan kaum Bumiputera.
12. Menembusi pasaran Bumiputera adalah menjadi cabaran
utama bagi JAMIN. Ini hanya dapat dilakukan sekiranya
tenaga ejen yang tersebut bersikap profesional dan berhemat
untuk memastikan supaya kepercayaan orang ramai, terutama
masyarakat Melayu yang sekian lama mempunyai tanggapan yang
negatif terhadap perlindungan insurans, dapat diperolehi.
Saya percaya, JAMIN akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya
bagi kepentingan ahli-ahlinya serta menggerakkan fungsinya
ke arah mencapai wawasan negara.
13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Pelancaran Persatuan Agen-agen Insurans Jaminan Pendapatan
Hidup Melayu Malaysia. Saya mengucapkan selamat maju jaya
kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
|