Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MAMPU, JABATAN PERDANA MENTERI,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 09/08/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN CIVIL SERVICE
LINK (CSL)
Saya mengucapkan terima kasih kepada MAMPU kerana
menjemput saya untuk melancarkan Projek Civil Service Link
atau CSL pada hari ini.
2. Pembangunan yang pesat dan dinamik banyak bergantung
kepada perolehan dan penggunaan pengetahuan dan maklumat.
Dunia yang kini mengalami perubahan yang ketara, terutamanya
di dalam bidang telekomunikasi, pengangkutan dan teknologi
maklumat, semakin lama semakin kecil daripada sudut
perhubungan. Aliran maklumat dan teknologi yang melampaui
sempadan negara merupakan cabaran yang hebat kepada Malaysia
yang mempunyai ekonomi yang terbuka. Justeru itu, kita
harus mempunyai keupayaan untuk bertindak dengan pantas dan
berkesan bagi menghadapi perubahan yang pesat dalam
perdagangan dan pelaburan sedunia.
3. Maklumat yang relevan, tepat dan kemaskini amat penting
dalam menentukan kadar pertumbuhan sosio-ekonomi. Sektor
swasta sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi
memerlukan maklumat untuk bersaing dalam pasaran dunia.
4. Kini kita dapati kebanyakan maklumat yang diperlukan
oleh sektor swasta adalah dalam milik agensi-agensi
Kerajaan. Perangkaan ekonomi makro, ramalan dan analisis
mengenai arah aliran sektor-sektor ekonomi, indikator
sosial, sains dan teknologi merupakan input utama yang boleh
membantu syarikat-syarikat sektor swasta dalam perancangan
mereka. Di samping itu, maklumat-maklumat mengenai ekonomi,
pasaran dan dasar-dasar Kerajaan dapat mempengaruhi
aktiviti-aktiviti sektor swasta. Perolehan maklumat yang
tepat dan lengkap tentu sekali dapat membantu proses harian
syarikat-syarikat swasta.
5. Begitu juga dengan pihak Kerajaan. Dalam merangka
strategi pertumbuhan ekonomi, maklumat-maklumat penting yang
dipunyai oleh sektor swasta, seperti perkembangan dalam
pasaran serta maklum balas mengenai perkhidmatan Kerajaan,
diperlukan bagi meningkatkan mutu di samping mempercepatkan
lagi proses 'decision making' oleh Kerajaan.
6. Memandangkan hakikat bahawa bertukar-tukar maklumat di
antara sektor swasta dengan Kerajaan adalah penting, maka
haruslah wujud kerjasama yang lebih erat di dalam
perkongsian maklumat antara kedua-dua pihak. Aliran dua
hala maklumat ini akan dapat meningkatkan lagi daya saingan
negara kerana masa dan tenaga akan dapat dijimatkan.
7. Malaysia telah dan akan terus memainkan peranan yang
penting di dalam perkembangan sosio-politik wilayah,
ekonomi, alam sekitar dan teknologi. Ini bererti bahawa
maklumat-maklumat asas harus dapat mempengaruhi
keputusan-keputusan kita supaya penglibatan kita adalah
lebih berkesan dan bermakna.
8. Dalam hal ini, Kerajaan telah memberi penekanan yang
serius kepada keperluan menyebar maklumat penting di bawah
Dasar Persyarikatan Malaysia. Ini kerana penyebaran
maklumat yang meluas dapat membantu sektor swasta mengetahui
dengan jelas aspek-aspek seperti undang-undang,
peraturan dan prosedurKerajaan yang digunakan,
proses-proses yang terlibat, jenis-jenis perkhidmatan yang
diberi dan agensi-agensi yang menyediakannya.
9. Saya difahamkan sebuah buku berjudul "Berurusan Dengan
Perkhidmatan Awam Malaysia" telah dikeluarkan pada bulan Jun
1993 yang menggariskan panduan dan menyediakan rujukan yang
komprehensif kepada para peniaga. Dengan adanya buku ini
sektor swasta akan lebih mudah berurus dengan agensi-agensi
awam di samping menjimatkan masa dan tenaga. Kefahaman
mengenai sistem pentadbiran awam keseluruhannya juga dapat
mengurangkan salah faham atau mengatasi kekeliruan yang
boleh menjejaskan hubungan baik di antara sektor awam dengan
swasta.
10. Maklumat yang tepat dan komunikasi yang berkesan adalah
pra-syarat yang amat penting dalam pembentukan satu
masyarakat yang bersatu padu. Persefahaman baik antara
golongan-golongan dalam masyarakat akan dapat
dipertingkatkan melalui pembekalan maklumat yang tepat dan
jitu.
11. Pembekalan maklumat juga adalah penting dalam membangun
satu masyarakat berilmu. Peralihan daripada masyarakat
perindustrian kepada masyarakat maklumat memerlukan
data-data yang mana dapat mempengaruhi keputusan dan
tindakan anggota-anggota masyarakat. Kini, perkembangan
teknologi telah menghasilkan sistem komunikasi satelit yang
canggih yang dapat menyalurkan maklumat dengan pantas dan
serta merta ke seluruh dunia.
12. Rakyat Malaysia perlu menyedari kemajuan-kemajuan
sedemikian untuk bersama maju dengan memperolehi dan
menggunakan maklumat yang tepat dan terkini secara berkesan.
Kita harus meningkatkan keupayaan memproses dan menggunakan
maklumat demi memperbaiki lagi daya fikiran rakyat Malaysia.
Pekerja yang berpengetahuan merupakan sumber utama yang
penting ke arah mencapai matlamat negara maju yang dihormati
dunia.
13. Saya berbangga dengan usaha untuk membangun dan
melaksanakan Civil Service Link (CSL). Perwujudan CSL
merupakan titik permulaan satu era baru dalam penggunaan
teknologi maklumat Kerajaan. Sebelum ini, maklumat Kerajaan
disimpan oleh pelbagai agensi dalam bentuk yang
berbeza-beza. Ada yang dicetak, dan ada yang disimpan di
dalam sistem komputer. Pengguna sektor swasta dan orang
ramai yang memerlukan maklumat perlu berurusan dengan
pelbagai agensi yang mana ini menimbulkan pembaziran masa,
wang dan tenaga.
14. Dengan CSL ini, maka satu langkah 're-engineering'
proses telah berlaku di mana 'access' kepada maklumat
Kerajaan boleh dipermudahkan. Saya berharap usaha-usaha
sedemikian akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti
penyampaian maklumat perkhidmatan Kerajaan kepada
pelanggan-pelanggannya. Saya juga berharap usaha-usaha yang
berterusan dapat dijalankan untuk mengumpul maklumat terkini
dan lengkap daripada pelbagai agensi-agensi Kerajaan. Yang
penting ditekankan ialah maklumat yang terkini.
15. Sebagai sebuah institusi CSL perlu mendapat
pengiktirafan kegunaannya oleh sektor swasta dan orang ramai
dalam jangka masa panjang. Adalah diharapkan CSL dapat
berperanan sebagai sebuah pusat maklumat Kerajaan yang
dikagumi ramai di rantau ini.
16. Usaha-usaha hendaklah dilaksanakan secara berterusan
untuk membangunkan satu budaya bagi mewujudkan sistem
pengurusan maklumat yang teratur dan sistematik di
agensi-agensi Kerajaan. Di samping itu, satu agenda
penyelidikan dalam bidang maklumat Kerajaan harus dirancang
dan dilaksanakan untuk menghasilkan kaedah-kaedah dan
piawaian bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan
maklumat Kerajaan.
17. Majlis hari ini merupakan satu lagi tanda pencapaian
cemerlang Kerajaan dalam penggunaan teknologi maklumat. Ia
juga melambangkan kematangan penggunaan teknologi maklumat
oleh Kerajaan. Tumpuan Kerajaan kini ialah perwujudan
sebuah infrastruktur maklumat yang mantap dan jitu sebagai
landasan untuk menggerakkan negara ke satu tahap pembangunan
yang maju, dinamik dan cemerlang. Justeru itu, perasmian
Civil Service Link ini bukan sahaja tepat pada masanya,
tetapi juga selaras dengan dasar Kerajaan untuk mewujudkan
satu masyarakat yang 'information rich'.
18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Projek
Civil Service Link.
|