Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WANGSA MAJU, SETAPAK, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 16/08/94
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PEMBUKAAN KILANG
SAPURA-NOKIA TELECOMMUNICATIONS &
SAPURA ELECTRONICS INDUSTRIES
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Sapura-Nokia Telecommunications Sdn. Bhd. dan Sapura
Electronics Industries Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk
merasmikan pembukaan serentak kompleks kilang mereka pada
hari ini.
2. Usahasama Sapura Holdings Sdn. Bhd. dengan Nokia
Telecommunications OY Finland merupakan satu langkah yang
bijak yang akan membuka peluang untuk aktiviti-aktiviti
nilai di tambah di negara ini. Usahasama yang menggunakan
teknologi asing ini sudah tentu akan membantu meningkatkan
lagi produktiviti dan kecekapan tempatan. Dalam usaha kita
mahu mempercepatkan proses perindustrian kita harus sanggup
menerima teknologi asing yang sesuai bagi keperluan kita.
Penerimaan hendaklah bukan secara pasif. Sebaliknya kita
harus faham prinsipnya supaya kita dapat menggunakan
teknologi berkenaan dalam mencipta barangan yang lain.
3. Sejak abad yang lalu, pertumbuhan industri telekom
unikasi di negara ini telah meningkat dengan pesat sekali.
Kini terdapat lebih kurang tiga juta talian telefon di
negara ini. Berdasarkan kadar pertumbuhan ekonomi yang
menggalakkan sekarang, Malaysia dijangka akan memerlukan
6.5 juta talian telefon pada tahun 2000.
4. Kini industri telekomunikasi adalah antara penyumbang
penting kepada pembangunan ekonomi negara. Ini jelas jika
kita melihat perkembangan industri ini dalam tempoh lima
tahun kebelakangan ini di mana industri ini mencatat
pertumbuhan dua angka, iaitu satu pertumbuhan yang sungguh
menggalakkan. Daripada segi bilangan pelanggan telefon,
bilangannya telah meningkat daripada 169,600 orang pada
tahun 1975 kepada 1.58 juta orang pada tahun 1990. Pada
hari ini terdapat kira-kira 2.3 juta pelanggan telefon.
5. Sehingga hari ini sebanyak 105 projek telah diluluskan
bagi mengeluarkan berbagai-bagai produk telekomunikasi.
Daripada jumlah ini, 75 syarikat telah memulakan operasi
pengeluaran. Antara barangan yang dikeluarkan ialah
telefon, 'pagers, answering machines, walkie talkies',
berbagai jenis 'exchanges' dan 'mobile radio'.
6. Sungguhpun eksport barangan telekomunikasi kita telah
meningkat daripada RM1.23 bilion pada tahun 1990 kepada
RM1.97 bilion pada tahun 1992, kadar import alat-alat
telekomunikasi juga turut meningkat. Dalam tahun 1992
alat-alat telekomunikasi bernilai RM1.33 bilion telah
diimport, bertambah sebanyak 46 peratus berbanding dengan
nilai yang diimport pada tahun 1990. Oleh itu, masa depan
bagi industri pengeluaran alat-alat telekomunikasi tempatan
adalah cerah.
7. Memandangkan pertumbuhan industri telekomunikasi yang
semakin pesat dan kompleks, Kerajaan telah melancarkan Dasar
Telekomunikasi Negara baru-baru ini yang menggariskan satu
panduan yang jelas bagi menentukan arah perkembangan
industri telekomunikasi negara di masa depan. Di samping
menentukan pembangunan industri telekomunikasi yang cekap
dan teratur, dasar tersebut juga adalah untuk memupukkan
lagi integrasi nasional melalui perkhidmatan telekomunikasi.
Kita juga berharap dasar tersebut akan membantu mewujudkan
satu masyarakat yang pintar dan kaya dengan maklumat melalui
rangkaian telekomunikasi yang canggih dan moden.
8. Saya gembira bahawa di samping banyak syarikat
telekomunikasi `multinational' yang beroperasi di negara
ini, syarikat-syarikat tempatan juga telah menunjukkan minat
untuk memasuki industri yang dinamik ini. Sapura
Electronics Sdn. Bhd. adalah antara syarikat tempatan ini.
Tahniah diucapkan kerana mempunyai `foresight' dan
keberanian menghadapi risiko perusahaan ini.
9. Adalah menjadi dasar Kerajaan untuk menggalakkan lebih
banyak syarikat tempatan memasuki projek usahasama dengan
syarikat-syarikat `multinational' untuk memenuhi permintaan
yang meningkat bagi perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi
tempatan dan untuk membantu menjadikan Malaysia sebuah
negara pengeksport alat-alat telekomunikasi. Usahasama
Sapura-Nokia ini adalah antara perniagaan usahasama yang
kita ingin lihat bertambah lagi di negara ini. Adalah
diharapkan melalui usahasama seperti ini pemindahan
teknologi kepada rakan kongsi tempatan akan dipercepatkan
lagi.
10. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun
adalah penting syarikat-syarikat tempatan menjalankan
program-program latihan untuk mempertingkatkan kemahiran dan
melengkapkan para pekerja mereka dengan kemahiran baru.
Hanya melalui peningkatan kemahiran sahaja baharulah
produktiviti dan kecekapan pengeluaran syarikat dapat
dipertingkatkan lagi.
11. Pekerja yang mahir juga boleh membantu meningkatkan
dayasaing barangan keluaran eksport negara. Dengan memiliki
berbagai-bagai kemahiran, para pekerja juga akan lebih mudah
membuat penyesuaian dan perubahan-perubahan yang perlu yang
dibawa oleh teknologi baru.
12. Oleh yang demikian, inisiatif Sapura-Nokia
Telecommunications Sdn. Bhd. menubuhkan pusat latihan dengan
mengadakan program intensif untuk memindah kemahiran
teknologi amatlah sesuai dan selaras dengan dasar Kerajaan.
Saya diberitahu bahawa melalui program-program yang
dirancangkan,syarikat ini a kan membantu usaha-usaha
menyelidik dan membangunkan kemahiran di negara ini.
13. Saya difahamkan bahawa hampir 90 peratus tenaga pekerja
kedua-dua syarikat Sapura-Nokia Telecommunication dan Sapura
Electronics Industries terdiri daripada jurutera dan
juruteknik dan kedua-dua syarikat ini merupakan syarikat
bermodal intensif. Ini adalah satu langkah yang bijak
kerana dengan kekurangan tenaga pekerja di negara kita, kita
harus memberi tumpuan kepada industri-industri nilai
ditambah seperti ini.
14. Adalah diharapkan dengan adanya lebih banyak usahasama
syarikat-syarikat tempatan dengan syarikat-syarikat asing,
maka pembangunan teknologi industri tempatan akan
dipercepatkan. Kerajaan akan terus menyediakan
infrastruktur asas serta suasana yang sesuai untuk
pembangunan teknologi.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan serentak kilang Sapura-Nokia Telecommunications
Sdn. Bhd. dan Sapura Electronics Industries Sdn. Bhd.
|