Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ALOR SETAR, KEDAH
Tarikh/Date : 18/08/94
Tajuk/Title : SEMPENA UPACARA PERLETAKAN BATU
ASAS MENARA ALOR SETAR KEDAH
DARUL AMAN
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Telekom
Malaysia kerana menjemput saya untuk merasmikan Perletakan
Batu Asas Menara Alor Setar pada hari ini.
2. Upacara Perletakan Batu Asas Menara Alor Setar yang
bersejarah ini memperlihatkan satu lagi usaha Telekom
Malaysia untuk mempertingkatkan lagi perkembangan dan
pembangunan industri telekomunikasi negara sejajar dengan
pembangunan pesat ekonomi negara.
3. Saya diberitahu bahawa Menara Alor Setar setinggi 165.5
meter adalah menara tertinggi di Alor Setar. Menara ini yang
mempunyai ciri-ciri pembinaan berunsurkan tempatan dan
berteknologi tinggi sudah pasti akan menjadi mercu tanda
yang unik bagi bandar ini. Saya percaya senibina yang unik
ini yang melambangkan rumpun padi akan juga menjadi satu
daya tarikan kepada pengunjung, baik dari dalam mahu pun
dari luar negeri.
4. Permintaan terhadap perkhidmatan telekomunikasi di
negara ini kini kian meningkat dan terus berkembang pesat
sejajar dengan perkembangan ekonomi negara. Sektor
telekomunikasi negara perlu bergerak seiringan dengan
pertemuan teknologi yang baru, canggih dan terkini sekiranya
kita mahu melihat negara kita mencapai taraf sebuah negara
yang maju.
5. Sistem telekomunikasi yang meliputi rangkaian
perhubungan satelit, gelombang mikro, fiber-optik dan
teknologi digital merupakan keperluan asas dan utama bagi
sesebuah negara yang sedang pesat membangun dalam
sektor perniagaan dan perindustrian.
6. Pembangunan rangkaian telekomunikasi ini akan memberi
kesan yang positif daripada segi peranannya sebagai nadi
kepada pembangunan negara. Ini merupakan prasyarat yang
penting bagi negara untuk lebih maju dan berkembang selaras
dengan kemajuan di lapangan-lapangan lain.
7. Justeru itu beban perkembangan rangkaian telekomunikasi
ini mestilah dikongsi bersama bagi mempastikan bahawa hasil
teknologi yang maju dan canggih tidak ketinggalan. Adalah
penting juga industri ini mempunyai persaingan yang sihat di
negara ini supaya memanfaatkan kejayaan yang lebih bermakna
kepada rakyat. Saingan yang sihat tidak bermakna saingan
yang tidak terhad. Industri yang dipenuhi dengan
syarikat-syarikat kerdil tidak akan menolong perkembangan
yang diperlukan dalam zaman gergasi ini.
8. Justeru itu pihak-pihak yang terlibat perlu menentukan
halatujunya ke arah suasana atau zaman persaingan sekiranya
kita mahu negara kita maju dan setanding dengan
negara-negara perindustrian yang terkemuka. Sementara
persaingan boleh mempertingkatkan mutu dan teknologi
industri ini, ini hanya boleh dibuat jika pesaing mempunyai
cukup kekuatan daripada segi kewangan dan tenaga manusia.
9. Pembentukan era persaingan bukanlah untuk membunuh atau
bermusuhan antara satu sama lain sehingga banyak tenaga dan
kedudukan kewangan semua pihak menjadi lemah. Persaingan
hanya memberi manfaat jika ianya menghasilkan 'efficiency'
dan kualiti yang tinggi dan harga yang berpatutan.
10. Persaingan juga adalah satu usaha untuk mempermudahkan
urusan, menjurus atau mewujudkan pengkhususan yang akhirnya
akan dapat menangani setiap permasalahan dengan bijak dan
sempurna. Dengan kata lain tidak mustahil untuk mewujudkan
'zero problem towards perfection'.
11. Hasrat ini tidak mungkin dapat dicapai dengan jayanya
tanpa penglibatan secara menyeluruh. Saya menggesa setiap
Syarikat supaya membuat komitmen bagi menghasilkan 'output'
yang terbaik dan mampu mengatasi pesaing-pesaing mereka.
12. Kemajuan ekonomi bukanlah sekadar membentuk sebuah
negara yang ekonominya tumbuh dengan pesat sahaja tetapi
lebih daripada itu ekonomi tersebut harus bercirikan
pembangunan yang menyeluruh, ataupun total. Pembangunan
yang bercirikan kestabilan, serta berjaya meningkatkan mutu
kehidupan rakyat adalah matlamat sosial yang penting.
Inilah landasan Wawasan negara yang harus dicapai menjelang
tahun 2020.
13. Keperluan asas pembangunan di kawasan luar bandar turut
menjadi satu perkara yang semestinya dilihat dengan lebih
serius bagi mempastikan segala kemudahan tidak diabaikan.
Sejajar dengan kemajuan teknologi telekomunikasi,
kemudahan-kemudahan perlu disalurkan ke kawasan luar bandar
supaya rakyat dapat menikmati faedah pembangunan hampir sama
dengan kawasan bandar. Dasar kerajaan untuk menentukan
agihan yang saksama kepada semua rakyat baik di bandar
ataupun di luar bandar adalah penting difahami. Segala
keuntungan dan manfaat hendaklah dinikmati oleh semua
golongan masyarakat di negara kita ini. Walaupun pembekalan
perkhidmatan ke kawasan bandar lebih menguntungkan, ini
tidak bermakna bahawa kawasan luar bandar harus diketepikan.
14. Selaras dengan Dasar Telekomunikasi Negara, saya yakin
usaha-usaha Telekom Malaysia akan dapat membantu meningkat
lagi perkembangan teknologi telekomunikasi negara. Dasar
Telekomunikasi Negara (DTN) adalah untuk memberikan satu
laluan yang lebih selesa kepada seluruh rakyat di samping
dapat menarik lebih banyak pelaburan luar masuk ke negara
ini. DTN juga dibentuk untuk mempastikan penggunaan
teknologi tempatan adalah pada tahap yang maksimum di
samping menentukan teknologi tempatan adalah setanding
dengan negara yang maju di bidang telekomunikasi.
15. Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan terima kasih kepada Telekom Malaysia dan juga
Kerajaan Negeri Kedah yang telah bekerjasama untuk membina
Menara Alor Setar yang indah dan unik ini.
16. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan upacara
Perletakan Batu Asas Menara Alor Setar pada hari ini.
|