Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SRI PERDANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	27/08/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS JAMUAN MALAM MERAIKAN 
			PERDANA MENTERI JEPUN, T.Y.T. 
			TOMIICHI MURAYAMA 


 
   Bagi pihak rakyat Malaysia dan diri saya  sendiri,  saya
mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama, anak Tuan Yang
Terutama,  Puan Nakahara serta kesemua ahli  rombongan  Tuan
Yang Terutama ke Malaysia.  Saya  berasa amat  bangga  serta
berbesar  hati  di atas  lawatan  Tuan  Yang  Terutama  yang
mencerminkan bahawa  kerajaan  Jepun,  sungguhpun  mengalami
perubahan   kepimpinan,   terus   memperkukuhkan    hubungan
persahabatan diantara  Malaysia  dengan Jepun.  Lawatan Tuan
Yang Terutama sudah pasti akan  meningkatkan  lagi  hubungan
baik dan kerjasama di antara kedua-dua negara kita.
2.   Kami di Malaysia melihat Jepun sebagai salah satu model
pembangunan   ekonomi   yang  unggul  di  Timur  terutamanya
mengenai etika serta teknologi  yang  telah  membantu  Jepun
mencapai  kejayaan.    Dasar  Pandang  ke Timur  yang  terus
dipegang oleh Malaysia dan telah membawa kepada persefahaman
yang  lebih baik antara kedua-dua rakyat  Malaysia dan Jepun
adalah bukti kejayaan kerjasama  rapat  antara  kita.   Kita
berterima kasih kepada Jepun atas  bantuan  serta  sumbangan
yang telah  diberikan  dengan  murah  hati  kepada  Malaysia
selama ini.
3.    Saya gembira bahawa hubungan erat di  antara  Malaysia
dengan   Jepun      telah   berjaya   mempertingkatkan  lagi
perdagangan serta  pelaburan  Jepun  di  Malaysia.    Jumlah
pelaburan  serta  perniagaan Jepun di Malaysia pada hari ini
merupakan  pelaburan  asing  yang  terbesar.     Suka   saya
menyebutkan di sini bahawa rakyat Malaysia sekarang bersedia
untuk  mendapatkan faedah secara langsung daripada kehadiran
pelaburan Jepun  di  negara  ini  khususnya,  daripada  segi
pemindahan   teknologi,  latihan  pengurusan  dan  kepakaran
teknikal.  Selepas bertahun-tahun bekerjasama, Malaysia kini
mahu rakan kongsi ekonomi yang sebenar dengan Jepun di  mana
faedah-faedah yang diperolehi dikongsi samarata.
4.   Kami mengambil maklum bahawa di dalam ucapan dasar Tuan
Yang   Terutama   di  dalam  sessi  ke  seratus  tiga  puluh
Persidangan Parlimen Jepun pada bulan Julai,  Kerajaan  Tuan
Yang   Terutama  telah  menyatakan  hasrat  untuk  memainkan
peranan yang lebih aktif di  dalam  masyarakat  antarabangsa
sebagai    negara    yang   cintakan   perdamaian.      Kami
mengalu-alukan aspirasi Kerajaan Jepun untuk mencapai hasrat
tersebut.   Sebagai sebuah negara  membangun  kami  sentiasa
menekankan  pentingnya  pembangunan sosio-ekonomi berbanding
dengan pakatan politik dan ketenteraan  sebagai  asas  untuk
mewujudkan  keamanan  dan  keselamatan di rantau ini.  Dalam
hubungan ini, Kerajaan Jepun telah  memainkan  peranan  yang
boleh  diteladani,  dengan  banyak  memberi sumbangan kepada
pertumbuhan ekonomi di rantau ini dan sebagai tempat  sumber
bantuan pembangunan.
5.    Malaysia percaya bahawa Jepun sebagai salah satu kuasa
ekonomi yang utama harus memainkan peranan yang lebih  besar
dalam  menjaga  keamanan  dan  keselamatan  di  dalam sistem
Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu  (PBB)  yang  lebih  baik.
Masanya   telah  tiba  untuk  melindungi  serta  menonjolkan
masyarakat pelbagai budaya dan berbilang bangsa  di  seluruh
dunia  dan  menentang  kebangkitan  sentimen  perkauman yang
semakin merebak di beberapa bahagian di dunia terutamanya di
negara-negara Eropah Barat dan Amerika Utara.    Peningkatan
jumlah  operasi  pengaman  PBB  di  serata  dunia yang tidak
dijangka menunjukkan kemunculan krisis-krisis  baru  selepas
berakhirnya   Perang   Dingin.      Peningkatan   ini  telah
menyebabkan  perbelanjaan  dan  kos  operasi  pengaman   PBB
menjadi  semakin    besar  sehingga  PBB  tidak  lagi  dapat
menanggung perbelanjaan tersebut.  Dalam waktu negara-negara
penyumbang utama  di  kalangan  OECD  agak  keberatan  untuk
memberikan  sokongan  serta  bantuan  daripada  segi  sumber
manusia dan kewangan di dalam operasi-operasi  pengaman  PBB
yang  baru,  peranan  dan  komitmen Jepun dalam hal ini akan
membawa makna yang besar.    Dalam  hubungan  ini,  Malaysia
berharap   Jepun   tidak   akan  berhenti  daripada  memberi
sumbangan kewangan untuk operasi-operasi pengaman.   Sebagai
salah   satu   negara  yang  berperanan  utama  dalam  arena
antarabangsa, Jepun  kini  mesti  bersedia  melibatkan  diri
untuk tugas-tugas pengaman secara langsung.
6.   Kita sedang melihat kemunculan kawasan-kawasan serantau
dengan  tiga  kawasan menguasai ekonomi dunia iaitu Kesatuan
Eropah (European Union),  Kawasan Bebas Cukai Amerika  Utara
(NAFTA)  dan  negara-negara  di  Asia  Timur termasuk ASEAN.
Dalam    usaha    untuk    menghalang    trend     munculnya
kumpulan-kumpulan  eksklusif,  kami  di  dalam  ASEAN  telah
mencadangkan konsep EAEC  yang  menitikberatkan  keterbukaan
rantau  ini  dan  sistem  perdagangan  pelbagai hala.   EAEC
adalah satu gabungan ekonomi  Asia  Timur  di  dalam  bentuk
forum   rundingan.      Kami   berharap  agar  Jepun  dengan
kebijaksanaannya dan berpandangan jauh dapat melihat faedah-
faedah EAEC ini.  Sebagai sebuah negara yang berada di  Asia
Timur,  penyertaan  Jepun  di  dalam EAEC akan dapat memberi
sumbangan ke arah pembangunan ekonomi serantau dengan  lebih
dinamik.
7.    Saya amat berharap agar hubungan duahala yang terjalin
di antara Malaysia dengan  Jepun  akan  terus  meningkat  di
bawah  kemunculan  kepimpinan  baru di Jepun terutama sekali
dalam kefahaman dan persahabatan erat di kalangan  belia  di
kedua-dua negara kita.
8.   Akhir sekali kami berharap agar Tuan Yang Terutama dan
kesemua  ahli  rombongan  sentiasa  berada  dalam selesa dan
gembira berada di Malaysia.

 
 



 
Google