Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/08/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN KERETA
PERODUA KANCIL
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. ataupun PERODUA kerana
menjemput saya untuk melancarkan kereta PERODUA Kancil pada
malam ini.
2. Dari permulaan lagi projek kereta nasional kedua ini
memang mempunyai peluang yang cerah untuk memperolehi
kejayaan. Pasaran tempatan berpotensi tinggi ekoran daripada
pertumbuhan ekonomi semasa yang memberangsangkan. Lagipun
kereta Kancil memenuhi keperluan untuk kereta kecil yang
boleh dibeli oleh pembeli yang baru memasuki golongan
pemilik kereta.
3. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila PERODUA Kancil
mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat Malaysia.
Sambutan ini juga menunjukkan potensi pasaran bagi kereta
kompak adalah besar, lebih-lebih lagi jika harga yang
dipasarkan adalah rendah berbanding dengan kereta-kereta
lain.
4. Harga merupakan satu daripada faktor utama yang
menjadikan sesebuah kereta popular di kalangan masyarakat
Malaysia dan juga pasaran asing. Penggantungan kepada
pasaran tempatan yang terlindung sahaja tidak akan menjamin
kemantapan dan kestabilan industri ini pada masa hadapan.
PERODUA mesti menembusi pasaran antarabangsa supaya mendapat
'economies of scale' kerana pasaran antarabangsa walaupun
'competitive' adalah besar. Di samping itu, eksport kereta
boleh menolong 'balance of payment' negara dengan pengaliran
masuk matawang asing kedalam negara.
5. Pengurangan kos mestilah menjadi objektif utama PERODUA
supaya ia dapat menjaminkan persaingan kereta ini di pasaran
antarabangsa. Hasrat untuk menerokai pasaran asing perlu
dirancangkan dengan teliti supaya tidak gagal kerana sekali
kita gagal adalah sukar untuk dipulihkan semula.
6. Untuk menjamin kestabilan kos dan harga kereta yang
kompetitif, PERODUA juga perlu berusaha untuk meningkatkan
komponen tempatan dalam industri kereta nasional. Kenaikan
nilai Yen tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menaikkan
harga dalam pasaran tempatan atau eksport.
7. Usaha untuk meningkatkan komponen tempatan mesti
diteruskan sehingga mencapai tahap seratus peratus.
Penggunaan komponen tempatan boleh membantu mengatasi
masalah kenaikan nilai Yen. Oleh itu, PERODUA perlu
melakukan sesuatu supaya penggunaan komponen tempatan boleh
menolong mengawal kos kereta keseluruhannya. Untuk ini
mungkin rakan kongsi yang mempunyai teknologi dipilih dengan
teliti supaya kos pemindahan teknologi tidak menjadi beban
dan kos pengurusan juga boleh menurun.
8. Pemilihan untuk memiliki sesebuah otomobil masa kini
bukan hanya bergantung kepada harga. Kualiti dan servis
selepas jualan juga adalah penting. Masyarakat Malaysia
kini sudah menghargai dan tahu menilai barangan yang unggul
dan mengharapkan hanya yang terbaik daripada Otomobil
Nasional Kedua.
9. PERODUA tidak harus berharap hanya kepada pengurangan
cukai secara istimewa baginya oleh Kerajaan untuk mendapat
keuntungan. Sistem pengeluaran, mencari punca komponen yang
termurah, kecekapan kerja serta pengurusan dan pengawasan
perbelanjaan yang rapi adalah antara cara-cara untuk
mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan. Perusahaan
tempatan tidak akan bermakna jika cukai Kerajaan yang tidak
dipungut dijadikan asas sebenar keuntungan. Industri kereta
di negara lain tidak bergantung kepada perlindungan Kerajaan
selama-lamanya. Namun mereka masih boleh mengeluar dan
menjual dengan harga yang murah serta kualiti yang tinggi.
Apabila kita sudah menguasai sepenuhnya teknologi membuat
kereta, maka kita juga harus mampu mengurus industri ini
tanpa perlindungan.
10. PERODUA perlu berwaspada. Ini hanyalah suatu
permulaan. Persaingan dan rintangan akan meningkat dengan
kewujudan teknologi dan rekacipta yang baru serta canggih.
Ia mesti menggunakan segala kelebihannya untuk membuktikan
akan nilainya sebagai Otomobil Nasional Kedua kepada
masyarakat Malaysia.
11. Di samping model Kancil, Kerajaan berharap PERODUA akan
berupaya merekacipta dan menghasilkan pelbagai model
otomobil kecil Malaysia yang tulin supaya dapat menarik
minat para pengguna di Malaysia dan juga perluaskan pasaran
antarabangsa.
12. Sekali lagi saya ingin merakamkan keyakinan saya kepada
PERODUA untuk terus berusaha menerokai bidang ini dengan
inisiatif sendiri tanpa banyak bergantung kepada bantuan
luar.
13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Pelancaran Kereta PERODUA Kancil.
|