Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 30/08/94
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Kemerdekaan bagi sesuatu bangsa adalah suatu nikmat yang
tidak ternilai. Jika kita rayakan Hari Kebangsaan dan Hari
Kemerdekaan, sebabnya bukanlah untuk bergembira semata-mata,
tetapi adalah kerana kita bersyukur kita tidak lagi dijajah,
tidak lagi dibahagi-bahagikan oleh penjajah dan tidak lagi
ditindas secara langsung oleh mereka.
2. Alhamdulillah, hari ini genaplah 37 tahun kita merdeka.
Dalam jangkamasa yang pendek ini banyak perubahan telah
dapat kita lakukan kepada negara kita, yang tidak dilakukan
oleh penjajah sejak mereka mula menjajah kita pada tahun
1511.
3. Keadaan dunia sekarang sangat berbeza daripada keadaan
yang wujud semasa kita mencapai kemerdekaan dahulu. Kini
Perang Dingin telah tamat. Soviet Union telah mengalami
perpecahan, Apartheid di Afrika Selatan telah hapus dan
musuh ketat Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)
telah berdamai. Namun harapan bahawa dunia akan menjadi
lebih baik dengan berakhirnya Perang Dingin masih belum
tentu.
4. Konflik di Somalia dan Bosnia-Herzegovina masih
berterusan. Yang paling terbaru ialah di Rwanda, di mana
pembunuhan seramai kira-kira setengah juta orang telah
berlaku. Lebih dua juta rakyat Rwanda terpaksa lari ke
negara-negara jiran, penyakit menyerang mereka sehingga
beribu-ribu pelarian mati tergelimpang dan yang baki
diserang kebuluran sehingga tinggal tulang rangka sahaja.
5. Di negara-negara lain pula gerak gempa, ribut taufan
dan banjir yang dahsyat meragut nyawa dan memusnahkan harta
benda. Bandar-bandar tidak begitu selamat sehingga rompakan
dan pembunuhan sering berlaku.
6. Sebaliknya Malaysia terselamat. Kita dilindungi
daripada ribut taufan dan puting beliung dari sebelah Timur
oleh Kepulauan Filipina dan dari sebelah Barat oleh
Sumatera. Rangkaian gunung berapi mengelilingi Semenanjung,
Sabah dan Sarawak seperti rantai leher tetapi tidak satu pun
yang terdapat di Malaysia. Hujan turun mencurah-curah di
bumi bertuah ini sehingga ia menghijau sepanjang tahun dan
makanan menunggu untuk dipungut daripada ranting, dahan dan
akar. Kita boleh ke mana-mana dengan selamat. Banyak lagi
nikmat yang diperolehi di Malaysia jika kita merenung
sejenak. Dan jika kita renung akan nasib baik kita,
tentulah kita lebih bersyukur dengan nikmat-nikmat ini.
7. Jika ada keburukan atau malapetaka di Malaysia, ia
disebabkan oleh kita sendiri. Jika bangunan runtuh; jika
air sungai menjadi keruh; jika bukit dan gunung yang indah
dicemar; jika kemalangan berlaku di jalan raya; jika rumah
terbakar; atau dadah disalahgunakan dan AIDS merebak --
semuanya adalah kerana perbuatan kita sendiri. Oleh kerana
semua ini disebabkan oleh kita, maka pemulihan juga
terpulang kepada kita.
8. Dengan kerjasama rakyat, Kerajaan telah berjaya
membangunkan negara. Malaysia sekarang adalah antara
negara-negara membangun yang termaju. Taraf hidup rakyat
sudah meningkat dan pendapatan purata rakyat juga sudah
bertambah.
9. Tetapi walaupun Kerajaan telah menggubal berbagai-bagai
undang-undang dan mengadakan jentera bagi menguatkuasakan
undang-undang untuk mencegah kejadian-kejadian yang tidak
sihat, ia masih juga berlaku, bahkan bertambah. Tentulah
jelas Kerajaan dan undang-undang tidak dapat menghapuskan
segala perbuatan yang tidak diingini. Jika hanya dengan
mengadakan undang-undang dan penguatkuasaannya segala
jenayah boleh dihapuskan, maka jenayah sudah tentu tidak ada
lagi. Tetapi hakikatnya ialah penjenayah dan orang yang
ingkar boleh menidakkan tujuan undang-undang pada bila-bila
masa.
10. Kita tidak boleh berharap penjenayah akan insaf dan
bersyukur dan tidak akan melakukan jenayah lagi. Tetapi
ramai yang melanggar undang-undang bukanlah penjenayah
sebenarnya. Mereka adalah orang biasa yang tidak berhajat
melakukan jenayah. Namun mereka tidak menghiraukan
undang-undang dan aturan-peraturan yang dibuat untuk
kebaikan mereka. Mereka melanggar undang-undang dan
aturan-peraturan tanpa menganggap perbuatan mereka adalah
salah.
11. Kebanyakan daripada kemalangan di jalan raya adalah
kerana tidak mematuhi aturan-peraturan jalan raya.
Keruntuhan bangunan, kebakaran, penyalahgunaan dadah
sehingga mendapat penyakit AIDS, pencemaran alam sekeliling,
semuanya disebabkan oleh orang yang bukan penjenayah. Sama
ada mereka berniat jahat atau tidak, kesannya adalah sama
buruknya. Mengenakan hukuman selepas kemalangan tidak
memulihkan apa-apa. Yang diperlukan ialah pencegahan, dan
pencegahan yang betul-betul berkesan ialah yang diusahakan
oleh diri sendiri.
12. Pencegahan oleh Kerajaan bukan sahaja terhad kesannya
tetapi kosnya tinggi. Menyimpan anggota polis dengan banyak
untuk menentukan tiada siapa memandu terlalu laju dan
memotong dengan cara yang merbahaya, mungkin dapat
mengurangkan sedikit kemalangan di jalan raya, tetapi kos
menempatkan polis di sepanjang jalan amatlah tinggi dan kos
ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat. Jika hasil
Kerajaan digunakan untuk tujuan ini tidak akan ada
peruntukan untuk tanggungan-tanggungan Kerajaan yang lain
seperti sekolah, klinik, jalan dan bermacam-macam lagi
perkhidmatan percuma atau hampir percuma. Sebaliknya jika
kita membentuk budaya cermat dan tidak gopoh, kemalangan
boleh dikurangkan dengan banyaknya tanpa apa-apa
perbelanjaan. Sebenarnya di negara-negara yang mempunyai
lebih banyak kenderaan, kemalangan di jalan raya tidak
sebanyak di Malaysia. Sebabnya ialah rakyat mereka sanggup
mengawal diri sendiri.
13. Demikian juga di negara-negara yang rakyatnya lebih
tertib dan menjunjung tinggi undang-undang dan
aturan-peraturan, tidak banyak terdapat masalah dadah, AIDS,
pencemaran dan jenayah. Apakah tidak mungkin kita di
Malaysia juga dapat membentuk dan mengamalkan budaya yang
lebih selamat bagi kita?
14. Dalam bidang pembangunan tiada siapa yang menafikan
bahawa Malaysia telah mencapai kemajuan yang istimewa.
Antara negara-negara membangun, kita sudah jauh maju ke
hadapan. Kemajuan kita sudah sampai ke tahap yang mana
agensi-agensi antarabangsa menyoal sama ada kita masih boleh
diiktiraf sebagai negara membangun atau tidak?
15. Sekali lagi jika kita teliti secara cetek sekalipun,
kejayaan kita bukan disebabkan oleh dasar dan tindakan
Kerajaan semata-mata. Jika tidak kerana sambutan atau
'response' positif daripada rakyat amnya; rakyat daripada
golongan pemodal, pengurus dan pekerja, sudah tentu tidak
mungkin kita maju seperti sekarang. Oleh kerana sambutan,
usaha dan sikap positif rakyat terhadap dasar dan galakan
Kerajaan, matlamat pembangunan tercapai. Dan kita yakin
kita akan dapat maju hingga ke tahap negara maju menjelang
tahun 2020 kerana rakyat menyambut secara positif wawasan
yang ditentukan oleh Kerajaan.
16. Jelaslah bahawa tanpa sambutan rakyat, tidak ada usaha
untuk memperbaiki prestasi bangsa dan negara yang boleh
berjaya. Justeru itu, dalam usaha kita untuk menjadi
masyarakat yang bahagia, rakyat jugalah yang perlu menyambut
desakan Kerajaan untuk membasmi amalan-amalan yang tidak
sihat yang terdapat di kalangan kita, amalan buatan kita
sendiri.
17. Untuk mengurangkan penyakit penyalahgunaandadah dan
membasmi gejala kemalangan jalan raya; untuk mengelak
kejadian kebakaran yang begitu kerap; untuk mengatasi
masalah lepak, bangunan runtuh, pencemaran alam sekeliling
dan lain-lain, seruan dan tindakan Kerajaan perlulah di
disambut dengan baik oleh rakyat. Semua malapetaka ini
adalah buatan kita sendiri dan kita sendiri juga yang mampu
menghalang kejadiannya. Hanya yang diperlukan ialah
pengawalan diri dengan lebih baik dan sifat lebih
bertanggungjawab.
18. Jika kita insaf dan bersyukur akan nasib baik kita dan
nikmat yang banyak yang kita terima daripada Tuhan, tidaklah
keterlaluan jika kita mengikis sifat tidak bertanggungjawab
dan tidak mengabai undang-undang dan aturan-peraturan yang
ada pada kita semua.
19. Bagi pihak Kerajaan, saya ingin menyeru supaya kita
menjadikan tahun yang ke-38 kita merdeka ini sebagai tahun
yang kita menukar sikap kita terhadap diri kita sendiri.
Kerajaan akan membuat apa yang menjadi tanggungjawab
Kerajaan, tetapi rakyat hendaklah membina budaya yang
mengutamakan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan
masyarakat. Insya-Allah, jika kita buangkan tabiat yang
merugikan kita, negara ini bukan sahaja akan lebih maju
tetapi juga kemajuan itu tidak akan tercemar dengan
gejala-gejala yang sedang kita lihat berlaku di
negara-negara maju di Barat.
20. Negara maju yang dimaksudkan dalam Wawasan 2020 bukan
bercorak negara maju keBaratan yang penuh dengan gejala
dadah, AIDS, keruntuhan akhlak, malas bekerja dan
keburukan-keburukan lain yang kita lihat sekarang. Negara
maju Wawasan 2020 adalah lebih bahagia dan terpelihara
daripada keruntuhan tamadun. Untuk itu, kita harus bentuk
budaya yang sesuai dari sekarang. Hari kemerdekaan yang
kita rayakan adalah hari yang tepat untuk membuat resolusi
bahawa kita bukan sahaja berusaha merebut peluang
meningkatkan kemajuan dan kemakmuran kita tetapi juga untuk
menghapuskan amalan-amalan yang tidak menguntungkan kita.
21. Walau apa pun terjadi, kita tidak akan lupa kepada
perwira-perwira kita yang telah gugur mempertahankan
keselamatan negara dan maruah bangsa kita. Sepertimana
mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk kita, kita juga
harus membuktikan bahawa kita layak dipertahankan oleh
mereka.
22. Insya-Allah, dengan resolusi ini dan pengamalannya
secara serius, Wawasan kita tidak akan menjadi igauan,
tetapi akan menjadi satu kenyataan.
23. Selamat merayakan Hari Kebangsaan kita. Mudah-mudahan
kita akan dapat merayakannya berulang kali dalam keadaan
negara semakin maju dan rakyat semakin bahagia.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|