Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : INSTITUT KEMAHIRAN DAN KEUSAHAWANAN
(IKK) PERHEBAT SG BULOH
Tarikh/Date : 02/09/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERBADANAN HAL
EHWAL BEKAS ANGKATAN
TENTERA (PERHEBAT)
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Pertahanan kerana menjemput saya untuk merasmikan Perbadanan
Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera atau PERHEBAT pada hari
ini.
2. PERHEBAT adalah perbadanan yang ketiga ditubuhkan di
bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera selepas Perbadanan
Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) pada tahun 1984 dan Perwira
Harta Malaysia pada tahun 1985. Saya masih ingat lagi pada
tahun 1985 di mana selaku Menteri Pertahanan pada masa itu
saya telah dijemput untuk membuka secara rasmi Bangunan
Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Sehingga kini saya masih
mengikuti dengan rapi perkembangan dan Kemajuan Lembaga
Tabung Angkatan Tentera dalam usahanya untuk mempertingkat
kan sumbangan dan khidmatnya kepada anggota-anggota angkatan
tentera.
3. Kerajaan sentiasa memberi perhatian berat terhadap
kebajikan dan kepentingan bekas anggota tentera. Ini
adalah kerana Kerajaan dan negara berasa terhutang budi
kepada anggota tentera yang telah menyumbang sebahagian
besar masa muda mereka untuk mempertahankan negara. Sama
ada negara menghadapi ancaman perang atau tidak, adanya
tentera yang cekap dan berani memberi ingatan kepada sesiapa
yang mempunyai niat menyerang negara. Alhamdulillah, kita
masih dapat memenuhi keperluan pertahanan kita dengan ramai
anak-anak muda kita yang secara rela hati menyertai angkatan
tentera. Kita tidak perlu mengadakan kerahan tenaga untuk
maksud ini.
4. Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan negara pula
untuk memberi perhatian kepada kebajikan bekas anggota
tentera sebagai mengenang jasa mereka. Pengiktirafan
Kerajaan terhadap peranan anggota-anggota ATM tidak terbatas
semasa mereka berada dalam perkhidmatan sahaja, bahkan
kerajaan sentiasa prihatin terhadap bekas perajurit.
5. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini iaitu dari tahun
1984 hingga tahun 1993, saya difahamkan sejumlah 53,417
anggota tentera telah tamat perkhidmatan mereka. Secara
purata setiap tahun 5,300 anggota tentera menamatkan
perkhidmatan mereka dengan angkatan tentera. Masalah yang
dihadapi oleh bekas perajurit adalah berkisar kepada
persoalan bagaimana hendak mengganti punca pendapatan yang
hilang. Bagi seseorang bekas tentera peluang untuk mendapat
sesuatu pekerjaan atau menjalankan sesuatu perniagaan akan
bergantung kepada beberapa faktor seperti pengalaman sebagai
anggota tentera, taraf pelajaran dan pengetahuan, harta yang
boleh dijadikan modal dan cagaran, pendedahan terhadap
keadaan sekitar yang semakin berubah dan persaingan dalam
pasaran buruh.
6. Dalam usaha kita menuju matlamat Wawasan 2020, adalah
penting potensi tenaga kerja bekas perajurit dirancang
dengan teliti agar kemahiran mereka tidak disia-siakan untuk
diri mereka dan untuk negara.
7. Justeru itu, HEBAT yang telah di `corporatised' dan
dinamakan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera
(PERHEBAT) diharap akan lebih berkesan dalam tugas-tugas
bergerak dan bertindak untuk melatih bekas-bekas perajurit.
Penubuhan PERHEBAT adalah sesuai sekali dengan peredaran
zaman bagi menangani isu-isu semasa yang semakin mencabar
dan kompleks.
8. Dalam hal ini tumpuan harus diberikan kepada latihan
kemahiran dan kecekapan, pengurusan, dan yang terpenting
sekali ialah sikap dan etika bekerja. Ini adalah kerana
bekerja di luar tentera berbeza dengan dalam tentera.
Sementara dalam tentera kesetiaan adalah kepada Kerajaan
melalui pegawai yang mewakilinya, dalam dunia perniagaan
kesetiaan adalah kepada pelanggan. Layanan kepada pelanggan
akan menentukan sama ada bekas tentera akan berjaya atau
tidak. Oleh itu, adalah penting PERHEBAT memberi penekanan
kepada penyesuaian sikap dan etika di kalangan bekas tentera
dalam latihan yang diberi.
9. Bagi membantu PERHEBAT, Kerajaan telah meluluskan
sebuah tabung khas, iaitu Tabung Bekas Perajurit, dengan
peruntukan `grant' permulaan sebanyak RM30 juta pada tahun
pertama dan RM26 juta untuk tahun-tahun berikutnya. Tidak
ada pesara daripada perkhidmatan lain yang diberi bantuan
seperti ini. Adalah juga diharapkan pihak swasta dan
korporat dapat memainkan peranan mereka dalam menjayakan
percubaan bekas perajurit untuk mendapat gantian sara hidup
mereka.
10. Kita tidak perlu membuat persediaan berperang untuk
menjamin keamanan bagi negara kita. Tetapi juga kita tidak
boleh membiarkan keupayaan pertahanan kita merosot dan lemah
sehingga pihak lain tidak menghormati kebebasan kita.
11. Malangnya kos penyelenggaraan tentera sekarang begitu
tinggi sehingga kita tidak dapat mengadakan `standing army'
yang mencukupi. Oleh itu, kita terpaksa bergantung kepada
`reserve army'. Walaupun pesara daripada tentera sudah pun
berbakti kepada negara, tetapi kita berharap mereka akan
sanggup menyumbang tenaga kepada pasukan `reserve' kita.
Saya percaya khidmat ini tidak begitu berat terutama bagi
mereka yang sudah terlatih dalam tentera. Hanya sedikit
masa sahaja yang diperlukan untuk mencanai semula kecekapan
pertahanan. Jika pesara daripada tentera dapat menawar
khidmat mereka, maka dapatlah kita membekalkan negara dengan
pasukan keselamatan yang mencukupi tanpa kos yang terlalu
tinggi. Saya yakin kita boleh berharap kepada patriotisme
bekas perajurit kita.
12. Kestabilan sosial, politik dan ekonomi negara tidak
dapat dipisahkan daripada faktor keselamatan dalam dan luar
negara. Sesebuah negara itu akan hancur berkecai andainya
ancaman keselamatan dalam dan luar negara tidak dapat
dikawal dan dibendung. Alhamdulillah, kita di Malaysia
bukan sahaja dapat mengekalkan keamanan dan keselamatan
dalam negara malah negara kita mengambil bahagian secara
aktif di peringkat antarabangsa melalui program pengaman
Bangsa-Bangsa Bersatu. Sementara penyertaan kita dengan
pasukan pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu meninggikan maruah
kita, pengalaman semasa bertugas dengan Bangsa-Bangsa
Bersatu amatlah berguna bagi peningkatan kecekapan kita
dalam bidang ketenteraan. Sekarang ini anggota tentera kita
lebih cekap dan berpandangan lebih luas.
13. Kelahiran PERHEBAT bukan hanya sekadar untuk
mengambilalih fungsi HEBAT tetapi untuk memperluas dan
menambahkan fungsi- fungsi baru untuk memberikan
perkhidmatan yang lebih baik kepada bekas perajurit. Saya
harap PERHEBAT dapat bergerak maju dan berjaya dalam
usahanya untuk melahirkan bekas anggota-anggota tentera yang
dapat berdikari dalam penghidupan awam.
14. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
|