Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/09/94
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN 100
TAHUN ELEKTRIK DI MALAYSIA (TEKS
DIBACA OLEH Y.B. DATUK SAMY VELLU,
MEN. TENAGA, TELEKOM DAN POS.)
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Tenaga, Telekom dan Pos kerana menjemput saya untuk
merasmikan Pelancaran Perayaan 100 Tahun Elektrik di
Malaysia, Buku Sejarah Elektrik dan Buku Kanun Grid
Elektrik pada malam ini.
2. Tenaga elektrik adalah antara penemuan terbesar di
zaman ini. Penciptaan tenaga elektrik telah merevolusikan
proses pengeluaran dan menukarkan cara kehidupan kita
sehingga ianya menjadi satu keperluan dan tidak lagi satu
kemewahan. Bahkan tahap penggunaan tenaga elektrik kini
juga sudah menjadi satu indikator untuk mengukur tahap
pembangunan ekonomi sesebuah negara.
3. Di Malaysia, sektor elektrik telah berkembang dengan
pesat sehinggalah menjadi satu industri berbillion-billion
ringgit dan menggunakan 'state of the art technologies'.
Pertumbuhan sektor elektrik telah berjalan sama seiring
dengan pembangunan pesat ekonomi negara. Sektor tenaga amnya
dan elektrik khususnya telah memainkan peranan yang penting
dalam peningkatan pertumbuhan perindustrian di negara ini.
Permintaan semasa bekalan elektrik sebanyak 6,000 mw
dijangka mencecah 35,000 mw menjelang tahun 2020. Satu
implikasi daripada pertambahan sektor ini ialah pelaburan
bernilai hampir RM100 ribu juta diperlukan untuk penjanaan
dan penghantaran elektrik ke seluruh negara. Demi menjamin
pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan sumber-sumber
tenaga bagi penjanaan elektrik perlu dirancang secara
efektif supaya bekalan tidak terputus.
4. Antara cabaran penting yang perlu dihadapi ialah
memastikan supaya sumber-sumber tenaga bagi industri ini
mencukupi dan `reliable'. Bahan-bahan bakar fosil yang
semakin berkurangan akan bertambah mahal apabila ianya
semakin lupus. Di samping itu, tenaga yang boleh dibaharui
ataupun 'renewable energy' adalah juga terhad dan
usaha-usaha untuk memperolehi tenaga daripada sumber
sedemikian memerlukan perbelanjaan yang besar. Tanpa
perancangan yang rapi, bekalan elektrik mungkin akan
terjejas dan ini akan menghalang proses industrialisasi
negara.
5. Dengan pembangunan yang pesat, permintaan bagi elektrik
semakin meningkat di sektor seperti pengangkutan, industri
dan rumah-rumah. Di samping menghadapi permintaan bekalan
elektrik yang meningkat, pertumbuhan 'precision industries'
akan memerlukan bekalan elektrik yang berkualiti, iaitu yang
tidak terputus walaupun buat sesaat dan voltagenya tetap di
paras yang ditentukan.
6. Bagi memastikan negara memperolehi bekalan yang
berterusan, 'reliable' dengan harga yang berpatutan,
Kerajaan telah memperkenalkan persaingan serta meliberalkan
sektor elektrik terutamanya dalam bidang penjanaan.
Sebanyak enam pengeluar kuasa bebas (IPP) telah dilesenkan.
Apabila beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 1996/97,
IPP-IPP tersebut akan menyumbang secara bersama 4,000 mw
dengan pelaburan berjumlah RM9 ribu juta.
7. Melalui proses 'liberalisation' sektor elektrik ini,
Kerajaan akan terus memastikan wujudnya satu rangka
kawalselia yang berkesan. Ini bagi menentukan pelbagai
peraturan dan kod yang bersesuaian adalah efisien dan
'reliable'. Juga dengan pelancaran Kanun Grid Malaysia,
ianya diharapkan akan dapat memperkukuhkan segala peraturan
dan garispanduan mengenai perancangan, operasi dan
penyelenggaraan bagi 'complex interconnected power supply
systems'.
8. Sebagai 'regulator', Kerajaan akan pastikan bahawa
kedua-dua aspek penawaran dan permintaan sewajarnya diberi
penekanan. Sementara aspek penawaran diberi tumpuan
secukupnya, aspek permintaan juga memerlukan perhatian.
Persoalan utama ialah mengenai isu penggunaan tenaga
elektrik yang efisien. Tujuan penggunaan secara efisien
ialah untuk mengurangkan kos tenaga elektrik bagi sesuatu
perusahaan, yang mana ini akan mengurangkan kos pengeluaran
dan membantu meningkatkan lagi daya saingan barangan dan
perkhidmatan Malaysia. Sebaliknya penggunaan elektrik
hendaklah ditingkatkan supaya industri keluaran dan
penyaluran elektrik akan lebih maju. Sebab itulah Kerajaan
merancang menggunakan kuasa elektrik untuk perkhidmatan
keretapi. Sebenarnya jika kos elektrik dapat dikurangkan,
penggunaan lampu elektrik boleh ditambah supaya bandar dan
desa menjadi lebih cerah. Penggunaan elektrik per kapita
mencerminkan kemajuan negara. Lebih banyak ianya digunakan
dengan efisien, lebih majulah negara.
9. Peluang bagi penjimatan tenaga khususnya di dalam
sektor industri adalah sangat besar. Kajian yang dijalankan
oleh Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos menunjukkan bahawa
peluang penjimatan adalah sekitar 20 peratus hingga 52
peratus bagi seluruh rangkaian industri di negara ini.
Peluang tertinggi bagi penjimatan adalah di dalam industri
pengeluaran makanan diikuti dengan kayu dan tekstil. Jika
industri-industri ini lebih efisien dalam penggunaan
elektrik, keuntungan mereka akan meningkat.
10. Sementara itu, peraturan-peraturan untuk memastikan
'efficient use of energy' adalah perlu.
11. Kajian-kajian sewajarnya hendaklah dijalankan untuk
memastikan peluang-peluang penjimatan tenaga di dalam
sektor-sektor lain termasuk perdagangan dan kediaman.
Utiliti-utiliti utama seperti Tenaga Nasional Berhad perlu
menolong meningkatkan penggunaan elektrik secara efisien
supaya penggunaan elektrik dapat dijimatkan dengan lebih
banyak lagi. Demikian juga agensi-agensi Kerajaan perlu
menolong usaha meningkatkan penggunaan elektrik secara
efisien untuk menjadikan negara lebih produktif.
12. Setakat ini bahan-bahan bakar dan kuasa penjana yang
utama bagi elektrik adalah bahanapi minyak. Walau
bagaimanapun, sumbangan bahanapi minyak di dalam 'generation
mix' akan berkurangan secara drastik daripada 54 peratus
pada masa kini kepada 3 peratus pada tahun 2000. Pada masa
yang sama, sumbangan gas akan meningkat daripada 19 peratus
masakini kepada 70 peratus menjelang tahun 2000.
Penggantian kepada gas di dalam sektor elektrik mempunyai
beberapa implikasi positif. Pertama, gas adalah sumber
tenaga yang lebih efisien berbanding dengan bahanapi minyak.
Kedua, penggunaan gas mempunyai impak alam sekitar yang
rendah daripada segi pengeluaran sisa-sisa daripada
loji-loji kuasa.
13. Penyediaan bekalan elektrik yang tinggi memerlukan
tenaga manusia terlatih yang ramai. Pembangunan tenaga
manusia melalui latihan adalah satu pra syarat penting dalam
menjamin pembangunan teknologi yang canggih. Sewajarnya,
satu peningkatan daripada segi kualiti tenaga manusia yang
saintifik dan teknikal harus diwujudkan.
14. Sektor elektrik adalah satu bidang sektor ekonomi yang
besar dan penting di mana dijangka pelaburan-pelaburan akan
melebihi RM100 billion dalam 20 tahun akan datang. Dengan
ini maka terbukalah peluang-peluang bukan sahaja berkaitan
dengan kerja-kerja pembangunan penjanaan, penghantaran dan
pengagihan, malah dalam bidang pengeluaran peralatan
elektrik seperti alatubah-alatubah, suisgiar-suisgiar,
kabel-kabel dan konduktor-konduktor.
15. Sempena perayaan 100 tahun elektrik di Malaysia
saya berharap pihak-pihak yang terlibat akan berazam untuk
memperolehi cara-cara yang terbaru dan radikal dalam
penjanaan dan kegunaan elektrik.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Pelancaran Perayaan 100 Tahun Elektrik di Malaysia, Buku
Sejarah Elektrik dan juga melancarkan Buku Kanun Grid
Elektrik.
|