Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TEMPAT REHAT, RAWANG, SELANGOR
Tarikh/Date : 08/09/94
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PENYEMPURNAAN
LEBUHRAYA UTARA-SELATAN
Saya mengucapkan terima kasih ke pada pihak Projek
Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) kerana menjemput saya
untuk merasmikan penyempurnaan Lebuhraya Utara-Selatan pada
hari ini.
2. Saya gembira bahawa negara kini mempunyai sebatang
lebuh raya bertaraf antarabangsa yang dapat membantu
mempercepatkan pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini.
Pemandu-pemandu juga kini boleh memandu dengan lebih selesa,
menjimatkan masa dan lebih selamat. Saya mengucapkan
syabas kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS kerana
melaksanakan projek ini dengan jayanya.
3. Projek lebuhraya ini adalah antara projek Kerajaan yang
terawal diswastakan. Dengan pelaburan yang tinggi dalam
aneka jenis industri oleh pelabur dari dalam dan luar negeri
amatlah penting pembangunan infrastruktur seperti jalan
raya, pelabuhan, lapangan terbang serta kemudahan asas
seperti bekalan air dan elektrik turut dibangunkan dengan
sama pesat.
4. Biasanya Kerajaan membiayai infrastruktur daripada hasil
pendapatan Kerajaan dan pinjaman. Pinjaman juga bergantung
kepada kewangan Kerajaan. Adalah jelas jika pembangunan
infrastruktur ditentukan oleh kemampuan Kerajaan, maka ia
akan lewat dibina dan tidak akan terdaya membekalkan
keperluan industri yang berkembang pesat. Dengan itu
pelaburan akan tersekat dan pertumbuhan negara terhalang.
5. Melalui penswastaan, kewangan Kerajaan tidak lagi
menjadi penghalang. Sebaliknya, kewangan Kerajaan menjadi
lebih kukuh kerana Kerajaan tidak lagi perlu mengadakan
peruntukan untuk projek dan gaji kakitangan dalam badan
berkenaan. Syarikat swasta mengambilalih semua perbelanjaan
ini.
6. Pengurusan secara komersil menyebabkan projek disiap
serta pendapatan diperolehi lebih awal. Kerajaan juga
mendapat cukai di mana dahulu tidak ada keuntungan dan tidak
ada cukai. Kakitangan Kerajaan yang tidak terlibat dengan
penswastaan pun mendapat nikmat daripada pengurangan
perbelanjaan Kerajaan dan pertambahan cukai yang dikutip.
7. Rakyat juga mendapat manfaat daripada kemudahan
infrastruktur yang siap lebih awal dan pengagihan belanjawan
Kerajaan kepada kemudahan-kemudahan infrastruktur dan
subsidi yang lain. Pasaran saham dan pelabur kecil dan
besar tentu akui akan kesan baik daripada penswastaan.
Sekarang terdapat banyak syarikat gergasi yang disenaraikan
di mana dahulu tidak ada. Oleh kerana Kerajaan
memperuntukkan sebahagian besar daripada saham-saham kepada
PNB dan syarikat-syarikat Amanah Saham Bumiputra lain, maka
proses penswastaan berjaya menjadikan lebih tiga juta
Bumiputera sebagai pemilik saham syarikat-syarikat gergasi.
8. Pendekata semua pihak, termasuk kakitangan Kerajaan
yang dipindahkan ke syarikat swasta mendapat manfaat
daripada proses penswastaan. Oleh kerana sebab-sebab inilah
maka Kerajaan akan meneruskan dasar penswastaannya.
9. Pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan hari ini bukan sahaja
membuktikan kejayaan dasar penswastaan tetapi juga
keberkesanan kerjasama yang rapat di antara sektor awam
dengan swasta selaras dengan Dasar Persyarikatan Malaysia
atau Malaysia Incorporated.
10. Ia membuktikan kebolehan dan kemampuan industri
pembinaan tempatan melaksanakan projek raksasa. Jelaslah
bahawa kita juga mempunyai kepakaran serta mutu kerja yang
setanding dengan industri pembinaan antarabangsa. Projek
ini juga menunjukkan kemampuan kita mengurus dan membina
sebuah prasarana yang kompleks yang bertaraf 'world class'
dengan menggunakan kepakaran luar negeri di tahap yang
minima sahaja. Projek sebesar ini juga telah berjaya
dibiayai oleh institusi kewangan tempatan yang sudah mantap
dengan kepakaran 'financing' yang canggih dan terkini.
Kontraktor-kontraktor kita telah membuktikan kemahiran
mereka dengan menyiapkan kerja lebih awal daripada yang
ditetapkan oleh Kerajaan.
11. Projek ini juga berjaya mencungkil bakat perniagaan
dan pengurusan Bumiputera yang jelas setanding dengan bukan
Bumiputera. Demikianlah pengiktirafan kepada kebolehan
syarikat Bumiputera sehingga negara-negara lain tidak
ragu-ragu lagi menjemput mereka untuk melaksanakan
projek-projek di negara berkenaan.
12. Sektor swasta mempunyai peranan yang penting dalam
mempercepatkan proses perindustrian negara. Antara peranan
utama yang boleh dimainkan oleh sektor swasta ialah memenuhi
kekurangan dalam sektor awam. Sektor swasta boleh
menyediakan keperluan kewangan bagi membiayai sesuatu projek
di samping melaksanakannya dengan lebih cekap dan efektif.
'Flexibility' yang ada pada sektor swasta juga membolehkan
sektor itu lebih agresif dan efisien. Kerajaan boleh
membantu dengan mempercepatkan bukan sahaja proses sesuatu
projek, tetapi juga meningkatkan mutu khidmat yang
disediakan.
13. Penjimatan masa dan kecekapan adalah dua faktor yang
boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dengan
mengadakan prasarana yang terancang dan bertaraf
antarabangsa seperti Lebuhraya Utara-Selatan kita boleh
menjimatkan masa dan memudahkan pengangkutan barangan dan
penumpang. Saya yakin Lebuhraya Utara-Selatan ini akan
dapat membantu pertumbuhan berbagai-bagai industri termasuk
perumahan dan bandar-bandar baru. Di samping itu, laluan
lebuh raya amat sesuai untuk kabel telekomunikasi dan
kemudahan pelancongan seperti perhentian beristirahat dan
motel sepanjang lebuh raya.
14. Dengan wujudnya sistem rangkaian pengangkutan yang
baik, maka tempat-tempat yang dihubungi oleh jalan raya atau
lebuh raya akan dapat dibangunkan secara tersusun. Dari
utara ke selatan, pelbagai kemudahan telah disediakan untuk
memenuhi keperluan penduduk dan pembangunan kawasan. Bandar
Nilai, misalnya, telah mengalami perubahan yang besar bukan
hanya dengan adanya Lebuhraya Seremban tetapi juga kerana
cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur di Sepang. Di samping menyediakan prasarana untuk
pembangunan, lebuh raya bukan sahaja menarik pelaburan dari
dalam dan luar negeri tetapi juga membuka peluang-peluang
perniagaan kecil tempatan. Gerai-gerai yang disediakan oleh
PLUS boleh menampung keperluan peniaga kecil yang
berdekatan. Hanya yang dikehendaki ialah mereka berniaga
secara lebih teratur.
15. Kesan pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan sudah pun jelas
ternampak. Bandar-bandar kecil dan terpencil sudah tumbuh
dengan pesatnya. Hari ini bandar-bandar seperti Bukit Kayu
Hitam, Kangar, Alor Setar, Sungai Petani, Seberang Perai,
Bukit Mertajam dan Seberang Jaya sudah menjadi pusat
industri kerana bandar- bandar ini tidak lagi dianggap jauh
dari pelabuhan atau lapangan terbang antarabangsa.
Eksekutif syarikat sekarang sanggup tinggal atau bekerja di
bandar-bandar ini kerana mudah bagi mereka pergi dan balik
dari bandaraya.
16. Sungai Petani hari ini bukan lagi sebuah bandar kecil
yang dilalui untuk ke Alor Setar atau Thailand tetapi adalah
sebuah bandar yang berkembang maju. Hari ini ketiga-tiga
estet perindustriannya, iaitu Batu Arang, Tikam Batu dan
Sungai Petani telah berjaya menarik pelaburan bernilai
beratus juta ringgit. Pusat-pusat komersil dan kawasan
perumahan di bandar tersebut juga sedang membangun dengan
cepat sekali.
17. Pulau Pinang yang memang pesat membangun telah
menjadi lebih sibuk kerana lebuh raya Utara-Selatan. Di
masa yang sama, ramai yang suka memandu kereta sendiri dari
Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bharu dan Singapura ke Pulau
Pinang, di mana dahulu mereka tidak berminat berbuat
demikian kerana perjalanan tidak selesa. Sudah tentu
industri pelancongan menjadi lebih maju. Pertumbuhan
ekonomi Pulau Pinang sudah menjadi lebih pesat daripada
zaman ianya bergantung kepada taraf kawasan bebas cukai.
18. Di kawasan tengah pula, Lebuhraya Utara-Selatan
memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan pembangunan
hartanah di Ipoh, Perak, di mana tiga kawasan perumahan
telah bertukar menjadi kawasan pertumbuhan baru. Taman
pertama, Silibin; Jelapang dan Taman Meru, yang terletak di
pinggir bandaraya Ipoh telah dibangunkan sebagai pusat
bersepadu dengan industri ringan dan berat, kompleks
komersil dan tempat peranginan golf.
19. Negeri Selangor dan Perak akan membangunkan kawasan
seluas 24,000 hektar yang merangkumi empat daerah di
sepanjang sempadan kedua-dua negeri itu yang dinamakan
Lembah Bernam. Di Selangor juga, Lebuhraya Utara-Selatan
membantu mempercepatkan pembangunan di bandar seperti
Rawang, Serendah, Ulu Yam dan Batang Kali di mana projek
kereta nasional kedua, sebuah kolej, pusat penyelidikan
kesihatan, Perumahan Bukit Beruntung sedang dijalankan.
20. Di kawasan Selatan pula, Sungei Besi, Kajang, Bangi di
Selangor; Nilai, Pedas, Labu di Negeri Sembilan; Ayer Keroh
di Melaka dan Pagoh, Yong Peng - Air Hitam di Johor, adalah
antara bandar-bandar yang pesat membangun dengan aneka jenis
industri.
21. Nyatalah pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan ini bukan
sahaja memberi manfaat kepada golongan peniaga, tetapi juga
telah meningkatkan mutu kehidupan rakyat keseluruhannya, di
samping memudahkan pengangkutan dan perjalanan.
22. Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada
Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Berhad kerana bukan
sahaja berjaya melaksanakan Lebuhraya Utara-Selatan tetapi
menyiapkannya dalam tempoh 15 bulan lebih awal dari tarikh
yang ditetapkan. Dengan itu, saya dengan sukacitanya
merasmikan pembukaan keseluruhan Lebuhraya Utara-Selatan.
|