Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DIISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/09/94 
Tajuk/Title  	: 	UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA 
			KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA DI 
			ISTIADAT PERTABALAN SERI PADUKA 
			BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG 
			YANG KESEPULUH 



 Bismillahir Rahmanir Rahim
   Dengan segala hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan,
pegawai  dan  kakitangan  Perkhidmatan  Awam  serta  seluruh
rakyat Malaysia  ingin  mengucapkan  setinggi-tinggi tahniah
kepada Tuanku sempena pertabalan Tuanku sebagai  Seri Paduka
Baginda Yang  di-Pertuan Agong Yang Kesepuluh pada hari ini.
Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada Tuanku Najihah
bt. Tunku Besar Burhanuddin sebagai Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri  Agong.    Semoga  Tuanku berdua dilanjutkan usia
serta dilimpahkan rahmat dan hidayah oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala.
2.  Negara pada keseluruhannya terus aman,  maju dan makmur.
Perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat berbilang kaum
juga  terus  meningkat.    Rakyat   kini  lebih  sedar  akan
pentingnya keharmonian dan perpaduan kaum.  Konflik kaum dan
agama  yang  berlaku  di  beberapa  negara  di  dunia  telah
menginsafkan  rakyat negara ini  tentang  betapa  pentingnya
mereka terus hidup bersatu padu dan bekerjasama antara  satu
sama lain.   Rakyat berbilang kaum dan  agama  bukan  sahaja
sentiasa   bersikap   toleran   tetapi  juga  mereka  hormat
menghormati diantara satu sama lain.   Kejayaan dalam  usaha
kita untuk berada dalam  keadaan  aman,   bersatu  padu  dan
saling bekerjasama adalah sesuatu  yang  boleh  dibanggakan,
walaupun kita daripada kaum-kaum yang  berlainan  keturunan,
agama, kebudayaan dan adat resam.
3.   Perpaduan dan persefahaman yang erat di kalangan rakyat
telah berjaya mewujudkan kestabilan dan keamanan  di  negara
ini.    Dengan  wujudnya  kestabilan  dan keamanan, Kerajaan
telah dapat menumpukan usaha sepenuhnya terhadap pembangunan
negara.   Usaha-  usaha  Kerajaan  untuk  terus  memantapkan
pertumbuhan  ekonomi  menunjukkan  hasil  yang menggalakkan.
Berdasarkan pencapaian pada setengah tahun pertama tahun ini
dan prospeknya bagi bulan-bulan akan datang, ekonomi  negara
dijangka  mencatitkan satu lagi tahun yang memberangsangkan.
Pertumbuhan ekonomi negara dianggarkan mencapai 8.5  peratus
tahun ini.
4.      Pertumbuhan  ekonomi  negara yang terus menggalakkan
menghasilkan suasana dan peluang pelaburan yang  baik  bukan
sahaja  untuk  pelabur  tempatan malah pelabur asing.   Oleh
itu, pelaburan swasta terus berkembang pesat.  Ini  disertai
dengan   pelaburan   Kerajaan  dalam  memperbaiki  kemudahan
infrastruktur yang akan meningkatkan keupayaan  ekonomi  dan
seterusnya  potensi pertumbuhan.   Kesemua ini akan membantu
menambah pendapatan rakyat yang sanggup berusaha.
5.    Kerajaan Tuanku akan  terus  mendokong  Islam  sebagai
agama  rasmi  dan  memberi  kebebasan beragama bagi penganut
agama-agama lain.  Dalam soal ini Kerajaan  akan  menentukan
tafsiran  agama Islam tidak diseleweng oleh mana-mana pihak.
Kerajaan akan berpandukan kepada keadilan yang dituntut oleh
Islam supaya agama suci kita tidak tercemar.
6.     Dalam arena  antarabangsa,  negara  kita  akan  terus
memainkan   peranan   yang   aktif   terutama  sekali  dalam
mempertingkatkan hubungan  dua  hala  dan  aktiviti-aktiviti
kerjasama  dalam  pelbagai lapangan.   Negara kita juga akan
berusaha untuk  mempertingkatkan  hubungan  Selatan-Selatan.
Dalam   hal   ini   negara  akan  terus  bekerjasama  dengan
negara-negara membangun yang lain melalui program  kerjasama
teknikalnya.    Malaysia  akan terus menjalinkan perdagangan
dengan  negara-negara  tradisi  walaupun  usaha-usaha   akan
dibuat  untuk  mencari pasaran-pasaran baru seperti di Latin
Amerika, di Benua Afrika  dan  di  Asia  Tengah.    Malaysia
adalah  komited  kepada  sistem  perdagangan  bebas dan akan
berusaha  untuk  memperbaiki  kedudukannya  sebagai   negara
perdagangan yang ke-19 terbesar di dunia.
7.      Sempena  hari yang bersejarah dan mulia ini Kerajaan
serta  pegawai-pegawai  dan  kakitangan  Perkhidmatan  Awam,
sektor  swasta  dan  rakyat sekalian ingin mengambil peluang
ini untuk menyampaikan ikrar taat setia  kepada  Tuanku  dan
Raja Permaisuri Agong dan berdoa semoga Tuanku dapat memberi
khidmat  dengan  penuh  gigih, adil, bijaksana dan berwibawa
demi  kemajuan,  kemakmuran  dan  kesejahteraan  negara  dan
rakyat.
8.   Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Amat Pengasih dan
Penyayang  melanjutkan  usia Tuanku berdua dan semoga Tuanku
berada di dalam keadaan sihat walafiat.
Amin, Ya Rabbul' Alamin.

 
 



 
Google