Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PULAU LANGKAWI, KEDAH
Tarikh/Date : 10/10/94
Tajuk/Title : PERASMIAN TARAF OPERASI PASUKAN
ATURGERAK CEPAT ANGKATAN TENTERA
MALAYSIA (PAC - ATM)
Saya mengucapkan terima kasih ke pada Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) kerana menjemput saya untuk merasmikan taraf
operasi PASUKAN ATURGERAK CEPAT ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
(PAC - ATM) di Pulau Langkawi pada hari ini.
2. Saya percaya bahawa hari ini adalah besar ertinya kepada
para perwira dan perajurit yang menganggotai PAC - ATM.
Ini adalah kerana pasukan yang diwujudkan dua tahun lepas
telah mencapai taraf operasi, yang bererti PAC - ATM
sekarang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawabnya
dalam mendokong harapan serta tuntutan Dasar Pertahanan
Negara. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua
yang terlibat di ATM.
3. Pencapaian Wawasan 2020 memerlukan suasana aman dan
damai baik didalam mahupun di luar negara. Kemakmuran
serta kesejahteraan negara tidak akan kekal kalau ianya
tidak dijaga dan dilindungi. Kita tidak boleh lalai dalam
hal mempertahankan kepentingan negara yang meliputi
kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmurannya.
Kita juga tidak boleh berharap atau bergantung kepada orang
lain untuk melindungi dan mempertahankan hak kita. Kita
mesti sentiasa berusaha untuk menjaga keselamatan dengan
meningkatkan keupayaan kita mempertahankan kepentingan
negara. Hanya negara yang kuat dalam serba serbinya
termasuk pertahanan dapat menjamin kesinambungan kebebasan,
kemerdekaan, kesejahteraan, keamanan dan kemakmurannya.
4. Kerajaan amat peka dan sedar betapa pentingnya
peranan angkatan tentera dalam sistem kenegaraan. Tidak
boleh dinafikan bahawa angkatan tentera adalah satu
daripada ciri-ciri kuasa dan kekuatan negara. Atas kesedaran
itulah Kerajaan telah menggariskan dalam Dasar Pertahanan
Negara supaya satu angkatan tentera yang profesional,
bersih dan berwibawa dilahirkan. Satu angkatan tentera yang
kuat dan berupaya memainkan peranannya secara profesional
akan dihormati dan disegani. Sifat-sifat ini adalah penting
untuk menonjolkan kemampuan cegah rintang atau `deterrence'.
Untuk mencapai matlamat ini, angkatan tentera hendaklah
mempunyai kepimpinan yang berkualiti, lengkap dengan
persenjataan yang moden, sistem latihan dan bantuan logistik
yang bermutu tinggi supaya ia sentiasa siapsedia untuk
menjalankan tugasnya di mana-mana juga.
5. Kejayaan Malaysia menangani segala cabaran kepada
keselamatan negara adalah hasil daripada kesepakatan dan
kerjasama yang erat antara kerajaan, pasukan keselamatan dan
semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta. Persefahaman
adalah penting untuk menghadapi masalah pertahanan negara.
6. Inilah sebenarnya falsafah konsep pertahanan
menyeluruh. Keselamatan adalah hak dan tanggungjawab semua
warganegara dan bukan terletak semata-mata atas bahu pasukan
keselamatan sahaja. Kekuatan sesebuah negara sebenarnya
terletak di atas bahu rakyatnya yang sama-sama komited,
berdiri teguh dan sentiasa bersedia untuk mempertahankan
kedaulatan negara. Inilah matlamat dan semangat yang hendak
dicapai.
7. Kini ATM sedang giat mendokong Dasar Luar Negara
sebagai pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun Malaysia hanya sebuah
negara yang kecil, kita telah memainkan peranan sebagai
negara yang menyokong usaha-usaha ke arah keadilan,
kebebasan dan keamanan. Saya berbangga dengan keupayaan
perwira dan pasukan-pasukan ATM yang berkhidmat di bawah
PBB. Mereka telah menunjukkan mutu profesionalisma dan
keberanian yang setanding dengan negara-negara yang lebih
maju dalam melaksanakan tugas mereka. Mereka telah
mengharumkan nama Malaysia.
8. Sehubungan dengan ini Kerajaan akan terus bersedia
untuk membantu PBB untuk menyelesaikan konflik yang
menggugat keamanan, kebebasan dan keadilan masyarakat
sejagat. Dengan itu, ATM hendaklah sentiasa bersedia untuk
bertugas sebagai pasukan pengaman PBB. Usaha-usaha yang
tegas hendaklah diambil oleh semua yang bertanggungjawab
untuk menentukan para pegawai dan anggota yang ditugaskan
dalam PBB diberi latihan dan dilengkapkan dengan peralatan
yang cukup.
9. Menyedari hakikat bahawa tentera mempunyai peranan yang
penting dalam Dasar Pertahanan dan Dasar Luar Negara,
usaha-usaha sedang dibuat untuk memodenkan ATM daripada segi
struktur organisasinya dan juga peralatan serta sistem
persenjataannya. Untuk ini Kerajaan telah memperuntukkan
sebanyak RM8,411 juta atau 14.4 peratus daripada Belanjawan
negara dalam Rancangan Malaysia Keenam untuk pertahanan
negara. Pembelian pesawat-pesawat pejuang, kapal-kapal
laut dan persenjataan lain yang canggih adalah semata-mata
untuk meningkatkan keupayaan konvensional ATM dalam
mempertahankan kepentingan negara. Peralatan-peralatan yang
usang perlu diganti dengan yang baru. Pembelian itu
bukanlah kerana hendak bersaing dengan mana-mana negara. Ia
hanya sekadar mengikuti kecanggihan sistem-sistem
pertahanan. Di samping itu, peranan ATM juga telah
bertambah meliputi Kawasan Perairan Zon Eklusif Ekonomi yang
kaya dengan sumber-sumber asli seperti minyak dan gas.
10. Wawasan 2020 menuntut agar semua bidang kenegaraan
dibangunkan supaya negara dapat menghadapi segala cabaran
untuk menjadi sebuah negara yang maju. Dalam hal ini,
penguasaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi maklumat
adalah amat penting. Saya difahamkan ATM sedang mengambil
beberapa langkah yang positif untuk meningkatkan ilmu
pengetahuan anggota-anggotanya termasuk memperkemaskan
sistem latihan dan pendidikannya. Usaha ATM untuk
menubuhkan sebuah Akademi Tentera bagi melatih pegawai-
pegawainya dengan kerjasama sebuah universiti tempatan
adalah satu usaha yang bijak.
11. Dalam hal ini pegawai-pegawai dan anggota-anggota
tentera perlu diberi pendidikan yang dalam dan luas mengenai
hal pengurusan pertahanan. Peranan ATM di peringkat
antarabangsa memerlukan bukan sahaja pegawai yang cekap
dalam tugasnya bahkan juga yang boleh menguasai bahasa
Inggeris dan berkemampuan berbincang dengan bijaksana di
forum-forum antarabangsa. Sementara itu aset-aset tentera
yang canggih memerlukan anggota yang berkeupayaan
mengendalikan peralatan itu untuk bertempur dan
menyelenggarakannya. Tanpa tenaga manusia yang berkeupayaan
tinggi, alat-alat yang canggih tidak akan menolong
mengukuhkan pertahanan. Saya percaya ATM dapat mewujudkan
budaya kerja yang cemerlang berpandukan falsafah dan prinsip
`Total Quality Management' untuk mengurus dan menjaga
sumber-sumber termasuk tenaga manusia dengan cekap dan
bijaksana. Semua lapisan pemerintah dan kepimpinan
hendaklah prihatin dengan peri mustahaknya meningkatkan
kualiti prestasi serta kemahiran anggota tentera melalui
latihan dan pelajaran yang berterusan.
12. Setelah menyaksikan `exercise' taktik menawan semula
pengkalan udara dan pertunjukan statik pelbagai bidang
keupayaan dan kemahiran PAC - ATM, jelaslah bahawa pasukan
ini telah menjalani latihan yang intensif untuk mencapai
taraf kemahiran yang tinggi. Saya ucapkan tahniah kepada
semua yang mengambil bahagian dalam `exercise' dan
demonstrasi ini. Saya harap kemahiran dan keupayaan seperti
ini akan terus dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik
mungkin.
13. Kewujudan PAC - ATM ini pasti akan memberi opsyen
alternatif kepada Kerajaan untuk menyelesaikan konflik.
Namun demikian, Kerajaan sentiasa berpegang teguh kepada
prinsip menyelesaikan masalah melalui rundingan diplomatik
dan tidak dengan kekuatan tentera. Sungguhpun begitu, satu
pasukan simpanan strategik hendaklah sentiasa bersiap
sedia untuk diaturgerakkan dengan cepat apabila
diperlukan. Semoga ATM ini menjadi pasukan simpanan
strategik yang sentiasa siap sedia.
14. Dengan harapan ini dan dengan kalimah Bismillahir
rahmanir rahim saya merasmikan taraf operasi PASUKAN
ATURGERAK CEPAT ANGKATAN TENTERA MALAYSIA.
|